Khamis, November 08, 2012

Nostalgia Liga Malaysia: Rusdi Suparman.


Mohd Rusdi Bin Mohd Suparman  dilahirkan pada 27hb Januari 1973 di Selayang, Selangor. Berketinggian 173cm, beliau menyertai skuad utama Selangor FA sekitar 1993. Rusdi Suparman mengakhiri zaman bujangnya apabila mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihannya, Norazah Ahmad, ketika berusia 27 tahun. Rusdi melangsungkan akad nikah di rumah pengantin perempuan di Batu Caves, Selangor. Majlis persandingan pula diadakan di rumah pengantin perempuan.
Dikenali sebagai ‘Superman’ dalam kalangan peminat Merah-Kuning, Rusdi pernah mengangotai skuad Kelayakan Olimpik serta pasukan kebangsaan Malaysia. Rusdi mempunyai rekod 41 caps dan 19 gol untuk pasukan kebangsaan.
Rusdi digelar ‘Superman’ bukan saja kerana nama bapanya (Suparman), tetapi juga kerana beliau gemar menyelak jersinya dan menutup kepalanya, lantas mempamerkan singlet hitam yang mempunyai logo ‘Superman’ setiap kali menjaringkan gol.  
Meskipun aksi tersebut dianggap epik dan disanjung peminat, beliau tidak dapat meneruskan aksi itu kerana isu penajaan. Pihak penaja utama Liga-M ketika itu, Dunhill, telah menghantar aduan kepada FAM kerana Rusdi didakwa melanggar peraturan penajaan antara Dunhill dan FAM.
Mengikut terma perjanjian tersebut, setiap pemain dikehendaki mempamerkan logo Dunhill pada jersi sepanjang mereka berada di atas padang. Hal yang demikian, Persatuan Boal Sepak Selangor (FAS) telah didenda sebanyak RM2,000 untuk setiap kontrak yang dilanggar.
Bersama Che Zambil Ahmad, beliau dikenang sebagai ‘penyerang kembar’ Azman Adnan ketika era kegemilangan mereka. Gandingan Rusdi dan Azman cukup digeruni ketika era kemeriahan Liga Malaysia. Rusdi bergandingan dengan Azman dari 1993-1998, sebelum meneruskan persembahan mantap bersama Nizaruddin Yusof dan Yusri Che Lah, selepas Azman berhijrah ke Pulau Pinang FA.
Rusdi juga merupakan Pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Premier II selepas menjaringkan 15 gol untuk skuad The Red Giants untuk musim 1999.
Dikenang kerana setia bersama Selangor FA ketika jatuh-bangun skuad tersebut, Rusdi pernah memenangi beberapa piala seperti Liga Perdana, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Malaysia. Bersama The Red Giants, Rusdi menjaringkan 93 gol dalam 243 penampilan bersama pasukan tersebut.
Selepas hampir 10 tahun bersama Selangor, Rusdi berhijrah ke PKNS FC pada 2003 hingga 2004 sebelum beraksi bersama Telekom Melaka FC. Bersama PKNS, Rusdi menjaringkan 9 gol dalam 19 penampilan manakal 6 gol berjaya disumbangkan oleh beliau untuk Telekom dalam 15 kali aksinya bersama kelab tersebut. Pada tahun 2006, Rusdi menyarung jersi Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bersama beberapa orang sahabat beliau seperti Azrin Shah Zainal, Zami Mohd Noor dan Azrol Amri Burhan di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman, Ong Kim Swee (kini Datuk).  
Pernah membimbing skuad belia Selangor sehingga 2013, musim 2014 menyaksikan Rusdi menabur bakti bersama PKNS FC. Rusdi Suparman, nama yang cukup gah ketika era 90an dengan motor berkuasa besar dan kasut Diadoranya, lagenda yang digelar ‘Selangor’s Flamboyant Striker’ ketika era jatuh-bangun Selangor ini, akan terus dikenang dalam lipatan sejarah bola sepak Malaysia, atas jasa dan pengorbanannya.

 -----------------------------------------------
Sumber:
  1. http://www.facebook.com/jabal.noor.9;
  2. http://www.facebook.com/norazmi.mahmood;
  3. http://www.facebook.com/HangPC2;
  4. http://www.utusan.com.my;
  5. http://thestar.com.my/;
  6. www.nst.com.my/;
  7. https://www.facebook.com/azman.adnan.;
  8. http://www.facebook.com/azizol.abuhaniffah;
  9. Majalah Arena Bola Sepak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...