| ||
Majalah Dunia Sukan mengiktiraf Supermokh sebagai penyerang 70an dan 80an paling unggul. |
| ||
Kulit belakang biografi Supermokh menampilkan gambar Allahyarham dengan Diego Maradona. |
Seorang bapa yang penyayang: Supermokh memangku anak bongsunya, Nur Arina. |
Supermokh bersama Zainol Fakir dan Rashid Azad Khan. |
Supermokh menandatangani naskah biografinya. |
Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat-NYA ke atas roh Allahyarham Mokhtar Dahari. |
Naskah ‘Mokhtar Dahari: Lebih Satu Dekad Bergelumang
dengan Bola Sepak’ (1989).
Sepertimana
yang kita sedia maklum, Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd (Kumpulan
Utusan) pernah menerbitkan sebuah buku biografi khas untuk Allahyarham
Supermokh pada tahun 1989, berjudul ‘Mokhtar
Dahari: Lebih Satu Dekad Bergelumang dengan Bola Sepak’ dengan kata-kata
pentingnya dipetik berbunyi, “…saya
bekerja keras untuk apa yang saya capai hari ini.”
Naskah
yang mempunyai 137 halaman ini ditulis secara bersama oleh Joe Marcose, Zainol
Fakir dan Mustakim Aminuddin, dan memaparkan detik-detik peristiwa dan kenangan
yang dilalui oleh Supermokh sejak mula berkecimpung dalam arena bola sepak sehingga
saat keuzurannya, di samping membuktikan betapa penderitaan beliau turut
dirasai bersama oleh rakyat dan negara.
Kali
terakhir Mokhtar dipanggil mewakili negara ialah pada Pusingan Kelayakan Piala
Dunia 1985 di Seoul, Korea Selatan namun skuad negara tewas 0-2. Supermokh
asalnya telah beberapa kali mengumumkan persaraan, tetapi kembali atas rasa
cinta yang mendalam terhadap bola sepak tanah air. Paling diingati ialah
sewaktu Perlawanan Akhir Piala Malaysia 1986, di mana Selangor FA menang 6-1 ke
atas Johor FA dan Mokhtar menerima Anugerah Pemain Terbaik Dunhill.
Malahan,
Supermokh telah menghadiahkan jersinya kepada Raja Muda Selangor ketika itu,
DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj (kini Sultan). Sultan Sharafuddin
kemudiannya turut menghadiahkan cenderamata berbentuk pinggan yang diperbuat
daripada perak kepada Supermokh. Namun, atas desakan peminat dan pengurusan
Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Supermokh kembali daripada persaraannya
pada 1987 untuk membantu Selangor, kali ini sebagai pemain dan pembantu
jurulatih. Meskipun Selangor FA berjaya memenangi Piala Sumbangsih 1987 selepas
menewaskan Wilayah Persekutuan FA, pasukan tersebut hanya mampu menduduki
tangga ke sembilan liga, sekaligus gagal untuk layak ke Suku Akhir Piala
Malaysia 1987.
Pada
tahun 1987, Supermokh turut beraksi bersama Kwong Yik Bang FC dan menjadi jurulatih kelab tersebut dalam Liga FAM. Ketika menjadi jurulatih
dan selepas pertama kali didedahkan beliau mengidap penyakit ‘motor neurone’, ia tidak menghalang
Supermokh untuk terus menabur khidmatnya. Malah, ketika berkerusi roda, beliau
masih bersama anak buahnya di padang dan stadium memberi tunjuk ajar.
Supermokh
telah menjalani rawatan di London pada 1989 dan kelihatan lebih baik sewaktu
pulang ke tanah air, di mana beliau turut berubat secara tradisional dan mampu
memandu kereta sendiri. Bagaimanapun, kesihatan beliau kembali merosot apabila
beliau terjatuh dan tangannya terseliuh. Ketika inilah buku biografi beliau
diterbitkan oleh Kumpulan Utusan dan diluncurkan di Stadium Merdeka oleh
Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). Laungan nama Supermokh bergema sebelum
perlawanan Selangor-Kedah pada 24hb September 1989, selanjutnya mengembalikan
ingatan semua kepada pemain itu pada zaman kegemilangannya.
Begitupun,
laungan “Mokhtar! Mokhtar!” pada
malam tersebut tidak diiringi dengan larian pantas dan rembatan kencang
Supermokh. Beliau dikatakan cukup menyenangi penerbitan biografi tersebut, di
mana ia bukanlah bertujuan mengagung-agungkan beliau, tetapi untuk memberikan
motivasi kepada semua untuk berusaha keras untuk mencapai kejayaan.
Selepas
3 tahun bertarung dengan penyakitnya, anak jati Setapak, Kuala Lumpur ini
menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor pada
pukul 8.25 pagi, 11hb Julai 1991 ketika berusia 37 tahun akibat penyakit ‘motor neurone’. Allahyarham Supermokh meninggalkan
seorang balu, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim dan tiga anak, Mohamad Reza
yang juga bekas pemain bola sepak Selangor, Nur Azera dan Nur Arina. Jenazah
Allahyarham Supermokh disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat
Permai, Bukit Permai. Al-Fatihah sekudusnya, buat Supermokh, wira kita semua.
--------------------------------------------------------------------
Sumber dan rujukan:
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/3hb-mei-1986-sabtu-perlawanan-piala.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/boca-juniors-lawan-jemputan-selangor-xi.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2013/01/singapura-lawan-selangor-piala-malaysia.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2011/08/supermokh-lagenda-yang-tiada-galang.html;
- http://www.utusan.com.my;
- Majalah Arena Bola Sepak;
- Majalah Dunia Sukan;
- Utusan Malaysia;
- New Straits Times.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan