Khamis, Februari 17, 2011
Maradona: Tangan Tuhan dan Layang-Layang Kosmos
Diego Armando Maradona (lahir 30 Oktober 1960) ialah seorang bekas pemain bola sepak Argentina. Beliau pernah beraksi dalam empat kejohanan Piala Dunia dan berkongsi anugerah Pemain Terbaik Abad Ini oleh FIFA bersama Pele, setelah diundi di tempat teratas dalam satu pungutan pendapat di laman web FIFA sebagai pemain paling cemerlang sepanjang abad ke-20.
Maradona banyak meraih piala bersama pasukan Boca Juniors, FC Barcelona dan SSC Napoli sepanjang kerjayanya. Sepanjang kerjaya bola sepak antarabangsa yang merangkumi 91 kali aksi antarabangsa dan 34 gol, beliau beraksi di empat kejohanan Piala Dunia FIFA, memimpin pasukan kebangsaan Argentina sehingga mencapai kejuaraan pada edisi tahun 1986, yang mana beliau meraih anugerah Bola Emas selaku pemain paling cemerlang sepanjang kejohanan.
Beliau juga dianggap sebagai salah seorang pemain paling kontroversi dalam sukan berkenaan. Maradona digantung selama 15 bulan pada tahun 1991 setelah gagal dalam ujian dadah yang di Itali, sebelum didapati menggunakan efedrina dalam kejohanan Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat.
Setelah bersara dari persada bola pada hari jadi ke-37 pada tahun 1997, beliau pernah bertarung dengan maut akibat masalah jantung, obesiti, ketagihan dadah yang hampir membawanya ke ambang kematian, Maradona diberi peluang kedua apabila menjadi jurulatih Argentina pada 2008 dan pernah menjadi hos TV di Argentina.
Maradona: Sebelum dan selepas rawatan sedut lemak.
Jaringan ‘Tangan Tuhan’ Maradona (1986):
Sewaktu berlumba dengan penjaga gawang England - Peter Shilton (yang mempunyai ketinggian 6 kaki 1 inci) – untuk mengejar bola yang melambung di udara (selepas Steve Hodge terlepas bola tersebut), Maradona (yang hanya mempunyai ketinggian 5 kaki 5 inci) menumbuk bola tersebut dengan penumbuk kirinya.
Sebagai seorang pemain pakar, beliau cuba memperdaya pengadil (Ali Bin Nasser dari Tunisia) dan penjaga garisan dengan membuat gaya menganggukkan kepala -- seolah-olah baru sahaja menanduk bola tersebut ke dalam gol!
Sewaktu sidang akhbar sejurus selepas perlawanan tersebut, Maradona menyatakan bahawa gol tersebut “dijaringkan secara bersama oleh ‘Tangan Tuhan’ dan tandukan Maradona.” Rangkaian televisyen seantero dunia menyiarkan jaringan tersebut berulang-ulang kali, tatkala jaringan ‘Tangan Tuhan’ oleh Maradona menyinar sebagai peristiwa bersejarah dalam sejarah sukan dunia.
Kendatipun, dalam autobiografinya pada 2002, beliau menulis: “Sekarang, saya fikir, saya sudah mampu memperkatakan apa yang saya tak mampu perkatakan waktu itu. Waktu itu, saya menggelarkannya sebagai Tangan Tuhan. Merepek! Ia bukanlah tangan Tuhan. Ia tangan Diego! Dan, rasanya kurang lebih seperti menyeluk saku pasukan England.”
Jaringan Terbaik Abad Ini oleh Maradona (1986):
Ya, jaringan ‘Tangan Tuhan’ Maradona adalah sangat popular – atau mungkin sangat dibenci – tetapi jaringan kedua Maradona sewaktu menentang England dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia Mexico 1986 pasti dikenang sebagai jaringan yang memberikan definisi sebenar terhadap permainan bola sepak.
Dalam masa kurang lebih 4 minit selepas jaringan kontroversi ‘Tangan Tuhan’ Maradona, seluruh dunia menyaksikan detik terbaik dan tercela bola sepak Argentina. Tatkala jaringan ‘Tangan Tuhan’ dicemuh sebagai satu penipuan, gol kedua Maradona, yang kemudiannya dianggap sebagai ‘Jaringan Terbaik Abad Ini’ – sebuah puisi indah terhadap kebijaksanaan dan kelincahan Maradona sebagai antara pemain bola sepak terbaik di Planet Bumi.
Gol tersebut dianggap sebagai gol individu terbaik dunia sepanjang zaman. Hector Enrique menghantar bola kepada Maradona 10 meter di dalam kawasan Argentina. Maradona kemudiannya memulakan aksi menggelecek dan celah-mencelah mengagumkan sepanjang 60 meter memintas lima pemain England -- Hodge, Beardsley, Reid, Butcher dan Fenwick -- dalam masa kurang lebih 10 saat.
Maradona terus menggelecek dan memperdaya Shilton untuk gerakan penyudahnya dengan jaringan 2-0. Jaringan hebat ini digelar El barrilete cósmico (Layang-layang Kosmos) di Argentina.
Argentina diangkat sebagai juara dunia buat kali kedua, pada perlawanan akhir yang penuh epik menentang Jerman. Maradona pula dijulang selaku raja kejohanan tersebut, menjulang trofi Piala Dunia 1986 di bawah terik mentari Mexico.
Maradona dan Supermokh
Dato’ Mokhtar Dahari ( 13 November 1953 – 11 Julai 1991) adalah legenda pemain bola sepak kebangsaan Malaysia dari Selangor. Beliau telah diberi gelaran SuperMokh kerana keberaniannya menjaringkan banyak gol sepanjang kariernya. Beliau mewakili Malaysia dari 1972 hinggalah 1985.
Pada usia 23 tahun, ‘SuperMokh’ diiktiraf Majalah World Star Soccer sebagai penyerang terbaik Asia dan ketika itu jugalah beliau dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 1976.
Kelebihan dimiliki ‘SuperMokh’ banyak dengan sepakan deras bak peluru menjadi elemen penting hinggakan tiga jari bekas penjaga gol negara, mendiang R. Arumugam, pernah patah ketika cuba menampannya. Malah penyerang ternama negara ini juga bijak dalam membaca gerakan lawan dan meloloskan diri dari kawalan pertahanan pihak lawan.
Supermokh, lagenda yang sangat kita rindui, atas kesungguhan beliau, tahap penumpuan yang tinggi, dan seorang pemain bola sepak berdisiplin yang pasti dikenang atas kemahiran dan teknik, kepantasan berlari dan kemampuannya dalam menggelecek pertahanan lawan.
Supermokh, merupakan penyerang terbaik dan 'sempurna' yang pernah dilahirkan oleh negara kita dan Asia (dalam eranya). Malangnya, sepertimana Giggs dan George Best, beliau (selaku pemain yang unggul) tidak dapat beraksi dalam kejohanan Piala Dunia sepanjang kerjayanya.
Jaringan golnya sewaktu perlawanan persahabatan dengan Juara Piala FA Inggeris, Arsenal pada 1975 (yang dibarisi lagenda The Gunners seperti Rimmer, Mancini, Storey dan Kidd) mengejutkan dunia apabila Malaysia memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan 2-0.
Sementelah, beliau juga dikenang atas jaringannya sewaktu seri 1-1 sewaktu menentang England B (yang dilatih oleh Bobby Robson) pada tahun 1978, dengan gaya gelecek dari tengah padang ala Maradonanya.
Mokhtar telah membuat penampilan di padang bola sebanyak 167 kaps (penampilan), menjaringkan 117 gol dalam saingan Piala Malaysia dan 125 gol antarabangsa.
Mokhtar telah mengetuai pilihan Selangor menentang Boca Juniors yang diketuai oleh Diego Maradona dalam satu perlawanan persahabatan pada tahun 1982. Selangor tewas 2-1.
Nota Kaki :: * Satu rekod baru telah dicipta di Mexico apabila 2, 407, 431 orang penonton hadir dalam 52 perlawanan kejohanan edisi ’86. Perlawanan bersejarah Argentina-Jerman Barat dihadiri lebih 114,660 orang penyokong. Bagaimanapun, hanya 13,800 orang penonton yang menyaksikan perlawanan pusingan pertama antara Kanada dan Hungary.
** Hugo Sanchez, lagenda dan penjaring terhebat Mexico, merupakan seorang doctor gigi bertauliah.
*** Jose Batista telah dilayangkan kad merah hanya 56 saat selepas sepak mula dalam perlawanan pusingan pertama Piala Dunia 1986 antara Uruguay dan Scotland. Ia merupakan penyingkiran paling awal dalam sejarah Piala Dunia.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan
Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...
-
Meluaskan Pengaruh Sememangnya pertumbuhan ekonomi dan luasnya pengaruh tidak harus dijadikan piawai yang mengukur keberhasilan dan keceme...
-
Nostalgia Liga Malaysia: Shahril Arsat. Shahril Arsat merupakan anggota skuad ‘ treble ’ Piala Malaysia 1995, ...
-
“ Dalam suatu budaya demokrasi… prasangka orang yang tidak mengetahui adalah lebih senang untuk dihapuskan daripada prejudis orang yang be...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan