Selasa, Februari 22, 2011

Jeffersonian Democracy: Idea dan Teori.


Kehendak rakyat adalah asas yang paling asas dalam mana-mana kerajaan, dan seharusnya, matlamat kita yang utama adalah untuk melindungi kebebasan
rakyat untuk bersuara” -- Thomas Jefferson.
*****************

Demokrasi menganut keyakinan bahawa rakyat adalah sesuatu yang nyata dan yang paling penting, dan negara disusun oleh rakyat. Fahaman ini menyatakan bahawa fungsi negara adalah mengabdi kepada warga negaranya. Demokrasi menjunjung tinggi kebebasan individu, persamaan hak, dan perlindungan hak asasi manusia.

Sementelahan, ‘Jeffersonian Democracy’ adalah bentuk ideal terhadap sistem kerajaan yang digagaskan Thomas Jefferson. Jefferson, seorang peladang dari Virginia yang kaya, telah menulis Pengisytiharan Kemerdekaan, sebuah dokumen yang tidak hanya memberitahu kepada dunia sebab Amerika mengisytiharkan kemerdekaan, tetapi juga meletakkan garis panduan berkenaan matlamat sesebuah kerajaan.


Thomas Jefferson adalah seorang penentang sistem Federalisme yang telah memenangi pemilihan untuk menjadi Presiden Ketiga Amerika Syarikat. Kendati pun, peralihan ini hanya berlaku selepas golongan pendokong Federalisme berjaya menghasilkan sebuah kerajaan pusat yang kukuh berdasarkan prinsip serta struktur yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Amerika Sayarikat.


Mereka juga telah berjaya menghasilkan sebuah sistem kewangan yang baik dan mula mempelbagaikan ekonomi negara tersebut.

Kejayaan besar Thomas Jefferson dalam menewaskan golongan pendokong Federalisme telah memberi nafas baru kepada Amerika Syarikat. Rakyat telah menanam kepercayaan yang tinggi terhadap kebebasan dan demokrasi, yang akan membantu dalam pencapaian mereka pada masa akan datang.

Sementelahan, satu keinginan yang tinggi untuk mencapai kejayaan dalam bentuk material serta perluasan bidang perindustrian telah muncul. Mereka mula berkira-kira untuk memperluaskan wilayah taklukan – bukan hanya dari segi geografi, tapi juga menerusi perindustrian dan kebudayaan. Hakikatnya, merekalah perintis yang membangun serta memajukan Amerika Syarikat.

Kebebasan yang baru ditemui ini membolehkan rakyat membuat eksperimen terhadap cara hidup yang baru yang sebelum ini tidak pernah mereka tempuhi. Matlamat mereka adalah untuk mencari cara hidup baru yang lebih baik menerusi percubaan demi percubaan.

Sesetengah individu cuba untuk mempraktiskan kebebasan mereka menerusi amalan-amalan sosialis dan komunis, manakala yang lain mencuba menerusi Utopia keagamaan. Kebebasan yang baru dinikmati ini juga membolehkan mereka untuk memprotes isu-isu yang telah menjadi duri dlaam daging semenjak sekian lama.

Pada waktu tersebut, terdapat banyak tunjuk perasaan berkenaan hak-hak wanita, dan berkenaan penghapusan perhambaan di Amerika.

Perubahan politik juga berlaku seiring dengan perubahan ekonomi Amerika. Kuasa buruh yang besar membolehkannya membentuk sebuah parti politik. Menurut Van Deusen, idealisme ini berasal daripada Revolusi 1776 dan dibantu oleh ‘Jeffersonian Democracy’.

Situasi kesengsaraan serta huru-hara semakin berkurangan dari masa ke masa, tetapi dekad 1880an memperlihatkan suatu pertumbuhan era baru. Pada awal kurun ke-19, kelayakan berasaskan cukai dan harta telah mengawal hak seseorang untuk mengundi di kebanyakan negeri kecuali Vermont dan New Hampshire yang telah memimpin haluan ke arahnya sejak tahun 1790an.

Kendati pun, tidak lama kemudian, kesemua negeri, kecuali Carolina Utara, telah menghapuskan kelayakan berasaskan harta dan hanya enam buah negeri yang masih mengenakan sekatan cukai yang rendah.

Demokrasi dari segi politik telah berkembang dari hari ke hari, sebagai sebuah kaedah politik yang baru. Sebagai tamsilan, pencalonan presiden telah diubah untuk menzahirkan kehendak rakyat. Sebelum ini, pegawai-pegawai yang telah dipilih melalui kongres telah dikanunkan sebagai pilihan raya oleh pihak penggubal undnag-undnag peringkat negeri.

Sebuah kaedah pilhan raya secara demokratik telah direka oleh golongan ‘Anti-Masonic’ yang mana mereka menganjurkan sebuah konvensyen kebangsaan untuk memilih seorang calon presiden. Rakyat telah diberikan kuasa serta peluang untuk mengawal demokrasi milik mereka sendiri.

Jefferson turut menulis Statut Virginia untuk Kebebasan Beragama (Virginia Statute for Religious Freedom), yang menetapkan bahawa agama dan kerajaan seharusnya dipisahkan. Kebanyakan idea yang merupakan sebahagian daripada ‘Jeffersonian Democracy’ bukanlah idea Jefferson; sebaliknya, merupakan idea yang dipinjam oleh beliau daripada ahli-ahli falsafah seperti Montesquieu, Voltaire, dan Plato.

Beliau percaya bahawa agama tidak mempunyai tempat di dalam kerajaan. Pemisahan gereja (agama) dan pemerintahan negara telah menjadi sebahagian daripada ‘Jeffersonian Democracy’.

Kendati pun, banyak intipati ‘Jeffersonian Democracy’ datang daripada idea ahli falsafah Inggeris, John Locke. ‘Jeffersonian Democracy’, adalah berasaskan falsafah liberalisme John Locke, yang menekankan betapa pentingnya hak-hak “semulajadi” manusia, fungsi kerajaan, dan pemisahan antara gereja dan pentadbiran negara.

Terdapat enam ciri yang terkandung dalam idea liberalisme ini iaitu; setiap individu mempunyai hak-hak sendiri dalam hal-hal politik dan social; penduduk mempunyai kebebasan hidup; setiap penduduk mempunyai persamaan hak dalam negara yang didudukinya.

Mereka juga memiliki sepenuhnya harta yang mereka perolehi sendiri; mereka juga boleh memilih pemerintah yang mereka sukai tidak diperintah oleh seorang aristocrat; dan mereka juga mahukan kuasa pemerintah adalah terhad dalam pelbagai aspek negara. Ini adalah apa yang diperkatakan oleh Locke dengan satu perbezaan. Jefferson yang ditentang Alexander Hamilton meletakkan kebahagiaan; di mana Locke meletakkan harta. Dari situ kemudiannya, “Eksperimen Amerika” menekankan kerajaan demokratik dan kebebasan peribadi.


Selain daripada itu, ‘Jeffersonian Democracy’ turut menyatakan apakah fungsi serta peranan sesebuah kerajaan. Kerajaan yang baik tidak sewajarnya menjadi sebuah konflik di antara pihak bangsawan dan rakyat bawahan. Sebaliknya, ia sewajarnya menjadi sebuah pakatan yang kukuh sesama rakyat. Kuasa yang sebenar tidak seharusnya diberikan kepada raja, ia seharusnya diberikan kepada rakyat.


Menurut ‘Jeffersonian Democracy’, rakyat mempunyai hak untuk mengakhiri atau membatalkan pakatan tersebut sekiranya kerajaan gagal melaksanakan amanahnya. Secara idealnya, menurut ‘Jeffersonian Democracy’, kerajaan adalah rakyat, dan rakyat adalah kerajaan.

Hal yang demikian, seandainya kerajaan tersebut tidak lagi menjaga kebajikan rakyatnya, rakyat mungkin dan akan menukar pilihan mereka untuk memilih kerajaan yang lain untuk menggantikannya. Kerajaan ditubuhkan untuk melindungi hak rakyat menggunakan kuasa atau mandat yang diperolehi oleh mereka daripada rakyat.

Melalui idea inilah Thomas Jefferson menyatakan bahawa hak-hak kebebasan dan bahagia yang harus dinikmati oleh rakyat mesti dilindungi oleh kerajaan. Sekiranya kerajaan gagal melindungi hak ini, rakyat berhak memberontak dan menggantikan pemerintahan yang baru.

Beliau juga menyenaraikan dua puluh tujuh tuduhan kepada pihak raja, di antaranya, pemerintah telah memutuskan perdagangan negara mereka dengan negara luar, tidak bersetuju dengan undang-undang di negara Amerika dan sebagainya. Selain itu, beliau telah mengisytiharkan Amerika berhak menjadi sebuah jajahan yang bebas dan merdeka. Deklarasi ini terus dugunakan hingga hari ini sejak ia diutarakan pada 4 Julai 1776.

Revolusi membolehkan Amerika merdeka daripada British dan telah mengubah beberapa keadaan kehidupan penduduk di Amerika. Dari aspek politik, dilihat tidak terdapat pegawai British di Amerika lagi. Seramai seratus ribu orang yang setia kepada Britain telah berpindah keluar menuju ke Canada dan India Barat. Sistem pentadbiran masih menggunakan sistem Britain tetapi telah menghadkan kuasa kepada kerajaan pusat sebaliknya memberi hak sepenuhnya kepada negeri masing-masing di bawah kuasa perundangan masing-masing.

Sesetengah negeri meletakkan kuasa dibawah kumpulan kecil terdiri daripada orang-orang kaya. Namun begitu, wanita dan hamba abdi masih tidak berpeluang dalam hal-hal politik terutama dalam hak mengundi.

Thomas Jefferson percaya bahawa setiap individu berhak terhadap hak-hak asasi yang tertentu; yang telah wujud sejak lahir; dan tidak boleh dirampas begitu sahaja. Ini adalah bukti jelas yang dirujuk di dalam Pengisytiharan Kemerdekaan: “setiap individu telah dijadikan sama, bahawa mereka dijadikan oleh Pencipta mereka dengan hak-hak tertentu yang mana antra lain ialah Kehidupan, Kebebasan, dan hak untuk mengejar Kebahagiaan.”

Namun, Jefferson tidak hanya membuat pertimbangan berdasarkan hak-hak ini. Beliau telah secara teliti menulis dalam Pengisytiharan Kemerdekaan, menggunakan frasa “that among these are” berbanding “that these are.”

Salah-satu hak semulajadi yang Jefferson yakini - tetapi tidak dinyatakan di dalam Pengisytiharan Kemerdekaan – ialah hak untuk memiliki “Harta”. Walaupun deraf akhir Pengisytiharan tersebut tidak menyatakan hak ini atau hak-hak semulajadi yang lain, ia tidak pula menafikannya. Setiap hak semulajadi menekankan apa yang seharusnya menjadikan manusia sebagai manusia sejati.

Hak untuk Kehidupan adalah yang paling asas. Setiap individu berhak untuk hidup, dan berhak untuk wujud. Kebebasan dan kesaksamaan adalah dua perkara yang tidak banyak bezanya. Semua pihak mempunyai hak untuk Kebebasan, dan kesaksamaan tidak boleh wujud melainkan semua manusia menikmati kebebasan.

Hak untuk mengecapi Kebahagiaan adalah hak untuk menikmati kewujudan yang bermakna dan bermanfaat di dunia. Hak untuk memliliki Harta adalah bersangkutan atau berkaitan dengan hak untuk Kehidupan dan hak untuk mengecapi Kebahagiaan.

Harta memberi manusia sebuah makna untuk selamat, hidup, dan memberikan peluang kepada manusia untuk mengecapi kebahagiaan. Hak-hak asasi ini membantu untuk memberikan maksud sebenar berkenaan kewujudan manusia.

Jefferson cenderung kepada kerajaan pusat yang kecil dan lemah. Hal ini demikian kerana, beliau percaya bahawa kerajaan berpusat akan menindas hak rakyat. Jefferson mempunyai pendirian yang berbeza dengan golongan pendokong Federalisme, di mana beliau melihat kerajaan berpusat sebagai satu ancaman terhadap kebebasan individu; dan satu-satunya perlindungan terhadap ancaman tersebut adalah demokrasi dan perlindungan kukuh terhadap kebebasan individu.

Walaubagaimana pun, beliau menolak secara komprehensif pencapaian yang baik oleh pentadbiran berbentuk Federalisme sebelum beliau, dan gabungan sistem tersebut dengan kepercayaannya sendiri yang kemudiannya dikenali sebagai ‘Jeffersonian Democracy.’

Penggal Jefferson selaku presiden memperlihatkan peningkatan sikap berpuak-puak serta beberapa kontroversi lain (khususnya yang melibatkan Aaron Burr dan John Randolph). Kendati pun, beliau sangat diingati di atas sumbangan beliau di luar Amerika Syarikat.

Jefferson telah berusaha bagi menghapuskan lanun-lanun Barbary, membeli Louisiana daripada Perancis (dan menghantar Meriwether Lewis serta William Clark untuk meneroka kawasan tersebut). Beliau juga telah berusaha untuk menjalankan usaha damai di antara Perancis dan British, yang berperang antara satu sama lain ketika itu.

Pihak Amerika telah menerima keuntungan yang besar kerana terlibat membekalkan kedua-dua pihak di dalam perang tersebut, tetapi tindak balas ketenteraan dari kedua-dua belah pihak telah membahayakan pihak Amerika sendiri. Malahan, tindakan pihak British yang menyerang pelayar-pelayar Amerika telah mengancam hak-hak tabii Amerika sendiri.

Sebagai tindak balas, Jefferson dan Kongres Amerika Syarikat telah meluluskan Akta Embargo, yang menghalang semua kegiatan perdagangan ke luar negara.

Natijahnya, ekonomi Amerika telah menerima kesan buruk yang tidak diduga. Tidak berapa lama kemudian, pihak Kongres telah memansuhkan akta tersebut dan menggantikannya dengan Akta Tanpa Perhubungan (Non-Intercourse Act), yang hanya mengharamkan perdagangan dengan Britain dan Perancis, dan membenarkan presiden untuk menamatkan boikot terhadap kedua-dua negara tersebut berdasarkan budi bicaranya.

‘Jeffersonian Democracy’ telah digambarkan dalam bentuk ekonomi secara unggul oleh Thomas Jefferson dalam ucapan sulungnya pada 1801. Selepas dua belas tahun penggal pemerintahan George Washington, kerajaan pusat yang baru itu telah mengikut haluan Hamilton yang mengangkat kehebatan negara.

Jefferson telah memaklumkan seorang wartawan bahawa pilihan raya 1800 adalah “sebuah revolusi hakiki dalam prinsip kerajaan di mana bentuk Revolusi 1776 ada di dalamnya”; ia menyelamatkan Amerika Syarikat daripada dasar-dasar yang membahayakan eksperimennya terhadap kerajaan mandiri yang disenangi rakyat terbanyak (popular self-governance) dan telah merendah-rendahkan asas sosial dan perlembagaan rejim republikan, daripada para pemimpin yang mana komitmen mereka terhadap demokrasi itu sendiri kelihatan seperti tidak pasti.

Jefferson mendakwa bahawa revolusi yang dibawakan oleh beliau akan membawa kembali Revolusi 1776 tersebut kepada asasnya yang disenangi ramai. Sepertimana yang dilihat oleh kebanyakan sejarawan, mereka akan kehilangan roh kesaksamaan dan komitmen kepada kerajaan yang terhad yang akan mencorakkan wajah negara tersebut untuk abad yang mendatang.

Sebaliknya, Pihak Republikan lebih menitik beratkan soal pemuliharaan terhadap sistem pengagihan kekayaan negara secara lebih demokratik. Tatkala mereka kebiasaannya membela perdagangan lautan bebas dan membekalkan pasaran asing untuk para petani.

Mereka percaya bahawa pendokong Federalisme telah menyerahkan kepantingan Amerika kepada Britain dan pada hakikatnya, lebih senang dengan pengenalan semula sistem pemerintahan berdasarkan salasilah keturunan, secara berperingkat.

Cita-cita besar Jefferson yang mahu Amerika memberikan perhatian lebih kepada Barat, di mana sebuah republik yang bergantung kepada bekalan yang kukuh daripada para petani bebas boleh dijana secara berterusan kerana ia melangkaui jarak sehingga ke angkasa raya.

Di bawah arahan Jefferson (dan kemudiannya James Madison), kerajaan pusat akan menarik diri secara sedar dan berhati-hati daripada sempadan dan mereka percaya bahawa ia telah diperuntukkan sejak Perlembagaan mula digunapakai, dengan tanggapan bahawa negara, “dalam kesemua hak mereka,” adalah “pentadbir-pentadbir yang paling berwibawa dan layak untuk hal-ehwal tempatan dan benteng terkuat dalam menentang sebarang kecenderungan anti-republik.”

Kerajaan pusat tersebut akan menganjurkan “keamanan, perdagangan, dan persahabatan yang tulus dengan semua negara, dan tidak menjalankan pakatan dengan mana-mana negara.” Kerajaan tersebut adalah komited kepada “kesaksamaan dan keadilan untuk seluruh manusia, tanpa mengira kedudukan atau pengaruh, agama atau fahaman politik,” kebebasan beragama, kebebasan akhbar, dan perlindungan perlembagaan yang lain (yang mana kebanyakannya, sebagaimana yang digambarkan oleh Jefferson, telah dinafikan sewaktu zaman pemerintahan golongan Federalis), pendokong teori Demokrasi Jefferson akan secara berhati-hati meneruskan “sebuah kerajaan yang bertindak secara bijaksana yang akan menghalang sesorang daripada mencederakan orang lain, bagi membolehkan mereka untuk bebas mengawal industri dan penambahbaikan mereka sendiri.

Kerajaan tersebut juga tidak boleh merampas hasil tani atau industri yang telah diusahakan oleh rakyat.”

Kerajaan Republikan Jefferson, sebagaimana yang digambarkan oleh Jefferson, adalah parti rakyat dan juara Revolusi republik. Pendirian mereka telah mendemokrasikan negara, berjaya membentuk landskap keagamaan, institusi politik dan idea-ideanya.

Thomas Jefferson merupakan antara tokoh yang berjaya memujuk peneroka-peneroka New England untuk menentang kuasa Britain di atas nama “kehidupan, kebebasan dan kesenangan”. Beliau percaya bahawa demokrasilah yang harus dipilih untuk merawat negaranya demi mewujudkan cita-cita nasional.

Jefferson pernah menyindir, katanya, “demokrasi adalah sistem yang buruk, tapi yang lain lebih buruk lagi…” Maksudnya, Jefferson membuka kemungkinan memilih sistem lain, jika sistem itu jauh lebih baik dari sistem demokrasi.

Tuntasnya, terdapat beberapa idea serta unsur di dalam ‘Jeffersonian Democracy’ yang telah mempengaruhi demokrasi Amerika. Antaranya ialah hak-hak asasi manusia -- hak untuk hidup, kebebasan, kebahagiaan, dan memiliki harta benda. Sementelah, matlamat serta fungsi sesbuah kerajaan itu adalah untuk melindungi hak-hak rakyat ini daripada dicabuli dan dinafikan.

Selain itu, ‘Jeffersonian Democracy’ juga menekankan pemisahan gereja (agama) dari pemerintahan kerajaan (sistem sekular). Intihanya, ‘Jeffersonian Democracy’ adalah satu bentuk kerajaan di mana rakyat memiliki kuasa: mereka adalah kerajaan, dan kerajaan adalah rakyat.

*************


Bibliografi
Internet
1.      American President: Thomas Jefferson: The American Franchise, dicapai pada 20 Ogos 2010, boleh didapati di http://millercenter.org/academic/americanpresident/Jefferson;

2.      Famous quotes by Thomas Jefferson, dicapai pada 18 Ogos 2010, boleh didapati di http://www.wow4u.com/thomasjeffersonquotes/index.html;

3.      History of Political Parties - Extinct Political Parties of the 1800s, dicapai pada 22 Ogos 2010, boleh didapati di http://history1800s.about.com/od/presidentialcampaigns/a/pol;

4.      Jefferson on Politics & Government: Property Rights, dicapai pada 21 Ogos 2010, boleh didapati di http://etext.virginia.edu/jefferson/quotations/jeff1550.htm;

5.      Life of Thomas Jefferson, dicapai pada 16 Ogos 2010, boleh didapati di http://etext.virginia.edu/jefferson/biog/;

6.      Revolusi Amerika, dicapai pada 21 Ogos 2010, boleh didapati di http://www.angelfire.com/ms/Msaidi/;

7.      The American experiment: The Heritage Foundation, dicapai pada 24 Ogos 2010, boleh didapati di http://www.heritage.org/Research/Commentary/2007/07/The-American Experiment;

8.      The greatest Thomas Jefferson Quote, dicapai pada 18 Ogos 2010, boleh didapati di http://www.reddit.com/tb/9wnuw;

9.      Thomas Jefferson and the Louisiana Purchase, dicapai pada 19 Ogos 2010, boleh didapati di http://americanhistory.about.com/od/thomasjefferson/a/tj_lap;

10.  Thomas Jefferson: Presidential Series, dicapai pada 20 Ogos 2010, boleh didapati di http://www.ng.mil/resources/photo_gallery/presidential/jefferson.html; dan 

11.  Urban Dictionary: life liberty and the pursuit of happiness, dicapai pada 19 Ogos 2010, boleh didapati di http://www.urbandictionary.com/define.php?term=life liberty.html.

Buku
1.      Banning, Lance, The Jeffersonian Persuasion: Evolution of a Party Ideology, Ithaca, N.Y.: Cornell University Press, 1978;

2.      Benson, Lee, The Concept of Jacksonian Democracy: New York as a Test Case. Princeton, N.J.: Princeton University Press, 1961;

3.      D. Sarasohn, Party of Reform: Democrats in the Progressive Era, 1989;

4.      Everett carll Ladd, The American Polity : The People and Their Goverment (Third Edition), W.W. Norton & Company, New York, London, 1989;

5.      Feller, Daniel, The Jacksonian Promise: America, 1815–1840. Baltimore: Johns Hopkins University Press, 1995;

6.      McCoy, Drew R. The Elusive Republic: Political Economy in Jeffersonian America. Chapel Hill: University of North Carolina Press, 1980;

7.      Schlesinger, Arthur M., Jr. The Age of Jackson. Boston: Little, Brown, 1945;

8.      Ward, John William, Andrew Jackson: Symbol for an Age, New York: Oxford University Press, 1955;

9.      Tocqueville, Alexis de. Democracy in America, diterjemahkan oleh Henry Reeve, dibetulkan oleh Phillips Bradley, New York: Knopf, 1945. 




3 ulasan:

  1. tq so much.. nak tnya sikit. apakah relevance teori jefferison ini dengan kerajaan kita (malaysia)?

    BalasPadam

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...