Santokh Singh, 1978. |
Soh Chin Aun, ketua pasukan Selangor untuk musim 1978. |
Skuad bintang Singapura FA. |
Dollah Kassim dalam satu aksi epik sewaktu menentang Pulau Pinang. |
Allahyarham Dollah Kassim, antara pemain terbilang Singapura. Seorang yang berdisiplin dan berjiwa besar. Al-Fatihah. |
Piala Malaysia 1975: Supermokh dan Aru The Spiderman dalam kenangan. |
1.0.
Piala Malaysia 1977
Piala HMS
Malaya yang kemudiannya dikenali sebagai Piala Malaysia pada 1967, telah mula
disertai dan didominasi oleh Singapura FA dan skuad Selangor FA sejak edisi
sulungnya pada 1921. Hal yang demikian, Piala Malaysia merupakan kejohanan bola
sepak tertua di Asia. Pada 28hb Mei 1977, Singapura FA menjuarai Piala Malaysia
-- di bawah kendalian jurulatih lagenda mereka yang sangat tegas, Choo Seng
Quee (‘Uncle Choo’) – selepas menewaskan Pulau Pinang, 3-2. Perlawanan
di Stadium Merdeka itu mengakhiri penantian selama 12 tahun Singapura untuk
mengulangi kejayaan memenangi Piala Malaysia.
Sebelum itu,
ketika perlawanan separuh akhir pertama antara Singapura dan Selangor pada
1977, Supermokh menjaringkan satu gol cantik, menerusi rembatan kencang dari
jarak 25 meter, menewaskan Edmund Wee, selepas melepasi halangan Samad
Allapitchay. Apa yang lebih menarik ialah, gol cantik tersebut dijaringkan oleh
Supermokh yang baru sahaja kembali, selepas menjalani pembedahan lutut yang
serius. Ketika berusia 23 tahun, Mokhtar diiktiraf sebagai penyerang terbaik
Asia oleh majalah “World Soccer” dan turut dinobatkan sebagai
Olahragawan Kebangsaan pada tahun 1976.
Tragedi hitam 13hb Mei 1977 di Stadium Nasional, Singapura, apabila peminat berpusu-pusu dan saling tolak-menolak untuk membeli tiket. |
Laungan Kallang, dalam kenangan. |
2.0.
Tragedi 13hb Mei 1977
Bagaimanapun,
perlawanan Separuh Akhir Piala Malaysia antara Singapura dan Selangor pada 13hb
Mei 1977 di Stadium Nasional, Singapura, mencatatkan sejarah hitam, apabila
orang ramai yang beratur untuk membeli tiket di Stadium Nasional Singapura,
merusuh. Orang ramai sudah beratur sejak pukul 10 pagi, tetapi kaunter tiket
hanya mula dibuka pada jam 8 malam. Sebaik sahaja kaunter tiket
dibuka, kekecohan pun mula terjadi di mana orang ramai di bahagian
belakang yang sudah hilang sabar, telah menyerbu ke hadapan hingga berlaku
kejadian tolak menolak. Orang ramai yang berbaris di hadapan termasuk
wanita dan kanak-kanak telah menjadi mangsa rempuhan tersebut, hingga ada
yang terjatuh malah dipijak. 44 orang cedera dalam kejadian
tersebut, manakala seorang lelaki meninggal dunia akibat serangan jantung.
3.0.
‘Kelahiran’ Fandi Ahmad
Sejelasnya,
tahun-tahun 1978-1981 menyaksikan pertembungan dua seteru tradisi Piala
Malaysia, Selangor dan Singapura dalam perlawanan akhir kejohanan tertua Asia
tersebut. Pada tahun 1979, Selangor menewaskan Singapura 2-0, sebelum tewas
kepada lawan yang sama, 1-2 pada 1980. Menjelang akhir tahun 70an, Singapura
menyaksikan kemunculan bintang bola sepak era modennya iaitu Fandi Ahmad, yang
ketika itu baru sahaja berusia 16 tahun. Fandi merupakan anak kepada Ahmad
Wartam, penjaga gol Singapura era 60an yang digelar ‘Captain Marvel’
kerana kecekapannya. Sewaktu perlawanan akhir Piala Malaysia 1980, Fandi yang
baru berumur 18 tahun menjaringkan gol kemenangan sewaktu menewaskan Selangor,
2-1. Skuad Piala Malaysia Singapura 1980 dibimbing oleh jurulatih, Jita Singh.
Fandi
menjaringkan gol penting tersebut setelah berjaya melepas halangan Santokh
Singh dalam perlawanan penuh sengit di Stadium Merdeka. Selangor yang merupakan
pasukan pilihan telah ditewaskan oleh Singapura dengan disaksikan oleh 35,000
orang penonton. Sebelumnya, Leong Kok Fann menjadikan kedudukan 1-0
menerusi kelicikannya mencuri bola melepasi ‘Towkay’ Soh Chin Aun dan
Santokh Singh. Selangor menyamakan kedudukan menerusi tendangan padu Supermokh
pada minit ke-20. Pada 1981, Selangor kembali menjuarai Piala Malaysia selepas
menewaskan Singapura, 4-0.
4.0.
Peristiwa menarik sekitar 1978
Selanjutnya,
tahun 1978 mencatatkan beberapa sejarah menarik untuk skuad negara. Antaranya
ialah jaringan Supermokh – pada bulan Mei 1978 -- untuk Malaysia, sewaktu
menentang skuad England B. Mokhtar berlari dari tengah padang, melepasi
beberapa pemain England B, sebelum melepaskan satu rembatan kencang dari jarak
30 meter, menewaskan penjaga gol Manchester City FC, Joe Corrigan. Jurulatih
England B, Bobby Robson memuji Supermokh dan jaringan tersebut, di samping
menyatakan bahawa tidak ada masalah untuk Supermokh menyertai mana-mana kelab
di England.
Selain itu,
musim 1978 juga merupakan kali pertama Wong Hung Nung dan K. Rajagopal (kini
Datuk-Jurulatih Harimau Malaya) menyertai Selangor FA. Rajagopal yang beraksi
sebagai penyerang bantuan kepada Supermokh untuk pasukan PKNS (dalam Piala
FAM), merupakan penjaring terbanyak Liga Bola Sepak Selangor sekitar 1975, dan
beraksi untuk kelab seperti Cholan Youth dan Hotspurs. Tahun 1978 juga
menyaksikan penyertaan kali pertama pasukan Sarawak FA ke dalam kancah Piala
Malaysia.
Towkay Soh Chin Aun, Reduan Abdullah dan skuad Selangor, meraikan Piala Malaysia 1978. |
Towkay, Supermokh dan skuad Selangor meraikan kejayaan menjulang Piala Malaysia 1978. |
Lagenda Selangor dan Singapura dalam kenangan.
5.0.
Perlawanan Akhir 1978: Selangor lawan Singapura
Sewaktu Separuh
Akhir Pertama pada 20hb Mei 1978, Selangor menewaskan Pulau Pinang 3-0, sebelum
mengalahkan pasukan Pulau Mutiara 1-0 pada 28hb Mei 1978. Singapura pula layak
setelah menewaskan Pahang dengan agregat 2-1. Pertemuan akhir antara dua musuh tradisi
ini berlangsung di gelanggang keramat, Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Antara
yang beraksi dalam Perlawanan Akhir Piala Malaysia 1978 ialah Nasir Jalil.
Nasir Jalil merupakan antara bintang skuad Singapura 1977 yang digelar “Crazy
Horse”, kerana gaya permainannya yang pantas dan tidak pernah kelihatan
letih.
Bintang
Singapura, Dollah Kassim yang digelar “Raja Gelek” kerana corak
permainannya yang lincah, turut beraksi pada 1978 menentang Selangor FA.
Malahan, penyanyi Kamaliah Latiff pernah menyanyikan sebuah lagu berjudul “Dollah
Kassim” ciptaan Azim Chan untuk menggambarkan bertapa popularnya Dollah
ketika itu. Dollah kemudiannya bersara selepas mengalami ‘shoulder
dislocation’ (sendi bahu yang terkeluar selepas
berlakunya kecederaan) sebanyak dua kali, iaitu pada 1978 dan 1979.
Perlawanan ini
asalnya dicemari kontroversi “The Rebel Six” apabila enam orang pemain Selangor
FA tetap menyertai skuad kebangsaan dalam Kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok,
meskipun Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) melarang mereka daripada berbuat
demikian. Meskipun mengugut untuk mengambil tindakan tegas terhadap enam orang
pemain tersebut, akhirnya FAS tetap menyenaraikan kesemuanya dalam perlawanan
menentang Singapura FA. Singapura pada asalnya dilihat melakukan permulaan yang
baik, apabila mendahului Selangor, 2-0, hasil jaringan Syed Mutalib (pada minit
ke-33) dan Quah Kim Song. Gol pertama Singapura dijaringkan hasil kepakaran
sepakan tendangan sudut S. Rajagopal, sebelum Quah Kim Song menanduk cantik gol
kedua pada minit ke-34 selepas Rashid Hassan telah meninggalkan posisi yang
sepatutnya.
Pada minit
ke-37, Ramli Junit berjaya menjaringkan gol pertama Selangor FA hasil hantaran
Abdullah Ali. R. Arumugam, ‘The Spiderman’ kemudiannya dimasukkan bagi
menggantikan Rashid Hassan yang dibolosi dua gol. Pada minit ke-79, ‘skipper’ Selangor FA, ‘Towkay’
Soh Chin Aun menjaringkan gol penyamaan hebat hasil rembatan kencang menerusi
sepakan percuma sejauh 30 meter.
John Engkatesu,
yang diejek oleh peminat Selangor FA kerana terlepas beebrapa peluang keemasan
sepanjang babak pertama, berjaya menukar nasibnya kepada menjadi seorang wira,
apabila menjaringkan gol dari sepakan lambung yang jauh pada minit ke-85.
Tatkala kemenangan sudah pasti berada di tangan Selangor FA, Ramli Junit melenyapkan
terus impian Singapura FA apabila menjaringkan gol keempat Merah-Kuning,
beberapa saat sebelum wisel penamat dibunyikan.
Dua gol berjaya
dijaringkan oleh pemain Selangor, seterusnya memastikan kemenangan mutlak, 4-2.
Kejayaan kembali daripada ketinggalan 2-0 kepada Singapura, seterusnya menang
4-2 merupakan antara kenangan paling manis buat pemain dan peminat bola sepak
Selangor FA. Keesokan harinya, Santokh Singh yang ketika itu
berusia 26 tahun, mengikat tali pertunangannya dengan Taljit Kaur di Kuil Sikh
Jalan Ipoh.
Supermokh yang
dikawal ketat oleh pertahanan Singapura FA pada malam tersebut menyatakan
bahawa, “…Mereka (pemain Singapura) menjangkakan saya yang akan menjaringkan
gol, tetapi akhirnya rakan sepasukan saya yang berbuat demikian. Ini adalah
satu kejutan kepada Singapura.”
Tidak mudah
untuk kembali selepas ketinggalan dua gol, namun Selangor di bawah pimpinan “Towkay”
Soh Chin Aun, Supermokh, Santokh Singh dan rakan-rakan berjaya membuktikan
bahawa tahap konsistensi, tumpuan dan kesungguhan dapat membuahkan hasil yang
bermanfaat. Seperti yang kita sedia maklum, ini adalah zaman indah bola sepak
kita, di mana nama bola sepak Malaysia dan Singapura begitu harum di rantau
Asia. Dari Piala Raja Thai, Piala Jakartaraya, Piala Presiden Park (Seoul)
sehinggalah Pestabola Merdeka, para pemain kita cukup disegani. Semoga kita
menghargai akar sejarah dan budaya kita, untuk pedoman hari ini dan masa depan
yang lebih gemilang. Kobar jiwa semangat. Hidup Malaysia kita. Padu!
-------------------------------------------------------------------
Sumber dan rujukan:
- http://chedinsphere.blogspot.com/2013/01/brazil-lawan-malaysia-stadium-bukit.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/piala-aff-suzuki-2012-sebuah-gambus-luka.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/boca-juniors-lawan-jemputan-selangor-xi.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/edisi-sulung-piala-fa-perak-lawan.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2011/08/supermokh-lagenda-yang-tiada-galang.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/cerita-malaysia-ke-olimpik-1980-moscow.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/cerita-malaysia-ke-olimpik-1972-munich.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/3hb-mei-1986-sabtu-perlawanan-piala.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/19hb-mei-1999-malaysia-xi-lawan-arsenal.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2011/03/penjaga-gol-terbaik-malaysia.html;
- http://www.facebook.com/jabal.noor.9;
- http://www.facebook.com/norazmi.mahmood;
- http://www.facebook.com/HangPC2;
- http://rizalhashim.blogspot.com;
- http://www.utusan.com.my;
- http://thestar.com.my/;
- http://www.rsssf.com/tablesm/malay78.html;
- http://singaporesportsfan.wordpress.com/tag/malaysia-cup/;
- http://blog.rage.com.my/local-legend;
- http://gforce-guru.blogspot.com/2011_07_01_archive.html;
- http://arkibnegara.blogspot.com/2011/02/separuh-akhir-piala-malaysia-singapura.html;
- http://stylemestiada.wordpress.com/2011/07/13/youre-in-then-youre-out-20-years-of-singapore-and-the-malaysia-cup/.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan