Isnin, Julai 16, 2012

“An Evening with Prof Dr Tariq Ramadan”, Kolej Dar al Hikmah.

Prof Dr Tariq Ramadan, tokoh cendekiawan Islam yang budiman.
Beliau merupakan cucu kepada As-Syahid Hassan al-Banna.
Saudara Hadi dan Saudara Anwar, bergambar kenangan bersama Dr Tariq Ramadan.
Kedua-duanya merupakan sahabat Grup Peguam ABIM (GPA).
(Saudara Anwar adalah Pengerusi GPA).


Saudara Fahmi Samsudin, Presiden PKPIM. Aktivis belia yang aktif.
Para pimpinan WADAH-ABIM-PKPIM bergambar kenangan bersama
Dr Tariq Ramadan. Ukhwah fillah abadan abada.


******

“‎Reform may be more effective with reformers taking the role of counter-power rather than being in power.” 
– Prof Dr Tariq Ramadan.


15hb Julai 2012 (Ahad), 8.30 malam.
Alhamdulillah, pada 15hb Julai 2012, saya sempat menghadiri program “An Evening With Prof Dr Tariq Ramadan” yang berlangsung di Kolej Dar al Hikmah, Sungai Ramal, Kajang. Dr Tariq Ramadan merupakan anak kepada pasangan Syeikh Said Ramadan dan Wafa al-Banna (anak perempuan sulung Syeikh Hassan al-Banna).

Beliau yang dalam rangka syarahan secara marathon serta lawatan ke Malaysia dan Singapura, turut menegaskan kepentingan pembinaan sebuah ‘civil state’ ata
upun ‘Daulah Madaniyyah.’ Negara madani yang diidam-idamkan ini menjadikan prinsip keadilan dan etika moral syara’ sebagai asas pembentukan negara gemilang.

Menurut Dr Tariq lagi, meskipun ramai yang mengeluh kerana ketiadaan model ‘negara madani’ untuk dijadikan contoh terbaik, apa yang penting ialah, kita mempunyai prinsip-prinsipnya. Dengan mengamalkan prinsip-prinsip ini secara holistik berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah, beliau percaya, cita-cita besar ini akan tercapai jua.

Dan, inilah yang sedang diusahakan oleh pimpinan Parti AKP di Turki. Mengakui Turki sebagai kuasa baru Islam, Dr Tariq menganjurkan umat Islam agar belajar beberapa aspek kepimpinan daripada Turki. Antara aspek utama yang mesti diberikan perhatian adalah aspek ekonominya dan ketidakbergantungannya terhadap kuasa Barat. Kepimpinan Islam mesti hadir dengan sistem ekonomi alternatif.

Beliau juga tidak khuatir untuk membuat ramalan bahawa Turki akan menjadi kuasa ekonomi besar Eropah satu masa nanti, memandangkan republik tersebut telah mula melebarkan pengaruh ekonominya ke beberapa negara Afrika dan Amerika Selatan. Hal demikian, menurut Dr Tariq, akan membawa kepada situasi di mana satu hari nanti, Kesatuan Eropah yang akan lebih memerlukan Turki berbanding sebaliknya.

Malah, aspek kepimpinan Turki dan seruannya untuk komited kepada ajaran Islam dan kembali kepada Al-Quran adalah asas pembinaan sebuah Khilafah Islamiyyah yang kuat. Tatkala menyentuh berkenaan tokoh-tokoh seperti Necmettin Erbakan, Fethullah Gulen dan Racep Tayyip Erdogan, Dr Tariq juga menyebut berkenaan peranan mempertahankan dan mengembalikan kepentingan bahasa Turki yang telah memberikan impak yang besar dalam soal pembinaan negara Turki.

Sementelahan, Dr Tariq Ramadan juga turut mengupas sejarah dan hikmah pemilihan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq selaku pemimpin pertama Khilafah Islamiyyah di saat wafatnya Nabi Muhammad S.A.W, di samping memahami sejarah secara teks dan kontekstual. 

Beliau juga mengupas perspektif dakwah dan cabaran gerakan Islam dengan lebih realistik dengan turut menggariskan beberapa cabaran utama, seperti memartabatkan keadilan dan penghormatan terhadap ‘karamah insaniyyah’ dan layanan terhadap seluruh ‘muwatinun’ dengan saksama.

Pelaksanaan prinsip-prinsip yang berteraskan etika moral dan prinsip keadilan Islam adalah pertaruhan utama dalam proses reformasi untuk masyarakat. Namun, aspek yang paling utama, sebagai ahli gerakan Islam, kita perlu melihat betapa pentingnya kita mengkoreksi diri ataupun Islah nafsak, wad’u ghayrak,” ujar beliau sambil turut menitipkan pesanan kepada para hadirin sebagai persediaan untuk menjalani ibadah Ramadhan.

Secara berhikmah, beliau menasihatkan agar ahli gerakan Islam supaya berhati-hati agar ‘tidak menjadi terlalu mudah letih (dalam berjuang).’ Khalas.

*****
*****

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...