Sabtu, Februari 05, 2011

Perjalanan hidup seorang pejuang: Daripada Cat Stevens kepada Yusuf Islam.

Biodata ringkas
Yusuf Islam (lahir sebagai Steven Demetre Georgiou pada 21 Julai 1948 di London), yang dikenali sebagai Cat Stevens sejak tahun 1966 hingga 1978, ialah seorang pemuzik, ahli muzik, penyanyi, pencipta lagu, pendidik, dermawan dan pemeluk agama Islam terkenal yang berbangsa Inggeris.


Beliau dibesarkan di West End, London dan dikelilingi oleh dunia teater dan persembahan. Beliau yang mula menunjukkan minat terhadap dunia muzik sejak umur remaja, mula membuat persembahan dengan menggunakan nama Steve Adams pada 1965. Beliau kemudiannya dikenali seantero dunia sebagai Cat Stevens sebelum memeluk Islam pada 1977.





Zaman keunggulan Cat Stevens
Sewaktu kemuncak kerjaya muziknya (sekitar 1970an), beliau telah memiliki 8 buah album yang mencapai anugerah emas secara berturut-turut dan 10 buah lagu yang menduduki tangga teratas di United Kingdom dan 14 buah lagi di Amerika Syarikat.

Album-albumnya yang mendapat sambutan hebat ialah seperti; "Tea for the Tillerman", "Teaser and the Firecats", "Catch Bull at Four", dan "Buddah and the Chocolate Box".

Sementelah, antara lagu yang mempopularkan beliau ketika masih dikenali sebagai Cat Stevens ialah "Wild World", "Peace Train", "Moon Shadow", "Morning has Broken", "Father and Son", dan "Oh Very Young".

"Moon Shadow adalah berkenaan perjalanan seorang budak lelaki dari sebuah dunia yang gelap – yang hanya punya waktu malam – ke sebuah dunia lain yang dipenuhi cahaya mentari girang yang cerah," kata Yusuf.




Sewaktu dikenali sebagai "Cat Stevens", beliau telah menjual lebih 60 juta album di seluruh dunia sejak akhir 1960-an. Dua album beliau iaitu "Tea for the Tillerman" dan "Teaser and the Firecat" telah disijilkan oleh RIAA kerana mencapai status Platinum Beganda Tiga di Amerika Syarikat (tiga juta jualan setiap satu); album "Catch Bull at Four" pula terjual setengah juta salinan dalam dua minggu terawal sejak dikeluarkan dan merupakan LP #1 Billboard selama tiga minggu berturut-turut.

Bakat mencipta lagu beliau juga memberikannya dua anugerah ciptaan lagu ASCAP (untuk "The First Cut Is the Deepest" yang menjadi single hit untuk empat orang artis berbeza.)




Kebolehan

Beliau berkebolehan bermain beberapa alat muzik seperti gitar, gitar klasik, gitar sanjungan, gitar bes, mandolin elektrik, bouzouki, papan nada, hapsikod, polymoog, wisel peni, dram dan genderang.




Menemui Islam
Pada 1976, Cat Stevens hampir lemas di pantai Malibu, California, Amerika Syarikat. Beliau menjerit sambil melaungkan, "Wahai TUHAN, sekiranya Engkau selamatkan aku; aku akan berkhidmat untuk-Mu!" Secara tiba-tiba (takdir), ombak yang besar membawanya kembali ke persisir pantai.

Kemudian, beliau berusaha untuk mencari kebenaran spiritual. Beliau telah mengkaji Buddhisme, Zen, I Ching, Numerologi, 'tarot cards' dan Astrology.

Pada satu hari, abang beliau, David Gordon telah menghadiahkan senaskah Al-Quran dari Baitul Muqaddis sebagai hadiah hari lahir. Cat Stevens kemudian mengkaji Kitab Suci tersebut, dan tertarik dengan kisah Nabi Yusuf a.s.

Kisah Nabi Yusuf tersurat dalam Surah ke-12 Al-Qur'an. Nama surah itu pun mengambil sempena nama Nabi Yusuf a.s., iaitu Yusuf. Menurut suatu sumber, Baginda dikatakan tinggal di sekitar tahun 1700 S.M, iaitu kira-kira 3,700 tahun dahulu. Atau, kurang lebih dua ribu tiga ratus tahun sebelum kemunculan Nabi Muhammad SAW.

Pada kemuncak kemasyhuran beliau, pada tahun 1977, Stevens memeluk agama Islam. Pada tahun 1978, beliau membawa nama Yusuf Islam, lalu meninggalkan kerjaya muzik untuk menumpu kepada tujuan pendidikan dan dermawan dalam masyarakat Muslim. Pada tahun 2006, beliau kembali ke persada muzik pop, dengan sebuah album yang mengandungi lagu pop serba baru sejak berlalunya 28 tahun yang berjudul "An Other Cup".




Beliau menggunakan bakat dalam bidang muzik untuk menulis lagu-lagu berunsur kerohanian untuk anak-anaknya dan murid-murid yang menghadiri Sekolah Islamiyyah yang diasaskannya sendiri.

Sejak 1995, beliau mula menghasilkan album berdasarkan lagu-lagu yang dihasilkan untuk anak-anaknya itu. Antaranya "The Life of the Last Prophet" (1995) diikuti "Prayers of the Last Prophet" (1999), "A Is for Allah" (2000), "I Look, I See" (2003), dan "Night of Remembrance: Live at the Royal Albert Hall" pada 2004.



Anugerah

Beliau telah dikurniakan beberapa anugerah kerana usaha-usaha memupuk keamanan di dunia, termasuk anugerah Man for Peace 2004 dan Hadiah Mediterranean untuk Keamanan 2007.




Keluarga

Pada tanggal 7 September 1979, Yusuf Islam mengahwini Fauzia Mubarak Ali dan perkahwinan tersebut berlangsung di Masjid Regent's Park di London. Beliau tinggal bersama isteri beliau dan lima orang anak di Brondesbury Park, London, dan sering mengunjungi Dubai setiap tahun.




Kesimpulan

Dalam menelurusi liku-liku kehidupan awal Cat Stevens mengharungi dunia kemasyhuran dan kekayaan sebagai penyanyi pop. Dan dalam mencari kebenaran untuk kembali kepada fitrah hatinya; akhirnya beliau menemui Islam setelah mengharungi pelbagai cubaan, dugaan dan cabaran.

Akhirnya, beliau menjadi pejuang agama yang berjuang dengan mendidik diri dan keluarganya, membina sekolah Islam dalam misi pendidikan, mengutus misi kemanusiaan sejagat, malah mengungguli kehidupan total sebagai seorang Islam dalam segenap aspek kehidupannya.

"Lagu-lagu saya sedari dulu adalah berkenaan penceritaan kisah-kisah," kata Yusuf. "Dan, banyak lagu-lagu saya berkenaan pengembaraan dan perjalanan hidup, kerana ia adalah maksud sebenar muzik. Dan, inilah muzik saya," jelas beliau lagi.


Salam. :)



2 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...