Logo Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). |
Logo Nadwah Ilmuwan Malaysia. |
Logo Kolej Dar al Hikmah (KDH). |
Poster Wacana Nadwah Ilmuwan Siri ke-11. |
-Wacana
Nadwah Ilmuwan siri ke-11-
PRU 13: Aplikasinya Menerusi Perspektif Fiqh Politik Islam.
PRU 13: Aplikasinya Menerusi Perspektif Fiqh Politik Islam.
1.0.
Pendahuluan.
Pada
27hb Mac 2013 (Rabu), 8.30 malam, satu wacana besar bertajuk ‘Wacana PRU 13:
Aplikasinya Menurut Fiqh Politik Islam’ telah dianjurkan oleh Nadwah
Ilmuwan Malaysia di Dewan Besar, Kolej Dar Al-Hikmah (KDH), Sungai Ramal Dalam,
Kajang, Selangor Darul Ehsan. ‘Nadwah Ilmuwan’ ialah sebuah projek keilmuan bagi menjana dan mengembangkan ilmu
pengetahuan berteraskan Islam kepada masyarakat. Matlamat penubuhannya adalah untuk menjalankan kegiatan
penyelidikan, pendidikan, penerbitan dan latihan dalam pelbagai bidang
persoalan keilmuan Islam. Nadwah Ilmuwan dibangunkan secara bersama oleh
pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Angkatan Belia Islam
Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Ustaz Hasri, Exco ABIM sebagai Pengerusi Majlis. |
Dr Razak Idris selaku moderator, mengiringi para panelis untuk bersedia sebelum memulakan wacana. |
2.0.
Ucapan Alu-Aluan oleh Pengerusi Nadwah
Ilmuwan Malaysia, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.
Pengerusi majlis pada malam tersebut ialah Exco
Dakwah dan Tarbiyyah ABIM, Ustaz Hasri Harun, manakala Dr
Razak Idris, mantan Presiden ABIM, menggalas tanggungjawab selaku moderator. Pengerusi
Nadwah Ilmuwan Malaysia, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman selanjutnya memulakan
program pada malam tersebut dengan ucapan aluannya yang membekas. Beliau melontarkan
beberapa persoalan seperti apakah ‘kedudukan kerajaan interim (caretaker
government) itu sah’ dan ‘adakah umat Islam boleh mengundi calon bukan Islam’.
Prof Redzuan turut menyatakan hasrat Nadwah Ilmuan untuk menganjurkan wacana
seperti ini dengan lebih kerap. Selain menghebahkan kepada hadirin – secara
ringkas – berkenaan fungsi dan peranan Nadwah Ilmuwan, beliau turut memaklumkan berkenaan matlamat wacana kesebelas ini,
iaitu – antara lain -- untuk mencari jawapan kepada persoalan-persoalan yang
menyelubungi amalan Fiqh politik semasa umat Islam.
Prof Madya Dr Mohammad Kamil Abdul Majid. |
Prof Kamil sewaktu sesi soal-jawab bersama hadirin di KDH. |
3.0.
Pandangan Pensyarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Madya Dr
Mohammad Kamil Abdul Majid.
Prof
Kamil menegaskan bahawa mengundi itu wajib hukumnya, namun ia bukan satu
kefardhuan bagi setiap umat Islam kerana langkah itu bagaikan satu kesaksian
syahadah. Sehubungan itu kata beliau, bukan setakat mengundi bahkan menyertai
pilihan raya dan bertanding untuk membentuk kerajaan juga adalah wajib. Menurut
Prof Kamil, mencari pemimpin berkualiti itu mestilah seseorang yang bersifat ‘qawiyyul
amin’: mempunyai rohani dan jasmani yang kuat serta bersifat amanah. Beliau
menekankan peranan besar pemimpin dalam menyantuni kebajikan rakyat dengan
menggunakan analogi ‘wali dan anak yatim’, di mana pemimpin dikehendaki
bersifat seperti ‘wali’ dalam menjaga kebajikan rakyat ‘seolah-olah rakyat itu
adalah anak yatim’ yang mempunyai kedudukan yang besar dalam Islam.
Selanjutnya,
Prof Kamil yang mempunyai kepakaran dalam bidang sosiologi Islam, teologi Islam
dan pemikiran Islam, juga menggariskan 20 ciri utama yang perlu diberi
perhatian oleh pengundi Islam bagi memilih bakal pemimpin yang akan membentuk
kerajaan baru nanti. “Pemimpin yang nak dipilih mestilah berakal, bijaksana,
berani, bersih, pemurah, berlapang dada, bukan pemarah, seorang yang pemaaf
bukan dendam, lemah-lembut dan budiman, menepati janji dan jujur. Selain itu,
mestilah boleh menyimpan rahsia, cekal hati, strategi, pandai tawar-menawar,
bukan hasad dengki, bersyukur, bukan bernafsu, tidak menjadikan orang kafir
sebagai penasihat, bertujuan berpolitik bukan cari keuntungan dan kemudahan
diri sendiri serta jaga keadilan dan kebenaran,” katanya lagi.
Selain
daripada itu, Prof Kamil menyatakan bahawa konsep ‘wasatiyyah’ dan ‘maslahah’
perlu diimbangi dan dipelihara bagi mengelak kemudaratan. Prof Kamil menyeru
agar politik liar seperti ugutan diketepikan dan sebaliknya menggesa agar para
ahli politik menjual idea secara harmoni. Beliau juga menasihatkan para
pengundi agar menjalankan solat istikharah sebelum membuang undi dan meminta
parti-parti politik mengadakan pertemuan muhibah usai setiap PRU bagi
memelihara keharmonian negara.
Prof Kamil dilahirkan pada tahun 1950 di Kampung Kayu Rindang, Melor,
Kota Bharu, Kelantan. Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang
daripada Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK), dan Sarjana Muda
Syariah daripada Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Keserjanaannya dalam
bidang falsafah dan Teologi Jabatan Pengajian Islam, Universiti Malaya dan
bidang Pemikiran Islam (Kerohanian) bagi Ijazah Doktor falsafah, di Universiti
Malaya.
Dalam pentadbiran akademik, Prof Kamil pernah memegang jawatan Timbalan
Dekan (Usuluddin), Ketua jabatan (Dakwah dan Pembangunan Insan) dan Timbalan
Pengarah (Hal Ehwal Pelajar di Akademi Pengajian Islam) dan pernah membentang
kertas-kertas kerja di dalam dan luar negara. Beliau pernah menjadi Anggota
Ulama, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan Ahli Panel Kajian Akidah JAKIM.
Juga terlibat dengan peristilahan (agama) Dewan Bahasa dan Pustaka. Dalam
bidang penerbitan, beliau menghasilkan lebih 10 buah buku di samping artikel
dalam jurnal tempatan dan antarabangsa.
Beliau
yang mempunyai pengalaman bergiat dalam PKPIM dan ABIM, menyentuh berkenaan
kepentingan ahli politik untuk menjaga adab dan etika ketika berkempen. Beliau
turut mengimbau bagaimana dalam ucapan dasar Muktamar Agung PAS ke-12 pada tahun
1964, Allahyarham Dr Burhanuddin Al-Helmi, Yang Dipertua Agung PAS ke-3
mengatakan Almarhum Tunku Abdul Rahman pernah memuji mantan Timbalan Yang
Dipertua Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Prof Dato’ Dr Zulkifli Muhammad sebagai
‘Pahlawan Demokrasi’.
Tegasnya,
seseorang pemimpin yang mahu dipilih nanti perlu menjaga agamanya daripada
diperlekehkan, mempertahankan diri dan nyawa supaya tidak melayang begitu
sahaja, berkeupayaan menjaga harta benda dan membelanjakannya secara halal dan
memelihara maruah nasab keturunan umat Islam. Prof Kamil menegaskan bahawa
sebanyak mana pun kitab yang kita pelajari, kita perlu memahami dan menguasai waqi’
atau realiti semasa.
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman. |
Pandangan Ustaz Zaharuddin antara yang menjadi tumpuan pada malam tersebut. |
Dalam pada itu,
Ustaz Zaharuddin berkata, seseorang pemimpin negara yang hendak dipilih bukan
sahaja baik agama dan solatnya malah kemahiran mentadbir dan mewujudkan
hubungan dengan rakyat juga perlu dimiliki jika ingin terus terlibat dalam
politik. Ustaz Zaharuddin yang juga mantan Presiden PMIUM sesi 1999/2000 dan
pernah menjadi Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Selangor, menekankan bahawa
tahap pendidikan dan populariti tidak menjamin kejayaan bagi seseorang calon
dalam pilihanraya.
Beliau juga
menasihatkan para ahli akademik yang tidak sanggup berdepan sepak-terajang
politik, agar memahami ‘bahasa masyarakat’ dan berfikir sedalam-dalamnya
sebelum terjun ke dalam bidang tersebut. “Kalau tak tahan maki, jangan masuk
politik di Malaysia,” katanya.
Ustaz Zaharuddin dikenali sebagai seorang
pendakwah yang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang Syariah, kewangan
dan perbankan Islam. Beliau memegang Ijazah B.A. (Hons) dalam bidang Usuluddin
daripada Universiti Malaya; M.A, Syariah (Hons) daripada Universiti Al-Yarmouk,
Jordan; Ph.D, Syariah dan Kewangan Islam daripada Universiti Wales, United
Kingdom dan Ijazah Ilmiah dari Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Beliau bertugas
selaku Pensyarah Kanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; Profesor Madya
di The Markfield Institute of Higher Education, United Kingdom; Ahli Panel
Kajian Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Ahli Majlis, IIUM
Institute of Islamic Banking & Finance (IIiBF).
Ustaz Siddiq Fadzil, murabbi umat. |
Ustaz Siddiq Fadzil sewaktu menyampaikan buah fikirnya. |
Sementara itu,
Ustaz Siddiq Fadzil menyifatkan arena politik mula berubah kepada sistem dua
parti sejak PRU 2008 lagi. “Orang mengundi berkirakan aspek ‘public virtues’
(nilai-nilai kebaikan awam), tidak lagi terikat kepada politik perkauman.
Rakyat mahukan politik integriti, politik berprinsip, politik idealisme,
politik nilai dan bukan politik perkauman,” katanya. Integriti, politik
prinsip dan politik idealism juga semakin diambil peduli oleh masyarakat
terbanyak dalam meletakkan sikap dan sokongan.
Malah katanya,
pihak pemerintah tidak sewajarnya mempersoalkan hak rakyat untuk menukar
kerajaan, apatah lagi menakut-nakutkan pengundi daripada memilih parti yang
mereka kehendaki. Rakyat, menurut Ustaz Siddiq, merupakan sumber kekuatan ahli
politik dan pemimpin. Seterusnya, Ustaz Siddiq menegaskan bahawa sistem pilihan
raya adalah jaminan peralihan kuasa dengan aman dan damai.
Ustaz Siddiq Fadzil telah terlibat
sebagai seorang aktivis semenjak zaman pelajar sehinggalah beliau memimpin
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebagai Presiden ketiga (1982-1991). Setelah
meraih ijazah Sarjana Muda Sastera, Kepujian Kelas Pertama (1974), beliau
menyertai Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi sebagai tutor dan
melanjutkan pengajian ijazah keduanya di universiti yang sama sehingga berjaya
meraih Sarjana Persuratan (M.Litt.) pada tahun 1978.
Pada tahun 1989, beliau menjadi penerima
pertama ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dari Institut Bahasa Kesusateraan dan
Kebudayaan Melayu pada tahun 1989. Tesis beliau yang bertajuk ‘Pemikiran
Barat Moden – Sikap Para Cendekiawan Muslim Dengan Tumpuan di Alam Melayu’
telah menyediakan suatu landasan yang baik bagi beliau mendalami dan menerajui kepakaran
bidang yang dipilih.
Semuanya ini disalurkannya melalui
kursus-kursus yang diajar semasa berada di UKM iaitu; ‘Pengenalan Persuratan
Melayu’, ‘Metodologi Penyelidikan’, ‘Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu’,
‘Islam dan Modenisme di Alam Melayu serta Kesusasteraan Tradisional
Nusantara’. Beliau juga terlibat dalam penyeliaan di peringkat pasca-siswazah
dan pernah mengajar kursus seperti ‘Falsafah dan Pemikiran Melayu’, ‘Sastera
Kanon Melayu’ (Malay Canon) dan ‘Sastera Sufi’.
Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr. Aznan Hasan, turut menyuarakan pandangannya sewaktu wacana tersebut. |
Dr Razak, Prof Kamil, Ustaz Zaharuddin dan Ustaz Siddiq. |
Sebahagian daripada hadirin sewaktu wacana Nadwah Ilmuwan ke-11 di KDH. |
Mudahnya,
sesi wacana ini memperlihatkan kekuatan ulama’ dan rakyat yang semakin matang
dalam dalam mencari jawapan kepada persoalan-persoalan yang menyelubungi amalan
Fiqh politik semasa umat Islam. Wacana ini telah meluaskan horizon dan
mendalamkan kefahaman terhadap dasar-dasar politik Islam (siyasah syar’iyyah),
asas memilih calon, hukum-hakam berkaitan pilihan raya, isu calon bukan Islam
dan memahami realiti beriringan dengan memahami teori.
----------------------------------------------------------------------
Rujukan
dan Pautan:
- http://www.facebook.com/ABIMPUSAT?ref=ts&fref=ts;
- www.sinarharian.com.my/politik/wacana-pru13-mengundi-itu-wajib-pilihan-hak-pengundi-1.143615;
- http://zulkiflihasan.wordpress.com/2013/03/28/memahami-fiqh-demokrasi-dan-kaitannya-dengan-pru13/;
- http://www.facebook.com/fadhlinasidek.sidek.