Isnin, September 30, 2013

Piala Sultan Selangor 2013, Stadium Shah Alam.


Perlawanan terakhir Wak Am?
Amri Yahyah dan Ultras Selangor.
Tepukan terakhir Wak Am sebagai pemain Selangor?
Mahalli Jasuli dan Amri Yahyah.
I
Selama beberapa musim – seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diraikan setahun hanya sekali – Perlawanan Piala Sultan Selangor memang ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak Merah-Kuning secara umumnya. Stadium Shah Alam yang besar, kebiasaannya lengang, akan kembali penuh sewaktu perlawanan piala tersebut.
Selain pasukan Pilihan Selangor yang kebiasaannya dibarisi oleh beberapa pemain bintang jemputan, sentimen ‘perseteruan’ yang melingkari sejarah epik bola sepak Selangor-Singapura sejak sebelum merdeka lagi, membuatkan ramai terpanggil untuk menyaksikannya secara langsung setiap tahun.
Kendatipun, pada tahun ini, Selangor FA mempertaruhkan skuad utama mereka, dan tidak membariskan pemain bintang daripada pasukan lain seperti sebelumnya.
Dalam perlawanan tersebut, Pilihan Selangor berjaya muncul juara Piala Sultan Selangor buat kali keenam apabila menumpaskan Pilihan Singapura 3-2 bagi saingan edisi ke-12 di Stadium Shah Alam.
Sebelum ini Pilihan Selangor telah berjaya meraih kejuaraan pada 2001, 2003, 2005, 2008 dan 2012, kemenangan semalam juga menyaksikan mereka mengatasi Pilihan Singapura yang pernah muncul juara sebanyak lima kali pada 2006, 2007, 2009, 2010 dan 2011. Kedua-dua pasukan pernah meraih kejuaraan bersama pada 2004.
Turut hadir pada malam tersebut ialah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang hadir mengiringi DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan mencemar duli bagi menyaksikan perlawanan yang menemukan dua musuh tradisi Liga Malaysia suatu ketika dahulu.
Kenangan.
Pengubat duka peminat The Red Giants.
DYMM Sultan Selangor memperkatakan sesuatu kepada Wak Am.
MB Selangor bersalaman dengan para pemain Selangor FA.
Selangor menurunkan skuad utama 2013.
II
Biarpun bergelut dengan isu peletakan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim, pasukan Merah Kuning ternyata beraksi cemerlang untuk tidak mengecewakan kurang-lebih 60,000 penonton yang hadir malam itu.
Pasukan bimbingan jurulatih, P. Maniam itu muncul juara hasil dua jaringan tonggak penyerang import Francis Forkey Doe dan satu gol dari pemain import pertahanan, Adam Griffith. Dalam aksi yang disaksikan kira-kira 60,000 penyokong itu, Pilihan Selangor tersentak dengan jaringan Pilihan Singapura apabila penyerang veteran, Aleksander Duric pada minit kelima tatkala mereka masih lagi mencari rentak untuk mempamerkan permainan mantap.
Usaha keras Selangor untuk mencari gol penyamaan akhirnya berhasil apabila pemain import, Adam Griffith mudah menanduk masuk hantaran lambung Mahali dari sebelah kanan pada minit ke-40.
Pada minit ke-54 Selangor berjaya berada di depan apabila Forkey Doe merembat kencang bola dari dalam petak penalti selepas mendapat hantaran pendek Amri Yahyah.
Pilihan Singapura berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-70 melalui sepakan penalti Kamel Ramdani. Ramdani sebelum itu dikasari Fitri di dalam petak penalti.
Kegembiraan Pilihan Singapura tidak lama, apabila Forkey Doe berjaya menjaringkan gol keduanya hasil rembatan lencong dari luar petak penalti menewaskan Hassan yang dilihat sedikit ke depan dari posisinya.
Kesebelasan utama dibarisi Asharuddin Putra Omar, Norazlan Razali, Mohd Amri Yahyah, Mahali Jasuli, Adam Griffith, Forkey Doe, S.Kunalan, K.Gurusamy, Mohd Nashriq Baharom, Mohd Fitri Shazwan dan S.Veenod.
Pasukan Selangor membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000 yang disampaikan baginda sejurus tamat permainan.

Skuad Veteran Selangor. Lagenda.
Zainal Abidin Hassan, terkenal dengan gelaran 'Chief'.
Para lagenda bersalaman.
III
Pada malam itu, peminat bola sepak tempatan turut dihiburkan dengan perlawanan antara pasukan Veteran Selangor menentang Veteran Singapura. Veteran Singapura berjaya mengekalkan kemenangan yang dicatatkan tahun lalu, apabila mereka menang tipis 1-0 menewaskan Veteran Selangor hasil jaringan Rafi Ali pada minit ke-17.
  • Veteran Selangor: Rashid Hassan (penjaga gol); K Gunalan; Soh Chin Aun; Shahril Arsat; Zolkifli Ahmad; Dollah Salleh; Azlan Johar; Abdul Muin Rahim; Kamaruzaman Yusuf; Annuar Abu Bakar; Zainal Hassan; Low Kok; P Maniam; Somasundram; Talib Sulaiman; Yap Kam Choon; K. Sanbagamaran; Wan Mustapha; dan Khalid Ali. Jurulatih: Khalid Ali; Pengurus: Wong Choon Wah. 
  • Veteran Singapura: Shahri Rahim (penjaga gol); Iham Riduan; Rafi Ali; Ho Kwang Hock; Razali Saad; Dalis Supait; R Suriamurthy; Nahar Daud; Tay Peng Kee; Malek Awab; Ahmad Sayuti; Leong Kok Fan; Ishak Saad; Zulkarnaen Zainal; Don Ang; Syed Faruk; Fandi Ahmad; Robert Sim; dan Yusman Yusof. Jurulatih: Samad Allapitchay; Pengurus: Fandi Ahmad.

Saya, Ammar dan lelaki misteri. heh.
Wak Am (Ammar Asrafi). hehe. Penuh bersemangat pada malam tersebut.
Piala Sultan Selangor 2013. Kenangan. Abah, saya, Ammar, Haikal, Aiman dan Azreq.
Bro Azreen Kamarudin, Bro Suhir Ramzi dan Bro Syahrul Niezam: Penyokong setia dan pengumpul tegar jersi Merah-Kuning. Tabik hormat buat mereka.
Bro Razlan Raduan, bersama jersi Match Worn (MW) Khalid Ali yang dipakai ketika Piala Sultan Selangor 2010 - lagenda Selangor FA dan Malaysia. Padu.
Piala Sultan Selangor 2010.
Empat lagenda bersaudara: Abdul Rahman Ali, Hanafiah Ali, Khalid Ali dan Zainal Abidin Hassan. 
Asap daripada suar (flare) yang dinyalakan oleh Ultras Selangor, memenuhi ruang udara SSA.
Situasi yang sangat jarang berlaku: SSA dilimpahi penyokong Selangor.
IV
Isu ‘stadium lengang’ telah membelenggu Stadium Shah Alam dan pasukan The Red Giants sejak kemerosotan prestasi dalam kempen 2013, di mana Selangor gagal mempamerkan aksi konsisten di hadapan peminat mereka. Meskipun menjadi Naib Juara Liga Super 2013 – dengan keputusan seri yang banyak - Selangor terkandas di Peringkat Suku Akhir Piala FA 2013 kepada Johor Darul Takzim FC dengan sepakan penalti; terkandas di Peringkat Kumpulan sewaktu Piala AFC 2013; serta hanya menang sekali sewaktu Peringkat Kumpulan Piala Malaysia.
Keadaan berlarutan apabila jurulatih Haji Irfan Bakti secara mengejut meletak jawatan walaupun berbaki 3 perlawanan lagi dalam kempen Piala Malaysia 2013 - di mana jawatan tersebut diambil alih secara sementara oleh P. Maniam - seakan mahu mengulangi musim 2011 setelah K. Devan juga meletakkan jawatan.
Terdapat beberapa kemungkinan dan faktor yang mendorong kepada lengangnya Stadium Shah Alam musim ini (dan beberapa musim lepas).

Pertama, soal harga tiket. Ada yang merungut bahawa harga tiket di Stadium Shah Alam adalah agak mahal.
Keduanya, faktor lokaliti atau lokasi. Penyokong tegar Merah-Kuning ramai yang duduk luar Lembah Kelang-Shah Alam - jauh.
Ketiga, faktor pengangkutan awam. Kalaupun tinggal berhampiran SSA, dekat, tapi jika tiada kenderaan pun, payah juga nak turun ke SSA, bilamana balik kena ‘menapak’ sendiri.
Keempat, faktor kesungguhan para pemain. Kita perlu faham, bila kita menyebut sistem liga, Selangor FA menjadi Naib Juara Liga Super 2013 bukanlah semata-mata kerana permainan Selangor mantap, tetapi juga atas sebab kelemahan beberapa pasukan lain dalam mengekalkan konsistensi sepanjang musim.
Kelima, pastinya soal permainan yang ditunjukkan para pemain, khususnya ketika kempen Piala Malaysia. Hanya beberapa pemain – antaranya pastilah Amri Yahyah – yang mempamerkan aksi mantap dan bersungguh, berbeda dengan beberapa pemain yang seperti ada yang tidak kena – di mana kewibawaan mereka tidak semenggah dengan aksi yang ditunjukkan. Pada hemat saya, sekiranya pemain beraksi bersungguh-sungguh, penyokong setia pasti akan sanggup mengetepikan keempat-empat faktor di atas.
Keenam, pastinya persepsi berkenaan pengurusan pasukan Selangor beberapa musim ini. Ini lebih berbentuk dakwaan, saya tiada bukti.
Ketujuh, sikap dan mentaliti masyarakat kita. Hanya mahu menyokong ketika menang sahaja. Ini berbalik kepada kos juga. Ya, kalau asyik kalah saja, memang berat juga mahu belanja duit minyak, tol dan tiket ke stadium?

(Ini yang saya nampak. Saya mungkin saja silap. Tapi, saya tetap sokong Selangor).
Isu stadium lengang ini bagaimanapun, tenggelam di balik lautan penyokong berbaju Merah-Kuning yang melimpahi Stadium Shah Alam sewaktu Piala Sultan Selangor. Berita angin bahawa lagenda alaf baru Selangor, Amri Yahyah dan sebahagian besar tonggak The Red Giants yang akan berpindah – selain banyak tiket perlawanan yang diberikan secara percuma – berjaya memaut jiwa peminat untuk hadir ke Stadium Shah Alam memberikan sokongan.
Alangkah indah, sekiranya Stadium Shah Alam sepenuh ini sedari awal musim 2013? 
Alangkah bagus, andai pemain Selangor FA beraksi sebaik malam tersebut sepanjang musim ini?
Jumpa lagi 2014 nanti. Sokong; waktu gagah dan rebah.

Viva Selangor.
--------------------------------------------
Sumber dan Rujukan:
  1. https://www.facebook.com/selangorfc?fref=ts;
  2. https://www.facebook.com/ratu.amri/photos;
  3. http://hazminhamudin.com/piala-sultan-selangor-edisi-ke-12/;
  4. https://www.facebook.com/pages/SELANGOR-FC/108129519229455?ref=ts&fref=ts;
  5. http://m.utusan.com.my/Sukan/20130929/su_02/Pilihan-Selangor-pertahan-kejuaraan;
  6. http://arinortega.blogspot.com/2010/10/sultan-selangor-cup-2010.html;
  7. http://www.flickr.com/photos/shaifulrizal/5114813072/;
  8. http://koleksioldskool.blogspot.com/2010/10/sultan-of-selangors-cup.html.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...