Jumaat, Februari 15, 2013

Alistair Edwards: Dari Socceroos ke Sarawak.

Man Turn dan Alistair.
Coach Azman, ketika beraksi untuk Selangor pada tahun 1994 di Stadium Merdeka. Secara purata, kehadiran penonton ketika itu ialah seramai 30,000 orang setiap perlawanan. Pada 1992, Azman menjaringkan 22 gol untuk KLFA. Alistair Edwards pula, yang pada 2015 membimbing Real Mulia selaku Pengarah Teknikal, merupakan penjaring terbanyak Divisyen Satu Australia pada 1993.
Alistair Edwards: Dari Socceroos ke Sarawak.
Alistair Edwards adalah antara pemain import yang paling dikenang dalam sejarah Liga Semi-Pro dan Liga-M. Pemain kelahiran Australia ini turut beraksi bersama pasukan ‘Socceroos’, iaitu pasukan kebangsaan Australia. Beliau turut beraksi dalam perlawanan Malaysia-Australia pada Piala Jakartaraya, di mana Malaysia menang 1-0 ke atas Socceroos.

Pada tahun 1990, Edwards telah digugurkan oleh pengurusan Singapura FA, kerana mereka berpendapat bahawa ‘Edwards tidak akan beraksi baik memandangkan Abbas Saad telah berhijrah ke Johor FA’. Abbas Saad, rakan Edwards dalam skuad Socceroos, merupakan perancang utama (playmaker) yang memastikan Edwards memperoleh hantaran bola yang baik untuk menjaringkan gol sewaktu bersama Singapura FA dan Johor FA. Edwards merupakan pemenang dua kali Anugerah Kasut Emas sewaktu bersama Johor FA pada 1990 dan ketika mewakili Singapura FA pada tahun 1993 (dengan 18 gol).

Bersama Johor FA, Edwards memenangi Piala Liga Semi-Pro 1991 dan Piala Malaysia 1991. Edwards kemudiannya kembali ke Singapura FA bersama Abbas Saad, seterusnya membentuk skuad ‘Dream team’ dengan gandingan Fandi Ahmad-V. Sundram Moorthy. Mereka berjaya mendapat tempat kedua liga dan menjadi Naib Johan Piala Malaysia.

Memandangkan penyerang utama Selangor FA, Azman Adnan menjadi penjaring kedua terbanyak liga pada 1993 (dengan 17 gol), maka pengurusan Selangor FA berpendapat bahawa gandingan Edwards-Azman mampu menjadi pasangan yang digeruni lawan. Maka, Selangor FA telah menyambar Edwards secara mengejut pada 1994, sekaligus mengecewakan para peminat Singapura FA. Namun, memandangkan Selangor FA ketika itu tidak mempunyai perancang utama yang bagus, Edwards dan Azman gagal menyerlah. Gandingan kedua-duanya mengingatkan peminat Selangor FA kepada gandingan John Aldridge-Ian Rush di Liverpool FC, di mana meskipun kedua-duanya adalah penyerang yang bagus, ketiadaan perancang yang baik membawa kepada kedua-duanya sering berada di kawasan yang sama dan hampir berebut bola.

Beliau menyertai Selangor FA ketika berusia 25 tahun, iaitu pada tahun 1994, dan menandatangani kontrak selama 3 tahun bersama dua lagi pemain import iaitu Zsolt Bucs dan Dmitri Kalkanov.

Pada Januari 1995, Edwards membuat kejutan kepada peminat Selangor FA apabila berhijrah ke pasukan Divisyen Satu Liga Inggeris, Millwall FC. Pengurus tersohor Selangor FA, Datuk Mohd Aini Taib menegaskan bahawa memang ada perbincangan secara ‘gentlemen’s agreement’ bahawa Selangor FA akan melepaskan Edwards sekiranya beliau menerima tawaran daripada kelab Liga Inggeris atau Liga Itali. Perlawanan pertama Edwards bersama skuad Millwall FC yang digelar ‘The Lions’ (sama dengan gelaran Singapura FA) ialah sewaktu menyingkirkan Arsenal FC dalam pusingan ketiga Piala FA England 1995.

Edwards membuat penampilan semula dalam Liga-M pada 1997, kali ini bersama pasukan ‘Ngap Sayot’, Sarawak. Beliau telah membantu Sarawak untuk memenangi Liga Perdana 1997. Sedikit kontroversi berlaku apabila Sarawak yang menjadi Juara Liga Perdana seharusnya dianugerahkan Piala Liga Perdana di Stadium Shah Alam selepas perlawanan menentang Selangor FA. Namun, mereka hanya diberikan replika piala yang dibuat daripada kadbod, dan hanya menerima trofi sebenar di Kuching.

Sepanjang beraksi dalam Liga Semi-Pro dan Liga-M, Edwards telah memenangi Liga Semi-Pro 1991, Liga Perdana 1997, dua Anugerah kasut Emas, dan tiga penampilan dalam Perlawanan Akhir Piala Malaysia. Beliau akan terus dikenang sebagai penyerang hebat dengan kemahiran menjaringkan gol dalam kawasan kotak penalti; kekuatan kaki kiri dan kemampuan yang baik dalam perebutan bola di udara. Sebagaimana Larszlo Repasi, Abbas Saad, Alan Davidson, Ervin Boban, Mehmet Durakovic, Abdul Rahman Adigun dan lain-lain, pemain import yang bagus dan berjasa, pasti akan dihargai. 


Sumber dan rujukan:
  1. Majalah Shoot;
  2. Majalah Liga Profesional;
  3. Majalah Arena Bola Sepak;
  4. members.iinet.net.au;
  5. sarawakfootballshirts.blogspot.com;
  6. aidenboyham.wordpress.com;
  7. http://spaeres.com/index/edward-abbas/.

1 ulasan:

  1. Chedin dia ini lejen JDT era akhir 80an dan awal 90an..Tak sia2 TMJ ambik lejen JDT termasuk dia

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...