15hb Julai 2012 (Ahad), 3.30 petang.
Alhamdulillah,
pada 15hb Julai 2012, saya menjadi moderator untuk acara “Borak Buku”, di mana
kali ini, Dr Muhamad Razak Idris,
mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), hadir untuk mengupas Buku
“Kerugian Apa yang Dideritai Akibat
Kemerosotan Kaum Muslimin”.
Buku terbitan
tahun 1950an ini dikarang oleh Syeikh Abu Hasan Ali Al-Nadwi. Buku ini telah
diterbitkan ke dalam banyak bahasa, antaranya, bahasa Melayu Indonesia, Arab
dan Inggeris.
Acara yang
terbuka kepada semua ini dianjurkan – sebulan sekali -- di Kedai Coffee Bean,
Stesen Sentral Kuala Lumpur oleh Biro Penulis Muda PENA, ITBM, DBP Wilayah
Tengah dan Alumni MPR.
Penulis buku ini,
Almarhum Syeikh Abu Hasan Ali Al-Nadwi, merupakan seorang tokoh cendekiawan Islam
yang pernah menjadi Pengasas Bersama “Constituent
Council of the Muslim World League” (Mekah) dan Pengerusi Pusat Pengajian
Islam Universiti Oxford. Beliau juga merupakan penerima Anugerah Raja Faisal di
atas sumbangannya terhadap perkembangan dan pembangunan dunia Islam.
Secara umumnya,
Dr Razak menyatakan bahawa buku -- yang di dalamnya terdapat kata pengantar
oleh Sayyid Qutb – ini mengupas bahawa darjat manusia sekaliannya hanya akan
berada dalam keadaan yang mulia dengan pengamalan nilai-nilai dan prinsip dalam
Islam.
Buku ini mengajak
kita berfikir untuk menghayati dan mengkaji kesan yang diberikan oleh Tamadun Islam
dan tamadun-tamadun lain, terhadap kebajikan kebendaan dan pembangunan spiritual
kemanusiaan.
Dr Razak membuat
rumusan ringkas berkenaan intipati buku ini: kemunduran Islam membawa kepada
penderitaan manusia sekaliannya, kerana nilai-nilai etika dan syariah telah dikesampingkan.
Justeru, Dr Razak menyeru kepada umat Islam agar kita dapat berikhtiar
bersungguh-sungguh, demi menguasai bidang ilmu, ekonomi, teknologi dan
ketenteraan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan