Negeri Sembilan lawan Terengganu: Piala Malaysia 2011.
Pada 29hb Oktober 2011, Negeri Sembilan FA telah kembali ditabalkan selaku
juara Piala Malaysia. Kemenangan 2-1 ke atas Terengganu pada aksi final Piala
Malaysia di Stadium Shah Alam; seterusnya membolehkan skuad Hoben Jang Hoben
kembali menjulang piala berprestij itu. Ia merupakan kejayaan ketiga Negeri
Sembilan menjuarai Piala Malaysia selepas edisi 1948 dan 2009.
Bagi Terengganu FA pula, skuad Peteh itu gagal mengulangi pencapaian
sedekad yang lalu dengan kejayaan menjulang Piala Malaysia. Kekalahan itu juga
sekali gus menyebabkan Terengganu gagal dalam misi merangkul gelaran berganda
musim ini selepas mereka muncul juara Piala FA pada Jun lalu.
Pada aksi malam tadi, kedua-dua pasukan dilihat menampilkan corak permainan
seimbang sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung. Selepas gagal memecahkan
kebuntuan gol pada babak pertama, Terengganu terlebih dahulu menceriakan kira-kira
35,000 penyokong skuad Penyu yang hadir menyaksikan aksi final di stadium.
Pemain sayap, Mohd. Ashaari
Samsudin berjaya menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Marlias untuk
gol pertama Terengganu pada minit ke-59. Tersentak dengan jaringan itu, Negeri
Sembilan bingkas bangkit menguasai perlawanan bagi memburu gol penyamaan. Hasilnya, pemain sayap
lincah, S. Kunanlan berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-81 selepas
rembatannya dari sebelah kanan pintu gol Terengganu gagal ditangkap kemas oleh
penjaga gol, Mohd. Sharbinee Alllawee.
Hairuddin mengesahkan
kemenangan Negeri Sembilan apabila meledak gol berselang lima minit kemudian selepas menyudahkan
hantaran lintang kapten, Shukor Adan. Ia dianggap detik cukup
istimewa bagi Hairuddin, 32, kerana dia turut menjaringkan gol dalam dua edisi
final sebelum ini. Pada edisi 2009, Hairuddin yang dipinjamkan ke Negeri
Sembilan dari kelab T-Team, berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan menarik,
sekali gus mengecewakan Kelantan 3-1 di pentas final.
Ketika menyarung jersi
Kelantan musim lalu pula, Hairuddin menjadi watak pemusnah bagi Negeri Sembilan
apabila tandukannya berjaya menyamakan kedudukan buat The Red Warriors sebelum
jaguh Pantai Timur itu menang 2-1.
Sumber:
- Akhbar Sinar Harian;
- www.sinarharian.com.my/;
- www.utusan.com.my/.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan