Rabu, Julai 18, 2012

ABIM dan Kempen Selamatkan Syria.

Logo Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Saudara Jufitri Joha.
Naib Presiden (Antarabangsa) ABIM.
Saudara Jufitri diwawancara dalam program Global@1, pada bulan Jun 2012.
Penyerahan memorandum Save Syria oleh Presiden ABIM, Haji Amidi Dato’ Abd Manan dan Presiden PKPIM kepada Setiausaha 1 Kedutaan Syria, sambil diiringi oleh Inspektor Jamal. Turut hadir ialah pimpinan ABIM, PKPIM, GPM, dan rakan-rakan Syria. 
Unjuk rasa secara aman di hadapan Kedutaan Syria.
Wacana Peduli Ummah.
******

ABIM mendesak krisis (di Syria) diselesaikan secara aman dengan segera. Sekiranya ia tidak berlaku, ABIM mendesak agar Duta Syria ke negara ini dihalau keluar (dari Malaysia) sebagai protes di atas keganasan yang berlaku di Syria pada ketika ini.”
-- Saudara Jufitri Joha, Naib Presiden Antarabangsa, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Sebagai pertubuhan yang sentiasa kehadapan dalam membela hak asasi manusia di peringkat global, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan masyarakat antarabangsa secara amnya memilih untuk tidak berdiam diri serta berpeluk tubuh, membiarkan orang awam terutamanya kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa terus menerus menjadi mangsa kekejaman serta dinafikan hak untuk menuntut kebebasan, keadilan, keamanan dan kemuliaan sebagai seorang manusia.

ABIM menyatakan kekesalan dengan ‘perang saudara’ yang masih berterusan berlaku di bumi Syria selepas 17 bulan yang mengakibatkan lebih 14 000 nyawa yang tidak berdosa terbunuh. Regim Bashar al-Assad masih gagal mengawal keadaan dan ternyata suara rakyat Syria mahukan Assad berundur dan menyerahkan rakyat Syria menentukan masa depan mereka sendiri melalui sistem pemilihan dan pemerintahan yang lebih adil dan maju.

Perjuangan rakyat Syria juga turut diperkuatkan dengan sokongan tidak berbelah bahagi oleh Ikatan Ulama Syria yang dipengerusikan oleh ulama tafsir terkenal kelahiran bumi Syria iaitu Sheikh Muhammad Ali Sobuni.

Melalui ‘Persidangan Umat Islam bagi Membela Rakyat Syria’ yang dianjurkan oleh Ikatan Ulama Syria ini di Istanbul, Turki pada 1-3hb Julai 2012 / 11-13 Syaaban 1433 H antara lain mengeluarkan resolusi sokongan seperti berikut:

“Muktamar menegaskan bahawa revolusi rakyat Syria dari segenap sudutnya adalah revolusi yang haq (benar) menentang kezaliman, revolusi yang adil menentang kejahatan dan permusuhan, revolusi untuk kebebasan melawan pelampau, diktator, kerosakan, pembunuhan dan pencerobohan, serta revolusi tuntutan yang bebas, adil dan terhormat yang berkait dengan asas ummah dan identitinya serta memelihara kesatuan bumi Syria serta rakyatnya dan mengekalkan kemerdekaannya yang total”.

Muktamar yang turut disokong Persatuan Ulama Antarabangsa yang dipengerusikan oleh Sheikh Dr. Yusof al-Qaradhawi ini menegaskan bahawa rakyat Syria harus menjatuhkan Bashar dan menolak sebarang rundingan kerana rejim ini telah membunuh sekalian rakyatnya, memusnahkan tanah airnya, menyebarkan buminya dengan kerosakan dan kemusnahan sambi menegaskan semua kehendak rakyat Syria ini adalah ‘syarie’ (mengikut hukum syara’).

ABIM juga menyokong tindakan bijak Duta Syria ke Iraq Nawaf al-Fares meletak jawatan dan menyokong perjuangan rakyat Syria menuntut keadilan.

Siri-siri penganjuran perhimpunan “Save Syria” adalah manifestasi  bantahan jelas kepada Kerajaan Syria dan masyarakat dunia agar kekejaman ini dihentikan dengan segera, dan semua pihak yang terlibat harus menyelesaikan krisis menerusi saluran diplomatik di meja rundingan. Di samping itu, ABIM juga menuntut kerajaan Syria untuk menyantuni tuntutan-tuntutan perubahan serta pembaharuan politik yang dikemukakan oleh rakyat Syria, selaras dengan aspirasi serantau (Timur Tengah atau Dunia Arab) serta sejagat secara keseluruhannya.

Merujuk kepada kekhuatiran berhubung dengan agenda kuasa asing ataupun “Jenayah Hasutan” yang dikatakan mengatur pendekatan adu domba untuk campur tangan di Syria, sukacita dimaklumkan ABIM dan rakan-rakan NGO yang lain sedia maklum dengan situasi tersebut serta melakukan analisis (berdasarkan kepada pelbagai sumber maklumat serta saluran media dan rakyat Syria sendiri) serta melaksanakan tindakan yang sewajarnya.

ABIM dan rakan-rakan NGO yang lain tidaklah ‘senaif’ sepertimana yang ditanggapi oleh sesetengah dalam menilai situasi di Syria pada ketika ini. Bahkan gerakan “Save Syria” ini turut mendapat dukungan dari pelbagai pihak termasuk Tun Dr Mahathir sendiri yang menganjurkan desakan dikemukakan dengan lebih agresif agar perubahan dilakukan segera di Syria untuk menutup ruang sebarang campur tangan  pihak asing.

Dalam erti kata lain, ABIM dan rakan-rakan NGO yang lain berpendirian agar biarlah perubahan yang dituntut oleh rakyat Syria berlaku secara tulen serta diselesaikan menerusi saluran politik domestik (oleh rakyat Syria sendiri), bukan menerusi campur tangan pihak luar (yang tidak akan menjamin perkembangan demokrasi yang positif sepertimana di Libya dan Iraq).

Justeru, ABIM mengecam sama sekali usaha dalam kalangan negara-negara luar yang tidak berkenaan yang cuba mempolemikkan (mendesak campurtangan luar) tanpa memberi ruang kepada kerajaan serta rakyat Syria mencari penyelesaian yang bersifat win-win situation.

Sekretariat Antarabangsa ABIM menerusi Kempen “Save Syria” yang dilancarkan semenjak Januari lalu, telah menganjurkan pelbagai aktiviti untuk membantu rakyat Syria di samping membangkitkan kesedaran di kalangan pelbagai pihak seperti mengadakan ceramah kesedaran, rayuan derma bantuan kemanusiaan, ‘flash mob’ dan pengedaran poster kempen kesedaran.

Kempen ini (Save Syria atau kempen seumpamanya) telah disambut oleh masyarakat antarabangsa (terutama sekali) Umat Islam di seluruh dunia yang dambakan keadilan, kebebasan, serta keamanan. Sebarang usaha menafikan gerakan ini hanyalah polemik melawan arus yang bersifat anti-klimaks serta bukan merupakan manifestasi terhadap kecintaan terhadap esensi keadilan,kebebasan, serta keamanan yang diamalkan oleh rakyat Malaysia.

Sementelahan, dalam wawancara program “Global@1” yang disiarkan di TV1 pada 10 Jun 2012, Saudara Jufitri menegaskan bahawa Masyarakat Sivil merupakan kuasa paling berkesan untuk menghentikan keganasan di Syria. Beliau menambah bahawa isu Syria seharusnya ditanggapi dari perspektif kemanusiaan (hak asasi, kebebasan, dan kehormatan diri) rakyat Syria itu sendiri.

Pandangan ini kita ketengahkan berdasarkan kepada kaji selidik serta pertemuan dengan rakyat-rakyat Syria baik yang ada di dalam negara ini mahupun luar negara," jelas beliau yang mewakili ABIM ke Persidangan Kesatuan NGO-NGO Islam Sedunia (UNIW) di Istanbul pada awal bulan Jun yang lalu.

Dalam pertemuan itu, Saudara Jufitri turut memaklumkan bahawa ABIM menerusi agensi kemanusiaannya, Global Peace Mission (GPM), telah menghantar bantuan awal kepada pelarian-pelarian Syria yang memerlukan di samping mengadakan ‘field work’ untuk merangka program pembangunan serta bantuan jangka panjang untuk mereka (pelarian Syria).

*****
Sumber:
  1. http://www.facebook.com/abuqassim.norazmi;
  2. http://www.abim.org.my/v1/index.php/arkib-abim/36-entertaiment/177-selamatkan-rakyat-syria-agenda-ummah;
  3. http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/11736-abim-cadang-semua-ahantar-surat-kepada-duta-syria;
  4. http://gptd-spain.blogspot.com/2012/02/kempen-save-syria-abim-diteruskan.html; dan
  5. http://www.abim.org.my/v1/index.php/arkib-abim/43-isu-semasa/188-penjelasan-di-sebalik-kempen-selamatkan-syria-abim.


*****

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...