Khamis, Mei 24, 2012

Seminar Etika Kewartawanan dan Masa Depan Media Arus Perdana .


Seminar Etika Kewartawanan dan Masa Depan Media Arus Perdana. 

Pada 19-05-2012 bersamaan 27 Jamadilakhir 1433H), hari Sabtu, satu majlis ilmu telah dianjurkan di bertempat di Dewan Besar, Kompleks Dar Al-Hikmah, Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang. Seminar bertajuk ‘Dialog Tiga Generasi: Seminar Etika Kewartawanan dan Masa Depan Media Arus Perdana’ ini dianjurkan secara bersama oleh  Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kumpulan Prihatin, Yayasan Penataran Ilmu, Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) dan Persatuan Kebangsaaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Seminar telah dipengerusikan oleh Saudara Mohd Khairul Anwar Ismail, Pengerusi Grup Peguam ABIM, manakala moderatornya ialah Profesor Madya Shaharuddin Badaruddin, pemimpin WADAH. Para panelis iaitu Datuk Abdul Jalil Ali, Fathi Aris Omar serta Ahmad Lutfi Othman telah mengetengahkan pelbagai sisi berbeza berhubung etika kewartawanan di negara ini. Antara sisi tersebut ialah hakikat bahawa para pengamal media terikat dengan situasi persaingan di antara mereka yang dibayangi kekangan komersial mahupun politik.

Ucapan Dato’ Dr Siddiq Fadzil.

Seminar dibuka dengan ucapan alu-aluan Dato’ Dr Siddiq Fadzil (selepas ini dirujuk sebagai “Ustaz Siddiq”), mantan Presiden ABIM. Beliau menegaskan peri penting para pengamal media memainkan peranan selaku agen untuk mengembangkan fikrah masyarakat tanpa memenuhi tekanan untuk mewujudkan ‘culture of fears’ dalam kalangan masyarakat. ‘Budaya takut’ ini, ujar Ustaz Siddiq, akan melahirkan budaya yang pincang dan tidak telus. Akhirnya, terjadilah situasi di mana ‘mengangguk bererti tidak dan menggeleng bererti ya (setuju)’. Ustaz Siddiq juga memetik sebuah karya besar bertajuk ‘Sajak surat Dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar’. Sajak karya Alhmarhum SN Usman Awang yang menyentuh tentang kematian sifat kemanusiaan, maruah, alam sekitar dan protes. Sajak yang penuh dengan humor dan sinis ini mengisahkan cerita burung gagak yang sibuk menguruskan kematian sanak-keluarganya yang sekian banyak mati ditembak manusia. Juga, burung merbuk yang tidak bebas berterbangan di Padang Merbuk. Dan, burung pipit dan punai yang marah bilamana keturunan keduanya dikaitkan dengan perkara lucah dan kotor. Tambah Ustaz Siddiq lagi, kebebasan bersuara memang  suatu hak kemanusiaan yang harus dijamin dan diperjuangkan. Tetapi kebebasan memang tidak pernah mutlak. Kebebasan selamanya dibatasi  tanggungjawab. Kerana itu persoalan kebebasan selalu terkait  dengan isu ‘freedom of what’ dan ‘freedom for what’. Dalam konteks media, jelas Ustaz Siddiq, kebebasan bersuara terikat dengan ‘tanggungjawab  berkata benar’.

Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali.

Datuk Abdul Jalil membuka gelanggang seminar dengan mengimbau sejarah awal beliau bertugas selaku wartawan Utusan Melayu yang diletakkan di bahagian Jawi. Hal ini menjadi menarik, kerana menurut beliau, ketika itu beliau tidak tahu menulis mahupun membaca Jawi. Datuk Abdul Jalil juga menegaskan bahawa akhbar Sinar Harian tidak mempunyai ikatan politik (political affiliation) dengan mana-mana partai siasah. Namun, itu tidak menghalang orang ramai daripada mempunyai persepsi yang ‘bias’ terhadap akhbar tersebut. Terdapat pihak yang menuduh bahawa Sinar Harian adalah pro-UMNO, tatkala sesetengah yang lain menghukumnya sebagai pro-PAS atau PKR. Maka, tidak hairanlah, menurut Datuk Abdul Jalil, bilamana Tan Sri Anuar Musa pernah bergurau dengan beliau dengan berkata, “Demo surat khobar PAS” manakala Al-Ustaz Nik Aziz pula menyatakan, “Ha... awok ni surat khobar UMNO.” Asas etika kewartawanan, menurut Datuk Abdul Jalil, ialah ‘menyampaikan berita berdasarkan fakta yang benar daripada sumber yang boleh dipercayai.’ Namun, masalah yang terpaksa dihad api oleh akhbar tanah air masa kini ialah, kebanyakannya dikuasai oleh partai politik. Pemilik akhbarlah – dan bukan wartawan – yang mempunyai kuasa untuk menentukan berita apa yang akan disiarkan oleh akhbar tersebut. Datuk Abdul Jalil yang seangkatan dengan Haji Subky Latiff terus menambah bahawa akhbar juga terikat dengan tuntutan perniagaan dan pengiklanan. Kendatipun, beliau menggesa agar tanggungjawab sosial mestilah dipenuhi oleh semua warga media bagi memastikan ‘perlumbaan memperagakan berita yang tidak patut disiarkan’ dapat dicegah dan dikawal. Datuk Abdul Jalil juga menyatakan bahawa kebebasan akhbar itu tidak akan ada, meski partai mana pun yang memerintah. Maka, ia mesti diperjuangkan sampai bila-bila.

Ketua Pengarang Malaysiakini, Saudara Fathi Aris Omar.

Saudara Fathi Aris Omar mengangkat laman sesawang dan media sosial seperti Facebook, Twitter, Youtube dan Blog sebagai angkatan ‘media baru’. Malahan, beliau menyatakan bahawa ‘Malaysiakini’ sendiri bersifat konvensional, kerana tidak mampu mengatasi kepantasan maklumat yang disampaikan media tersebut. Magnet Facebook dan tarikan Blog, membawa bersamanya pengaruh dan pendedahan baru kepada pembaca. Sewaktu media perdana gagal memainkan peranannya, media baru, menurut Saudara Fathi, mengisi ruang tersebut. Selanjutnya, beliau menyeru agar percubaan mewujudkan ‘evolusi kemusnahan’ dipatahkan dalam dunia kewartawanan bagi mengelakkan masyarakat bobrok terbentuk.

Ketua Pengarang HarakahAhmad Lutfi Othman.

Saudara Ahmad Lutfi mencadangkan agar media/akhbar dijadikan ‘waqaf’ supaya ia dijaga dan dipelihara dengan penuh amanah (trust). Dalam pada itu, Saudara Ahmad Lutfi Othman menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan para penulis berbakat yang mampu menjadi agen perkembangan fikrah masyarakat. “Keadaan ini berlaku akibat emosi politik yang bersifat partisan keterlaluan. Para penulis perlu mengemukakan karya mereka secara ilmiah tanpa dibayangi unsur-unsur emosi serta politik,” jelas beliau yang berpengalaman luas dalam bidang penulisan politik. 

Pendirian ABIM.

Dalam sidang media yang dianjurkan sejurus seminar itu berlangsung, Presiden ABIM, Saudara Haji Amidi Abdul Manan mendesak agar pengamal media menjunjung tinggi etika kewartawanan di samping peka terhadap sensitiviti serta kegelisahan di kalangan masyarakat berkenaan dengan tersebarnya unsur-unsur negatif menerusi media akibat keengganan menghayati etika kewartawanan yang ditetapkan. 

Khatimah.
Antara kenangan manis sewaktu seminar di KDH ini ialah, saya dapat bertemu secara sua-muka dengan sahabat saya di Facebook, Cikgu Mohd Isa Abd Razak. Beliau yang aktif memperjuangkan bahasa dan sastera Melayu, juga sempat membeli novel Wajah Hati Redha karangan saya. Alhamdulillah. Khalas.

****
Sumber:
  1. http://abim.org.my/component/content/article/28-memorandum/461-memorandum-mengenai-nilai-etika-kewartawanan-dalam-laporan-media-kes-jenayah-seksual.html;
  2. http://www.abim.org.my/component/content/article/11-beritautama/664-media-massa-dan-masalah-etika.html;
  3. http://www.abim.org.my/component/content/article/29-siaran-media/651-abim-akan-anjur-seminar-media-arus-perdana-dan-etika-kewartawanan-19-mei-2012.html; dan
  4. http://jomtenet.com/blog/seminar-media-arus-perdana-dan-etika-kewartawanan.
****

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...