Jumaat, Julai 13, 2012

Ustaz Yusof Rawa: Mursyidul Am PAS yang Pertama.


Latar Belakang
Almarhum Ustaz Haji Yusof Bin Haji Abdullah Ar-Rawi (selepas daripada ini dirujuk sebagai Ustaz Yusof Rawa) -- 8 Mei 1922 - 28 April 2000) -- adalah tokoh gerakan Islam dan bekas Yang DiPertua Agung (kini dipanggil Presiden) PAS. Beliau adalah satu-satunya pemimpin PAS yang memegang kedua-dua jawatan terpenting dalam parti iaitu Yang DiPertua Agung dan juga Mursyidul Am. Ayah beliau, Haji Abdullah Nordin al-Rawi, berasal dari Rao, Sumatera Barat, IndonesiaUstaz Yusof Rawa juga merupakan seorang ahli perniagaan yang disegani. Beliau merupakan salah seorang pengasas Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dan dilantik sebagai Bendahari Kehormat yang pertama dalam pertubuhan tersebut.

Rawa/Rawi/Rao
Istilah ‘Rawi/Rawa’ pada nama Ustaz Yusof dan bapanya merujuk kepada asal-usul keturunan mereka iaitu Rawa (Rao) yang berasal dari Sumatera Barat, Indonesia. Dan, seperti orang Minang, orang Rawa juga mempunyai upacara tersendiri yang diamalkan sejak sekian lama. Sehingga ke hari ini, masih terdapat keturunan Rawa yang mengamalkan adat ‘berjojak’ atau secara mudahnya ‘berjejak’. Majlis tersebut dibuat sebagai tand aberakhirnya tempoh larangan memijak tanah bagi kanak-kanak. Selain larangan memijak tanah, kanak-kanak keturunan rawa juga ditegah memegang bunga atau terkena bunga pada mana-mana bahagian badan sepanjang tempoh berpantang.

Kehidupan Awal
Ustaz Yusof Rawa dikagumi kerana mindanya yang tajam boleh mengupas segala persoalan walau pun ia rumit bagi sesetengah pihak. Beliau dilahirkan di Lebuh Acheh, Pulau Pinang. Beliau pada mulanya belajar di Sekolah Melayu di Jalan Carnavon kemudian berpindah ke Sekolah Chowrasta. Di peringkat menengah pula, beliau memasuki sekolah Inggeris iaitu Government English School, sebelum ke Penang Free School sehingga memperolehi ‘Junior Cambridge’.

Selepas itu, bapanya menghantar beliau ke Mekah untuk menuntut dalam bidang agama. Semasa tercetusnya Perang Dunia Kedua, Ustaz Yusof Rawa terus menetap di Mekah untuk mendalami pengetahuan agama. Beliau menetap di sana selama 12 tahun. Di sana, ternyata beliau tidak menghampakan impian keluarganya apabila cemerlang memperolehi ‘Diploma Thaqasur Al-Deeni dari Maadul Falah’. Sekembalinya Ustaz Yusof Rawa dari Mekah, beliau terlibat dalam penerbitan majalah Al-Islah. Di atas kegiatannya ini, beliau ditahan oleh penjajah Inggeris yang mengesyaki beliau terbabit dengan gerakan Islah di Mesir.


Dato' Asri Muda memang terkenal dengan pidatonya yang memukau. Al-Fatihah.
Tiga tokoh besar PAS. Al-Fatihah.
Ustaz Nakhaie, mantan Naib Yang DiPertua Agung PAS dan Dato' Asri Muda
Politik
Ustaz Yusof Rawa mendaftar menjadi ahli seumur hidup pada awal penubuhan PAS iaitu pada tahun 1951. Pada tahun 1959, beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, menggantikan Ustaz Ahmad Azzam yang berpindah tempat. Semenjak memegang amanah itu, Ustaz Yusof Rawa diberi kepercayaan menjadi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat walaupun setelah melepaskan jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri. Beliau kemudian dipilih untuk menduduki Jawatankuasa Pusat yang ketika itu didominasi oleh pemimpin-pemimpin dari Pantai Timur dan Kedah.

Sejak dari zaman Dr. Burhanuddin Al-Helmy lagi, Ustaz Yusuf Rawa sudah pun dianggap sebagai salah seorang pemimpin kanan PAS. Menjelang penghujung tahun 1970an, Ustaz Yusof Rawa dipilih menjadi Naib Yang DiPertua Agung PAS Pertama dan Naib Yang DiPertua Agung PAS Kedua adalah Ustaz Fadzil Noor. Krisis kepimpinan dalam PAS menyaksikan Timbalan Yang DiPertua Agung PAS, Ustaz Hassan Adli mengosongkan jawatannya. Ustaz Yusof Rawa mencabar Dato’ Abu Bakar Omar untuk jawatan tersebut tetapi kalah. Pada tahun 1981, Ustaz Yusof Rawa bertanding sekali lagi untuk jawatan Timbalan Yang DiPertua Agung PAS dan menang.

Kerjaya politik beliau mulai bersinar apabila menewaskan Dr. Mahathir Mohamed (kini Tun) pada pilihan raya umum 1969, bagi kerusi Parlimen Kota Setar Selatan. Beliau menang dengan kelebihan 989 undi. Pada era PAS bersama BN, beliau adalah salah seorang ahli parlimen PAS yang dilantik menjadi menteri.

Semasa pemilihan jawatankuasa baru PAS pada 1982, beliau sebulat suara telah diamanahkan sebagai Yang DiPertua Agung PAS  bagi menggantikan Allahyarham Tan Sri Mohd Asri bin Haji Muda (selepas ini dirujuk sebagai Dato’ Asri Muda) semasa Muktamar PAS pada 23 Oktober 1982 yang mendesak perubahan dalaman. Muktamar PAS pada 23 Oktober 1982 telah menjadi saksi berakhirnya era hubungan erat dan ikrab antara Dato’ Asri Muda selaku pemimpin utama PAS selama kurang lebih 17 tahun. Kemunculan angkatan muda PAS yang digelar ‘Young Turk’ menyaksikan Dato’ Asri dicemuh dan diejek ketika menyampaikan ucaptamanya selaku Yang DiPertua Agung PAS ketika itu.

Beberapa peristiwa kontroversial akhirnya membawa kepada penggantungan serta keluarnya Dato’ Asri dan pendokongnya yang digelar ‘Kumpulan 13’ pada 24 Febuari 1983. Dato’ Asri kemudiannya menubuhkan Parti Hizbul Muslimin Malaysia sebagai platform untuk menyambung kerjaya politiknya, sebelum akhirnya menyertai UMNO-BN. Dato’ Asri memimpin Pas dari 1965 sehingga 1983 selepas era Ahmad Fuad dan Dr. Burhanuddin Helmy. Pada zaman kemuncaknya, beliau seorang pemidato yang hebat dan memukau. Beliau satu-satunya Yang DiPertua Agung/Presiden Pas yang menyertai UMNO-BN. Pandangan yang popular menyatakan bahawa Allahyarham Tun Ghafar Baba dan Dato’ Asri adalah dua individu utama yang mencetuskan idea kepada nama dan logo ‘Barisan Nasional.’

Untuk biodata ringkas Tun Ghafar Baba, boleh rujuk pautan ini:

Pergolakan PAS pada tahun 1982 telah memaksa Dato’ Mohd Asri Muda meletakkan jawatan. Jawatan Yang DiPertua Agung PAS telah dipangku oleh Ustaz Yusof Rawa. Dalam Muktamar PAS ke-29 pada tahun 1983, Ustaz Yusof Rawa telah dilantik sebagai Yang DiPertua Agung PAS yang baruSelepas memegang peranan besar itu selama beberapa tahun, pada penghujung 1980-an,   Ustaz Tusof Rawa menyerahkan tugasan besar kepada timbalannya, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor. Di atas sebab-sebab kesihatan, Ustaz Yusof Rawa melepaskan jawatan sebagai Yang DiPertua Agung PAS pada tahun 1989, tetapi kekal memegang jawatan sebagai Mursyidul Am.

Apabila Majlis Syura Ulama’ diwujudkan melalui pindaan Perlembagaan PAS, Ustaz Yusof Rawa telah dipilih sebagai Mursyidul Am yang pertama pada tahun 1987.  Ustaz Yusof Rawa kemudiannya melepaskan jawatan sebagai Mursyidul Am pada tahun 1993. Jawatan itu dipegang seterusnya oleh Al-Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat, selaku Mursyidul Am PAS yang kedua.

Ustaz Yusof Rawa bergambar kenangan bersama Dato' Asri Muda.
DSAI sewaktu menjadi Presiden ABIM, bersama Ustaz Fadzil Noor.
Penyertaan DSAI ke dalam UMNO-BN membuatkan gerakan Islam dan
mahasiswa di Malaysia menjadi 'bingung' untuk seketika.
Beliau sebelumnya dilihat begitu ikrab dengan PAS.
Ustaz Yusof Rawa dan ustaz Fadzil Noor.
Al-Fatihah buat kedua-dua pejuang ini.
Menangani Krisis Peralihan
Tidak sedikit cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Ustaz Yusof Rawa sewaktu baru memimpin PAS. Selain daripada tentangan Dato’ Asri Muda dan 12 lagi penyokongnya, kemelut dalaman dalam kalangan angkatan gerakan Islam pula berlaku apabila rakan kongsi perjuangan Islam, DSAI, daripada ABIM membuat keputusan untuk menyertai UMNO. Ustaz Yusof Rawa amat kecewa apabila DSAI – yang diwar-warkan bakal menjadi pemimpin utama PAS -- mengambil keputusan menyertai UMNO.

Untuk biodata DSAI, boleh rujuk pautan ini:

Namun, berbekalkan pendedahan dan pengalamannya yang luas, dimantapkan dengan sikap keterbukaan dan kesederhanaannya, Ustaz Yusof Rawa telah berjaya menampung kemelut ini sehingga PAS berjaya ditempatkan dalam arus perdana perjuangan Islam di negara ini. Dalam menangani era peralihan ini, Ustaz Yusof Rawa dibantu oleh tokoh-tokoh besar seperti Ustaz Nakhaie Ahmad (kemudiannya menyertai UMNO), Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Abdul Hadi Awang, Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ustaz Hasan Shukri, Mustafa Ali dan tokoh-tokoh muda PAS yang lainnya.

Untuk biodata ringkas tokoh-tokoh PAS, bolehlah rujuk pautan-pautan berikut:
i)                  Ustaz Fadzil Noor:
ii)                Ustaz Hadi Awang:
iii)             Ustaz Nakhaie Ahmad:

CCC, antara eksperimen awal kerjasama PAS dalam konteks tahalluf siyasi
Almarhum Tun Razak, Perdana Menteri kita yang kedua.
Sumbangan
Sebelum penyertaan PAS dalam kerajaan Perikatan lagi, Tuan Guru Yusof Rawa telah diberikan kepercayaan oleh Tunku Abdul Rahman pada awal tahun 1970an untuk menganggotai delegasi negara melawat umat Islam di Taiwan. Perlantikan ini dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman memandangkan kemampuan Ustaz Yusof Rawa bertutur dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Apabila PAS menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan pada tahun 1973, Ustaz Yusof Rawa dilantik sebagai wakil Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membahaskan isu-isu antarabangsa yang melibatkan Malaysia.

Ustaz Yusof Rawa juga pernah menjadi Konsul Kehormat Iraq di Pulau Pinang. Beliau tinggal selama setahun di New York untuk mewakili negara di PBB. Sekembalinya dari New York, beliau menyertai pilihanraya tahun 1974 dan menang tanpa bertanding. Sejurus selepas itu, sebagai salah seorang pemimpin kanan dalam parti, beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri Perusahaan Utama di dalam kabinet PAS-Perikatan yang kemudiannya dikenali dengan nama ‘Barisan Nasional. Menterinya pada masa itu adalah Dato’ Musa Hitam (kini Tun).

Untuk biodata ringkas Tun Musa Hitam, boleh rujuk pautan ini:

Perlantikan ini menjadikan Ustaz Yusof Rawa sebagai anak Melayu Pulau Pinang pertama menjawat jawatan politik setinggi itu. Selepas itu, Ustaz Yusof Rawa dilantik pula sebagai Duta Besar Malaysia ke Iran. Ketika itu, Shah Iran masih memerintah Iran. Dengan tugas sebagai Duta ke Iran, Ustaz Yusof Rawa juga ditauliahkan ke Turki dan Afghanistan.

Semasa menjalankan tugas tersebutlah Ustaz Yusof Rawa belajar bahasa Parsi dan bahasa Perancis di samping mengekalkan kefasihannya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Apabila PAS dikeluarkan daripada Barisan Nasional pada tahun 1978, Ustaz Yusof Rawa kembali dari Iran pada tahun 1979 apabila tamat tempoh khidmatnya. Ustaz Yusof Rawa kemudian memilih berkhidmat dengan PAS dan meninggalkan kerajaan. Tuan Guru Yusof Rawa juga telah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang pada tahun 1992.

Meninggal Dunia
Semenjak melepaskan jawatan Mursyidul Am PAS, kesihatan Ustaz Yusuf Rawa semakin kurang memuaskan, sehinggalah beliau beberapa kali mendapatkan rawatan di hospital sebelum menghembuskan nafasnya terakhir pada 28 April 2000, kira-kira jam 7.15 pagi. Ustaz Yusof Rawa meninggalkan 11 orang anak, enam perempuan dan lima lelaki serta 30 cucu hasil perkongsian hidup bersama Allahyarhamah Hajah Kalsom Ali.

Khatimah
Ustaz Yusof Rawa diiktiraf sebagai antara individu yang bertanggung jawab dalam memulakan kepimpinan bercorak ulama’ dalam PAS. Pendekatan dan mesej perjuangan Islam yang dibawa oleh Ustaz Yusof Rawa telah berjaya menarik minat angkatan muda dan pencinta-pencinta perjuangan Islam menyertai PAS.

Ustaz Yusof Rawa turut memberi ruang yang luas kepada barisan pimpinan pelapis untuk meneroka kerjasama politik dengan kaum bukan Islam. Beliau merintis jalan ke arah penubuhan CCC atau Chinese Consultative Council. Dalam konteks pengukuhan unsur-unsur dalaman PAS, Ustaz Yusof Rawa membuka ruang seluas-luasnya kepada pendekatan tarbiyyah dan harakiyyah.

Untuk kupasan ringkas berkenaan CCC, boleh klik pada pautan ini:

Sesungguhnya, Ustaz Yusof Rawa telah banyak berusaha dalam memperkembangkan kepimpinan Islam di negara kita ini. Semoga ALLAH SWT mencurahi rahmat keatas roh beliau.

Al-Fatihah.

***
Sumber:
  1. Abu Bakar Hamzah. Islam dan Nasionalisme di Malaysia, 1986. Kuala Lumpur: Gelanggang Kreatif;
  2. Abu Bakar Hamzah. Quo Vadis, PAS?, 1989. Selangor: Polygraphic Press Sdn Bhd;
  3. Alias Mohamed. Malaysia’s Islamic Opposition: Past, Present and Future, 1991. Kuala Lumpur: Gateway Publishing House;
  4. Chandra Muzaffar. Islamic Resurgence in Malaysia, 1987. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.;  
  5. http://www.kotaputera.net/sejarah/sejarah-tuan-guru-haji-yusof-rawa-1922-2000;
  6. http://www.ibnuhasyim.com/2012/02/di-mana-kehebatan-pemikiran-yusuf-rawa.html;
  7. http://tintaberdakwat.blogspot.com/2012/06/10-tahun-pemergian-almarhum-ustaz.html; dan
  8. http://wansaiful.com/?s=mohamad.

***

2 ulasan:

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...