Selasa, Julai 15, 2014

Seputar Majlis Iftar Jama’iy dan Tazkirah Perdana WADAH-ABIM-PKPIM di Kolej Dar al-Hikmah.


I
‘Majlis Iftar Jama’iy dan Tazkirah Perdana 
WADAH-ABIM-PKPIM’ di KDH.
Alhamdulillah, pada tanggal 15hb Julai 2014, ‘Majlis Iftar Jama’iy dan Tazkirah Perdana Wadah Pencerdasan Umat - Abim Pusat - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)’ telah dianjurkan di Kolej Dar al-Hikmah (KDH), Sungai Ramal Dalam, Kajang.
Selain itu, turut diadakan Majlis Sumbangan kepada Anak-Anak Yatim Kompleks Kebajikan Rukaiyah (KKR), Sungai Merab Luar yang disampaikan oleh Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Pengerusi Majlis Syura Kebangsaan. Semoga anak-anak ini berjaya dengan cemerlang dalam akademik dan sakhsiah, in sya ALLAH.

II
Tazkirah Perdana oleh Ustaz Siddiq Fadzil di KDH.
Selanjutnya, Tazkirah Perdana telah disampaikan oleh Dato’ Dr. Ustaz Siddiq Fadzil di KDH. Berikut merupakan catatan Tazkirah Perdana dalam program tersebut:
Ustaz Siddiq Fadzil menekankan bahawa malam turunnya Al-Qur’an adalah lebih baik daripada seribu bulan: malam yang penuh bererti. Namun, ia sebenarnya ‘seribu’ menunjukkan banyak tanpa batas: universal. Sejarah akan punya erti apabila ianya diisi dengan hokum-hakam Islam. Alam ini tidak pernah sunyi daripada bacaan Al-Qur’an walau sesaat pun dalam peredaran bumi ke timur dan barat ini.
Sejauh mana kita terkesan dan dapat memanfaatkan Al-Qur’an? Umar Abdul Aziz sangat terkesan dengan Surah 25, Al-Furqan, Ayat 30 yang maksudnya: “Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”. Rasulullah SAW mengadu kepada ALLAH SWT ‘ada kaum yang meninggalkan Al-Quran’. Khalifah Umar Abd Aziz khuatir beliau tergolong dalam kaum itu. Oleh yang demikian, Umar Abdul Aziz memastikan tiada hari yang berlalu dalam hidupnya tanpa membaca Al-Qur’an.
Semakin besar perhatian kita kepada pembacaan Al-Qur’an, semakin banyak Al-Qur’an menyerlahkan rahsia-rahsianya kepada kita dalam kehidupan ini. Ada empat peringkat interaksi: ‘tilawah’ (melalui bacaan); ‘tahfiz’ (melalui hafalan); ‘tadabbur’ (melalui renungan); ‘taasur’ (terkesan): pemahaman dan amalan.
Kekuatan komunikasi stylistic’ yang sangat berkesan dalam Surah 2, Al-Baqarah, Ayat 183 yang maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” Walaupun ianya bukan ayat yang berbentuk arahan, tetapi ia adalah ayat yang penuh dengan penghargaan dan apresiasi.
Paling menarik, ayat mengenai puasa di dalam Surah Al-Baqarah tersebut tidak diwahyukan dalam nada ‘perintah’, tetapi nada ‘pemberitahuan’. Terasa ringan apabila mengetahui bahawa puasa ini diperintah juga kepada umat sebelum ini. Perintah-perintah lain seperti solat, zakat dan haji; ALLAH SWT menggunakan ‘fi’el amar’ (perbuatan perintah), tetapi untuk ibdah puasa, ALLAH SWT berfirman menggunakan ‘fi’el maadhi’ (past tense).
Istilah ‘kutiba’ memberi maksud ‘telah difardhukan’. Malah, lebih indah lagi, ALLAH SWT memulakan dengan seruan ‘wahai orang-orang yang beriman’ dan diakhiri dengan janji ‘mudah-mudahan kamu bertaqwa’.
Menurut Ibnu Mas’ud, ayat Al-Qur’an yang bermula dengan ‘wahai orang-orang yang beriman’ akan disusuli dengan anjuran membuat kebaikan untuk dilaksanakan atau keburukan yang mesti dihindarkan. Motivasi untuk melaksanakan ibadah berpuasa ini disertakan dengan ‘outcome’: ada ganjarannya.
Seperti yang disebut tadi, Al-Qur’an mempunyai ‘stylistic communication’. Perintah disebut ‘outcome’, dan jika berpuasa, akan mendapat taqwa. Mukmin yang paling hebat ialah mukmin yang bertaqwa. Puasa berintikan mujahadah nafsu. Melawan keinginan, melawan nafsu, serta melawan kebiasaan. Ertinya, kita meningkatkan daya lawan. Dalam puasa; lawan tetap lawan.
Mukmin yang paling hebat adalah yang paling tinggi taqwanya. Puasa dengan ‘outcome’nya taqwa, intinya ialah melawan hawa nafsu, melawan keinginan-keinginan, melawan kebiasaan-kebiasaan dan ternyata ianya boleh! Bererti dengan berpuasa kita boleh melawan secara terus-terusan. Inilah satu proses transformatif yang sangat berkesan.

III
Mujahadah dan Konsistensi: 
Beribadah bukan hanya di bulan Ramadhan
Seterusnya, menurut Ustaz Siddiq lagi, ‘mujahadah’ (perjuangan melawan nafsu berterusan tanpa henti) adalah sama seperti jihad, tetapi kebiasaannya, jihad dirujuk kepada perang yang berlaku sesekali. Maka. Mujahadah lebih serius daripada jihad. Jangan salahkan syaitan dalam semua hal, kerana ia boleh ditewaskan. Kisah bagaimana syaitan cukup takut dengan Umar Al-Khattab. Kalau Saidina Umar berjalan atas satu laluan, syaitan akan cari laluan lain.
Masalahnya ialah kita melakukan kemungkaran kerana hawa nafsu dan kebiasaan-kebiasaan. Jadi, yang sukar dikalahkan ialah nafsu; sekaligus menuntut perjuangan yang berterusan waimah selepas Ramadhan.
Jadikanlah mujahadah sebagai satu cara hidup! Seorang hakim pernah memohon berhenti dari jawatannya daripada Khalifah Saidina Abu Bakar As-Siddiq kerana sepanjang tempoh 2 tahun beliau berkhidmat, tiada kes yang dibicarakan. Itulah indahnya apabila mujahadah telah dijadikan sebagai satu cara hidup.
Sepanjang 100 tahun selepas wafatnya Rasulullah SAW, kes pelaksanaan hudud zina hanya berlaku sebanyak 6 kali sahaja. Sedangkan, sebelum Islam, kes zina sebagai satu kebiasaan dalam kalangan masyarakat jahiliah. Sebagai contoh banyak rumah yang ada bendera merah yang mengundang sesiapa untuk masuk melakukan maksiat! Pada tempoh masa yang sama, pelaksanaan hudud mencuri hanya berlaku sebanyak 4 kali.
Maka, merubahkanlah masyarakat sekarang, bermula di sini, kalau bukan kita yang memulakannya, siapa lagi?

Logo Wadah Pencerdasan 
Umat (WADAH)
Dato' Dr Siddiq Fadzil, mantan 
Presiden ABIM, Presiden WADAH serta 
Presiden Kolej Dar al Hikmah (KDH).
Sekretariat WADAH yang terletak 
berdekatan dengan Masjid Al-Hasanah, 
Bandar Baru Bangi. 

Logo 


Presiden ABIM:
Cikgu Haji Amidi Abdul Manan
Juga mantan Presiden PKPIM.


Logo
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
.

Presiden PKPIM:

Saudara Aliemran Norasid.
Ahli Lembaga Majlis 
Tertinggi KDH.
Logo KDH.
Kepala surat dan logo IPI. 
Kenangan.

KDH dahulunya dikenali sebagai 
Institut Pengajian Ilmu-Ilmu 
Islam (IPI).




Sekitar 
Kompleks Dar al-Hikmah.
IV
Sekilas tentang WADAH-ABIM-PEPIAS
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah ditubuhkan pada 6hb Ogos 1971 di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hasil beberapa pertemuan generasi pengasas ketika itu. Pengerusi penaja rasmi ketika itu ialah Ustaz Abdul Wahab Zakaria dan Fauzi Abd. Rahman (sekarang Dato’) sebagai Setiausaha Agung. ABIM merupakan sebuah badan bukan kerajaan Islam yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan pada 17hb Ogos 1972 di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Cita-cita utama ABIM ialah bagi menyumbang secara proaktif pembinaan sebuah masyarakat Islam yang mampu menjadi teras terhadap proses pembinaan negara bangsa Malaysia yang utuh di dalam pelbagai aspek kehidupan. Bagi mencapai cita-cita tersebut, ABIM telah menumpu banyak usaha membangun kerangka faham masyarakat terhadap agama Islam sebagai satu bentuk cara hidup yang menyeluruh serta mempertegaskan prinsip-prinsip masyarakat madani di dalam segala aspek kemasyarakatan, perundangan dan kenegaraan.
Sementara itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31hb Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29hb September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
Cita-cita PKPIM untuk melahirkan golongan pelajar yang memahami Islam sebagai cara hidup yang syumul dengan pendekatan berhikmah merangkumi di peringkat pelajar dan selepas zaman pelajar. Justeru itu bagi memastikan wujudnya kesinambungan perjuangan dan keperluan kepada satu pergerakan yang stabil dan bersifat jangka panjang, maka Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah ditubuhkan pada tahun 1971 dalam Muktamar PKPIM ke-10.
Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) pula ditubuhkan bagi memanfaatkan pengalaman intelektual dan lapangan bekas aktivis ABIM. WADAH masih mengekalkan hubungan erat dengan ABIM bagi meneruskan tradisi belia yang berperanan sebagai jurubicara ummah. Visi Wadah ialah pemerkasaan umat yang berwibawa dan kompeten berasaskan petunjuk al-Kitab dan al-Hikmah menerusi peningkatan kesedaran dan kecerdasan daya fikir mereka melalui pengembangan literatur yang bermutu, perbahasan dan wacana ilmu yang berkualiti serta pernyataan pandangan yang jelas dan tegas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...