|
Bergambar kenangan bersama Azman Adnan. |
|
Bro Syafeque Azhar bersama Azman dan jersi Selangor 1998. |
|
Lagenda Kelantan, Hashim Mustapha. |
|
Shahrin Majid, masih pantas dan cergas. |
|
Antara penggerak utama perlawanan amal ini: Bro Malek Rahman. |
|
Kebetulan, bertemu para pengumpul jersi dan pendokong tegar bola tempatan. Mereka juga merupakan sahabat Fb saya. Dari kiri: King Kheiriel, Syahrul Niezam, Syafique Azhar dan Pika Ernesto. Mereka tidak lokek ilmu. Sempoi. |
|
Azlisham Ibrahim, yang sentiasa ceria. |
|
Shahril Arsat, yang pernah berkelana ke Sabah dan mencipta sejarah bersama MPPJ FC. |
|
Antara koleksi autograf para pemain yang sempat saya perolehi. |
|
Nazzab Hidzan, kini pengulas di Astro Arena. |
|
Zami Md Noor, bekas pemain kebangsaan yang masih berjaya mengekalkan fizikal dan kecergasannya. Juga pernah mewakili Selangor sewaktu di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal. |
|
Lagenda Malaysia, Dollah Salleh, yang menghadiahkan jersinya kepada saya. Kini melatih skuad Tok Gajah dalam saingan Liga Super. |
|
Tabah Sazwan Othman, pengacara Scoreboard di TV3. |
|
Tabah sewaktu sesi temubual dengan Dollah Salleh. |
|
Perlawanan timbal balik di Kota Bharu. Kedua-dua pasukan terikat 2-2. Azman Adnan yang diberi mandat menjadi ketua pasukan, menjaringkan salah-satu gol Selangor. |
Aksi Bekas Pemain Kelantan,
Selangor pukau penonton.
8hb Februari 2013, Stadium
MBPJ, Kelana Jaya.
Alhamdulillah,
pada 8hb Februari 2013 yang lepas, saya berkesempatan menyaksikan aksi pemain
lagenda dan veteran Malaysia yang pernah mewakili dua pasukan yang penuh dengan
tradisi: Selangor FA dan Kelantan FA. Skuad Bekas Pemain Kelantan berjaya
menumpaskan Skuad Bekas Pemain Selangor, 2-1 hasil jaringan Zami Md Nor (2 gol)
manakala Asmawi Bakiri berjaya menyempurnakan sepakan penalti untuk gol
saguhati Selangor.
Apa
yang menarik, perlawanan ini juga adalah bertujuan untuk mengumpul derma untuk
mengisi Tabung Kemanusiaan Palestin-Media Prima Berhad. Terdapat juga gerai
(booth) yang disediakan untuk memberi penerangan dan pencerahan berkenaan perjuangan
rakyat Palestin serta situasi semasa di Ghazzah dan Tebing Barat. Para hadirin
juga dihadiahkan senaskah buku ‘Most
Common Questions about Islam’ nukilan Dr Zakir Naik serta makalah percuma yang
memuatkan ‘Deklarasi Hak Asasi Manusia
dalam Islam Kaherah: Maruah dan Keadilan untuk Semua.’ Deklarasi ini telah
diisytiharkan di Kaherah, Mesir pada 5hb Ogos 1990 bersamaan 14 Muharam 1411H.
Meskipun
tidak sepantas dan selincah dulu, para pemain veteran Selangor dan Kelantan
masih berupaya menampilkan kemahiran serta aksi menarik yang berjaya
menghiburkan para penonton dan peminat tegar bola sepak tempatan. Setiap kali
pemain bintang seperti Azman Adnan menerima bola, pasti para hadirin bersorak,
tanda terhibur dan rindukan aksi pemain kesayangan mereka. Antara penggerak
utama perlawanan amal ini ialah bekas pemain Selangor FA dan kebangsaan, Malek
Rahman. Saya sendiri merasa cukup bertuah kerana berkesempatan untuk berbual
santai dan mengumpul autograf para pemain veteran yang hadir pada malam
tersebut. Idola saya sedari kecil, Azman Adnan antara yang paling dikerumuni
para peminat untuk bergambar kenangan. Beliau juga turut ditemubual oleh para
wartawan TV dan media cetak.
Memandangkan
antara impian saya sedari kecil ialah untuk bertemu dengan Azman Adnan, Dollah
Salleh, Hashim Mustapha dan para pemain yang pernah mewarnai Liga Semi-Pro dan
Liga-M, maka perlawanan amal tersebut memberikan makna yang cukup mendalam buat
saya dan penyokong setia bola sepak tanah air yang lain. Dapat berbual dengan Azman Adnan dan
dihadiahkan jersi Selangor oleh Dollah Salleh, pastinya sesuatu yang indah,
buat peminat marhaen seperti saya. Semoga banyak manfaatnya perlawanan amal
seperti ini kepada kita semua. Hidup Malaysia kita. Padu.
Saya suka blog tuan...nostalgia..foto silam...sebati dengan naluri pembacaan saya..
BalasPadamSalam, syeikh. Alhamdulillah, segala puji buat ALLAH. Terima kasih kerana sudi menziarahi blog yang sederhana ini. Moga saja ada manfaatnya untuk kita semua. Amin. :)
Padam