Khamis, Mac 14, 2013

Konvensyen Pencerdasan Rakyat (9hb Mac 2013).

Konvensyen Pencerdasan Rakyat (9hb Mac 2013).
1.0. Pendahuluan.
Pada 9hb Mac 2013, sebuah program yang diberi nama ‘Konvensyen Pencerdasan Rakyat’ telah dianjurkan di Dewan Kompleks Belia dan Kebudayaan, Seksyen 7, Shah Alam. Acara dimulakan sekitar jam 10 pagi dengan dimulai oleh alunan nasyid ‘Asma’ul Husna’ secara beramai-ramai dan bacaan Ayat Suci Al-Quran oleh wakil PKPIM. Majlis dipengerusikan oleh Yang Dipertua ABIM Daerah Kuala Langat, Cikgu Radin Mohd Imaduddin dengan baik sekali.



Saudara Fahmi Samsuddin, Presiden PKPIM.
Politicians all too often think about the next election. Statesmen think about the next generation.” (Politikus selalu memikirkan tentang pilihan raya yang akan datang, sedangkan negarawan memikirkan tentang generasi masa depan).” 
-- Saudara Fahmi Samsuddin.

2.0. Ucapan Aluan oleh Saudara Ahmad Fahmi Mohd Samsuddin, Presiden PKPIM.
Presiden PKPIM, Saudara Ahmad Fahmi Mohd Samsuddin, membuka gelanggang dengan ucapan aluannya. Beliau dengan penuh bersemangat merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana memberikan ruang kepada generasi muda untuk berucap terlebih dahulu. Hal ini, menurut Saudara Fahmi, begitu sesuai dengan semangat kebangkitan rakyat yang lazimnya bermula dengan kebangkitan generasi muda.  

Saudara Fahmi menekankan soal perlunya kualiti perlaksanaan sesuatu pemilihan dan pilihan raya itu dipelihara dan diperkasa. Beliau juga menyeru kepada sekalian anak muda supaya tidak hanya cemerlang dalam bidang akademik sahaja, sebaliknya perlu cemerlang dalam berbakti dan membantu masyarakat terbanyak. Hal ini penting, menurut Saudara Fahmi, kerana anak muda memainkan peranan yang besar dalam menyumbang kepada kemaslahatan negara.

Selanjutnya, Saudara Fahmi mengungkapkan bahawa mesej dan harapan banyak pihak hari ini terletak kepada generasi muda supaya bangkit dan bersama-sama menggerakan agenda mengangkat misi ‘tanwiriy-tahririy-taghyiriy’ (pencerahan, pembebasan dan perubahan). Pergerakan ini perlu didasari dengan segala macam persediaan bagi menghadapi tentangan mendatang. Pengajaran daripada pencerobohan kedaulatan negara dan juga sebab akibat peperangan perlu diambil pengajaran kepada kita untuk terus mempersiapkan diri agar tidak terleka. Beliau juga melahirkan keyakinan bahawa generasi muda akan terus hidup dengan berpegang kepada idealisme – “Buat Baik Jangan Sekali, Buat Jahat Baik Sekali” serta prinsip cintakan kepada keadilan dan keamanan.


Pilihanraya bukan pilihanraya jika yang menang hanya satu parti. Undi mestilah diberikan berteraskan khidmat dan bakti; bukan lagi keramat dan sakti.” 
-- Cikgu Amidi Manan.
3.0. Ucapan Aluan oleh Saudara Haji Amidi Abd. Manan (Cikgu Amidi), Presiden ABIM.
Selepas Presiden PKPIM membuka tirai, Presiden ABIM, Saudara Haji Amidi Abd. Manan pula menyampaikan pidatonya. Cikgu Amidi menekankan soal pentingnya rakyat membuat pilihan yang bijak dalam menjalankan hak mereka sebagai pengundi yang berkelayakan. Islam, menurut Cikgu Amidi, seharusnya menjadi tunjang kekuatan orang Melayu. Kendatipun, beliau turut menegaskan keperluan menyantuni dan menghormati kebajikan serta hak masyarakat belum Islam. Beliau juga mengingatkan kepada bakal pengundi dan pemimpin tentang perlunya membedakan antara ‘hujah’ dan ‘helah’. Asas dalam berhujah ialah untuk mencari kebenaran, bukan sekadar kemenangan. Maka, secara sinikal Cikgu Amidi menegur bahawa bila berdebat, kita tidak semestinya perlu ‘menjebat’.

Pembodohan adalah lebih teruk daripada kebodohan. Nilai-nilai paradoks yang menunjangi projek pembodohan mesti dihakis.” 
– TS Khalid Ibrahim.
4.0. Ucapan Perasmian oleh Y.A.B. Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Negeri Selangor.
Meskipun terpaksa berdepan dengan jadual yang padat baik sebagai pemimpin mahupun ahli politik, TS Khalid Ibrahim tetap meluangkan masa untuk menyampaikan ucapan perasmian pada konvensyen kali ini. Beliau memulakan ucapannya dengan memetik karya besar Almarhum W.S Rendra berjudul ‘Dari Langit Para Teknokrat.’ TS Khalid menggesa semua pihak agar mengangkat gagasan pencerdasan dan menolak projek pembodohan bagi membentuk masyarakat yang lebih terdidik dan sejahtera. Selanjutnya, TS Khalid menegaskan bahawa beliau menolak secara keras sebarang usaha untuk membelenggu minda pelajar dan mahasiswa, baik yang masih bersekolah atau yang sedang menuntut di menara gading. Kita menolak pembodohan rakyat dengan mengangkat pembijakan atau pencerdasan rakyat,” kata TS Khalid lagi.

TS Khalid menyatakan bahawa rakyat negara ini perlu dibangunkan sehingga mampu memiliki kecerdasan akal yang tinggi dan mempunyai daya fikir yang tajam. Kualiti ini penting, menurut TS Khalid, untuk menghasilkan masyarakat yang mampu menyumbang idea dan formula bagi menyelesaikan pelbagai masalah kronik yang dihadapi oleh masyarakat dan negara.

Sementara itu, TS Khalid juga mengambil kesempatan sewaktu berucap tersebut untuk memaklumkan bahawa rakyat di Negeri Selangor akan menjadi pemegang saham hak milik air berjumlah RM10 bilion. Kerajaan Negeri Selangor menerusi anak syarikatnya, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) kini sedang mempertimbangkan untuk mengambil alih operasi air daripada Syarikat Bekalan Air Sdn Bhd (Syabas) terlebih dahulu sebelum meneruskan dengan syarikat-syarikat pemegang konsesi air lain. Tan Sri Khalid kemudiannya merasmikan Konvensyen Pencerdasan Rakyat dan Pelancaran Akademi Pendidikan Kewarganegaraan dan Demokrasi, di kompleks tersebut.

Akademi itu diwujudkan dengan matlamat menggerakkan agenda pendidikan kewarganegaraan dan pemasyarakatan nilai demokrasi yang berteraskan ajaran Islam bersumberkan tamadun Melayu dan budaya pelbagai kaum di negara ini. Ia berfungsi sebagai pusat penyelidikan, pendidikan dan latihan dalam bidang untuk memberi kefahaman erti demokrasi, mekanisme pilihan raya dan membincangkan isu politik, siasah shariyyah dan kewarganegaraan.


 
 
“Pilihan raya hanya akan benar-benar menjadi hari kuasa rakyat apabila rakyat benar-benat dapat menggunakan hak  demokratiknya dengan bebas dan cerdas, bijaksana dan penuh tanggungjawab.” 
-- Ustaz Siddiq Fadzil.
5.0. Ucaptama oleh Dato’ Dr Siddiq Fadzil (Ustaz Siddiq Fadzil), Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).
Seperti biasa, pidato Ustaz Siddiq cukup dinantikan oleh para hadirin. Terkenal dengan kemahiran dan minatnya yang tinggi dalam bidang bahasa dan sastera, Ustaz Siddiq berjaya mencuri perhatian hadirin dengan ucaptama bertajuk ‘Memimpin Kesedaran Rakyat, Memartabat Karamah Insaniah’. Mantan Presiden ABIM ini menegaskan bahawa pilihan raya dalam sistem demokrasi adalah hari kebesaran kuasa rakyat. Justeru itu, ia harus disambut dengan semangat hormat terhadap suara rakyat, yang membawa kata putus,  sebagai aktualisasi prinsip ‘as-sha’b masdar as-sultah’ (rakyat adalah sumber kekuasaan). Tetapi pilihan raya hanya akan benar-benar menjadi hari kuasa rakyat, apabila rakyat dapat menggunakan hak demokratiknya dengan bebas dan cerdas, bijaksana dan penuh rasa tanggungjawab.

Dalam kaitan inilah relevannya gerakan pencerdasan rakyat untuk memungkinkan mereka membuat pertimbangan yang adil dan rasional,  dan seterusnya menentukan pendirian dan pilihan yang tepat. Dengan demikian barulah pilihan raya dapat menjadi mekanisme demokrasi yang menghasilkan pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat. Dalam hal ini, Al-Quran, Hadith, serta kita-kitab ulama muktabar seperti Ilmu Khaldun, Ibnu Taimiyah, Imam Ghazali bahkan ulama ulung terkini seperti Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Wahbah Zuhaili dan lain-lain telah menggariskan bentuk-bentuk kerajaan beramanah yang dikehendaki Islam untuk digelar ‘Negara yang baik dan mendapat keampunan Ilahi’. Ustaz Siddiq Fadzil  menyebut bahawa demokrasi hanya akan sihat dan subur di tengah masyarakat yang sedar, cerdas, jujur dan ‘enlightened’. Tetapi demokrasi akan mati, katanya, dengan orientasi ala ke-fir’aun-an yang mengekalkan kekuasaan dengan strategi membodohkan rakyat.

6.0. Forum Pendidikan Kewarganegaraan dan Demokrasi: Antara Harapan dan Realiti.
Untuk sesi kedua pada sebelah petang, satu forum yang bermanfaat telah dianjurkan di dewan tersebut. Forum ini menyaksikan Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin menjadi moderator untuk dua orang panelis iaitu Prof Dato’ Dr Muhammad Redzuan Othman (Pengarah UMCEDEL) dan Dato’ Idris Jauzi (Naib Presiden WADAH). Selain membentangkan topik forum tersebut secara ilmiah, kedua-dua panelis turut mengambil banyak contoh yang begitu praktikal dan dekat dengan hati para hadirin. Sesi soal jawab juga berjaya membuka mata para hadirin berkenaan isu semasa serta hak mereka. Apa yang menarik ialah apabila Prof Shaharuddin menyebut nama-nama aktivis ABIM yang pernah menjadi calon pilihan raya dan bertanding, sama ada di Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN), yang kebanyakannya hadir ke konvensyen tersebut. Sama ada menang atau tewas, menurut Prof Shaharuddin, mereka yang bakal atau telah bertanding, tetap dianggap sebagai sahabat dan saudara oleh para pemimpin dan ahli PKPIM-ABIM-WADAH.

7.0. Khatimah
Konvensyen kali ini boleh dianggap sebagai berjaya mencapai matlamatnya untuk berusaha meratakan kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai hak serta kemampuan yang ada pada diri mereka. Menyaksikan para aktivis WADAH yang tetap bersemangat untuk hadir ke konvensyen tersebut meski dimamah usia dan datang sejauh Pulau Pinang dan Johor, membuatkan saya dan anak muda lain menjadi tersentuh hati; dan semakin bermotivasi untuk bangkit sebagai individu yang berjasa kepada umat dan masyarakat. Hidup Malaysia kita. Padu.

Sumber dan Rujukan:
  1. http://www.sinarharian.com.my/nasional/mb-selangor-rakyat-pegang-saham-air-rm10-bilion-hadiah-kerajaan-negeri-1.138168;
  2. http://www.facebook.com/ahmadfahmi.mohdsamsudin;
  3. http://www.facebook.com/ahmad.b.mustapha?fref=ts;
  4. http://www.selangorku.com/?p=23987. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...