Barisan bintang Malaysia dan Brazil. |
Skuad Piala Dunia 2002 Brazil. |
2002: Ronaldinho dan rakan-rakan sepasukannya di KLCC. |
Dua lagenda: Ronaldo dan Zainal Abidin Hassan. |
Ronaldo melayani peminat Malaysia, usai sesi latihan. |
Big Phil dan Ronaldo. |
Para pemain Brazil berlatih menghalang sepakan percuma di Padang MSN. |
Cikgu Jan dan Skuad harapan Malaysia, 2002. |
Barisan pemain kebangsaan, bergambar kenangan sebelum bertemu Brazil. |
DYMM Tuanku Syed Sirajuddin, ketika itu YDPA, diperkenalkan kepada para bintang Brazil. |
Khalid Jamlus. |
Ronaldo dan Indra Putra Mahyuddin. |
Norhafiz Zamani Misbah, berusaha untuk mengekang Ronaldo. |
Ronaldo cuba melepasi hadangan Shahril Faizal. |
Barisan pemain negara berjaya mengekang Brazil sewaktu babak pertama perlawanan. |
Indra Putra cuba menyaingi Rivaldo sambil diperhatikan Ahmad Shahrul Azhar dan pemain lain. |
Rivaldo, beraksi buat kali pertama, selepas berehat selama sebulan, kerana kecederaan lutut kanan. |
Norhafiz Zamani Misbah dan Ronaldinho. |
Azmin Azram beraksi cemerlang dan penuh yakin, sepanjang perlawanan menentang Brazil. |
Azmin menerima Trofi Oliver Kahn untuk tahun 2002, sijil dan jersi yang ditandatangani oleh Oliver Kahn sendiri. |
Cafu menjulang Piala Dunia 2002. |
Brazil lawan
Malaysia, Stadium Bukit Jalil (26hb Mei 2002).
Sempena
persediaan terakhir skuad Brazil sebelum ke piala dunia, satu perlawanan
persahabatan antara Brazil dan Malaysia telah diaturkan pada 25hb Mei 2002. Konfederasi
Bola Sepak Brazil (CBF) bersikap profesional dengan membariskan pemain-pemain
bintang mereka, walau terpaksa mengambil risiko yang tinggi kerana beraksi di
stadium bukit jalil yang ketika itu padangnya dalam keadaan yang sangat teruk
dan baru dibaik pulih. Dengan adanya Ronaldo dan Rivaldo, skuad Malaysia
bimbingan Allan Harris perlu ada ramuan paling baik untuk cuba menyekat
pergerakan dua bekas Pemain Terbaik Dunia itu. Ditambah dengan keperkasaan
Roberto Carlos, Ronaldinho, Cafu, Emerson, Kleberson, Lucio, Edmilson dan Roque
Junior, Malaysia sebenarnya berdepan dengan sebuah pasukan mapan dan mantap.
Kesudian
Brazil ke Malaysia dan mengadakan persahabatan dengan pasukan kebangsaan di
bawah kendalian Allan Harris adalah satu penghormatan tertinggi. Ia juga
kesempatan paling berharga buat pemain kebangsaan menimba ilmu daripada
bintang-bintang dunia, selain peluang sekali seumur hidup peminat tempatan
menyaksikan Brazil dengan para bintangnya beraksi di hadapan mata secara
langsung. Pertemuan dua pasukan ini dianggap sebagai ‘langit dengan bumi’. Brazil
yang terkenal dengan aksi samba, hadir ke negara ini untuk berlatih dan
mengadakan perlawanan persahabatan terakhir sebelum ke Piala Dunia 2002 di
Korea Selatan dan Jepun, untuk mengharungi kempen ke-17 mereka. Ketika itu,
Brazil beradan di ranking ketiga dunia di belakang Perancis dan Argentina,
manakala Malaysia di tangga ke 112.
Perlawanan
ini dianjurkan oleh ProEvents, di mana tiket-tiket dijual sejak 11hb Mei 2002 dengan
harga RM200, RM70 dan RM40 yang mana lebih murah berbanding ketika perlawanan
Manchester United dengan Malaysia pada tahun 2001. Pihak penganjur telah
memberikan pas percuma untuk menyaksikan satu sesi latihan skuad Brazil kepada
10,000 pembeli pertama di kaunter tiket Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Azmin Azram
beraksi cemerlang.
Di
hadapan kira-kira 65,000 penonton, Brazil gagal menemui sentuhan jaringan
sepanjang babak pertama permainan biarpun buat pertama kali, Luiz Felipe
Scolari menurunkan gandingan tiga penyerang utamanya, Ronaldo, Ronaldinho dan
Rivaldo. Ronaldinho dan Cafu mempamerkan aksi memberangsangkan, namun
kebanyakan bintang Brazil seperti Rivaldo dan Ronaldo, beraksi di bawah
keupayaan sebenar. (Ini merupakan perlawanan pertama Rivaldo bersama Brazil,
selepas berehat selama sebulan keranan kecederaan lutut kanan). Para pemain Malaysia
beraksi sebaik mungkin, sehingga mengikat Brazil tanpa jaringan pada 45 minit
pertama. Azmin, yang pernah digantung kerana terlibat dengan masalah disiplin,
mencuri tumpuan semua, malah media Brazil juga mengakui ketangkasan penjaga gol
itu yang menafikan tiga percubaan tepat Ronaldo, dua tandukan tajam Lucio dan
sepakan percuma berbahaya Ronaldinho.
Azmin
yang ketika itu mempunyai kurang-lebih 30 caps antarabangsa, juga merupakan
pemenang pertama ‘Trofi Oliver Kahn’
untuk musim 2002, sementara penjaga gol lagenda, Khairul Azman Mohamed mendapat
tempat kedua. Jaring Malaysia seharusnya bergegar sekurang-kurangnya enam kali
pada babak pertama termasuk tiga percubaan tepat Ronaldo tetapi ketangkasan
Azmin harus memikat kesebelasan skuad samba. Begitupun, barisan pertahanan
negara tidak langsung diberi rehat oleh rangkaian serangan Brazil dengan asakan-asakan
berbahaya mereka. Bermula daripada kesilapan Khalid Jamlus yang hampir menanduk
ke gawang sendiri pada minit ketiga menerusi satu sepakan sudut, Brazil
memulakan aksi berbahayanya.
Emerson
(ketika itu bintang AS Roma) hampir menanduk masuk sepakan sudut Ronaldinho dan
tujuh minit kemudian, giliran Ronaldinho menguji Azmin menerusi sepakan percuma
yang ditepis keluar penjaga gol negara. Seminit kemudian, Lucio (ketika itu beraksi
dengan Bayer Leverkusen di Jerman) melonjak tinggi menanduk bola sepakan sudut
tetapi bola singgah ke kaki Subri Sulong yang menendang keluar. Ronaldo (ketika
itu bintang Inter Milan) yang pada mulanya agak kurang mendapat bola, mula
menunjukkan bisa pada minit ke-20. Bintang dunia itu melepaskan tendangan
kencang dari luar kotak penalti tetapi Azmin berada pada posisi yang betul
untuk menguis keluar bola.
Pintu
gol Malaysia sentiasa terancam setiap kali Brazil mendapat sepakan sudut dan
Lucio berpeluang untuk membuka jaringan seminit kemudian tetapi sekali lagi
Azmin bertindak cemerlang menepis keluar. Sebelum waktu rehat, Ronaldo memiliki
dua peluang terbaik pada minit ke-27 dan 31. Sepakan kencangnya dari luar kotak
penalti – hasil hantaran Cafu -- terkena Norhafiz Zamani Misbah manakala
percubaan keduanya ditepis keluar oleh Azmin pada jarak dekat.
Brazil tunjuk
kemampuan sebenar pada babak kedua.
Selepas
menghadapi masalah menembusi benteng padat Malaysia pada babak kedua, Brazil
mula pesta golnya pada babak kedua ketika permainan berusia 52 minit. Sentuhan
Ronaldo jelas masih berbisa apabila mudah membuka jaringan untuk skuad Samba,
permulaan kepada pesta jaringan Brazil di Bukit Jalil. Sebelum ke Malaysia, Ronaldo
telah mengalami kemarau gol antarabangsa sejak 1999 sewaktu menyarung jersi
skuad ‘Selecao’. Ronaldo beraksi
selama 72 minit di atas padang, malah menjadi pencetus kepada jaringan Juninho.
Gol terakhir Ronaldo dijaringkan sewaktu Copa America (menentang Uruguay) dan perlawanan
persahabatan menentang Argentina, kedua-duanya pada tahun 1999. Perlawanan menentang
Malaysia merupakan perlawanan ketiga Ronaldo, selepas berehat selam
dua-setengah tahun, kerana menjalani dua pembedahan lutut.
Juninho
– bekas bintang Altetico Madrid FC dan Middlesbrough FC -- yang dibawa masuk
menggantikan Rivaldo, menambah gol kedua Brazil pada minit ke-64, juga menerusi
gerakan mudah dengan meleretkan bola melepasi Azmin, selepas bermain dengan
hantaran satu-dua dengan Ronaldo. Denilson (ketika itu mewakili Real Betis), terus
menggegar gawang negara dengan gol ketiga minit ke-72 hasil gerakan solonya
dari tengah padang sebelum mengatasi beberapa pemain Malaysia dan Azmin, dengan
melorongkan bola ke penjuru kanan pintu gol Malaysia. Edilson turut melakar
nama sebagai penjaring Brazil enam minit kemudian menerusi sepakan padu untuk
gol keempat skuad juara dunia itu.
Kenangan berharga
dan sebuah sindiran.
“Kami ke sini cuma mahu berlatih. Jika
kami mahu lawan yang kuat untuk persahabatan terakhir kami, kami boleh
menentang Itali atau Jerman,” kata Scolari selepas Brazil
menewaskan Malaysia 4-0 dalam aksi persahabatan itu. Kenyataan jurulatih Brazil
itu agak sinis, tetapi itulah tanggapan mereka, malah dunia sekali pun. Brazil,
juara dunia empat kali, selayaknya menang dengan jaringan lebih besar ke atas
Malaysia, kalau tidak kerana kecekapan Azmin Azram, dan corak permainan
bersahaja pemain Brazil. Dunia mungkin menyindir kemampuan pasukan kita, tetapi
malam itu, Malaysia – sebuah negara kecil bola sepak moden -- memperoleh satu
pengalaman besar yang berharga. Kita pernah beraksi satu gelanggang dengan skuad
juara Piala Dunia.
- Pemain Malaysia: Azmin Azram Aziz (Syamsuri Mustafa), Norhafiz Zamani Misbah (Nizam Jamil), Rosdi Talib, Subri Sulong (Shahril Faizal), Liew Kit Kong, Indraputra Mahayuddin (K. Rajan), Muhamad Kaironnisam, Tengku Hazman Raja Hassan (Shukor Adan), Ahmad Shahrul Azhar (Mazuki Yusof), Akmal Rizal Rakhli (Hasmawi Hassan), Khalid Jamlus (Zainizam Marjan);
- Pemain Brazil: Marcos (Dida), Anderson, Lucio (Vampeta), Edmilson, Roque Junior, Roberto Carlos (Junior), Emerson (Gilberto Silva), Kleberson (Juninho Paulista), Rivaldo (Kaka), Ronaldinho (Edilson), Ronaldo (Luizao);
- Pengadil: M. Mongkol.
------------------------------------------------------------------
Sumber dan Rujukan:
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/piala-aff-suzuki-2012-sebuah-gambus-luka.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/boca-juniors-lawan-jemputan-selangor-xi.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/edisi-sulung-piala-fa-perak-lawan.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2011/08/supermokh-lagenda-yang-tiada-galang.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/cerita-malaysia-ke-olimpik-1980-moscow.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/cerita-malaysia-ke-olimpik-1972-munich.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/3hb-mei-1986-sabtu-perlawanan-piala.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/19hb-mei-1999-malaysia-xi-lawan-arsenal.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2011/03/penjaga-gol-terbaik-malaysia.html;
- http://www.facebook.com/norazmi.mahmood;
- http://myfcf.blogspot.com/2012/03/malaysia-vs-brazil-on-25-may-2002-vip.html;
- http://news.bbc.co.uk/media/images/38016000/jpg/_38016905_rivaldo300.jpg;
- http://www.kosmo.com.my/;
- http://thestar.com.my/;
- http://www.bharian.com.my/;
- www.nst.com.my/;
- www.utusan.com.my/.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan