Rabu, Februari 23, 2011

'Statustik' dan persepsi.

Ini entri ringan. Tentang status.

Ini kisah benar. Tentang persepsi.

Sejujurnya, saya agak prihatin (bimbang) dengan cara masyarakat kita yang sejak sekian lama gemar mengagung-agungkan simbol dan meremehkan esensi (intipati) persoalan. Dari setinggi-tinggi pemimpin, sehinggalah serendah-rendah strata sosial masyarakat, hampir semua di kalangan kita masih terjangkit dengan kebiasaan ini.

Kita gemar melihat yang berkulit cerah, putih gebu, berdahi licin, berbadan kurus dan sasa itu sebagai perempuan yang cantik atau lelaki yang kacak.

Sementelah, manusia yang gemuk dan berkulit gelap itu kita anggap sebagai tidak cantik dan tidak kacak.

Begitu juga dengan soal status. Kita gemar membuat persepsi bahawa yang memandu kereta mewah itu orang kaya. Yang memandu kereta lama itu orang miskin dan kedekut.

Seolah-olahnya, dunia ini hanya untuk mereka yang cantik, segak, berjawatan tinggi dan berharta.


Seputar Che Din
Berikut saya kongsikan sedikit pengalaman saya sepanjang menjadi ‘chambering student’ sepanjang minggu lepas:
Situasi 1:
Pakaian: Baju kemeja putih, tali leher hitam, seluar ‘slack’ hitam dan kasut hitam
Kenderaan: Honda CRV milik ayah saya
Tempat: Pusat servis kereta di Shah Alam
Watak: Che Din dan Dato’ Ali –bukan nama sebenar - seorang pelanggan (kelihatan bergaya) pusat servis tersebut.
Dato’ Ali: Assalamualaikum. Encik ni lawyer ke? Firm kat mana. Senang-senang nanti, boleh saya contact kalau ada apa-apa masalah?

Situasi 2:
Pakaian: Baju kemeja putih, tali leher hitam, seluar ‘slack’ hitam dan kasut hitam
Kenderaan: Motosikal Lagenda yang sudah berusia 6 tahun
Tempat: Warung kopi di Ampang
Watak: Che Din dan Brader Leman – bukan nama sebenar - seorang pelanggan (kelihatan sempoi) warung kopi tersebut.
Brader Leman: (Tanpa memberi salam) Abang ni kerja pegawai banci ke?

Daripada kedua-dua situasi di atas, kita boleh melihat bagaimana kenderaan seseorang individu itu dijadikan simbol untuk menilai (meneka) status seseorang berdasarkan kenderaan yang dipandu atau ditunggang seseorang.

Melalui situasi kedua, kita dapat melihat bagaimana kurang prihatinnya Brader Leman tentang soal program bancian di Negara kita. Bulan Februari macam ni, siapa nak buat bancian, bang?

Bagi saya, apa jua pekerjaan yang kita lakukan, asalkan halal sumbernya, tidak ada yang rendah nilainya. Setiap jawatan, baik pencuci tandas, pekerja Alam Flora, ahli Bomba, penghantar surat, anggota PDRM, Tentera, doktor, pekebun kecil, wakil rakyat, Pak Menteri dan sebagainya, punya peranan masing-masing dalam memastikan Negara kita terus membangun, makmur dan progresif.

Islam tidak menilai manusia berdasarkan rupa fizikal dan kekayaan
Ketika Islam telah memiliki pengaruh yang sedemikian kuat dan disegani, dan ketika para raja di Romawi bergelimang harta, maka Rasulullah SAW masih saja tidur beralaskan tikar di rumahnya yang sederhana.

Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah SAW akan menampalnya sendiri, tanpa menyuruh isterinya. Baginda juga memerah sendiri susu kambing, untuk keperluan keluarga maupun untuk dijual.

Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang siap untuk dimakan, sambil tersenyum, Baginda menyingsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur.

Kehidupan sehari-hari di rumah Rasulullah SAW dipenuhi dengan kedamaian, ketenteraman, dan keharmonian, walaupun rumah itu jauh daripada kemewahan dan keberadaan. Kerendahan hati Rasulullah SAW dan kezuhudan Baginda cukup indah.

“Anas bin Malik, pelayan Rasulullah SAW pernah memperlihatkan kepadaku (Zaid bin Thabit) tempat minum Rasulullah SAW yang diperbuat daripada kayu keras yang dipateri dengan besi. Dengan gelas kayu itulah Rasulullah SAW minum air, perasa kurma, madu dan susu.” (Hadith Riwayat Tarmidzi)


Bilal bin Rabah r.a yang mana sebahagian orang memanggilnya dengan nama ibnus sauda’ (budak hitam) -- sepanjang hayatnya, beliau diakui sebagai seorang yang patuh dan rajin terhadap tanggungjawabnya, ikhlas, amanah, berani, tabah, dan sanggup menghadapi risiko demi mempertahankan kebenaran.

Beliau juga pernah menyertai barisan tentera Islam dalam beberapa peperangan dan dilantik sebagai juru azan oleh Rasulullah SAW dan kerana itulah namanya kini diabadikan kepada setiap juruazan atau bilal.

Demikianlah, ALLAH tidak melihat gelapnya warna kulit. Sebaliknya, ALLAH menilai cerahnya warna hati.

Fatimah Az-Zahrah, puteri kesayangan Baginda SAW sendiri memakai pakaian yang penuh bertampal 12. kalau puteri Rasulullah yang sudah tetap menjadi pemimpin wanita di syurga memakai pakaian bertampung dua belas apa lagi kita?

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya ALLAH tidak akan melihat rupa dan harta kamu, tetapi ALLAH melihat hati dan amalan kamu”


Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Abu Zar, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Lihatlah! Sesungguhnya, kamu tidak menjadi mulia dengan sebab warna merah, dan warna hitam, melainkan kamu dilebihkan kerana ketaqwaan.”


Tuntasnya, bukanlah niat saya untuk menggalakkan kita semua memakai pakaian yang compang-camping atau buruk. Cuma, bersederhanalah. Yang penting, meski pakaian itu tidak berjenama, ia bersih, sopan dan menutup aurat. Qanaah dan wasatiyyah itu besar manfaatnya jika kita amalkan bersama. Sungguh.

Ini pesanan untuk diri saya juga.

Dan, janganlah terlalu mudah menilai seseorang itu berdasarkan bentuk fizikal atau luaran mereka semata-mata. Nilailah mereka dengan mata hati. Kenalilah mereka sebenar-benar kenal.


Janganlah hanya kerana mereka itu memakai kereta mewah, kita terus sahaja percaya bahawa mereka adalah orang kaya, dan segala skim perniagaan (cepat kaya) yang mereka tawarkan, kita terima bulat-bulat. Sedang hakikatnya, mungkin kereta tersebut hanyalah kereta yang disewa sehari dua.

Salam! :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...