******************************
Salam.
Alhamdulillah, saya telah berkesempatan menghadirkan diri selaku Pemerhati Negeri Selangor ke Ijtimak Harakiy dan Seminar Siasah Shar’iyyah, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM), dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) [WADAH-ABIM-PKPIM] kali kedua. Perhimpunan ini telah berlangsung dengan jayanya: dengan disertai oleh ratusan pimpinan, ahli-ahli, sukarelawan, simpatisan dan da’i pada 22-24 Julai 2011 bersamaan 20-22 Sya’ban 1432H. Ijtimak Harakiy ini adalah perhimpunan membabitkan tiga serangkai gerakan Islam utama; WADAH-ABIM-PKPIM yang telah mencipta sejarah tersendiri dalam perkembangan Islam di negara ini. Perhimpunan ini dilangsungkan di Kompleks Dar al-Hikmah, Kajang, Selangor (pada 22 dan 24 Julai) dan di Dewan D, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor (pada 23 Julai).
*****************************************
Selepas proses pendaftaran, para pimpinan, perwakilan serta pemerhati yang hadir dari seluruh negara turut diberikan taklimat berkenaan perjalanan program sepanjang Ijtimak. Muktamar Sanawi ABIM ke-40, sempena Ijtimak Harakiy kedua dimulakan dengan suasana harmoni dengan menyaksikan dua agenda utama dibentangkan iaitu membentangkan minit mesyuarat dan mengesahkannya serta membentangkan kewangan dan mesyuarat.
*****************************************
Majlis Perasmian Ijtimak yang diadakan pada sebelah pagi Sabtu, 23 Julai di MAEPS berjalan dengan meriah, harmonis dan penuh rasa ukhwah. Ucapan Sambutan telah disampaikan oleh Prof. Dr. Mohamad Redzuan Othman (selaku Pengerusi Majlis Syura Kebangsaan) dan Ustaz Mohd Halimi Ab. Hamid (selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Ijtimak Harakiy Kedua). Sementelahan, Ucapan Dasar pula disampaikan oleh Saudara Mohd Faisal Abdul Aziz (Presiden PKPIM); Dr Muhamad Razak Idris (Presiden ABIM) dan Dr Muhamad Nur Manuty (Timbalan Presiden Wadah). Suasana dewan tempat majlis berlangsung yang sangat sejuk (kerana suhu penghawa dingin yang ditetapkan rendah) berjaya dipanaskan dengan ucapan-ucapan dasar yang penuh bersemangat dan membekas.
*****************************************
*****************************************
Sementelahan, Dr Razak menyatakan bahawa beliau merasa ‘berat’ untuk menyampaikan Ucapan Dasarnya pada kali ini, kerana teori Ibnu Khaldun menyatakan bahawa tahun ke-40 (usia ABIM) merupakan ‘usia penamat pertama.’ Beliau menyeru kepada sidang muktamar agar menekankan soal ‘islah’ sebagai asas yang mendasar kepada ‘change’ (perubahan): bukan sekadar perubahan kosong (for the sake of change), tetapi jauh lebih penting – berubah kepada sesuatu yang jauh lebih baik. Justeru itu, semua ahli digesa tidak hanya ‘berbicara sekadar untuk berbicara’, dan mesti berubah daripada yang fasad (buruk) kepada yang jauh lebih baik. Dr Razak juga mengimbau sirah perjuangan ABIM dengan menyatakan bahawa perlunya watak unggul generasi Khaira Ummah dan kehalusan akal budi diperjuangkan oleh angkatan belia baru: belia Ulul Albab.
Beliau juga menggalakkan agar masyarakat belum Islam diterima sebagai ‘saudara setanah air,’ sesuai dengan tuntutan Islam yang menekankan kasih sayang dan keharmonian, di samping menjaga aqidah, kedaulatan Islam dan maruah agama itu sendiri. Dr MNM tidak dapat menahan kesedihannya sewaktu membaca perenggan akhir teks ucapan tersebut yang mana Dr Siddiq menyatakan keinginannya yang tinggi untuk hadir ke Ijtimak, tetapi kesihatan beliau kurang mengizinkan.
*****************************************
*****************************************
Selanjutnya, pada 24 Julai 2011, Ahad, Sidang Muktamar Selari PKPIM-ABIM-WADAH telah berlangsung. Saya berkesempatan menjadi pemerhati negeri untuk Muktamar ABIM ke-40 yang dianjurkan di Kompleks Dar al-Hikmah, Kajang. Hari terakhir Muktamar ABIM ke-40 dipenuhi dengan sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden, sesi perbahasan usul dan sesi penggulungan oleh barisan saf pimpinan ABIM dan perwakilan dari seluruh tanah air serta MISG-ABIM cawangan United Kingdom-Ireland (UK-EIRE). Dr Razak, Presiden ABIM, menekankan penjelmaan idea-idea asal, khususnya berkaitan pembinaan generasi Ulul Albab, serta perlunya WADAH-ABIM-PKPIM wujud sebagai ‘tiga serangkai yang berada dalam satu ekosistem perjuangan.’
*****************************************
*****************************************
Kepimpinan baru WADAH-ABIM-PKPIM bakal menghadapi cabaran besar yang perlu ditongkah dan ditangani sebaik dan seikhlas mungkin. Usia matang perjuangan ini seharusnya menjadi detik keramat bermulanya sebuah perjuangan bagi menjana dan mencetus arus perubahan baru demi memartabatkan Syariat dan memperkasa ummah. Tuntasnya, perjuangan bagi mencapai cita-cita besar untuk melahirkan tamadun Khaira Ummah sudah lama mengorak langkah, tapi pastikan langkahnya tidak tempang sebelah. Bak kata Dr Siddiq dalam ucapannya, “Success is never ending; failure is never final”. Juga, sebagaimana yang dinukilkan oleh mantan Presiden, Dr Razak Idris, “The end is always the beginning.”
*****************************************
a) Alhamdulillah, selepas selesai bermuktamar, saya bersama YDP ABIM Selangor, Cikgu Khairuddin Abas, berkesempatan menziarahi Dr. Siddiq Fazdil, mantan Presiden ABIM, mantan Presiden PMIUM dan Presiden WADAH.
Secara zahirnya, beliau kelihatan sihat. Malah, jenaka sinikalnya kerap saja membuat para tetamu yang ada di rumahnya tidak kering senyum dan riang tawa. Namun, saya sangat tersentuh, bilamana Ustaz Siddiq menyatakan:
“Kesakitan ini; kesakitan yang mendidik,” kata Ustaz Siddiq. “Orang yang miskin sekalipun; bisa saja makan roti canai dan minum teh tarik. Tapi, kalau sakit (yang menyebabkan tidak boleh makan); kaya harta juta-jutaan sekalipun, hartanya tidak bermakna apa-apa.”
Semoga Ustaz Siddiq dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan oleh ALLAH. Amin.
*****************************************

*****************************************
*****************************************
Sumber dan pautan:
i. Kenapa Dr Muhammad Nur Manuty Sebak;
ii. Tentatif Ijtimak Harakiy Kedua Wadah-Abim-Pkpim Seminar Siyasah Shariyyah: Demokrasi dan Pluraliti;
iii. Laporan Aktiviti Iijtimak Harakiy ke-2; dan
iv. Ijtimak Harakiy ke-2.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan