Piala Sumbangsih 1998: Selangor lawan Sarawak.
(4hb April 1998, Stadium Sarawak, Kuching).
Tahun 1998 menyaksikan prestasi Selangor jatuh merudum. Musim
tersebut dimulakan dengan kontroversi yang tercetus antara Azman dan Persatuan
Bola Sepak Negeri Sembilan. Azman dikatakan sudah menyatakan persetujuan untuk
menyertai pasukan Hoben Jang Hoben tersebut. Namun, selepas berita
tersebut dipaparkan di dada-dada media, akhirnya satu sidang media dianjurkan
pihak pengurusan Selangor yang baru, diketuai pengurusnya, Dato’ Mokhtar Ahmad
yang menggantikan Dato’ Aini Taib. Sewaktu sidang akhbar tersebut, Azman
yang kemudiannya mula menyimpan jambang, kelihatan sangat sugul dan muram.
Pengumuman berkenaan kekalnya Azman dalam pasukan Selangor bagi musim 1998 dibuat
sewaktu sidang media tersebut.
Selangor yang menjulang tiga piala pada musim 1997, memulakan
langkah sumbang apabila tewas 1-3 kepada Sarawak dalam Perlawanan Piala
Sumbangsih 1998. Perlawanan ini dianjurkan di Stadium Sarawak, Kuching, di mana
Sarawak, Juara Liga Malaysia 1997, berdepan cabaran The Red Giants yang
memenangi Piala Sumbangsih ’97, Piala Fa ’97, Piala Malaysia ’97 dan Piala Emas
Raja-Raja ’97.
Dua gol Sarawak FA dijaringkan oleh Ramos Sari – yang menewaskan
Abdul Hadi Tahir pada minit ke-19. Kemudian, harapan Selangor dinyalakan oleh
Azman Adnan – yang berjaya menewaskan Mazlan Wahid -- pada minit ke-21.
Bagaimanapun, Sarawak terus bangkit dengan dua lagi gol, juga menerusi Ramos
pada minit ke-25 dan bekas pemain import Selangor pada musim 1994, Alistair
Edwards melengkapkan malam gemilang skuad Ngap Sayot apabila memastikan
kemenangan 3-1 Sarawak ke atas skuad Merah-Kuning pada minit ke-29.
Perlawanan ini dikecam hebat oleh
peminat Selangor, memandangkan Sarawak hanya bermain dengan sepuluh pemain
sepanjang babak kedua permainan, apabila Ahmad Fairuz Yunus dilayangkan kad
merah. Hujan renyai-renyai ketika itu seolah-olah menggambarkan musim suram
Selangor bakal bermula, apabila skuad The Red Giants gagal memberikan saingan
yang baik meskipun diperkuatkan oleh pemain import seperti Mehmet Durakovic, Alexander
Freeman dan Jeff Hopkins. Meskipun baru tewas satu perlawanan ketika itu,
khabar angin mula tersebar luas, bahawa jurulatih yang membimbing Selangor FA
untuk menjuarai tiga kejuaraan pada musim 1997, Steve Wicks akan dipecat.
- Selangor: Abdul Hadi Tahir; Azman Adnan; Aizal Lamin; Jeff Hopkins; Mehmet Durakovic; Alexander Freeman; Zainal Abidin Hassan; Asroff Hanafiah; Nazzab Hidzan; Rizal Hassan; Shahril Arsat;
- Sarawak: Mazlan Wahed; Billy Bone; Alistair Edwards; Doug Ithier; Bobby Pian; Dahlan Matusin; Roslan Ismail; Ahmad Fairuz Yunus; Ibrahim Mantali; Ramos Sari; dan Ali Sapiee.
-----------------------------------------
Sumber
dan Rujukan:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan