Isnin, Julai 16, 2012

“Forum Perpecahan Melayu: Realiti atau Persepsi? Apa Kata Anak Muda?”

Forum Perpecahan Melayu: Realiti atau Persepsi?
Dari kiri: Saya, Saudara Lokman, Saudara Nazree dan Dr Zuhdi.

Antara gambar yang dirakam sepanjang Forum berlangsung.
Kita bersatu; di atas pentas wacana.
Saudara Nazree Yunus, Naib Ketua AMK Pusat.
Mantan Presiden PMIUM. 
Ustaz Rafi Kaseh, guru yang mengajar saya di
SAM Unwanus Saadah Kanchong Darat.
Banyak jasa beliau kepada saya.
14hb Julai 2012 (Sabtu), 3.30 petang.

Alhamdulillah, pada hari Sabtu yang lepas, saya diberi ruang untuk menjadi moderator dalam “Forum Perpecahan Melayu: Realiti atau Persepsi? Apa Kata Anak Muda?”.

Forum ini berlangsung di Dewan Orang Ramai, Desa Pinggiran Putra, Sepang. Kami bersatu; di atas pentas wacana. Saya hadir selaku wakil ABIM Negeri Selangor. Tiga orang ahli panel yang hadir ialah Saudara Lokman Noor Adam (mewakili UMNO), Saudara Nazree Yunus (PKR) dan Dr Mohd Zuhdi Marsuki (PAS).

Saudara Lokman merupakan mantan Setiausaha Pergerakan Pemuda KeADILan Malaysia dan pernah mendekam di dalam Pusat Tahanan Kamunting, Perak bersama-sama lima orang sahabatnya di dalam KeADILan yang digelar “Reformasi 6”. Pemuda KeADILan kini dikenali sebagai Angkatan Muda Keadilan (AMK), yang menjadi sayap kepada Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR). Saudara Lokman kini merupakan Panel Pemikir Khas di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Ketua Unit Pidato dan Penghujahan Umum Pergerakan Pemuda UMNO.

Saudara Nazree pula merupakan mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan pernah menduduki kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM sewaktu jaman mahasiswanya. Pernah menjawat jawatan Presiden Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK), menggantikan Saudara Ezam Mohd Noor (kini YB Senator) yang menyertai UMNO. Di balik cakap-cakap popular bahawa Saudara Nazree akan mengikuti jejak langkah YB Ezam untuk menganggotai UMNO, akhirnya beliau memilih untuk berjuang bersama PKR. Beliau kini merupakan Naib Ketua AMK Pusat dan Ketua AMK Negeri Sembilan.

Sementelahan, Dr Mohd Zuhdi merupakan seorang tokoh akademik yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) di University of Wales, United Kingdom. Kajian PhD beliau bertajuk  The Practice of Islamic Environmental Ethics: A Case Study of Harim and Hima” diselia oleh Dr Mawil Izzi Dien, seorang sarjana Islam tersohor dalam bidangIslamic Environmental Ethics”. Beliau yang juga merupakan lulusan Sarjana Muda dalam bidang “Geografi” memperolehi Masters dalam Falsafah Sains dengan pengkhususan kepada Environmental Ethics”. Beliau juga adalah Pensyarah Kanan di salah-sebuah universiti terkemuka di Malaysia. Antara jurnal akademik beliau ialah “Towards a New Orientation of Islamic Environmental Ethics” (2010) dan “Religious Agendas towards Sustanability: An Islamic Perspective” (2009). Di dalam PAS, beliau berkhidmat sebagai Pengarah operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP) dan Pengarah Institut Kajian Polisi (IPS), Dewan Pemuda PAS Pusat.

Forum ini dianjurkan dengan cita-cita besar untuk melihat agar rakyat Malaysia lebih bijak dalam menguruskan pandangan serta pemikiran mereka, terutamanya dalam hal meletakkan sikap. Semoga, usaha kita untuk memberdayakan politik nilai dan pemikiran berhikmah; tercapai satu hari nanti. Ayuh, kita ikhtiar untuk menjadi matang dan rasional dalam hal berbeda pendapat.

Amin dan in sya ALLAH.

******

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...