Alhamdulillah, dapat juga sampaikan novel saya yang sederhana, 'Wajah Hati Redha' -- serta lukisan saya yang sederhana -- buat Bro Aie Sulong. |
Tuhan itu sesungguhnya maha adil.”
-- petikan daripada komik indah ‘Abe’ yang ditulis oleh kartunis lagenda, Ujang dan dilukis oleh Aie. Diterbitkan sekitar 1994-1995.
*****
Saya mula mengenal komik menerusi kegemilangan Almarhum Pak Rejabhad dan ‘komik Gila-Gila’, kemudian jatuh rindu pada ‘Majalah UJANG’ menerusi siri ‘Abe’. ‘Abe’ merupakan karya besar sulung Aie. Saya paling terkesan dengan babak nenek Abe meninggal dunia dalam keadaan duduk bersila. Abe yang menyangkakan neneknya tertidur, berkali-kali cuba mengejutkan Nenek, namun akhirnya Nenek terkulai layu ke lantai. Ini satu kesedihan yang menginsafkan.
Aie merupakan kartunis dan penulis yang sangat saya kagum dan minati selain kartunis lagenda, Ujang dan Lambok. Dekad 80an dan 90an adalah dekad-dekad indah dunia penerbitan yang rancak. Zaman kartunis, artis dan atlet kita dihargai. Zaman itu, politik kotor tidak begitu melampau seperti hari ini. heh.
Biodata Aie
Aie (Shaari bin Sulong) adalah satu nama yang cukup gah dalam arena kartun dan komik tanahhair. Beliau lahir pada 24 Februari 1973, di Kampung Baru Kuala Lumpur tetapi membesar di Segamat, Keluang dan Kuantan kerana mengikuti ayahnya yang bertugas selaku Tentera Udara Diraja Malaysia. Lukisannya bercorakkan gaya kemelayuan. Aie juga dikenali dengan komiknya seperti ‘Aku Hidup Dalam Blues’, ‘Blues Untuk Aku’, ‘Abe’ dan ‘Aku dan Sesuatu’. Beliau berasal daripada sebuah keluarga yang sederhana. Memulakan pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan St. Gabriel, Kampung Pandan dan menghabiskan Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota, Kuantan.
Beliau mulai serius melukis ketika menjadi editor majalah sekolah ketika berada dalam Tingkatan Empat dan Lima. Minat tersebut semakin terarah apabila beliau memenangi pertandingan melukis kartun terbuka Kuantan. Kejayaan yang indah dalam usia yang begitu muda membakar semangatnya untuk terus berada dalam bidang tersebut. Aie tidak pernah mendapat sebarang pendidikan secara formal di dalam bidang ini. Beliau hanya belajar secara tidak langsung melalui persekitaran dan tunjuk ajar dari sesiapa saja yang boleh.
Beliau mula berjinak dengan bidang lukisan ini sejak berada dibangku sekolah lagi,iaitu apabila beliau diberi tanggungjawab oleh gurunya untuk menguruskan majalah sekolah. Guru-guru beliau sewaktu di S.M.Tengku Aris Bendahara, Kluang dan S.M. Seri Mahkota, Kuantan senantiasa memberikan sokongan setiap kali Aie menzahirkan harapan dan usahanya. Bermula dengan lukisan helikopter di dinding rumah dan karya pertama di majalah sekolah, kartunis muda ini menyimpan cita-cita untuk menjadi seperti Rejabhad, Don, dan Kerengga. Beliau menjadikan mereka sebagai pembakar semangat dan menggariskan kualiti karyanya harus sehebat mereka.
1991: Mula membina asas dan tapak
Selepas menduduki SPM, beliau kembali semula ke Kuala Lumpur dan mula menjalankan kerja-kerja pelukis. Beliau mula terlibat secara serius dalam arena kartun tanahair bermula pada tahun 1991, di mana beliau bertugas sebagai kartunis untuk ‘majalah Jenakarama’ terbitan Evergreen Publisher Sdn. Bhd. Dari situ, beliau bertekad untuk pergi ke peringkat yang lebih baik.
Aie telah menjadikan kartunis Don dan kartunis Kerengge sebagai idolanya kerana beliau berpendapat karya mereka mendahului masa dari segi kualiti, idea dan penyampaian. Aie kemudian dilantik sebagai ketua studio ‘majalah Jenakarama’ dan sebuah majalah berkonsep pendidikan iaitu ‘Disney-Mickey’.
1993: Usop Sontorian
Pada tahun 1993, Aie ditawarkan menjadi animator bagi Animasi ‘Usop Sontorian’ -- terbitan Kharisma Picture. Semasa beliau menjadi animator, beliau telah diajak oleh kartunis Ujang untuk membuat majalah.
Aie merupakan di antara tiga orang pelopor utama ‘Majalah UJANG’ disamping kartunis Gayour dan kartunis Ujang sendiri. Maka bermula pada Oktober 1993, kartunis Aie telah menjadi kartunis tetap di ‘Majalah UJANG’. Dalam tempoh tersebut, nama kartunis Aie telah melonjak dengan koleksi ‘Abe’, iaitu hasil kolaborasi beliau dengan kartunis Ujang.
Tidak ketinggalan juga karya-karya beliau yang lain ‘Aku Hidup dalam Blues’, ‘Pak Andak’, ‘Toyon’ (Azam Supardi), ‘Din Blues’, dan ‘Blues untuk Apa’. Selain itu, karya beliau yang mendapat perhatian ramai ialah ‘Aku dan Sesuatu’, ‘Bear dan Bob’, ‘Sulaiman dan Balkis’ serta ‘Hassan dan Hussin’. Di samping itu, Aie juga turut terlibat dalam ‘voice over’ bagi animasi ‘Usop Sontorian’ untuk watak Singh dan Arba.
1995: Siri Abe
Kartun bersiri ‘Abe’ yang mula disiarkan dalam ‘Majalah UJANG’ keluaran pertama (1 Januari 1994) merupakan sebuah cerita hasil karya kartunis Ujang dan dilukis oleh seorang kartunis baru berbakat besar iaitu Aie. Kartun bersiri ‘Abe’ yang bergenre drama komedi ini disiarkan sebanyak 33 siri dan berakhir dalam Majalah Ujang keluaran ke-37 (15 Ogos 1995).
Tidak lama kemudian Kharisma Publications telah mengeluarkan buku koleksi kartun bersiri ‘Abe’, lantas membuktikan betapa popularnya kartun ‘Abe’ ini ketika itu. Buku koleksi ‘Abe’ ini dimulakan dengan Kata Pengantar oleh kartunis Ujang, merangkap penulis cerita ‘Abe’. Tulisan satu muka surat kartunis Ujang itu mengalu-alukan kehadiran kartunis Aie dalam arena kartun tempatan.
Kata kartunis Ujang, “aku dianugerahkan seorang insan yang amat istimewa pada pengamatanku. Seorang kartunis yang bakal mencipta nama sebaris dengan mereka yang telah ternama”, “Lukisannya begitu matang dan meyakinkan”, “kartunis muda yang bakal menyambung perjuanganku!”, “BRAVO untuk kartunis Aie...!”
Cerita ‘Abe’ ini mengisahkan tentang seorang kanak-kanak terencat akal, atau lebih sedap disebut insan istimewa, yang digelar Abe, yang mengalami liku-liku hidup suka dan duka semasa tinggal di sebuah kampung. Siri pertama ‘Abe’ dimulakan dengan sebaris tulisan, “Berdasarkan daripada kisah benar yang telah ditokok tambah dan diolah sehingga menjadi karut. Sebuah cerita yang pasti akan mengganggu jiwa anda, yang pasti menyentuh naluri kemanusiaan anda.”
Dalam beberapa siri awal ‘Abe’ kita dapat melihat gaya lukisan kartunis Aie yang baru hendak mencipta identitinya. Lukisan Aie ketika itu masih kelihatan ringkas dan kurang ‘hidup’, tetapi lama kelamaan di sepanjang cerita ‘Abe’ ini, dapat dilihat lukisan beliau semakin menunjukkan kematangan dan nampak lebih terperinci, contohnya seperti gambaran yang menampakkan banyak bayang-bayang, begitu juga dengan sudut gambaran dan pandangan yang lebih pelbagai tidak seperti dalam siri-siri awal ‘Abe’.
Lukisan terakhir dalam buku koleksi ‘Abe’ ini menunjukkan gambaran dari atas sebuah kampung dan pekan kecil. Satu perbezaan di antara kartun bersiri Abe yang disiarkan dalam Majalah Ujang dengan buku koleksi Abe ini ialah di bahagian permulaan dan penutupnya. Sebelum siri pertama ‘Abe’ dalam buku ini dimulakan, terdapat tulisan Prolog sebanyak 5 muka surat. Prolog itu memberi pengenalan kepada pembaca mengenai watak-watak dan lokasi cerita yang akan ditunjukkan dalam bentuk kartun nanti.
Prolog itu juga memberi penjelasan tentang imej pertama ‘Abe’ yang ditunjukkan sedang berjalan dan bersiul, yang mungkin tidak diketahui oleh pembaca tentang asal usulnya dari mana hendak ke mana. Manakala pada bahagian penutup selepas siri terakhir ‘Abe’ juga terdapat tulisan sebanyak 3 muka surat yang menjelaskan beberapa lagi perkara bagi lebih mengukuhkan penutup kepada cerita ‘Abe’ ini.
Siri ‘Aku Hidup Dalam Blues’:
Selain 'Abe', Aie juga mula dikenali ramai dengan karya ‘Aku Hidup Dalam Blues’ hasil kolaborasi dengan penulis, Toyon. Namun, siri tersebut agak tergantung kerana tidak mempunyai pengakhiran. Aie menyatakan bahawa beliau tidak dapat meneruskan siri ‘Aku Hidup Dalam Blues’ tersebut kerana isu hakcipta, di mana penerbit memegang hakciptanya. “Setakat ini tidak ada sebarang perkembangan. Terpulang kepada penerbit,” kata Aie dalam satu temubual.
1995: ‘Majalah APO?’
‘Majalah APO?’ adalah salah satu majalah tempatan yang berkonsepkan lawak dan juga komik. Lahir sekitar 90an dan mengetengahkan ramai kartunis tempatan seperti Petai, Rambai, Pandan, Cendol, Spider, Rio, Sagu, Sireh, Lambok dan ramai lagi. Di bawah satu bumbung bersama Majalah UJANG, namun pendekatannya agak berlainan daripada segi pengisian dan humornya. APO membawa makna ‘ABSOLUTELY PIRATE ORGANIZATION’ atau dalam bahasa melayunya ‘PERTUBUHAN LANUN SEJATI.’
Konsep majalah ini pada awalnya adalah hasil idea kartunis Ujang dan dilukis pada pada awalnya oleh Aie di bawah seliaan kartunis Ujang sendiri pada tahun 1995. Apabila kartunis Aie berhenti, kerja-kerja melukis diserahkan oleh Ujang kepada kartunis Petai untuk menyambungnya sehingga selesai. Malangnya, konsep dan idea tersebut dikatakan telah dilarikan oleh Petai dan dibawa untuk diterbitkan di bawah MOY dengan nama ‘APO?’. Namun, permit ‘Majalah LANUN’ yang sudah diluluskan oleh kementerian dalam negeri masih lagi dipunyai oleh kartunis Ujang ketika itu. Beliau seterusnya menerbitkan ‘Majalah LANUN’ dengan konsep berbentuk Islamik kerana konsep asal ‘Majalah LANUN’ telah diterbitkan oleh MOY dengan tajuk ‘APO?.’
1996: Perpecahan dan Polemik dalam redaksi UJANG
Namun, pada November 1996, berlaku perpecahan antara kartunis lagenda, Ujang dengan Kharisma Publication sekaligus terhentinya penerbitan ‘Majalah UJANG’.
Dalam laman Facebooknya, kartunis Ujang menyatakan:
“Timbulnya Ilham untuk melahirkan majalah UJANG ini ketika aku masih lagi bekerja di Majalah Gila-Gila sebagai ketua unit kartunis. Merekabentuk Typo (lukis ngan marker je), isi kandungan dan konsep semuanya di lakukan seorang diri. Setahun kemudian setelah resign dari Gila-Gila barulah impian menerbitkan majalah ini tercapai dan akhirnya ramai pulak yang mengaku majalah ini hak milik mereka dan merampasnya. Kelakar kan?”
Aie kemudian bergerak secara solo selama 6 bulan sebagai ‘freelancer illustrator’, ‘part time designer’ dan bermacam-macam kerja lagi.
1997: Pada Jun 1997, Aie dipanggil semula untuk menerajui ‘Majalah UJANG’ dan dilantik sebagai Pengarah Seni di bawah penerbitan baru, MOY Publications Sdn. Bhd.
1997: Siri ‘Blues Untuk Aku’
1997: Aie sekali lagi mencipta sejarah yang tersendiri apabila komik ciptaan beliau, ‘Blues Untuk Aku’ yang disiarkan secara bersiri dalam ‘Majalah UJANG’ mendapat sambutan yang paling hangat daripada pembaca.
“Masa create watak Sahak ni, grunge tengah hot. Tu yang timbulnya janggut sebaris tu!” – Aie.
Kartun bersiri ‘Blues Untuk Aku’ adalah sebuah karya Aie yang sebelum itu popular dengan siri kartun ‘Abe’ (1994-1995). Koleksi komik ‘Blues Untuk Aku’ jilid 1 dan 2 telah terjual melebihi 150,000 naskhah. Siri ‘Blues Untuk Aku’ mula disiarkan dalam ‘Majalah UJANG’ (generasi baru) keluaran ke-75 pada 1 Ogos 1997. Penggunaan perkataan ‘Blues’ pada tajuk siri kartun itu mengingatkan pembaca kepada novel bersiri ‘Aku Hidup Dalam Blues’ yang ditulis oleh Toyon dan dilukis oleh Aie dalam keluaran awal ‘Majalah UJANG’ pada 1994.
Siri ‘Blues Untuk Aku’ merupakan satu percubaan berani Aie untuk lari daripada gaya persembahan kartun bersiri yang telah biasa dilihat sebelum itu. Siri ‘Blues Untuk Aku’ menggabungkan karya penulisan dan lukisan yang dipersembahkan secara tidak konvensional. Contohnya, ada bahagian tertentu yang mempunyai banyak tulisan dengan hanya berlatarkan sebuah lukisan yang tidak berdialog. Pada bahagian lain pula misalnya, tersusun beberapa panel (bingkai atau kotak) lukisan yang menggambarkan kronologi pergerakan sesuatu watak atau objek.
Kadang-kadang pula lukisannya tidak berdialog langsung, hanya bercerita melalui imej. Begitu juga dengan kedudukan dan saiz panel lukisan yang dibuat secara tidak tetap dan akan berubah-ubah pada setiap muka surat, tetapi ia masih lagi kelihatan tersusun dan kemas. Teknik lukisan Aie dan variasi persembahan sebegitu di sepanjang siri ‘Blues Untuk Aku’ menjadikannya begitu menarik dan tidak jemu untuk diikuti.
Buku Koleksi Blues Untuk Aku Jilid 1 telah diterbitkan oleh MOY Publications Sdn Bhd pada penghujung 1999. Buku Jilid 1 itu hanya mengandungi siri pertama hingga siri ke-12, dan ia dimulakan dengan tulisan prolog atau mukadimah (yang tiada dalam versi ‘Majalah UJANG’) yang menjelaskan lagi mengenai asas cerita itu serta memperkenalkan pembaca kepada watak utamanya iaitu Ishak (Sahak).
Dalam ruangan prakata, Aie menceritakan mengenai kesukarannya untuk meyakinkan pihak penerbit supaya menerima karya ‘Blues Untuk Aku’ yang bukan hanya tidak bergenre komedi, tetapi gaya persembahannya juga mungkin tidak digemari oleh pembaca yang telah biasa dengan gaya lama. Aie juga menyatakan bahawa beliau telah mengilhamkan karya itu sejak 1991 lagi.
1999: Pada tahun 1999, Majalah UJANG skali lagi membuat ‘kejutan’ dengan menerbitkan album ‘Blues Untuk Aku De’ Album’, sempena kemasyhuran Aie selaku Pengarah Creative masa itu di majalah UJANG. Kartunis Taugeh telah menyumbang suara untuk ‘Blues Untuk Aku De’ Album’. Lagu tema berjudul ‘Blues Untuk Aku’ merupakan ciptaan MOY dan liriknya ditulis oleh Aie sendiri. Dari segi pemasaran, buku ‘Blues Untuk Aku’ Jilid 1 dipakejkan sekali dengan sebuah album (kaset) yang juga berjudul ‘Blues Untuk Aku’, dan ia dijual dengan harga RM13.90.
Dalam tahun 2000, ‘Majalah UJANG’ melaporkan bahawa pakej buku Jilid 1 berserta kaset itu berjaya terjual sebanyak 60,000 unit. Namun di sebalik kerancakan jualan buku ‘Koleksi Blues Untuk Aku Jilid 1’ pada awal 2000, kebanyakan peminat siri ‘Blues Untuk Aku’ merasa begitu kecewa apabila kartun itu dihentikan siarannya dalam ‘Majalah UJANG’ selama 4 bulan berturut-turut.
‘Majalah UJANG’ hanya kembali menyiarkan siri ‘Blues Untuk Aku’ pada bulan Mei 2000, itu pun dengan mengurangkan jumlah muka suratnya, seolah-olah memberi bayangan bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Pada 1 Ogos 2000, ‘Blues Untuk Aku’ siri ke-52 telah disiarkan. Manakala mulai 15 Ogos 2000, nama kartunis Aie secara tiba-tiba telah tiada dalam senarai nama kartunis ‘Majalah UJANG.’
Apa yang sebenarnya telah terjadi kepada Aie tidak diberitahu dalam ‘Majalah UJANG’, malah sambungan siri ‘Blues Untuk Aku’ yang seterusnya juga tidak lagi disiarkan selepas itu. Begitulah berakhirnya sebuah lagi cerita ‘blues’ yang tidak sempat ditamatkan, sama seperti nasib novel bersiri ‘Aku Hidup Dalam Blues’ sebelum itu.
Dalam tahun 2001, MOY Publications Sdn Bhd mengambil kesempatan untuk menerbitkan buku ‘Koleksi Blues Untuk Aku’ Jilid 2 yang berharga RM3.50. Buku Jilid 2 itu hanya mengandungi siri ke-13 hingga siri ke-31. Koleksi ‘Blues Untuk Aku’ pernah terjual sebanyak 150, 000 naskhah. Pada ketika itu, gaya persembahan unik ‘Blues Untuk Aku’ telah pun menjadi kegemaran ramai dan ia juga mula menjadi ikutan oleh siri-siri kartun lain. Pada kulit belakang buku Jilid 2 itu terdapat iklan mengenai sebuah siri kartun terbaru yang akan muncul yang diberi judul ‘Aku Tetap Blues’ oleh kartunis Bacang.
Terdahulu daripada itu, ‘Majalah UJANG’ juga pernah menyiarkan beberapa kartun parodi seperti ‘Blues Untuk Kambing’ oleh kartunis Manggis, ‘Aku Untuk Blues’ oleh kartunis Bawang, dan lain-lain lagi. Terdapat satu muka surat berwarna dalam siri ‘Blues Untuk Aku’ versi ‘Majalah UJANG’, tetapi dalam buku koleksi, ia telah dihitam putihkan.
Watak Yon, teman serumah Sahak, adalah watak yang sama dalam cerita Kartini (mula disiarkan dalam majalah ‘VARIA LAWAK’ sebulan sebelum siri ‘Blues Untuk Aku’ bermula). Malah, terdapat satu babak Yon dalam ‘Blues Untuk Aku’ yang mempunyai perkaitan jalan cerita dengan Yon dalam Kartini, iaitu tentang pertemuannya dengan bekas teman sekolah yang telah lama terpisah, cuma dalam siri ‘Blues Untuk Aku’, nama Kartini tidak disebut.
Sepertimana siri ‘Aku Hidup Dalam Blues’, siri ‘Blues Untuk Aku’ juga tidak dapat diteruskan atas alasan hakciptanya dipegang oleh pihak penerbitan. Hal ini juga disuarakan oleh kartunis Ubi, di mana siri kartunnya yang mendapat perhatian ramai seperti ‘Budak Hostel’, terperap dalam simpanan penerbit asalnya.
Pada November 2000, kartunis Aie telah meletak jawatan di MOY Publications Sdn. Bhd dan beliau telah menubuhkan Unlimited Productions bersama rakan kongsinya iaitu En. Nazan Mohd. Noor.
2001: Kariernya semakin meningkat apabila pada tahun 2001, beliau memegang jawatan pengarah eksekutif Unlimited Productions. Tidak terhenti setakat itu, kartunis ini mula mengorak langkah dengan membuka syarikat penerbitannya sendiri, iaitu Aie Productions pada tahun 2002, dengan beliau sendiri menjadi pengarahnya.
2001: Siri ‘Aku Dan Sesuatu’
2001: Pada Januari 2001, maka lahirlah komik solo ‘Aku Dan Sesuatu’ yang berjaya memecahkan monopoli konsep majalah humor berkumpulan yang sebelum ini menjadi trend penerbit tempatan. Komik ini turut mendapat sambutan yang luar biasa daripada peminat kartun dan komik tanahair. Komik solo tersebut hanya dapat dikeluarkan sebanyak 29 keluaran dan berakhir pada tahun 2003. Beliau kemudian menyumbang untuk majalah komik STARZ dan berjaya menghasilkan satu koleksi iaitu LOVEVILLE.
Selama 11 tahun dalam bidang ini, Aie cuba mencari formula terbaik mengenai minat pembaca. Dari setiap promosi, beliau akan mengumpulkan maklumat. Mesej juga harus mengikut sasaran pembaca iaitu golongan yang mana harus diberikan keutamaan. “Saya akan sesuaikan cerita mengikut maklumat yang telah saya kumpul. Cuba mewujudkan watak yang pembaca suka baca dan tengok, misalnya koleksi ‘Aku dan Sesuatu’ mengandungi elemen cantik, lawa, dan kacak. ‘Aku dan Sesuatu’ merupakan drama berat, iaitu plotnya harus disusun. Konflik yang ditimbulkan sesuai dengan pergolakkan jiwa remaja.”
Ketika memperkatakan koleksi ‘Aku dan Sesuatu’, Aie terpanggil untuk menerbitkan koleksi ini kerana ingin mengutarakan pandangan, pendapat, dan luahan rasa melalui cara yang paling halus dan berseni, sesuai dengan sasaran pembaca. Beliau cuba lari daripada konsep humor yang sedia ada dengan menerbitkan sebuah komik kehidupan yang mengandungi bahan bacaan yang ringan, tetapi berat isinya.
‘Aku Dan Sesuatu’ menceritakan tentang adik-beradik bernama Hasan dan Husain, pemuda dari desa yang berhijrah ke kota, menjalani kehidupan sebagai pekerja seni di sebuah perusahaan pengiklanan. Menurut Beng Rahardian, pelukis Indonesia yang pernah bekerja sama dengan Aie, gambar-gambar yang muncul dalam komik ‘Aku Dan Sesuatu’ mirip dengan keadaan yang sebenarnya dalam kehidupan sehari-hari Aie.
‘Aku dan Sesuatu’ ialah drama yang mempunyai lukisan berbeza dengan cerpen atau novel yang mempunyai cerita sahaja. Bahasanya segar dan sasteranya lebih ringan. Komik ini diterbitkan dua bulan sekali dan mempunyai jumlah pembaca yang besar. Konsep persembahan baru ini adalah satu kelainan yang cuba dicari oleh kartunis muda ini.
Menurut Aie, pembaca awal dewasa boleh diajar meminati sastera, bukar sekadar daripada buku teks yang tebal dan padat, tetapi juga daripada komik yang ringan dan boleh membina diri mereka. Komik tidak seharusnya menjadi alat hiburan semata-mata, tetapi juga harus mempunyai unsur pendidikan. Komik seperti ini mempunyai satu tanggungjawab yang besar.
“Keadaan ini akan memberikan perubahan kepada pengembangan sastera dan pendidikan. Majalah kartun akan menjadi bahan pengajaran dan alat bantu mengajar yang efektif. Seorang guru memberitahu saya, dia menggunakan komik ‘Aku dan Sesuatu’ untuk tujuan pengajaran bahasa Melayu,” kata Aie.
“Murid-muridnya seronok dan mudah menerima apa yang beliau ingin sampaikan. Di samping buku teks, komik dapat membantu di dalam suasana yang santai.”
‘Aku Dan Sesuatu’ pernah terjual sebanyak sekitar 40, 000 naskhah setiap bulan.
Bersambung ke pautan ini: Aie: Kartunis Lagenda (2).
******
Sumber dan pautan:
5) Blues Untuk Aku;
9) epmotorclub.com;
Terima kasih sebab selitkan "lukisan" saya di dalam artikel yang baik ini. :)
BalasPadamSama-sama, syeikh. Saya sudah sertakan pautan (link) atau belum ya?
BalasPadamKalau belum, harap sertakan pautannya deh.
Anyhow, lukisan yang bagus. Boleh pergi jauh ni. :)
Terbaik! saya sedang cari mengenai kartunis Aie ni
BalasPadamSemoga ada manfaatnya entri ini, in sya ALLAH. Selamat menghargai jasa kartunis kita. :)
PadamTerima kasih Che Din kerana menulis blog ini. Nanti saya bagitau AIE mengenai blog anda ini :)
BalasPadamTerima kasih kembali. Saya memang sangat meminati Kartunis Ujang, Aie dan Lambok sedari kecil. Sampaikan salam saya kepada Brader Aie deh. :)
Padamabang saya :)
BalasPadamsalam...saya sangat meminati komik aku dan sesuatu...tapi sayang kini tiada lagi sambungan seterusnya cerita dan watak husain dan hasan...rindu sangat nak tau sambungan cerita mereka....xde ke rasa nak sambung balik story 2 bro aie???...
BalasPadamSalam. Menurut Bro Aie, akan ada sambungan dan penamat ceritanya. Tungguuu. :)
PadamSemua tajuk itu mengamit memori...terbaik buat Aie..
BalasPadamRinduContengAiE
BalasPadamSalamAidilFitri
Buat saudara AiE'73
dariSayaA.k.A.RakanFaNaTiK