Khamis, Januari 03, 2013

Ambang 2013: Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Haslin Bollywood.


Kitab Safwatut Tafasir, karangan Syeikh
Dr Muhammad Ali As-Sobuni
.
Syeikh Dr Muhammad Ali As-Sobuni.
Meskipun uzur dan perlu dipimpin untuk
berjalan, Syeikh Dr Muhammad Ali As-Sobuni
tetap menggagahkan diri demi menyantuni
hadirin pada malam Ambang 2013.
Syeikh Dr Muhammad Ali As-Sobuni.
Syeikh Dr Muhammad Ali As-Sobuni.
Ustaz Nazmi Karim sebagai penterjemah
pidato Syeikh As-Sobuni pada
malam tersebut.
Ustaz Haslin mengimami solat berjemaah.
Ustaz Haslin, UAI dan Datuk Malek Noor.
Kamal Adli, UAI dan Pierre Andre.
Jaguh bola Harimau Malaya dan Harimau Muda,
Wan Zack Haikal, UAI dan Nasha Edziera
(pelumba cup prix wanita).
Wan Zack, UAI dan Aziz M. Osman.
Lebuhraya Persekutuan dan malam tahun baru.
Minda baru segalanya.
Bergambar kenangan bersama sepupu
merangkap sahabat ikrab
sedari kecil, Amirull.
Selain berkhidmat sebagai pendidik, Amirull juga 
merupakan seorang penulis surat-berita (newsletter). 
Menurut beliau, tulisannya “…percuma dan tiada 
pegangan hak cipta. Bebas di‘xerox’, disalin 
dan dibaca. Ilmu dan informasi untuk 
semua manusia.” Sempoi.

----------------------------------------------------------------------
Setiap orang melihat Yang Tak Terlihat
dalam persemayaman hatinya.
Dan penglihatan itu bergantung pada seberapakah
ia menggosok hati tersebut.
Bagi siapa yang menggosoknya hingga kilap,
maka bentuk-bentuk Yang Tak Terlihat
semakin nyata baginya.

-- Syeikh Jalaluddin Ar-Rumi 
(Hati Bersih Melihat TUHAN).

Alhamdulillah, tanggal 31hb Disember 2012 yang lepas, saya berkesempatan untuk hadir ke “Majlis Ambang 2013” yang dianjurkan di Shah Alam, ibu negeri, Negeri Selangor Darul Ehsan. Kurang-lebih 120,000 orang daripada pelbagai latar belakang hadir membanjiri Dataran Kemerdekaan, Shah Alam bagi memeriahkan Program “Jom Santai Bersama GeMS” (Generasi Idaman Selangor) kelolaan Kerajaan Negeri Selangor, sempena ambang 2013. Program “GeMS” itu diadakan dengan pendekatan menyambut tahun baru dengan tema keagamaan serta bersifat santai. Ia ternyata mendapat sambutan hebat dan ia memberi nafas baru kepada penganjuran majlis. Terdahulu, program terbabit berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Disember dengan pelbagai program menarik termasuk “Karnival Pendidikan Selangor- EduSEL Fair 2012”.

Selain itu, turut diadakan ceramah santai yang bertajuk “SPIES” membentuk masyarakat sejahtera yang menampilkan Dr Ruziah Ghazali, Ustaz Shukri Yunus dan Ustaz Fauzi Mustafa. Forum “Jom Bercinta” yang membariskan panel Ustazah Fatimah Syarha dan pelakon, Shamsul Ghau-Ghau dan ceramah ilmuan bersama Ustaz Datuk Ismail Kamus. Manakala, sambutan kemuncaknya diadakan program sambutan “Ambang 2013” dengan menyaksikan persembahan sajak daripada pelakon, Diana Amir dan “Sembang Santai” bersama Ustaz Azhar Idrus (UAI); Ustaz Haslin Baharim (Ustaz ‘Bollywood’); Aziz M. Osman; Datuk Malek Noor; Kamal Adli; Pierre Andre; Wan Zack Haikal (pemain bola sepak kebangsaan); Nasha Edziera Mohd Bahauddin (pelumba motorsikal ‘cup-prix’). Gabungan golongan agama dari generasi lama dan baru serta artis popular itu berjaya menarik perhatian pengunjung untuk mengikuti majlis dari awal hingga akhir.

Para hadirin berhimpun di Padang A dan Padang B, yang terletak berhampiran Muzium Negeri dan Masjid Sultan Abdul Aziz Shah (Masjid Biru). Solat Maghrib dan Isya’ juga dilakukan secara berjemaah di Padang A. Ada yang sujud di atas simen, tar, rumput dan tanah. Solat diimamkan oleh Ustaz Haslin. Dikhabarkan bahawa kurang-lebih 120,000 orang hadir ke majlis tersebut. Jumlah ini adalah agak signifikan, mengambil kira bahawa ramai anak muda yang hadir untuk mendengar kuliah Ustaz Haslin dan UAI, selain terdapat tujuh buah program sambutan tahun baru lain yang dilaksanakan pada waktu dan hari yang sama.

Antara slot yang paling memberi kesan kepada para hadirin pada malam tersebut ialah sesi di mana ulama’ tersohor dunia dari Syria, Al-Fadhil Sheikh Dr. Muhammad Ali As-Sobuni, 83 tahun, yang memberi ucapan dan diterjemahkan oleh Ustaz Muhammad Nazmi Karim. Syeikh As-Sobuni merupakan Ketua Persatuan Ulama’ Syria dan Pengarang Kitab “Sofwah At-Tafasir.”

Menurut Syeikh As-Sobuni, beliau diberi gelaran As-Sobuni (sabun) kerana keluarganya merupakan pembuat sabun pencuci. Beliau – secara bergurau – menyatakan bahawa, “…tapi apabila tangan kalian kotor, janganlah dicuci pada baju saya. Saya bukan pencuci tangan atau baju, tetapi saya (berharap bahawa saya) adalah pencuci hati-hati manusia.” Selanjutnya beliau menambah, “…kalian pilihlah pemimpin yang menjaga agamanya. Dengan demikian, dia akan lebih takut apabila dipersoalkan ALLAH SWT di Akhirat nanti.” Walaupun telah uzur, ulama’ besar ini masih bersemangat dan lantang ucapannya. Contoh yang baik untuk sekalian anak muda.

Antara kata-kata Ustaz Haslin yang paling mengesankan ialah, “…apabila kita hendak berubah, kita perlulah tanamkan dalam hati. Seterusnya, berubahlah walau pun dengan sebatan pensel sahaja.” Majlis yang menerima sambutan ramai ini diakhiri dengan nyanyian nasyid Asmaul Husna dan bacaan doa penutup oleh UAI. Semoga penganjuran majlis seperti ini diteruskan secara konsisten dan lebih meluas, agar manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat Malaysia secara umumnya, in sya ALLAH. Hal ini menunjukkan bahawa masih ramai yang menyayangi Islam; di mana para hadirin sanggup bersila di atas padang yang becak dari sebelum Maghrib hingga pukul 1 pagi, semata-mata untuk menghadiri majlis ilmu tersebut. 


Melihat lautan manusia pada malam Ambang 2013 itu, membuatkan saya terkenang kepada puisi “Lihatlah Yang Terdalam” karangan Syeikh Jalaluddin Ar-Rumi: “Jangan kau seperti iblis; hanya melihat air dan lumpur ketika memandang Adam. Lihatlah di balik lumpur; beratus-ratus ribu taman yang indah.”

-----------------------------------------------------------------

Sumber dan rujukan:
  1. http://www.facebook.com/Ustazazharidrus;
  2. http://www.facebook.com/Ustazazharidrus/photos_stream;
  3. http://www.facebook.com/media/set/?set=a.464426953616297.108085.158725644186431&type=1;
  4. http://akhi-ahmad-kamil.blogspot.com/2012/08/terjemahan-tafsir-surah-yaasin-daripada.html;
  5. http://kerabubersuara.blogspot.com/2013/01/himpunan-gambar-sempena-sambutan-ambang.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+blogspot%2FRzVdP+(Kerabu+Bersuara);
  6. http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0718&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm;
  7. http://www.selangorku.com/?p=20701. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...