1. Novel ‘Habibie & Ainun’ (Prof
Dr Ir. Bacharuddin Jusuf Habibie, 2010).
Novel ini adalah sebuah karya yang
ditenun dan dibingkai dengan perasaan cinta suci yang mendalam, tulus dan sarat
nilai. Suka-duka penulisnya berdampingan selama 48 tahun dengan isteri yang
dikasihi, Bu Ainun, bertumpah-ruah dengan penuh kejujuran dalam karya ini. Sebuah
karya mantan Presiden Republik Indonesia yang dapat dijadikan ilham bagi para pencari resepi rohani bagi pembinaan
rumah tangga bahagia.
2. Buku ‘Mahasiswa Menggugat’
(Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohamad Abu Bakar, 1973).
Buku ini menceritakan tentang kelahiran
gerakan mahasiswa di Universiti Malaya. Buku yang mencerminkan kegiatan
mahasiswa dalam lapangan politik ini, ditulis oleh Prof Mohamad Abu Bakar
sewaktu menjadi tutor di UM dan telah diterbitkan oleh Pustaka Antara pada
1973. Prof Diraja Ungku Aziz menyatakan bahawa ‘Mahasiswa Menggugat’
adalah bersifat ‘peneroka’. Beliau menyatakan, “...Oleh itu wajib ia dibaca
oleh semua orang yang ada hubungan dengan masalah pelajaran umumnya atau
universiti khususnya dan pemuda pemudi umumnya serta mahasiswa khususnya”. Sedikit tentang penulis buku ini di sini:
3. Buku ‘Ke Luar Jendela’ (Allahyarham
Datuk Dr Hassan Ahmad, 2009).
Buku ini memaparkan sejumlah 55 makalah
hasil tulisan Allahyarham Dr Hassan Ahmad yang pernah tersiar dalam Dewan
Masyarakat dan Dewan Budaya. Makalah dalam kumpulan yang dipilih ini menyentuh
tiga persoalan penting dan besar dalam kehidupan, kepercayaan, pemikiran dan
kemajuan atau pembangunan manusia iaitu bahasa, budaya dan agama. Penulis
melihat bahasa tidak hanya sebagai sistem atau struktur bahasa atau linguistik
tetapi lebih penting lagi dari segi fungsinya, iaitu bahasa sebagai cara
manusia membentuk fikirannya dan membina budaya dan tamadunnya. Dr Hassan
melihat kejahilan akal, fikiran dan ilmu sebagai punca sering berlakunya
perbuatan menghina sesuatu agama. Buku ini sangat sesuai dibaca oleh semua
golongan pembaca.
4. Kertas Kerja Muktamar ABIM ke-9,
28-31hb Ogos 1980.
Kertas Kerja ini dibentangkan sewaktu
Muktamar Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang kesembilan, yang berlangsung
di Maktab Perguruan Islam Petaling Jaya, Selangor. Muktamar ini berlangsung
dari 28-31hb Ogos 1980, bersamaan 17-19 Syawal 1400H. Sedikit tentang Muktamar
ABIM ke-41 di sini:
5. Teks Ucapan Presiden ABIM -- ‘Islam:
Penyelesaian Kepada Masyarakat Majmuk’ (DS Anwar Ibrahim, 1979).
Kertas Kerja ini dibentangkan oleh DSAI
ketika masih menjadi Presiden ABIM sewaktu Muktamar ABIM kelapan pada 14hb
Julai 1979. Muktamar tersebut dianjurkan di Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM). DSAI berpandangan bahawa Islam menyediakan alternatif terbaik dalam hal
penyelesaian masalah perpaduan di Malaysia. Menurut DSAI lagi, masalah
masyarakat majmuk di negara ini tidak dapat diselesaikan tanpa penyelesaian
melalui ‘karamah insaniyah’ - kemuliaan dan kehormatan manusia - yang
menjadi dasar hubungan kemanusiaan dalam Islam. Ucapan ini adalah berdasarkan
tema muktamar ABIM pada tahun tersebut, dan turut disiarkan dalam majalah ‘Risalah’
(keluaran nombor 3, 1979) serta majalah ‘Panji Masyarakat’ (keluaran
Ogos 1979). Topik ini turut dikupas oleh beberapa tokoh lain seperti Mohd Nor
Haji nawawi, Datuk Dr Siddiq Fadzil dan Kamaruddin Jaafar.
6. Koleksi bacaan minggu ini.
Alhamdulillah, selain berkesempatan
memborong buku di Pesta Buku yang berlangsung di Pasaraya Space U8, Bukit
Jelutong, saya juga sempat membeli beberapa naskah buku ketika Konvensyen
Pencerdasan Rakyat di Dewan Kompleks Belia Selangor, Shah Alam. Di Space U8,
akhirnya saya ketemu sebuah buku yang telah lama saya cari, iaitu buku berjudul
‘Football’ yang diterbitkan pada tahun 2000. Buku ini mengandungi ratusan
gambar berwarna dan hitam-putih, dari awal kemunculan bola sepak moden sekitar
1880an sehinggalah sekitar tahun 2000. Juga terima kasih kepada sahabat budiman
sekalian yang sudi meminjamkan saya beberapa naskah besar seperti ‘Pendidikan
Al-Hikmah’ (Ustaz Siddiq Fadzil, 2009) dan ‘Mutiara Taman Adabi’ (Prof Dr Wan
Mohd Nor Wan Daud, 2003).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan