Assalamualaikum.
Semalam, Khamis, 9 Jun 2011 merupakan hari yang menyedihkan buat saya.
Ibu kesayangan yang telah banyak berkorban – membesarkan dan mendidik saya – sejak saya dilahirkan sehinggalah hari-hari terakhirnya, telah pergi meninggalkan saya.
“Emak”, panggilan saya buat Ibu saya, selalu memanjakan saya sejak kecil. Hampir apa sahaja yang saya inginkan, akan cuba beliau tunaikan.
ALLAH sahajalah yang mampu membalas jasa Emak.
Emak yang dimasukkan ke ICU dua hari lepas kerana sesak nafas, masih cuba menyembunyikan kesakitan yang dialami.
Pada tahun 2008, sebelum menjalani pembedahan lutut di Pusat Perubatan Sunway, Emak ada menasihatkan saya, agar bersedia menghadapi segala kemungkinan: termasuklah sekiranya beliau ‘tiada’ lagi selepas pembedahan dilakukan.
Siang malam saya berdoa, bersolat hajat: memohon agar ALLAH panjangkan usia Emak – seboleh-bolehnya: sepanjang-panjangnya, sampai akhir umur dunia.
ALLAH memang Maha Pemurah, meski saya bukanlah sebaik hamba-hamba-NYA yang soleh, ALLAH perkenankan doa saya. Emak selamat menjalani pembedahan lutut, dan dapat berjalan dengan baik.
Bak kata Abah, “…lepas ni, nak berlari pun boleh”. Heh. Rindu saat itu.
Alhamdulillah, Emak berkesempatan menghadiri Majlis Kecemerlangan saya, sedari saya masih di Tadika, sehinggalah Majlis Konvokesyen saya pada 2010 dan tahun ini. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Meski saya tidaklah sepandai sahabat mahupun sepupu saya yang lain, Emak selalu menyatakan, yang beliau bangga dengan saya. Emak tidak pernah putus berharap dengan saya.
Kalau bukan kerana Emak ( dan takdir ALLAH ), mungkin saya sudah tidak mampu meneruskan hidup. Sedari kecil, selain Abah ( ayah saya ) dan Emak, orang yang paling ikrab dengan hati dan jiwa saya ialah Wak Sukijah ( nenek saudara saya, tetapi saya memanggilnya Wak Jah ) dan Atok Charop ( datuk saya ).
Rumah Tok Charop dan Wak Sukijah hanyalah beberapa langkah sahaja dari rumah saya. Jadi, masa saya lebih banyak dihabiskan bersama Arwah Atok dan Wak Jah, berbanding bersama kawan-kawan sekampung.
Apabila Arwah Atok tiba-tiba jatuh sakit dan meninggal dunia pada tahun 1999, saya jadi hilang arah. Tapi, Wak Jah dan Emak senantiasa beri saya kekuatan.
Kemudian, pada 2006, sewaktu menguruskan satu program di Rumah Anak Yatim Budi di Yan, Kedah, saya menerima satu pesanan ringkas ( sms ) daripada kakak saya, menyatakan Wak Jah meninggal dunia.
Saya sekali lagi jadi bungkam. Namun, Emak tetap berikan dorongan dan semangat, menyatakan: hidup mesti diteruskan, yang pergi kita doakan yang baik-baik. Sayang Emak.
Sehinggalah semalam, dan sedari dua hari yang lepas – sewaktu berada di sisi Emak di ICU – saya masih terus yakin dan berharap yang Emak akan dipanjangkan usia.
Namun, ALLAH lebih sayangkan Emak. Emak pergi dalam keadaan tenang dan tersenyum. Emak nampak bahagia. Sayang Emak.
Rindu Emak. Sayang Emak.
Meskipun Emak tiada lagi untuk menyejukkan hati saya yang asyik remuk-redam sekarang ini, saya akan meredhai kesedihan ini sebagai sesuatu yang membahagiakan.
Kerana kesedihan ini adalah atas kasihnya saya kepada Emak.
Kerana ALLAH beri saya kesempatan untuk berada di sisi Emak sedari Emak sihat, sedari Emak baru jatuh sakit dua hari lepas, sehinggalah saat Emak tidak sedarkan diri, menghembuskan nafas terakhirnya, dimandikan dan disembahyangkan jenazahnya.
Paling indah, sebab ALLAH beri saya peluang untuk menyambut jenazah Emak untuk diletakkan di dalam liang lahad. Tanah yang memenuhi baju dan seluar saya, terasa seperti tanah yang paling bersih dan harum pernah saya temui. Sayang Emak.
Sungguh, masakan Emak enak dan mengenyangkan. Sungguh, kata-kata Emak sangat menenangkan.
Kalimah yang diungkapkan Emak membahagiakan.
Nasihat-nasihat Emak senantiasa menjadi santapan halwa telinga saya. Emak tidak pernah lupa untuk menyayangi dan rasa prihatin terhadap kebajikan anak-anaknya. Sayang Emak.
Meski Emak tidak pernah bersekolah – kerana dibesarkan dalam keluarga yang susah – bagi saya, Emaklah manusia paling bijak: kerana Emak mengajar saya ‘erti hidup.’
Sayang Emak. Sayang Emak. Sayang Emak.
Oh, Emak, kesayanganku
hari ini, pada kematianmu
semuanya telah selesai
lalu orang pun berangkat
yang tinggal cuma kesan
titis air masih basah
nisan kayu serta kuntum bunga
mula layu
pun aku sayu
rindu syahdu
Kain putih
lenyapkanlah
wajah bening Emak
di dalam litup tenang selimutmu
Kapas
selesakanlah
tidur abadi Emak
di atas bahagia kelembutanmu
Kapur barus, air mawar dan serbuk cendana
iringkanlah
kembara akhir Emak
bersama harum baumu
Oh, Emak, kesayanganku
sungguh, pada masa hayatmu
aku terima banyak nasihat hidup
namun hari ini, pada kematianmu
sungguh
aku terima lebih banyak nasihat hidup
Oh, Emak, kesayanganku
hari ini, pada kematianmu
berakhir sudah riwayat hayatmu
moga rohmu tenang, bersemadi
dicucuri rahmat, kasih ILLAHI
al-Fatihah untukmu
oh, Emak, kesayanganku.
Abu Hurairah r.a pernah mendengar sabda Rasulullah saw yang bermaksud:“Dunia ini adalah (umpama) penjara kepada seseorang mukmin dan syurga buat orang kafir”. (Hadith Riwayat Imam Muslim)
Salam.
Takziah Che Din. dan keluarga. dari DIA kita datang, kepadaNya juga kita kembali.. Al-fatihah..
BalasPadamTerima kasih, Yani. Mohon doakan yang baik-baik untuk Arwah Emak saya deh. :)
BalasPadampuisi itu
BalasPadamindah sekali
mengiringi permergiannya
bertemu Pencipta Agung
semoga dia bahagia disana
dan
dirimu tabah di alam ini.
Terima kasih, Zhu.
BalasPadamIn sya ALLAH, moga ALLAH berikan yag terbaik buat kita semua. Amin. :)
* yang
BalasPadamsemoga sentiasa tabah menghadapi segala dugaan dan ujian Allah...sesungguhnya setiap ujian terselit hikmah yang sangat besar di kemudian hari..:)
BalasPadamAliaa :: Terima kasih deh, sebab senantiasa ada waktu senang dna susah. :)
BalasPadam* dan
BalasPadamassalammualaikum....
BalasPadamsalam takziah buat din & keluarga...
maaf sbb xdpat ziarah tempoh hari..
apa pn fala doakan smoga arwah dtempatkn dkalangan org2 yg beriman,,Amin7x
utk Din,, jgn pnah lupa utk tunaikan tanggungjawab sbg anak,,insyaAllah arwah akn tenang..
Takziah..
Al-Fatihah utk allahyarhamah ibu din
Falla :: Salam alaik. Terima kasih, Falla. Mohon doa yang baik-baik untuk Arwah Emak saya deh. :)
BalasPadam