Ahad, November 11, 2012

Nostalgia Liga Malaysia: Allahyarham Shadan Zahari.

Shadan Zahari cuba menyaingi
pemain Olimpik Jepun, Nishigaya. 
Shadan Zahari,
bekas penyerang Pahang dan kebangsaan.
Skuad Tok Gajah sekitar 90an yang dibarisi
oleh ramai anak muda kelahiran Pahang.
Pendahuluan.
Dibesarkan di Kampung Pahang Tua, Bandar Diraja Pekan, Pahang, Shadan Zahari merupakan anak kelapan dari 11 orang adik-beradik. Shadan Zahari memulakan kerjaya beliau dengan menganggotai skuad Sukan Malaysia (Sukma) Tok Gajah yang turut dibarisi oleh Shahruddin Rosdi dan Azizul Kamaluddin, dibawah kendalian Fuzzeimi Ibrahim. Kemudian, Shadan mewakili Pahang dari 1993 hingga 1996, dan pernah bermain untuk skuad Olimpik Malaysia, yang bersaing untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Atlanta 1996.


Skuad Pahang 1995, yang menjuarai Liga Perdana
dan menjadi Naib Juara Piala Malaysia
.

Bermain untuk Pahang.
Selain pantas, Shadan mampu menggunakan kedua-dua belah kakinya untuk menjaringkan gol, selain mempunyai tandukan yang tajam. Shadan adalah antara anak muda Pahang  yang dikesan bakatnya oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) untuk diserap ke dalam skuad Liga Semi-Pro (kemudiannya Liga Perdana) Tok Gajah. Antara anak Pahang lain yang diserapkan bersama Shadan ialah Azizol Kamaludin, Azhar Kamaludin, Azaruddin Aziz, Zulhamizan Zakaria, dan ramai lagi. Shadan mula mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad Tok Gajah pada 1994, apabila beliau menggantikan tempat Dollah Salleh yang mengalami kecederaan. Di Pahang, Shadan turut beraksi bersama Zainal Abidin Hassan, dan dua orang pemain import Pahang ketika itu, Attapol Buspakom (Thailand) dan Azamat Abduraimov (Uzbekistan).

Shadan (gambar bawah, dua dari kanan) sewaktu aksi menentang
skuad Olimpik Jepun. Antara yang kelihatan: Zainal Abidin, Ching Hong
Aik, Khairul Anuar Baharom dan Matlan Marjan. Jersi yang dipakai oleh
skuad kebangsaan ini adalah jersi yang bersifat langka (rare).
Shadan (no.9) bersama barisan muda negara.
Shadan (no.10) bersama skuad harapan negara ketika itu.
Belakang dari kiri: M. Chandran, Shahruddin Rosdi, Nazarudin Zain,
Azmin Azram, Rusdi Suparman, dan Faizal Zainal. Depan dari kiri:
Raizuwah Idris, Shadan Zahari, Idris Karim, Hasnizam Uzir dan
Ching Hong Aik.

Beraksi untuk skuad kebangsaan.
Di bawah kendalian jurulatih dari Tanah Perancis, Claude Le Roy, Shadan dilatih untuk menjadi ketua penggempur skuad Olimpik Atlanta 1996 negara. Antara barisan pemain skuad Olimpik negara ialah: Hasnizam Uzir, Rusdi Suparman, Khairil Zainal, Faizal Zainal, Nazarudin Zain, Idris Karim, Yusri Che Lah, Ching Hong Aik, Mohamed Nor Derus, M. Chandran, Roslan Rahim, Raizuwah Idris, S. Ragesh, Tuan Kamree Yahya, Paul Raj dan Maizal Hairi Marzuki. Bersama skuad kebangsaan, antara kejohanan yang disertai oleh Shadan ialah Kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok pada 1995 dan Piala Kemerdekaan di Vietnam, juga pada tahun yang sama.

Shadan sentiasa ditemani ibunya
yang begitu menyantuni kebajikan beliau.
Shadan ketika terlantar di atas katil (kiri)
dan sewaktu beraksi untuk Pahang (kanan).
Barisan emas Pahang, yang diketuai
oleh Zainal Abidin Hassan.

Allahyarham Shadan,
sewaktu bersama skuad Pahang.
Kemalangan jalan raya.
Tanggal 3hb Oktober 1996, Shadan ditakdirkan untuk terlibat dengan nahas kemalangan jalan raya, di KM10, Jalan Kuantan-Pekan, berhampiran Penjara Penor. Ketika kemalangan tersebut berlaku, Shadan baru sahaja berusia 24 tahun. Beliau mengalami retak tulang belakang yang serius, manakala dua lagi pemain Pahang yang bersama beliau, Zulkifli Mamat dan Norhafiza Basri hanya mengalami kecederaan ringan. Selepas kemalangan tersebut, Shadan ditempatkan di Wad Kecemasan, Hospital Tengku Ampuan Afzan. Shadan ditakdirkan untuk menghabiskan sisa hidupnya di atas kerusi roda, selepas beliau disahkan lumpuh dari pinggang ke bawah.

Aidilfitri tahun 2000: Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah
sewaktu berkunjung ke rumah keluarga Shadan di Kampung Pahang
Tua. Turut menziarahi Shahdan ialah sahabat seperjuangan beliau
dalam Tok Gajah seperti Azaruddin Aziz.
DYMM Sultan Ahmad Shah sewaktu menziarahi Shadan
pada 1996. FAM menyumbangkan RM50, 000 bagi
menampung perbelanjaan rawatan Shadan.
Kembali ke Rahmatullah.
Pada 5hb Disember 2006, Shadan Zahari, bekas penyerang Pahang dan kebangsaan, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 4 pagi, sewaktu berusia 33 tahun. Sebelum meninggal dunia, Shadan sempat meninggalkan pesan terima kasihnya kepada Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, di atas keprihatinan baginda terhadapnya. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong Johar. Antara rakan yang menziarahi keluarga Allahyarham termasuklah Azizul Kamaludin, Ahmad Yusof, Jalaludin Jaafar dan Mohd Ali Tahar. Al-Fatihah yang sekudusnya, buat pemain berjiwa besar ini: Shahdan Zahari. 


*********************************

1 ulasan:

  1. Semoga roh nya dicucuri rahmat....dari peminat tegar Pahang sejak zaman beliau...

    BalasPadam

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...