Isnin, Mei 21, 2012

Borak Buku di Coffee Bean.



Alhamdulillah, semalam -- 20-5-2012 – saya berkesempatan menghadiri acara Borak Buku anjuran PENA dan MPR (Minggu Penulis Remaja) yang dijalankan di Coffee Bean, Kuala Lumpur Sentral.

Pada kali ini,  Ketua Pengarah DBP, Prof Dr Awang Sariyan telah hadir untuk mengupas buku “Rihlah Ilmiah: Dari Neomodernisme Ke Islamisasi Ilmu” karya Prof Dr Wan Mohd Nor (Penerbit UTM, 2012).

Secara umumnya, Rihlah Ilmiah” menceritakan pengalaman pengarang dalam pengembaraan mencari ilmu di Kelantan, Pakistan, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Afrika, Oman, Bahrain, Iran, Jepun, Turki, Indonesia dan Rusia.

Sementelahan, pengarang dilihat berusaha membawa pengaruh pemikiran Prof Syed Naguib dari  Institut Pemikiran Antarabangsa dan Tamadun Islam (ISTAC) di UIAM ke Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban  (CASIS) di UTM.

Rihlah Ilmiah” juga menerangkan secara ringkas berkenaan interaksi antara pengarang dan sarjana-sarjana besar seperti Ismail Raji al-Faruqi, Amein Rais, Imaduddin Abd Rahim dan Sayyid Hosein Nasr.

Dengan latar belakang aktivisme dan intelektualisme yang kuat, pengarang gigih menukilkan pengembaraan hidupnya, dari alam neomodernisme; kemudian menjadi pemikir dan penyeru gerakan Islamisasi Ilmu.


Paradoks
Di dalam “Rihlah Ilmiah”, pengarang menyingkap kehidupan beliau yang pernah ditarbiyah oleh Prof Syed Naguib yang membawa gagasan Islamisasi ilmu. Dan, berguru dengan Prof Fazlur Rahman yang menjadi sandaran aliran liberal.

Kendatipun, perbedaan fahaman ini tidak menghalang Prof Fazlur untuk menggelarkan Prof Syed Naquib sebagai ‘ilmuwan genius’, tatkala Prof Naguib sendiri pernah mengundang Prof Fazlur untuk mengajar di ISTAC.

Menurut Prof Awang Sariyan, Prof Syed Naguib telah mempelopori Islamisasi ilmu, di mana ianya telah membawa perubahan positif baik dari segi pendidikan, politik, budaya dan keilmuan di Alam Melayu. Hal ini bercanggah dengan pandangan Richard Olaf Winstedt, yang mana beliau menyatakan bahawa pengaruh Hindu mendominasi Alam Melayu.

Pengaruh Islam dan bahasa Melayu Baharu
Prof Syed Naguib menggagaskan bahawa kedatangan Islam telah membentuk hakikat bahasa Melayu baharu, sebagaimana yang berlaku dalam tamadun bangsa lain yang menerima Islam. Dengan perkataan lain, Islam telah memperkenalkan dan memasukkan sekian banyak kosa kata yang mewakili tasawur dan pandangan sarwa Islam dalam aspek sistem kepercayaan dan dalam segala aspek kehidupan bermasyarakat.

Demikian juga Islam telah memberikan acuan baharu kepada wacana bahasa Melayu dengan pengenalan akan pelbagai bentuk wacana yang sebelumnya tidak ada dalam tamadun Melayu, seperti wacana ketatanegaraan (seperti dalam “Tajul Salatin”), wacana undang-undang (seperti “Hukum Kanun Melaka”), wacana pensejarahan atau historiografi (seperti “Sulalatus Salatin”, “Hikayat Aceh”, “Hikayat Raja Pasai”) dan pelbagai bentuk susastera prosa dan puisi.

Buku Ayam
Selanjutnya, Prof Awang Sariyan menyingkap kenangan, bagaimana pernah satu ketika, naskah “Islam dan Kebudayaan Melayu” (yang popular dengan gelaran ‘Buku Ayam’ kerana rekaan citra ayam jantan pada kulit luarnya) cukup popular dalam kalangan mahasiswa dan pengkaji Islam.

Kaligrafi indah dengan khat bermotifkan ayam jantan tersebut dihasilkan sendiri oleh Prof Naguib. Tulisan tersebut membawa maksud lafaz ‘Basmalah’. Buku ini telah diterbitkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 1984 selepas diterbitkan sebanyak dua kali oleh Penerbit UKM.

Tulisan Jawi
Prof Awang Sariyan juga mengimbau kenangan beliau selaku antara mahasiswa yang berpeluang menuntut ilmu terus daripada Prof Syed Naguib. Syed Naguib, menurut Prof Awang, adalah sosok unggul cendekiawan Melayu yang mengangkat nilai-nilai Islami dalam keseluruhan aspek kehidupan manusia.

Selain daripada menjulang tinggi kepentingan tulisan Jawi sebagai tulisan pemersatu bangsa Jawi (Melayu), menurut Prof Awang Sariyan lagi, Prof Naguib telah memperjelaskan kembali bagaimana keberhasilan para pendakwah Islam silam dalam mengangkat dan mengislamkan bahasa Melayu, sehingga berhasil menjadi bahasa persatuan di wilayah Nusantara.     

Justeru itu, Prof Awang menyeru agar tulisan Jawi kembali diperkasa dan disebarluaskan, bagi mengembalikan fungsi ketamadunan aksara warisan tersebut.

Kuras-kuras Ilmu
Sekadar bernostalgia, Prof Awang Sariyan juga menyebut bagaimana sehingga hari ini, masih tidak ramai yang mampu menjawab dua soalan sinikal yang mudah ini: “Bila kita mahu mencipta basikal Islam? Dan, bilakah kita akan mampu membina jambatan Islam?

Walhasil, saya hanya mampu tersenyum, sambil menatap tajam ke papan menu di Coffee Bean: memilih air kopi apa yang paling murah harganya. Aduh.

*****

Sumber:
  1. http://kembarabahasa.blogspot.com/;
  2. http://www.flickr.com/photos/ramzan/2990465175/;
  3. https://www.facebook.com/events/133756863424011/;
  4. http://www.utm.my/news-clipping/2012/05/07/kekeliruan-ilmu-buku-rihlah-ilmiah-dari-neomodernisme-ke-islamisasi-ilmu-kontemporer-perjelas-situasi/;
  5. http://drshafie.blogspot.com/2012/05/rihlah-ilmiah-wacana-buku-di-dbp.html;
  6. http://chedinsphere.blogspot.com/2010/12/sejarah-angkatan-belia-islam-malaysia.html; dan
  7. http://ikantongkol09-buku.blogspot.com/2009/08/islam-dalam-sejarah-dan-kebudayaan.html.
*****



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...