Selasa, Mac 05, 2013

Laszlo Repasi: Dari Budapest ke Ipoh.


Latar Belakang.
Laszlo Repasi (lahir pada 23hb Mac 1966) merupakan salah-seorang pemain import yang paling dikenang dalam sejarah Liga Malaysia. Pemain yang berasal dari Budapest, Hungary ini membuat penampilan pertama dan terakhirnya untuk pasukan kebangsaan Hungary pada tahun 1993, meskipun mewakili Hungary dari 1993 hingga 1998. Pemain yang mempunyai ketinggian 6 kaki 1 inci ini pernah bermain untuk beberapa kelab, di mana beliau memulakan kerjayanya bersama Ferencvarosi TC dari 1983 hingga 1989. Kemudian, dari 1989 hingga 1994, beliau menyarung jersi Dunakanyar-Vac FC dan menyumbangkan 41 gol dalam 109 penampilan bersama kelab tersebut. Selanjutnya, Repasi mewakili beberapa buah kelab lagi seperti Csepel SC (1994); MTK Budapest FC (1995); S.C. Espinho (1995-1996); Dunakanyar-Vac FC (1996) dan Paksi SE (1996). Bersama Dunakanyar-Vac FC, Repasi berjaya memenangi Anugerah Penjaring Terbanyak Liga Hungary pada 1993, di samping berjaya menjuarai Liga Borsodi bersama kelab tersebut. 


Beraksi dalam Liga Malaysia.
Repasi mula mencipta nama dalam saingan Liga-M setelah dibawa masuk oleh Karl Heinz Weigang pada 1997 untuk memantapkan lagi barisan depan Seladang yang turut dibintangi oleh pemain berbakat negara, Azrul Amri Borhan. Meskipun hanya menyertai Perak FA pada pertengahan saingan liga, Repasi – yang menjaringkan 19 gol dalam 14 perlawanan -- mengejutkan ramai pihak apabila muncul sebagai penjaring terbanyak Liga-M ketika itu. Pemenang Anugerah Kasut Emas 1997 itu kemudianya menjadi tarikan utama penyokong skuad Kejor Yob Kejor untuk ke stadium.

Gol Repasi sewaktu bertemu Selangor FA pada 12hb Ogos 1998 juga telah menyebabkan pasukan Gergasi Merah tersebut tersingkir daripada Perdana Satu dan terpaksa bersaing dalam saingan Perdana Dua untuk musim 1999. Hal ini adalah menyedihkan buat kem Selangor memandangkan mereka merupakan juara Piala Malaysia bagi musim sebelumnya (1997). 

Perlawanan play-off yang diadakan secara timbal balik itu asalnya telah dimenangi oleh pasukan Selangor FA pada perlawanan pertama dengan jaringan 1-0. Walau bagaimanapun, skuad Kejor Yob Kejor yang ketika itu di bawah bimbingan Weigang, telah berjaya mengurangkan defisit gol sekaligus mencipta kemenangan 3-1 pada perlawanan timbal balik kedua hasil satu jaringan gol daripada Roslan Hamid dan Laszlo Repasi yang berjaya membolosi benteng ampuh Selangor ketika itu yang diketuai oleh Mehmet Durakovic, sebanyak dua kali. 

Jaringan ‘emas’ Laszlo Repasi pada minit ke 103 berjaya memberi kemenangan kepada pasukan Perak FA sekaligus melayakkan pasukan tersebut untuk turut serta dalam kempen Piala Malaysia 1998 dan berjaya mengekalkan tempat dalam Perdana Satu. Musim 1998 juga menyaksikan pemain lagenda kebangsaan, Khaidir Buyong dilantik menjadi jurulatih sementara Perak FA bagi membolehkan Weigang menerima Anugerah Khas FIFA dan melaksanakan beberapa tugas (yang diarahkan oleh FIFA) di Pyongyang, Korea Utara.

Khaidir yang sebelum itu merupakan jurulatih pasukan Perak FA pada 1996 sehingga pertengahan musim 1997, terpaksa diganti oleh Weigang kerana tidak memiliki sijil kejurulatihan kelas ‘A’ seperti yang disyaratkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melatih pasukan negeri.

Status pemenang Kasut Emas akhirnya menjadi beban yang besar buat Repasi. Kebergantungan skuad Perak FA kepada beliau untuk menjaringkan gol, menyebabkan pasukan lawan merantai erat permainannya dan hal yang demikian, memudahkan pasukan lawan membaca taktik Perak FA. Repasi hanya berjaya menjaringkan 8 gol untuk musim 1998.

Prestasi Perak FA yang sedikit merudum ketika saingan liga 1998 telah menyebabkan jurulatihnya, Weigang bertindak mengkritik para pemainnya, khususnya di bahagian serangan. Insiden yang asalnya sekadar kelihatan seperti kritikan pemain-jurulatih akhirnya sampai ke kemuncaknya apabila berlaku pergelutan fizikal antara Weigang dan Repasi sekitar Disember 1998, sehingga membawa kepada laporan polis, sidang media dan perlantikan peguam. 

Meskipun begitu, Repasi yang kemudiannya terlibat dalam mengesyorkan beberapa nama pemain import kepada pasukan di Malaysia, turut kelihatan bersama Weigang pada tahun 2002 sewaktu Weigang menjadi Pengarah Teknikal dan Ketua Jurulatih Johor FA. Hal ini menunjukkan yang insiden 1998 di Ipoh tidak membawa kepada permusuhan berpanjangan antara kedua-duanya. 

Pada 1999, perbicaraan terpanjang dalam sejarah bola sepak Malaysia telah berjalan apabila Weigang dihukum gantung sehingga hari terakhir musim 1999 daripada melatih Perak FA. Keputusan itu diumumkan Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas tiga mesyuarat yang memakan masa hampir 10 jam, termasuk dua penangguhan, bermula dengan mesyuarat pertama pada 28hb Oktober 1999.

Antara anggota skuad Perak FA yang pernah beraksi bersama Repasi ketika itu ialah Paul Raj; Samuel Chebli; Janos Krecka; Gyorgy Takacs; Noel Dodo Kipre; Sharil Nizam; P. Gunasegaran; M. Nagaraja; Roslan Hamid; Ahamd Shahrul Azhar; M. Murugan; Syamsol Saad; Khairul Anuar Baharom; Chee Wan Hoe; Chan Kok Heng; Azlan Ahmad; Zamri Mat Arif; V. Murugan; Shahrin Majid; Abu Bakar Fadzim; Lim Seng Kong; Raja Azlan Shah Raja Shuib; Talib Sulaiman; Mat Zahir Wahab; Hardi Jaafar; dan Rushanizam Idrus.
 
Kehidupan selepas Perak FA.
Selepas Perak FA, Repasi bermain untuk kelab Finland, Tampereen Pallo-Veikot FC, sebelum mengumumkan untuk menggantung sepatu bolanya. Cinta kepada bola sepak membawa Repasi untuk melatih dan membimbing beberapa kelab seperti Halasztelek FC; Pasukan Remaja Halasztelek FC; Akademi Vasas Kubala dan SC Weissenbach. Sebagaimana pemain import berkualiti lain yang pernah beraksi di Malaysia, Repasi masih mempunyai ramai pengikut dan peminat di negara kita. Semoga satu hari nanti, akan lahir penyerang tempatan yang mampu beraksi sebaik Repasi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...