Sukan
Komanwel XVI (KL ‘98): Malaysia raih perak.
1.0. Sukan Komanwel XVI (KL ‘98).
Sewaktu
temasya Sukan Komanwel XVI (KL ‘98), warna kuning telah dipilih untuk menjadi
warna asas pakaian sukan kontinjen Malaysia pada sebarang temasya sukan akan
datang dan ia buat pertama kalinya akan digunakan pada KL ’98. Warna kuning
juga dipilih sebagai warna utama jersi skuad hoki negara yang dibimbing oleh
jurulatih dari Jerman, Paul Lissek. Pasukan hoki negara sebelum itu beraksi
pada Kejohanan Piala Dunia di Utrecht, Belanda di bawah seorang lagi jurulatih
dari Jerman, Volker Knapp. Di bawah kendalian Lissek, Malaysia berjaya
melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2000 di Sydney dan meraih gangsa sewaktu Sukan
Asia 2002 di Busan. Bagaimanapun, kontrak Lissek ditamatkan selepas Malaysia
gagal untuk layak ke Sukan Olimpik 2004 di Athens.
1.1. 19b September 1998: Separuh Akhir Hoki KL ’98.
Sewaktu
Separuh Akhir Hoki Lelaki untuk KL ‘98, Australia bertemu England manakala
Malaysia berdepan cabaran India pada 19hb September 1998. India dan Australia
merupakan pasukan pilihan, di mana India pernah menewaskan Malaysia sebanyak 25
kali. Malaysia yang hanya pernah seri 4 kali dan menang 3 kali ke atas India,
kali terakhir menang 3-2 untuk mengatasi negara ‘benua kecil’ tersebut sewaktu
Kelayakan Sukan Olimpik di Auckland pada 1991.
Australia
berjaya menepati ramalan apabila menewaskan England, 3-2. Bagaimanapun, India
yang dihidangkan 8 pukulan sudut penalti gagal menembusi kekebalan gawang
Roslan Jamaluddin untuk tewas 0-1. Mirnawan Nawawi menjaringkan gol emas pada
minit ke-77 dalam masa tambahan, menewaskan penjaga gol Jude Menezes, untuk
menempah tiket ke perlawanan akhir. Kejayaan tersebut tambah manis buat
Mirnawan yang digelar ‘Dribble King’,
memandangkan hari tersebut merupakan hari lahirnya yang ke-27. Selain Mirnawan,
pemain muda negara, Suhaimi Ibrahim yang baru berusia 18 tahun ketika itu turut
menyerlah.
Antara
bintang India ialah Dhanraj Pillai, yang menjaringkan 5 gol sewaktu Sukan
Komanwel 1998. Beliau juga mengetuai India untuk memenangi pingat emas pertama
Sukan Asia dalam sukan hoki selepas penantian selama 32 tahun. Beliau juga
merupakan pemenang Anugerah Rajiv Ghandi Khel Ratna. Sebelum itu, Malaysia
menewaskan Pakistan (1-1); seri 2-2 dengan England; dan menang ke atas Kanada
2-1. Rekod lima perlawanan tanpa kalah ini berjaya membawa skuad kebangsaan
untuk bertemu Australia dalam perlawanan akhir. Skuad negara hanya bolos 4 kali
meskipun terpaksa mengharungi 35 kali pukulan sudut penalti.
1.2. 20hb September 1998: Perlawanan Akhir Hoki KL
’98.
Bagaimanapun,
aksi cemerlang yang ditunjukkan sepanjang tahun 1998, berakhir apabila skuad
Australia yang menduduki ranking keempat dunia ketika itu, menewaskan Malaysia
4-0 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. Australia mengejutkan tuan rumah
seawal minit ke-2 dengan penyudahan sudut penalti kedua hasil tolakan Adam Commens
selepas dua rakannya memperdayakan penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin dengan
acahan pukulan. Michael Brennan kemudian menggegarkan gawang Malaysia dengan
rembatan deras untuk membawa Kookabura bertambah selesa 2-0.
Kemudian,
Roslan tertewas dan rembatan Stephen Davies menjadi puncanya untuk turut
mencipta jaringan peribadi keenam pada temasya KL '98. Sekalipun dibolosi tiga
kali, tampanan kaki kanan Roslan tetap cemerlang untuk sempat menidakkan cubaan
solo Brennan yang berhasrat mencari gol keempat, beberapa minit selepas itu. Brennan
bagaimanapun menghukum lagi kelalaian tulang belakang Malaysia ketika lencongan
sudut penalti ketujuh pada minit ke-50 untuk mencipta jaringan keempat
Australia. Sebaik sahaja gol keempat lawan itu, segelintir kecil peminat mulai
beredar meredakan kepadatan stadium yang sebelumnya menampung kira-kira 12,000
penonton.
- MALAYSIA: Roslan Jamaluddin, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, Maninderjit Singh, S. Kuhan, Nor Azlan Bakar, Charil Anwar Aziz, Lam Mun Fatt, R. Shankar, K. Keevan Raj, Mirnawan Nawawi, Calvin Fernandez;
- AUSTRALIA: Damon Diletti, Michael Brennan, Adam Commens, Jason Duff, Jeremy Hiskins, Matthew Smith, Jay Stacy, Daniel Sproule, Stephen Davies, Michael York, Steven Holt.
2.0 Ganjaran Pasca KL ’98.
PINGAT
perak yang diraih skuad hoki lelaki negara pada temasya tersebut menghasilkan
durian runtuh bernilai RM214,000 dengan 16 pemain mewakili pecahan besar
sebagai penerimanya. Sumbangan sebagai membalas jasa bakti hasil pencapaian
mendadak KL ‘98 itu datangnya daripada empat pihak - Majlis Sukan Negara (MSN),
Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), syarikat Sony dan Thasleem Ibrahim, salah seorang
pegawai badan induk itu. Setiap pemain dijanjikan RM8,000 oleh MSN, RM3,000
oleh PHM manakala Sony dan Thasleem, pengerusi jawatankuasa pertandingan hoki
masing-masing menyumbangkan RM15,000 dan RM5,000 untuk habuan seluruh anggota
pasukan termasuk pegawai.
Ketua
pasukan, Mirnawan Nawawi mendahului barisan wira negara ini di samping Nor
Saiful Zaini Nasiruddin, R. Shankar, Chairil Anwar Aziz, Roslan Jamaluddin,
Calvin Fernandez, Nor Azlan Bakar, Maninderjit Singh, Lam Mun Fatt, Nasihin
Nubli Ibrahim, K. Keevan Raj, K. Logan Raj, Chua Boon Huat, Suhaimi Ibrahim, S.
Kuhan dan M. Kaliswaran. Manakala pegawai pasukan yang terdiri daripada
jurulatih - Paul Lissek, Stephen Van Huizen, Yahaya Atan serta pengurus R.
Yogeswaran di samping anggota panel perubatan Dr. Ramlan Aziz dan Othman
Hussin, menerima skim ganjaran yang sedikit berbeza daripada MSN.
******************************************************
Sumber
dan Rujukan:
- http://jugjet.blogspot.com/2009/09/young-players-hound-chua-boon-huat.html;
- http://m2002.thecgf.com/SPORTS/Hockey/Heroes/default.asp;
- http://www.tribuneindia.com/1998/98sep11/sports.htm;
- http://thestar.com.my/;
- http://rizalhashim.blogspot.com/2012/09/revving-things-up.html;
- http://www.utusan.com.my/;
- http://www.squashpics.com/commonwealth_games_'98.htm;
- http://www.fiveartscentre.org/p/1998%20Commonwealth%20Games.jpg.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan