Jumaat, Februari 15, 2013

Adnan Saidin: Raja Sepak Takraw Malaysia.


Adnan Saidin: Raja Sepak Takraw Malaysia.
Sepertimana sukan bola sepak yang mempunyai Raja Bola (Allahyarham Tan Sri Ghani Minhat) dan Supermokh (Allahyarham Dato’ Mokhtar Dahari), sukan sepak takraw di Malaysia juga mempunyai wira yang tersendiri. Sinonim dengan gelaran ‘Raja Libas’ dan ‘Raja Sepak Takraw Malaysia’, Adnan Saidin mempunyai kedudukan yang tersendiri dalam jiwa para peminat sukan tanah air. Libasan mautnya sekitar era 1980-an yang amat digeruni pasukan lawan kekal segar dalam lipatan sejarah negara. Kehebatan anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini turut mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan selaku ‘Pemain Terbaik Asia 1984’ dan digelar ‘Raja Sepak Takraw Asia 1986’.

Adnan Saidin dilahirkan pada 25hb Februari 1957 di Alor Setar, Kedah, dan mempunyai ketinggian 5’ 7”. Anak beliau, Mohd Faizal Adnan juga pernah mewakili skuad sepak takraw kebangsaan. Beliau menyifatkan kecederaan ketika Sukan SEA 1985 sebagai detik yang menyedihkan dalam kerjayanya. Beliau juga meminati lagenda bola sepak Perancis, Michel Platini.

Sewaktu mewakili Kedah dalam perlawanan akhir Piala Emas Khir Johari di Alor setar pada penghujung 70-an, apit kanan pasukan lawan pengsan sejurus perlawanan berakhir selepas beberapa kali terkena bola takraw ketika membuat hadangan libasannya. Bola takraw yang direjamnya juga pernah terkena dada apit kanan dari pasukan negara jiran pada Kejohanan Sukan SEA di Jakarta pada 1979, menyebabkan pemain terbabit rebah dan sesak nafas.

Di samping itu, pernah juga seorang rakan sepasukan Adnan dalam skuad Kedah yang patah gigi, akibat terkena bola libasannya yang melantun dan terkena mulut pemain tersebut ketika sesi latihan Piala Emas Khir Johari di Dewan Datuk Syed Omar. Sementelahan, seorang penonton patah gigi apabila bola lantunan yang dilibas oleh Adnan mencecah lantai gelanggang yang kemudian melantun ke mukanya.

Adnan Saidin menceburi sukan sepak takraw sejak berusia 10 tahun, dan bersara sebagai pemain kebangsaan pada 1986 selepas beraksi dan memenangi kejuaraan di peringkat antarabangsa termasuk menggondol pingat emas dalam Sukan SEA 1979, 1981 dan 1983. Salah satu kenangan manis yang tidak dapat dilupakan Adnan ialah sewaktu di penghujung kariernya sebagai pemain sepak takraw, apabila dianugerahkan gelaran ‘Raja Sepak Takraw Asia’ pada ‘Kejohanan MAS-Utusan Malaysia-RTM 1986’.

Anugerah itu diberikan kepadanya setelah membantu Malaysia menundukkan musuh tradisi, Thailand bersama gandingannya Raziman Hassan (apit kanan) dan Azman Ismail (tekong) pada perlawanan akhir ‘antara regu terbuka’ yang disaksikan oleh belasan ribu penonton yang memenuhi Stadium Negara. Anugerah itu disampaikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang pada ketika itu merupakan Menteri Belia dan Sukan.

----------------------------------------------- 
Sumber dan Rujukan:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...