Naskah yang ditandatangani oleh Ustaz Siddiq Fadzil. |
Ustaz Siddiq Fadzil, Murabbi Umat. |
Alhamdulillah,
saya bersama ABIM Daerah Kuala Langat dan Grup Peguam ABIM (GPA) berkesempatan
menghadiri Majlis Pelancaran dan
Diskusi, Buku “Islam dan Melayu: Martabat
Umat dan Daulat Rakyat”; karya besar terkini hasil nukilan Ustaz Siddiq
Fadzil, mantan Presiden ABIM. Dalam ucapannya, Ustaz Siddiq Fadzil
menyeru agar orang Melayu bangkit dan menegaskan Melayu hanya akan maju dengan
Islam. Beliau turut menegaskan agar orang Melayu menerapkan perwatakan ‘berani
bersikap dan berani berkata tidak’ sambil mengetengahkan sajak Pak Saija
nukilan sasterawan terkemuka Indonesia, Pak Rendra (Allahyarham).
(Untuk biodata ringkas Pak Rendra, boleh rujuk pautan ini:
http://chedinsphere.blogspot.com/2012/02/sajak-rajawali-ws-rendra.html)
Majlis yang mendapat sambutan yang sangat baik ini
mencapai kemuncaknya menerusi pidato penghargaan oleh sahabat seperjuangan
Ustaz Siddiq, iaitu DSAI, juga mantan Presiden ABIM. DSAI,
menerusi pidato apresiasinya, menegaskan kepentingan ‘wasatiyyah’, yang
merangkumi keamanan, keadilan dan amanah pemerintah untuk rakyat, di samping
menyeru usaha memberdayakan akhlak mulia dalam kalangan bangsa Melayu digerakkan secara
proaktif dan agresif sepertimana yang dirungkai dalam buku ini. Acara
diteruskan dengan deklamasi sajak oleh Saudara Rozan Azen Mat Rasip dan wakil
PKPIM, Saudara Shahril Effendi.
Program yang dianjurkan di Hotel De Palma, Ampang ini
turut diisi dengan diskusi buku oleh Prof. Mohd Nor Nawawi dan Dato’ Kamarudin Jaffar. Segmen
ini dikendalikan oleh moderator, Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman (mantan
Presiden ABIM). Kedua-dua
panelis sependapat bahawa buku ini perlu dirujuk untuk membentuk pemikiran dan
membugar semula perjuangan Islam dan Melayu dalam mendaulatkan kuasa rakyat. “Membina keunggulan bangsa bukan dengan
membangun gedung pencakar langit dan berbelanja besar membeli ‘the ornaments of
success’. Yang harus dibangun adalah sikap dan semangat ingin menjadi bangsa
yang mulia dan bermaruah,” ujar salah seorang panelis.
Berikut saya salin dan tampal pendahuluan oleh Ustaz Siddiq Fadzil:
“Tidak semua khalayak akan senang dengan
segala yang tersurat dan tersirat dalam tulisan ini. Memang ia bukan karya
lipur lara yang dicipta untuk menghibur hati yang duka. Apabila sesuatu
pendapat telah terlontar ke hadapan khalayak, maka apa pun reaksinya, diterima
atau ditolak,harus disikapi dengan lapang dada. Kedua-duanya, yang menerima dan
yang menolak wajar dihargai selayaknya. Justeru, di dunia wacana, lawan
pendapat adalah rakan berfikir. Setiap pendapat yang terungkap, menyenangkan
atau menyakitkan,semangat yang mendasarinya tetap sama: ingin jujur kepada diri
sendiri. Memuji tanpa motif untuk mengampu,mengkritik tanpa maksud untuk menyakiti.”
“Memang buku ini sebuah himpunan
makalah,tetapi semuanya terpadu dalam satu tema:Islam dan Melayu. Pengangkatan
tema ini dilatari oleh keresahan melihat kenyataan bahawa setelah lebih lima
puluh tahun merdeka, Melayu masih lemah. Jika memang demikianlah the
uncomfortable truth yang harus diakui,persoalan yang berbangkit ialah bagaimana
keadaan malang itu sampai terjadi? Mungkin ada yang tidak beres dalam proses
pemerkasaan bangsa sepanjang dekad-dekad yang telah kita lalui. Antara yang
dirasakan kurang diberikan perhatian dalam proses tersebut ialah peranan
nilai-nilai keagamaan dan kebudayaan dalam pembangunan bangsa. Kesedaran
tentang faktor ini, khususnya dalam pembinaan watak dan daya maju bangsa
tampaknya masih sangat rendah. Pengabaian terhadap dimensi keagamaan dan
kebudayaan telah mengakibatkan krisis jati diri dan keruntuhan integriti. Yang terbudaya
bukan nilai-nilai murni,tetapi amalan keji seperti rasuah dan pecah amanah.”
“Sebagaimana Tuhan mengangkat martabat umat
Arab dengan Islam, begitu pulalah Tuhan akan mengangkat daulat Melayu. Kerana
itu pilihan Melayu hanya satu:komitmen keislaman yang serius dan tulen. Yang
harus dihayati dan disemarakkan tidak hanya simbol-simbol dan syi’ar-syi’arnya,
tetapi lebih daripada itu adalah esensi syari’atnya: kebenaran dan keadilan, maruah
dan daulat keinsanan. Keadaan kita tidak akan berubah jika Islam (al-Qur’an dan
al-Sunnah) hanya dipakai sebagai perencah dan penyedap retorik politik,tanpa
pemahaman dan penghayatan.”
Dr Razak Idris, mantan Presiden ABIM. Seorang yang murah dengan senyuman. Harmonis. |
Saudara Aidil Khalid, sahabat saya sedari jaman UiTM Kedah 2005. Seorang peguam dan penulis yang berbakat besar. |
Sementelahan, berikut
merupakan pengantar oleh Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman:
“Dato Dr Siddiq Fadzil merupakan
antara segelintir kecil ilmuwan yang setelah meninggalkan institusi akademik
secara formal atau bersara dari universiti,terus aktif menulis dan mengemukakan
idea dalam usaha mendidik umat.”
“Latar belakang pendidikan yang unik, penggabungan
pendidikan pengajian Islam ,kebudayaan dan sejarah tamadun Melayu membolehkan Dato
Dr Siddiq Fadzil membincangkan isu Islam dan Melayu dengan begitu meyakinkan
dan penuh dengan iktibar serta saranan.”
“…kekuatan yang terdapat pada Dato Dr
Siddiq Fadzil yang mampu mengaitkan persoalan keumatan semasa dengan peristiwa
sejarah…”
“Pendedahan dalam bidang akademik
semata-mata yang dikaitkan dengan dunia buku, wacana dalam bilik kuliah dan
karenah pentadbiran yang tiada penghujungnya tidak memungkinkan seorang ilmuwan
menghasilkan sebuah tulisan yang menyentuh secara langsung nurani, citra dan
aspirasi masyarakat. Dato Dr Siddiq Fadzil mempunyai keistimewaannya yang
tersendiri dalam menghasilkan tulisan yang sifatnya sedemikian kerana
penglibatannya dalam dunia akademik berjalan serentak dengan pembabitan sebagai
seorang aktivis masyarakat atau lebih jelas sebagai seorang pemimpin gerakan
Islam yang disegani dan berjaya merakyat.”
“Tidak ramai ilmuwan yang berjaya sebagai
seorang ahli akademik dan pada waktu yang sama menjadi seorang aktivis
masyarakat.”
“Dalam setiap tulisan yang dikemukakan Dato
Dr Siddiq Fadzil secara objektif turut memasukkan ‘unsur harakiy’,walaupun
tanpa perlu menyebut nama ABIM secara khusus.”
“Sejarah menunjukkan bahawa Dato Dr Siddiq
Fadzil menjadi Presiden ABIM bukan melalui proses biasa,kerana kepimpinan ABIM
yang diwarisinya adalah ketika gerakan tersebut berhadapan dengan krisis
keyakinan,termasuklah dalam kalangan ahlinya sendiri sehingga menyebabkan
pendukungnya berpecah kepada beberapa kelompok.Pengalaman yang diperoleh
daripada kemelut yang berlaku mematangkan Dato Dr Siddiq Fadzil dan
kepimpinannya sehingga mampu melahirkan idea baru berdasarkan pengalaman yang
dilalui dalam menyelesaikan permasalahan yang timbul.Bagi membolehkan usaha
penyatuan dan usaha pemantapan Jemaah dijadikan agenda utama,kepimpinan Dato Dr
Siddiq Fadzil berjaya menonjolkan pendekatan berhemah yang menyantuni semua
kelompok yang terbukti amat disenangi oleh majority pendukung gerakan.’’
‘’Sebagai seorang pemikir yang kaya dengan
idea baru dan aktivis gerakan yang istiqamah,Dato Dr Siddiq Fadzil layak untuk
diiktiraf sebagai seorang tokoh pemikir kepada kebangkitan Islam dan
pengisiannya di Malaysia.Pemikiran beliau telah melahirkan Manhaj Maliziy,iaitu
melihat pendekatan Malaysia sebagai model dan landasan kepada pemikiran dan
perjuangan Islam di Malaysia.”
“Dalam suasana dunia akademik yang semakin
suram dengan universiti melahirkan ramai ‘pak turut’, dunia pendidikan
dijadikan bahan komoditi dan ahli akademik yang lebih mementingkan
ganjaran,kehadiran ‘intelektual bebas’ seperti Dato Dr Siddiq Fadzil amat
diperlukan oleh masyarakat bagi mendapatkan gagasan dan inspirasi baru.”
Bergambar kenangan, dengan sahabat Grup Peguam ABIM. |
* Bagi mereka yang terlepas mengikuti siaran langsung
Majlis Pelancaran dan Diskusi Buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat
Rakyat, boleh layari:
** Juga, naskah ini boleh ditempah secara atas talian
melalui laman ini:
**********************************
Entri-entri berkaitan:
*************************
Sumber:
- Siddiq Fadzil, Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat, Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor: Akademi Kajian Ketamadunan, Kompleks Dar Al-Hikmah (Kolej Dar al-Hikmah), 2012;
- http://www.facebook.com/photo.php?fbid=413293858713745&set=a.413292312047233.92382.100000994028318&type=3;
- http://www.abim.org.my/v1/index.php/arkib-abim/36-entertaiment/204-orang-melayu-perlu-bangunkan-sikap-ingin-menjadi-bangsa-yang-mulia-dan-bermaruah; dan
- http://www.facebook.com/notes/wasif-wan/sedutan-islam-dan-melayumartabat-umat-dan-daulat-rakyat-karya-dato-dr-siddiq-fad/10151019977522387.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan