Isnin, September 30, 2013

Layangan kad merah pertama kepada SuperMokh (Allahyarham).

SuperMokh cuba ditenangkan oleh Datuk Mazlan Harun dan Khan Hung Meng, selepas dilayangkan ked merah pertama dan terakhir dalam kerjaya bola sepaknya. 
SuperMokh meluahkan perasaannya dalam akhbar NST berikutan insiden kad merah pertamanya.
Allahyarham Dato’ Mohd Mokhtar bin Dahari – lagenda bola sepak kebangsaan – telah menerima kad merah pertama dan terakhirnya dalam kerjaya bolasepaknya ketika menentang Singapura dalam saingan Piala Malaysia pada 25hb Januari 1981. Selangor ketika itu dilatih oleh jurulatih, M. Chandran dan pengurusnya ialah Mazlan Harun. Penolong Jurulatih Singapura FA ketika itu ialah Ibrahim Awang.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Negara, Singapura itu telah disaksikan oleh kurang-lebih 60,000 orang penonton. Pada malam bersejarah tersebut, angin bertiup agak kuat, sehingga menyebabkan beberapa orang pemain seperti Ho Hon Seong, Khalid Ali dan Zainal Abidin Hassan (Selangor FA) mengalami kekejangan otot.
Jentera serangan skuad Merah-Kuning ditunjangi oleh SuperMokh, Abdullah Ali dan Ho Hon Seong, manakala bahagian depan Singapura menyaksikan Fandi Ahmad, Mohamed Noh dan Quah Kim Song membarisi posisi tersebut bersama serangan yang bertali-arus. Jika bukan kerana ketangkasan Aru The Spiderman (Mendiang Dato’ R. Arumugam), pasti Singapura FA telah berjaya meraikan kemenangan besar pada malam tersebut.
Selain kontroversi layangan kad merah penuh epik kepada SuperMokh, Selangor FA juga telah dinafikan jaringan gol oleh pengadil perlawanan. Mokhtar telah melepaskan satu rembatan kencang bak peluru mengenai jaring gawang gol Singapura. Bagaimanapun, penjaga garisan mengangkat bendera, dan menyatakan bahawa bola yang asalnya dihantar oleh Abdullah Ali kepada Mokhtar telahpun terkeluar daripada permainan terlebih dahulu.
Ketika perlawanan terus berlangsung tegang dan panas, SuperMokh cuba merampas bola dengan melakukan ‘tackle’ kepada pemain Singapura, Lim Tang Boon. Meskipun ‘tackle’ tersebut diakui sebagai ‘bersih’ oleh ‘skipper’ Singapura sendiri, Samad Allipitchay dalam satu tembual selepas perlawanan, pengadil telah melayangkan terus kad merah yang memeranjatkan semua pihak.    
Terdapat sesetengah laporan yang menyatakan bahawa terjahan tersebut memang bersih, tetapi pengadil telah melayangkan kad kerana SuperMokh cuba mempertikaikan keputusan pengadil yang meniup wisel, selain menyepak bola ke tepi sebagai tanda protes.
Sementelah, ada pandangan bahawa pengadil tersebut sebenarnya berniat untuk melayangkan kad kuning kepada SuperMokh. Pengadil ‘bersejarah’ yang menghadiahkan kad merah itu ialah Othman Omar dari Melaka.
-------------------------------------------------  
Sumber dan Rujukan:
  1. www.nst.com.my/‎;
  2. Akhbar New Straits Times;
  3. Majalah Arena Bola Sepak;
  4. https://www.facebook.com/jabal.noor.9;
  5. https://www.facebook.com/ikmalhishammohdamin?fref=ts.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...