Antara keputusan paling sukar yang telah saya buat dalam hidup saya, ialah memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang perundangan di UiTM, dan tidak meneruskan (menghabiskan) pengajian peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di SAMT Tengku Ampuan Rahimah, Sungai Manggis.

Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinga saya, setiap kali menziarahi kubur Atok. Dan, setiap kali saya teringatkan Atok.
Kendati, ini bukan cerita tentang saya. Bukan juga tentang Arwah Atok. Ini cerita Kaherah. Cerita Tunisia. Cerita hari-hari rusuhan. Hari-hari kebangkitan.

Seperti yang kita sedia maklum, puluhan ribu penunjuk perasaan Mesir telah menyertai protes digelar 'Hari Kebangkitan' ala Tunisia, sebahagiannya membaling batu dan memanjat trak polis selain bertempur dengan anggota keselamatan di tengah ibu negara bagi menuntut Presiden Hosni Mubarak menamatkan pemerintahan sejak tiga dasawarsa yang lalu.
Anggota polis bertindak balas dengan melepaskan meriam air selain menggunakan cotar dan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan melaungkan 'Jatuhkan Mubarak' selain menuntut demokrasi serta tatakelolaan yang lebih cemerlang di tanah air mereka.
Mubarak yang telah sejak sekian lama mengamalkan dasar pemerintahan kuku besi, pro-Barat dan pro-Israel, sememangnya telah dibenci oleh rakyatnya semenjak sekian lama.





Teori Domino Tunisia
Asal faktor kebangkitan (akhbar menggelarkannya sebagai rusuhan) di Kaherah antara lain ialah tindakan seorang penganggur Tunisia, Mohamed Bouazizi, 26 yang membakar dirinya.

Bermula dengan Tunisia, kerajaan pimpinan Zine al-Abidine yang digulingkan pada 14 Januari lalu, ini diikuti dengan rusuhan di Mesir -- menuntut Presiden Hosni Mubarak yang memerintah selama 30 tahun supaya berundur. Apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir menjadi pemangkin kepada beberapa rusuhan di Syria, Yemen dan Jordan.

Aktivis Mesir, Mohamed el-Baradei menyifatkan pelantikan Naib Presiden dan Perdana Menteri yang baru diumumkan Mubarak sebagai tidak berguna dan tidak menurut permintaan rakyat.
Protes anti-Mubarak turut diadakan di Kedutaan Mesir di London dan di beberapa bandar di Amerika Syarikat (AS). Angka korban akibat demonstrasi jalanan di Mesir dilaporkan mencecah lebih 100 orang kelmarin.
Kumpulan yang menggelar diri mereka 'Gerakan 6 April' telah merancang mengadakan demonstrasi lebih sejuta rakyat di tengah-tengah kebencian rakyat terhadap rejim Hosni Mubarak. Para penunjuk perasaan yang masih bertahan di medan tersebut tidak pedulikan perintah berkurung yang dikeluarkan oleh tentera.
"Kami akan kekal di sini dan akan memperkukuh gerakan kami serta kami tidak akan berganjak dari sini," kata penunjuk perasaan yang dirakam oleh TV Al-jazeera.
Saluran kabel tersebut kemudiannya telah ditutup oleh rejim Mubarak. Enam wartawan dan jurugambarnya ditahan. Di antara yang menyertai tunjuk perasaam itu ialah para hakim dan majistret, para doktor dan jurutera, pegawai kerajaan dan swasta serta penulis.
Diberitakan, lebih seratus orang telah terbunuh dan cedera. Semua komunikasi dengan Mesir telah terputus. Penunjuk perasaan menolak jaminan Hosni Mubarak untuk melaksanaskan pembaharuan ekonomi dan politik. Jaminan itu, menurut mereka, terlalu kecil dan sudah terlambat.
Ada yang menyatakan, apa yang berlaku di Kaherah sekarang merupakan kesan teori domino Tunisia yang akan merebak ke Afrika Utara dan Semenanjung Arab. Apa yang penting, kita mengharapkan perkara ini mampu dijadikan tauladan dan peringatan kepada semua pemimpin. Bahawa wakil rakyat itu adalah pekerja yang berkhidmat kepada rakyat.
Tuntasnya, sama ada mereka yang menyertai rusuhan dan tunjuk perasaan di Medan Tahrir adalah tetamu yang diundang atau sebaliknya; mereka tetap tetamu. Tetamu revolusi. Revolusi Medan Tahrir.
Kerana jasad bisa kita kekang. Tapi, tidak bagi pemikiran. Ia kekal subur dan jahil. Bergantung kepada pendedahan, kehendak dan kesedaran pemiliknya.
Bak kata Victor Hugo, "betapa kuatnya pengaruh pemikiran manusia hingga tidak ada tentera di dunia ini yang dapat menentangnya."

Beberapa orang sahabat baik saya kini masih berada di Mesir. Dan, keadaan yang semakin meruncing di Kaherah benar-benar menggusarkan saya. Banyak negara sudah ambil tindakan untuk bawa balik pelajar negara masing-masing.
Justeru, saya agak 'terkejut' bila ada pak menteri kita yang menyatakan "tak perlu bawa pulang. Keadaan masih terkawal."




Mujur DS Najib menyatakan kesediaan kerajaan untuk memastikan nasib pelajar Malaysia di sana terbela.
Ini bukan soal makan ayam goreng Kentucky. Ini soal hidup mati. Justeru, tindakan segera perlu diambil.
Bersama kita doakan kesejahteraan dan keselamatan sahabat-sahabat kita di sana. In sya ALLAH.
Salam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan