Jumaat, Februari 15, 2013

Malaysia dan Selangor FA lawan Middlesbrough FC (1996).


Niall Quinn, bintang Manchester City dan 
Republik Ireland yang menimbulkan 
kontroversi di Selangor.

Azman Adnan turut 
menampilkan aksi 
yang baik.
Emerson.
Mehmet Durakovic, 
Asroff Hanafiah dan Abu Talib Sulaiman 
sewaktu aksi menentang 
Boro di Shah Alam.
Skuad Selangor FA, 1996. 
Mustaca Christian di barisan 
depan (jersi nombor 10), di 
sebelah Mehmet Durakovic 
(jersi nombor 4).

Khairul Azman menerima pujian 
daripada penjaga gol Boro.

Yap Wai loon dan Clayton Blackmore 
betukar-tukar jersi sebagai tanda 
kenangan di Stadium Merdeka.
Skuad kebangsaan yang tewas kepada Boro. 
Mereka adalah antara pemain yang berjasa dan 
berkorban gigih, selepas majoriti pemain hebat gugur 
angkara tragedi rasuah 1994-1995.


27 Julai 1996
Pada bulan Julai 1996, pasukan Selangor FA telah menerima kunjungan pasukan Liga Perdana Inggeris bimbingan Bryan Robson, Middlesbrough FC. Kelab yang dikenali dengan gelaran “Boro” itu hadir bersama para pemain handalan mereka seperti Juninho, Nick Barmby, Craig Hignett dan Emerson.

Untuk rekod, Robson merupakan bekas bintang Manchester United FC dan memegang rekod sebagai ketua pasukan paling lama berkhidmat untuk kelab The Red Devils tersebut. Bersama Boro dari 1994 hingga 1997; Robson membantu kelab tersebut untuk layak ke Liga Perdana Inggeris sebanyak 2 kali; menang Divisyen Satu; layak ke perlawanan akhir sebanyak 3 kali di Wembley (Piala Liga sebanyak 2 kali dan Piala FA sebanyak sekali); serta menjaringkan dua gol untuk kelab tersebut. Beliau turut terpilih sebagai Pengurus Terbaik Liga Perdana Inggeris untuk Bulan Mac 1997. Dari 2009-2011, Robson turut membimbing pasukan kebangsaan Thailand.

Selangor FA turut menjadikan perlawanan tersebut sebagai medan untuk menguji penyerang import untuk menggantikan David Mitchell, iaitu Niall Quinn yang ketika itu mewakili Manchester City FC. Turut beraksi untuk Selangor FA ketika itu ialah dua lagi pemain import yang diuji, Mustaca Christian (Romania) dan Bachaus Sben (Jerman). Quinn, bekas pemain Arsenal FC yang tidak mempunyai persefahaman dengan pengurus City ketika itu, Alan Ball, telah hadir ke Malaysia untuk berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berkenaan perpindahannya ke Selangor FA. Quinn memulakan kerjanya dengan beraksi untuk Arsenal pada 1985 sebelum berhijrah ke Manchester City pada 1985. Pada 1996/1997, beliau menerima pelawaan Peter Reid untuk ke Sunderland. Bersama Sunderland, Quinn menjaringkan 69 gol dalam 212 perlawanan, selain meraih Anugerah Pemain Terbaik Sunderland 1996/1997 hasil undian wartawan dan peminat. Malahan, akhbar tempatan dan luar negara melaporkan bahawa Quinn yang turut membawa isterinya, Gillian ke Malaysia, ketika itu telah pun merancang untuk mencari tempat tinggal yang sesuai.

Quinn yang ketika itu telah membuat 60 penampilan untuk Republik Ireland, sepatutnya menyertai siri kunjungan Manchester City FC ke China, tetapi memilih untuk menyertai Selangor FA. Beliau yang ketika itu berusia 29 tahun, menyatakan bahawa, “…Saya pernah beraksi dalam dua Piala Dunia dan dua Kejohanan Eropah (Euro). Meskipun tidak mudah untuk memenuhi impian besar Selangor FA dan peminatnya, tugas pertama saya pastinya adalah untuk memenangi hati peminat Selangor.” Sementara itu, Alan Ball mendakwa bahawa Quinn tidak menyertai skuad City ke China kerana pemain tersebut ‘mengalami kecederaan.’

Meskipun tindakan FAS menggugurkan Mitchell kurang disenangi oleh kebanyakan penyokong setia The Red Giants, namun FAS tetap dengan pendiriannya untuk mengenepikan wira Piala Malaysia 1995 itu. Hal ini demikian kerana, Mitchell mengalami kemerosotan prestasi yang ketara sepanjang kempen liga 1996. Justeru, kehadiran Quinn yang dirancang untuk bergandingan dengan penyerang sensasi, Azman Adnan, mengembalikan kegembiraan yang membuncah dalam kem Selangor FA.

Quinn yang dilaporkan menerima tawaran gaji sebanyak RM60,000 sebulan dan sebuah kereta Proton, memakai jersi yang agak kecil berbanding saiz badannya, berjaya membantu Selangor FA untuk mengikat Boro, 2-2. Penentuan penalti menyaksikan Selangor FC berjaya menang 6-5, di mana Quinn menjaringkan penalti kedua; sekaligus membuatkan para peminat mula memberi harapan tinggi kepada gandingan Azman-Quinn. Quinn yang dikatakan telah bersetuju untuk bersama Selangor FA selama 2 tahun, kemudiannya kembali ke England, dengan alasan ‘untuk menguruskan beberapa perkara.’

Beberapa hari kemudian, Boro FC bertandang pula ke Stadium Merdeka untuk berdepan skuad kebangsaan. Dibarisi oleh ramai pemain kelahiran Johor, ini merupakan penampilan pertama bintang Johor FA, Azmil Azali dan Nazree Yunos (Sarawak FA) dalam skuad senior kebangsaan. Bagaimanapun, Nazree mengalami kecederaan dalam perlawanan ini apabila beliau dikasari oleh Nick Barmby, yang pernah beraksi untuk Liverpool FC dan Tottenham Hotspur FC. Malangnya, skuad Negara tumpas 0-5 kepada lawan yang jauh lebih mantap dan professional.

Tatkala peminat masih kecewa dengan kekalahan skuad kebangsaan, kem Selangor FA dikejutkan dengan keputusan Manchester City FC yang membatalkan hasrat menjual Quinn kepada Gergasi Merah. Quinn, Pemain Terbaik Manchester City FC untuk Tahun 1991, akhirnya berpindah ke Sunderland FC dengan yuran perpindahan sebanyak £1.3 juta. Hal ini menimbulkan beberapa isu penting berkenaan profesionalisme, seperti perlunya khidmat peguam digunakan setiap kali urusan perpindahan dan jual beli pemain dilakukan oleh pasukan liga tempatan. Insiden ini menjadi pengajaran penting buat FAS dan pasukan tempatan yang lain berkenaan isu perundangan dan profesionalisme. Quinn akhirnya digantikan dengan Mustaca Christian, yang meskipun tidaklah seunggul Mitchell atau Quinn, tetapi berjaya mengemudi barisan tengah dan serangan, untuk membantu Selangor menjuarai Piala Malaysia 1996, dalam suasana Ribut Greg yang melanda Negeri Di Bawah Bayu ketika itu.
  • Malaysia: Khairul Azman Mohammed; Faizal Zainal; Rusdee Sulong; K. Sanbagamaran; Ismail Ibrahim;  Zainal Abidin Hassan (ketua pasukan); Rizal Sukiman; Azmil Azali; Nazree Yunos; Dollah Salleh dan Azman Adnan.

1 ulasan:

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...