Rabu, Mac 06, 2013

Razali Umar Kandasamy: Jali Si Tornado.

Razali Umar Kandasamy: Jali Si Tornado.
Latar Belakang.
Razali bin Umar Kandasamy dilahirkan pada 5hb Ogos 1986 di Perak. Beliau memulakan kerjayanya bersama skuad Piala Presiden Perak dari 2006 hingga 2008. Pada tahun 2007, beliau membantu Perak mejuarai Piala Presiden dan muncul selaku penjaring terbanyak dengan 33 gol. Hasil kejayaan itu, beliau telah mendapat tempat dalam skuad utama Perak FA pada 2008 di bawah kendalian jurulatih ketika itu, Steve Darby. 

Mencipta nama dalam skuad Perak FA.
Razali diserapkan bersama tiga lagi pemain Piala Presiden Perak untuk tahun 2007 iaitu Kamarul Effandi Abd. Rahim, Mohd. Fauzi Ariffin dan Mohd. Arif Fadzlie Saidin. Setelah perpindahan pemain-pemain utama Perak ke pasukan lain pada tahun 2009 dan 2010, beliau telah menjadi tonggak utama pasukan Perak di bawah kendalian M. Karathu dan Raja Azlan Shah Raja So’ib. Razali juga merupakan antara penyerang utama Perak musim 2011 bersama-sama Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Muhammad Shafiq Jamal. Ketika beraksi cemerlang di Perak FA, para penyokong skuad Kejor Yob Kejor menggelarkan beliau sebagai ‘El Tornado’, di atas ketajaman dan kemampuan beliau mengkucar-kacirkan benteng lawan.

Berhijrah ke Sime Darby FC.
Namun, disebabkan sikap beliau yang sering kali tidak hadir semasa latihan dan perlawanan tanpa alasan kukuh, menyebabkan pengurusan Perak FA terpaksa menamatkan kontraknya lebih awal pada 1hb Jun 2011. Razali kemudiannya menyertai kelab Sime Darby FC pada November 2011, untuk musim Liga Perdana Malaysia 2012-2013. Untuk rekod, Sime Darby FC ditubuhkan pada 4hb Mac 2010.  

Pasukan kebangsaan.
Razali pernah dipanggil untuk menyertai skuad Harimau Malaya, namun terpaksa menarik diri akibat kecederaan. Beliau juga pernah didenda dan digantung kerana gagal melaporkan diri sewaktu sesi latihan skuad kebangsaan. Sebelum itu, Razali juga pernah mewakili pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia bawah 23 tahun dari 2009 hingga 2010. Meskipun terkenal dengan masalah disiplin dan kontroversi, Razali masih dianggap sebagai seorang penyerang yang mampu beraksi dengan baik di atas padang. Pernah dikenali dengan gelaran ‘El Tornado’ dalam kalangan peminat Seladang, Razali seharusnya membuktikan bahawa beliau mampu untuk muncul selaku penyerang yang bagus, sekaligus mengembalikan kepercayaan jurulatih dan peminat kepadanya.

Sumber dan rujukan:
  1. http://www.utusan.com.my/;
  2. http://thestar.com.my/;
  3. www.nst.com.my;
  4. www.sinarharian.com.my/;
  5. www.kosmo.com.my;
  6. www.yob4ever.com;
  7. http://pakcumy.blogspot.com/2012/08/sime-darby-fc-mln-perak-fa-piala.html;
  8. www.duniasukan.com ;
  9. bolasepakm.blogspot.com;
  10. ultrasperak.blogspot.com;
  11. www.seladang.net 
  12. mugonopak.blogspot.com.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...