Ahad, Februari 03, 2013

Kuliah Umum Berkenaan Politik Antarabangsa: Siri 1.


Kuliah Umum Berkenaan Politik Antarabangsa: Siri 1.
Tarikh: 30hb Januari 2013/18 Rabiul Awal 1434H (Rabu);
Tajuk: ‘The Turkish Model: Whether It Represents A Model For The Wider Muslim World’ (Model Turki: Adakah Ia Sebuah Model Yang Mewakili Dunia Islam Yang Lebih Luas).
Turki pernah dikenali sebagai pusat pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah yang dipimpin oleh Sultan Muhammad Al-Fateh. Kerajaan besar ini pernah tegak sebagai benteng kukuh dan menara yang menjulang; menara yang menyatukan kaum Muslimin dan menara yang menjadi rambu penerang bagi orang-orang yang berjalan di malam hari di atas jalan agama Islam. Namun, sikap pemerintah-pemerintah terakhir Uthmaniyyah yang semakin hanyut dibuai gelombang kemewahan, membawa kepada kejatuhan empayar tersebut pada 1922, sebelum sistem kekhalifahan dihapuskan pada 1924.

Setelah pemergian Mustafa Kemal -- yang dikurniakan gelaran ‘Attarurk’ oleh ‘Grand Assembly’ Turki -- pada 1938, banyak peristiwa besar yang mewarnai latar negara bersejarah ini. Kebangkitan Islam di Turki sering dibahaskan ramai pihak, memandangkan republik tersebut mempunyai pengaruh yang besar dalam dunia Islam dan Eropah. Hal ini tambah hangat apabila pemimpin parti AKP yang memerintah Turki, cuba membawa beberapa pendekatan Islam, sekaligus menggegarkan sistem perundangan sekular negara tersebut.

Justeru, untuk mengupas isu ini, pada 30hb Januari 2013 yang lalu, bertempat di Kolej Dar al Hikmah (KDH), Sungai Ramal Dalam, Kajang, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menjemput Prof. Dr. Mehmet Asutay, seorang sarjana dari Turki, untuk membentangkan satu topik menarik iaitu ‘The Turkish Model: Whether It Represents A Model For The Wider Muslim World’ (Model Turki: Adakah Ia Sebuah Model Yang Mewakili Dunia Islam Yang Lebih Luas). Dr. Mehmet mengajar di Universiti Durham, United Kingdom dan merupakan penulis ‘Economics and Politics in Turkey’.

Program yang dimulakan pada jam 9.00 malam ini, membuka pemikiran para peserta untuk lebih memahami situasi dan sejarah panjang Turki yang penuh dengan warna-warni. Turki, yang sebelum ini terkenal dengan sejarah Sultan Muhammad Al-Fateh-Kerajaan Uthmaniyyah dan kemunculan Mustafa Kemal Attarturk-Republik Sekular; kini muncul sebagai sebuah negara yang disegani, baik dari segi pendekatan ekonomi mahupun dasar politiknya yang sederhana. Moderator untuk siri kuliah kali ini ialah Dr Zulkifli Hassan.

Sebagai pendahuluan kepada kuliahnya, Prof. Dr. Mehmet mengupas secara ringkas sejarah gerakan Islam selepas kejatuhan Pemerintah Uthmaniyyah di Turki. Peranan Prof. Necmettin Erbakan yang pernah menjadi Perdana Menteri Turki juga turut disentuh oleh Dr Mehmet. Erbakan terkenal sebagai pejuang yang menjadi antara penggerak awal kebangkitan Islam di Turki. Dr Mehmet turut mengupas tentang pengaruh gerakan sufisme Naqsyabandiyyah kepada gerakan dan pemimpin Islam di negara tersebut. Beliau juga menyentuh bahawa sebagaimana pemimpin Ikhwan di Mesir dan seluruh dunia, kebanyakan pemimpin Islam di Turki terdiri daripada golongan jurutera.

Sementelahan, Prof. Dr. Mehmet turut menceritakan bagaimana pemerintahan Mustafa Kemal Attarturk telah membawa kepada zaman gelap Islam di Turki, di mana bukan sahaja laungan Azan diubah kepada bahasa Turki, malah banyak pengkisahan sejarah yang direkayarsa bagi menggambarkan keagungan bangsa Turki secara palsu. Dr Mehmet menyatakan bahawa, hal ini demikian kerana Mustafa Kemal mahu mengangkat ideologi fasisme dan sekularisme di Turki; seterusnya menambah semangat nasionalisme yang tebal dalam kalangan masyarakat Turki. Sebagaimana Rejim Hitler-Nazi di Jerman, Mustafa Kemal turut menetapkan peraturan pengkelasan bangsa Turki berdasarkan saiz dan bentuk fizikal seseorang rakyat Turki. Hal ini berikat-rapat dengan Teori Darwinisme rekaan Charles Darwin.

Dr Mehmet juga mengupas pendekatan yang digunakan oleh kepimpinan Erdogan terhadap nasib dan perjuangan masyarakat Kurdistan di Turki. Selain daripada itu, Dr Mehmet berpendapat bahawa situasi di Mesir adalah berbeda sama sekali dengan Turki, di mana AKP bukanlah sebuah gerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin. Maka, beliau menegaskan bahawa pendekatan di Turki, Mesir atau di mana juga negara Islam, hendaklah berasaskan keperluan dan situasi masyarakat sesuatu negara itu. Memandangkan terdapat beberapa perbedaan budaya antara sesebuah negara itu, menurut Dr Mehmet, adalah tidak wajar untuk kita meniru bulat-bulat sesebuah model negara lain, tanpa mengambil kira acuan kita sendiri.

Selanjutnya, beliau menyatakan bahawa berbeda dengan beberapa negara Islam lain, pemimpin dan rakyat di Malaysia – khususnya yang berbangsa Melayu -- melihat Islam sebagai identiti atau jatidiri yang penting untuk negara kita. Sebelum mengakhiri kuliahnya, Dr Mehmet turut menjawab beberapa soalan yang dikemukakan peserta program,sebelum bergambar kenangan bersama para peserta yang cukup menyenangi kesederhanaannya.

Secara tuntas, Siri 1 Kuliah Umum Berkenaan Politik Antarabangsa ini berjaya memberikan ilmu dan pengetahuan baru serta peringatan tentang peri-pentingnya untuk kita semua menjadi peka terhadap situasi semasa; di dalam dan luar negara. Hal ini membuktikan bahawa semangat persaudaraan dalam Islam menjadikan kita sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dan bangkit sebagai umat yang progresif tatkala saling menghormati insan lain serta prinsip undang-undang.

Turki, sebagai sebuah negara berpenduduk majoriti Muslim, semakin ke hadapan dalam bidang ekonomi dan pembangunan semasa. Kamal Attarturk telah lama menghembuskan nafas terakhirnya di Istana Dolmahbache. Kini, muncul Parti AKP yang cuba membawa mesej dan pendekatan Islam sesederhana yang mungkin, bagi mengimbangi kehendak-keperluan rakyat Turki serta tekanan daripada tentera negara tersebut.

Pendekatan politik sederhana yang dibawa oleh kepimpinan Racep Tayyep Erdogan-Abdullah Gul ini, mempunyai kelemahan dan kelebihannya yang tersendiri. Justeru, terserahlah kepada kita dan masyarakat Islam secara amnya, sama ada untuk mengambil Turki sebagai sebuah model negara contoh atau pun sebaliknya. Tepuk dada, tanyalah iman kita semua. Semoga kita bertemu lagi dalam siri kuliah yang akan datang, insya-ALLAH. Hidup Malaysia kita. Padu.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...