Mac
1997: Azmil Azali cuba membantu Khairul Azman daripada diasak oleh
pemain Arab Saudi, Obied Al-Dosary di Shah Alam. Kita seri 0-0.
Aksi pertama Piya untuk Harimau Malaya.
17hb Mac 2013,
Stadium Shah Alam, 8.45 malam.
1.0. Cerita
hoki kita.
Jaringan Trent
Milton pada minit ke-71 sewaktu Final Piala Sultan Azlan Shah menguburkan
impian skuad hoki kebangsaan untuk mengecap kejuaraan sulung selepas empat kali
mara ke perlawanan akhir sebelum ini. Malaysia tewas 2-3 kepada pasukan ranking
kedua dunia itu, yang popular dengan gelaran ‘Kookaburras’.
Sorakan
semangat dan tumpuan peminat sukan negara kepada perlawanan dengan Australia,
Juara Piala Dunia Hoki 2010 itu seolah-olah menenggelamkan cerita perlawanan
persahabatan skuad bola sepak kebangsaan dengan pasukan Arab Saudi. Untuk
seketika, hoki seolah-olah merupakan sukan nombor satu dan paling popular di
Malaysia, merujuk kepada prestasi semasa dan minat yang ditunjukkan penyokong
kita.
2.0. Tentang
Piya.
Berkesempatan
untuk hadir ke Stadium Shah Alam, sejujurnya saya tidaklah meletakkan harapan
kemenangan kepada skuad kebangsaan. Selepas terbaca berkenaan komen jurulatih
negara Datuk K. Rajagobal (RG) yang menyatakan bahawa perlawanan itu merupakan
medan terbaik menguji pemain, fokus saya hanyalah kepada aksi sulung Piya
bersama skuad Harimau Malaya. Bermula dengan
kontroversi penghantaran pegawai media oleh skuad Arab Saudi sewaktu sidang akhbar –
yang dianggap sebagai kurang sopan oleh media Malaysia – tidak banyak yang
boleh kita ulas tentang perlawanan tersebut, selain keterbukaan hati Datuk RG
untuk menguji Piya.
‘Piya’, nama
panggilan kapten The Red Warriors, Badhri Radzi, adalah antara nama
timangan paling popular dalam Liga Malaysia sejak beberapa musim yang lepas.
Beliau tidak pernah dipilih untuk menyarung jersi pasukan senior kebangsaan,
khususnya ketika Harimau Malaya di bawah kendalian Datuk RG, sehinggalah
perlawanan dengan Arab Saudi. Kita mesti berlaku adil kepada
Piya, dan tidak seharusnya menilai kemampuan
beliau hanya
berdasarkan aksi separuh perlawanan tersebut.
Sebagaimana
ruang dan peluang yang banyak telah diberikan kepada Safiq Rahim
dan Ammar Rohidan; begitulah juga peluang yang sama harus diberikan kepada
Piya. Bola sepak bukan permainan individu; ia adalah perlawanan berpasukan.
Piya bukanlah Superman yang mampu menentang pasukan lawan secara bersendirian;
dan ini merupakan aksi sulungnya bersama skuad kebangsaan. Berlakulah adil
kepada beliau.
Kita
kekurangan pemain bersifat pemimpin yang berpengaruh dalam skuad Harimau
Malaya. Sekurang-kurangnya, seperti Ahmad Shahrul Azhar dan Hairuddin Omar
(sekadar menyebut beberapa nama). Dan, saya kira, Piya adalah calon yang sesuai
untuk mengisi kekosongan tersebut: berdasarkan aksinya bersama skuad Kelantan
FA.
Pernah
menyumbang bakti bersama PDRM FC, JPS Kelantan FC dan TNB Kelantan FC, Piya
telah dinamakan sebagai ‘Pemain Terbaik Asia’ untuk bulan Oktober 2012
oleh Goal.com. di samping Yuto Nagatomo (Inter Milan FC). Diangkat
sebagai pemain tengah terbaik Liga Malaysia oleh majoriti peminat bola
tempatan, Datuk RG tidak seharusnya terlepas pandang Piya lagi.
3.0. Malaysia
lawan Arab Saudi.
Sementelah, ini adalah kali pertama skuad Harimau Malaya memakai jersi belang
Hitam-Kuning; meski pun jersi rekaan terbaru Nike itu sudahpun diperkenal dan
dipromosikan sejak Piala AFF Suzuki 2012 yang lepas. Ramai yang
merungut bilamana skuad kebangsaan hanya menyarung jersi Biru-Merah-Putih sejak
Piala AFF Suzuki 2012; baik sebagai tuan rumah atau bertandang ke tempat lawan.
Untuk rekod,
kita tidak pernah kalah kepada Arab Saudi di tanah air kita dalam empat
perlawanan sebelum ini. Semalam di Shah Alam, separuh masa pertama menyaksikan
Arab Saudi bermain dengan tempo agak pantas, di kala Malaysia bermula perlahan
dan berhati-hati; membawa kepada Malaysia untuk ketinggalan 0-2. Pada separuh
masa kedua, beberapa pertukaran dilakukan (Piya antara yang dikeluarkan) dan Arab Saudi mula mengendurkan rentak permainan.
Perlawanan
mula berlangsung secara ‘open game.’ Malaysia
memperoleh gol saguhati hasil rembatan kencang Safiq Rahim pada minit ke-71. Kemudian Naif Hazazi menambah jaringan Arab Saudi pada minit ke-89 dan satu gol lagi menyusul menerusi Hamdan Al-Hamdan pada minit ke-92.
4.0. Impian, harapan dan masa depan.
Tidak sedikit yang membandingkan prestasi skuad hoki kebangsaan dengan
Harimau Malaya. Ya, situasi sukan hoki berbeda dengan bola
sepak. Kendati, ia tidak boleh dijadikan alasan simplistik untuk melepas tangan
terhadap masa depan bola sepak negara. Sebagai sukan paling popular dan
mendapat peruntukan paling banyak daripada Kerajaan Persekutuan, banyak yang
perlu dilakukan bagi menjustifikasikan situasi semasa bola sepak negara.
Tatkala ramai
yang mengulas dan merungut tentang persediaan ke Piala
Asia AFC 2015,
ranking terbaru yang dikeluarkan FIFA menunjukkan Malaysia terus
jatuh sehingga ke tangga ke-164. Untuk
kesekian kalinya; tidak sedikit yang mendesak agar kerusi jurulatih negara bertukar
tangan. Bola masih di kaki FAM; tatkala loceng kecemasan telah lama berdering dan bergema sekuat mungkin.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan