Mahalli Jasuli: Lagenda dalam pembikinan.
I
Tidak selalu seseorang jurulatih yang tidak terlibat dengan Liga
Malaysia memuji pemain tempatan kita. Berada di kedudukan ke-164 dalam ranking
FIFA; kekurangan perlawanan antarabangsa bertaraf ‘A’; taraf liga tempatan yang
kurang dikenali dan ketiadaan pemain yang berjaya mencipta nama secara
signifikan dalam liga luar negara adalah antara faktor pendulum yang menyumbang
kepada hal ini.
Namun, usai kemenangan tipis 2-1 skuad negara ke atas Yaman
beberapa hari lepas, saya terkesan dengan komen Tom Saintfiet, jurulatih Yaman:
“The Malaysian number two was very dangerous; he created so many dangerous
moves. So, I needed to change the tactics to stop him. (Pemain berjersi nombor
dua Malaysia adalah sangat berbahaya; beliau telah mencipta banyak gerakan
berbahaya. Jadi, saya terpaksa menukar taktik untuk menghalang beliau).”
Tom Saintfient tidak merujuk kepada pemain penyerang atau sayap
negara. Beliau merujuk kepada pemilik jersi nombor dua kebangsaan dan jersi nombor
18 skuad Merah-Kuning: Mahalli Jasuli. Bermain di posisi pertahanan kanan,
Mahalli yang telah lama dikagumi penyokong bola sepak tempatan, berjaya
mengkucar-kacirkan strategi Yaman.
Meskipun barisan tengah negara yang diketuai Safiq Rahim dibantu
oleh dua pemain sayap, Wan Zack Haikal dan Alex (Azamuddin Akil), skuad negara
tidak berjaya menguasai permainan sewaktu awal permainan. Ketumpulan jentera
serangan khususnya penerima Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Supermokh,
Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) menambah keresahan kalangan penyokong Harimau
Malaya.
Ketika perlawanan beraksi agak hambar, Mahalli tampil untuk
menggempur kubu Yaman. Sepanjang perlawanan, Mahalli berjaya melepasi barisan
sayap, tengah dan pertahanan Yaman untuk membuat hantaran ke arah penyerang
negara, namun ketumpulan jentera depan sekadar menyaksikan beberapa peluang
disia-siakan.
II
Amri Yahya yang semakin menghampiri gelaran lagenda The Red
Giants bermain bersungguh-sungguh sewaktu bertemu Yaman. Dengan kudrat dan
usianya, ramai yang memuji kesungguhan dan disiplin pemain Selangor FA ini.
Beliau seharusnya dikekalkan sebagai pemain utama kebangsaan, dan bukan sekadar
sebagai pengganti sementara Safee Sali. Amri berhak untuk diberikan peluang
sebagai penyerang kebangsaan, atas kesungguhan dan pengalamannya.
Sementelahan, tandukan KM (Khyril Muhymeen Zambri) yang stabil dan padu
hasil hantaran cantik Mat Yo wajar dipuji. Jaringan KM dan Alex bukti bahawa Malaysia
tidak ketandusan pemain penyerang. Kita juga ada Afiq Azmi, Norfarhan Muhammad,
Indera Putra Mahyuddin dan Muhammad Fauzi Rozlan (sekadar menyebut beberapa
nama) yang seharusnya diberikan lebih ruang dan peluang atas dasar untuk
pendedahan dan berdasarkan pengalaman.
III
Meskipun diletakkan sebagai pertahanan kanan di atas kertas formasi,
di manakah posisi sebenar Mahalli sewaktu bertemu Yaman: sayap kanan atau sayap
kiri? Dan berapa jauhkah jarak yang dilalui oleh Mahalli sepanjang perlawanan
tersebut? Mahalli, sebagaimana sewaktu menentang Johor Darul Takzim FC (JDT)
pada 9hb Mac 2013 yang lalu, berlari ke kiri dan ke kanan padang untuk membantu
barisan serangan kebangsaan.
Mahalli, sebagai seorang pemain pertahanan kanan, membuatkan
jurulatih dan pemain Yaman bingung apabila kerap bergerak ke kubu pasukan Yaman.
Hantaran cantik Mahalli kepada Amri berjaya dipintas oleh pertahanan Yaman,
namun akhirnya hinggap ke kaki Alex yang tenang menyempurnakan gol Malaysia
untuk memadam kelebihan awal Yaman.
Sementara itu, keputusan Datuk Rajagobal (RG) untuk mengarahkan
Alex dan Wan Zack bertukar-tukar posisi dari sayap kanan ke sayap kiri selepas
20 minit permainan nyata menambahkan lagi tekanan kepada pasukan Yaman. Percaturan
Datuk RG ini sewaktu perlawanan menentang Yaman seharusnya dipuji. Beliau juga
menurunkan Piya (Badhri Radzi) tidak lama sebelum KM menjaringkan gol
kemenangan Harimau Malaya.
IV
Pemain tengah Thailand yang pernah menyertai skuad Manchester City
FC, Pichitphong Choeichiu pernah menyatakan bahawa aksi Mahalli mengingatkan
beliau kepada lagenda pertahanan kanan Thailand, Suree Sukha. Hal ini membawa
kita kepada nostalgia dua pertahanan lagenda Malaysia, Yahya Jusoh dan Datuk
Jamal Abdul Nasir. Sekiranya Mahalli terus konsisten dengan disiplin dan
kesungguhannya, kita tidak nampak kenapa beliau tidak mampu memberikan banyak
sumbangan kepada skuad bola sepak kebangsaan.
Sedikit tentang Yahya Jusoh di sini:
Berketinggian 1.75m, Mahalli
dilahirkan pada 2hb April 1989 di Selayang, Selangor. Meskipun beraksi sebagai
pertahanan kanan, produk Sekolah Sukan Bukit Jalil ini dikenali dengan
kemampuannya membuat hantaran dan ‘overlapping’ yang berbahaya. Sebelum
menyertai Selangor FA pada 2013, Mahalli merupakan ketua pasukan bagi skuad
Harimau Muda A dalam Liga Singapura (S-League). Mahalli juga merupakan pemain skuad
Malaysia Bawah 19 Tahun (2008-2009); Malaysia Bawah 21 Tahun (2009-2011);
Malaysia Bawah 23 Tahun (2009-2012) dan skuad senior kebangsaan dari 2009.
V
Kemenangan 2-1 ke atas Yaman ini mengakhiri kekalahan sebanyak 11
kali berturut-turut skuad kebangsaan dalam kempen Kelayakan Piala Asia sejak
2003. Namun, loceng kecemasan masih berbunyi, tatkala Datuk RG mula menarik
nafas lega dan para peminat tidak begitu fokus kepada kedudukannya selaku
jurulatih negara: sekurang-kurangnya sehingga sebelum bertemu Bahrain. Loceng
masih bingit berdering, kerana cerita Mat Yo terlepas beberapa peluang keemasan
mula menjadi tajuk utama cerita kedai kopi para ‘keyboard warriors’ di Malaysia.
Perjalanan masih jauh. Setiap pihak perlu mainkan peranan: sekecil mana
sekalipun, sebesar mana sekalipun. Doa kita sentiasa ada buat Harimau Malaya.
Sokong; waktu gagah dan rebah. Hidup Malaysia kita. Padu.
Sumber dan
Pautan:
- ontd-football.livejournal.com;
- www.zimbio.com;
- xkenalmakexchenta.blogspot.com;
- wartasukan.blogspot.com;
- olahraga.kompasiana.com;
- www.goal.com;
- aleeya01.blogspot.com;
- thestar.com.my;
- www.nst.com.my;
- www.sinarharian.com.my;
- entahtaktau.blogspot.com;
- aiskosong.com;
- foto.detik.com;
- www.azuanzahdi.com;
- www.wanfakhrul.com.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan