Skuad Sukan SEA 2001 turut menggunakan jersi yang sama ketika Pestabola 2001. |
Uzbekistan muncul juara edisi ke-37 di Shah Alam. |
Uzbekistan Juarai Pestabola Merdeka 2001.
Pada 21hb hingga 30hb Jun 2001, Kejohanan Pestabola
Merdeka Malaysia kali ke-37 telah dilangsungkan, dengan 8 buah pasukan yang
bertanding, yang dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan A dianggotai oleh
skuad senior Malaysia, Bosnia-Herzegovina, Bahrain dan Slovakia. Kumpulan B
pula terdiri daripada pasukan Bawah-23 Tahun Malaysia, Uzbekistan, Thailand dan
India.
Skuad senior Malaysia dibarisi oleh: Azmin Azram Aziz, B.
Rajinikandh, Khairil Zainal, Rosdi Talib, Abdul. Ghani Malek, Ahmad Shahrul
Azhar, Yusri Che Lah, Chow Chee Weng, Gilbert Cassidy Gawing, Nik Ahmad Fadli
Nik Leh, Bobby Pian, Mohd Khalid Jamlus, Sapian Wahid dan Rusdi Suparman.
Sementara itu, pasukan Bawah-23 Tahun Malaysia dianggotai
oleh: Kamarulzaman Hassan, S. Jayaprakash, Norhafiz Zamani Misbah, Mohd Shukor
Adan, Indra Putra Mahayuddin, Rudie Ramle,, Mohd Nizam Jamil, Abd Aziz Ismail,
K. Rajan, Subri Sulong, Nor Suhaimi Bahaudin, Akmal Rizal Rakhli, Mohd
Nizaruddin Yusop, dan Mohd Fadzli Shaari, selain dikendalikan oleh Allan Harris.
Pada 21hb Jun 2001, Slovakia tewas, 0-1 kepada Bosnia-Herzegovina.
Pada tanggal yang sama juga, Malaysia memberi tentangan sengit kepada Bahrain
pada perlawanan pertama Kumpulan A Pestabola Merdeka 2001 tetapi akhirnya tewas
4-2 hasil jaringan hatrik Hussain Ali Ahmed pada perlawanan menarik di Stadium
Shah Alam.
Skuad Bahrain dibarisi oleh: Hamad Khalifa Al-Ruwaie,
Mohammed Hussain, Aziz Saleh Ahmad, Ghazi Majed Al-Kuwarie, Sayed Mahmood Jalal,
Mohammed Jaafar Ali (Hussain Ali Ahmed), Faisal Aziz Rashed, Talal Yusuf
(Mohammed Salmain), Salman Isa Ghuloom, Rashed Al-Dosery, Mohammed Salman.
Skuad negara mendahului 2-1 menerusi dua jaringan jarak
jauh Abdul Ghani Malek dan Gilbert Cassidy Gawing selepas dikejutkan dengan gol
awal pasukan lawan seawal minit ketiga menerusi Talal Yusuf. Begitupun,
kelemahan barisan pertahanan menyaksikan Bahrain bangkit pada babak kedua
dengan tiga gol Hussain minit ke-70, 85 dan 90.
Kedua-dua pasukan bermain pantas tetapi Bahrain lebih
banyak membuat serangan ke kubu skuad negara terutama pada babak pertama. Malaysia
yang agak kelam-kabut pada lima minit pertama permainan, mendapat semula rentak
tetapi mensia-siakan dua peluang menerusi dua sepakan percuma minit kelapan dan
12. Sepakan pertama Rosdi Talib melepasi palang gol manakala percubaan kedua
Gilbert turut tersasar.
Gol penyamaan skuad negara akhirnya hadir apabila Ghani
membuat sepakan lintang dari jarak jauh tetapi bola menjunam terus ke dalam gol
ketika penjaga gol Bahrain, Hamad Khalifa Al-Ruwaie cuba menepis bola keluar.
Bahrain yang bermain lebih pantas kerap
mengucar-ngacirkan pertahanan Malaysia tetapi kerja keras Khairil Zainal dan B.
Rajinikandh di barisan pertahanan mengecewakan pasukan lawan untuk mengikat
kedudukan 1-1 pada babak pertama. Malaysia bagai mendapat suntikan semangat
pada babak kedua dengan permainan lebih tersusun dan serangan yang membahayakan
Bahrain.
Hasil usaha keras barisan tengah, skuad negara mendapat
sepakan percuma pada minit ke-52 apabila ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar
dijatuhkan. Sepakan percuma cantik dari jarak 25 meter yang diambil Gilbert
menjunam masuk ke gawang, menewaskan sekali lagi Hamad Khalifa untuk gol kedua
skuad negara.
Begitupun, kegembiraan kem negara tidak lama apabila
Bahrain menyamakan kedudukan pada minit ke-70 menerusi sepakan kencang Hussain
dalam kotak penalti. Hussain meranapkan harapan skuad negara dengan gol ketiga
hasil rembatan kencangnya pada minit ke-85.
Saingan Kumpulan B dimulakan pada 22hb Jun 2001 dengan
kemenangan 1-0 Uzbekistan ke atas Thailand. Skuad Bawah-23 Tahun Malaysia pula
menang, 2-1 ke atas India hasil jaringan Indra Putra Mahayuddin (46’) dan Mohd
Nizaruddin Yusof (74’). Thailand pula menewaskan Uzbekistan, 1-0.
Pada 23hb Jun 2001, peluang Malaysia untuk ke separuh akhir Pestabola
Merdeka 2001 tertutup rapat apabila mencatat kekalahan kedua pada perlawanan
Kumpulan A selepas tewas 0-2 kepada Slovakia di Stadium Shah Alam. Selepas
tewas 4-2 kepada Bahrain pada perlawanan pertama Khamis lalu, pasukan bimbingan
Norizan Bakar kurang bertenaga untuk mengekang aksi pantas Slovakia yang
memperoleh jaringan menerusi Mario Breska minit ke-19 dan 42.
Perlawanan ketiga menentang Bosnia seterusnya adalah cuma
pelengkap jadual selain cuba mengejutkan pasukan negara Balkan itu yang telah
pun layak ke separuh akhir. Skuad negara beraksi gugup terutama pada babak
pertama yang memudahkan Slovakia meratah benteng pertahanan. Corak permainan
pantas Slovakia nyata mengoyak susunan barisan pertahanan dan benteng Malaysia
dihukum dengan jaringan pertama pasukan pelawat pada minit ke-19.
Kesilapan Khairil Zainal di depan kotak penalti diambil
kesempatan Breska untuk mudah menolak bola masuk ke gawang ketika Azmin Azram
cuba keluar menyelamatkan keadaan. Tersentak dengan jaringan mudah itu,
Malaysia menyusun semula gerakan tetapi dua sepakan percuma yang diperoleh
minit ke-20 oleh Gilbert Cassidy Gawing dan minit 36 oleh Rosdi Talib gagal
membocori gawang yang dikawal penjaga gol tinggi lampai Slovakia, Ivan Trabalik.
Slovakia yang kerap menyerang berjaya menggegarkan sekali
lagi gawang Malaysia tetapi jaringan Stamislav Sestak minit ke-22 tidak dikira
kerana pemain itu berada pada kedudukan ‘off-side’. Begitupun, pasukan Griga
Stanislav terus melancarkan serangan bertubi-tubi ke kubu Malaysia dan gol
kedua hadir hasil gerakan solo dari sebelah kanan Breska yang berjaya melepasi
tiga pertahanan negara sebelum melorongkan bola pada sudut sukar, menewaskan
sekali lagi Azmin.
Peluang terbaik skuad negara untuk menghasilkan gol hadir
minit ke-26 apabila Khalid Jamlus melencongkan cantik bola ke tengah tetapi
Sapian Wahid yang tidak dikawal di depan gol menanduk bola melepasi palang gol.
Ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar seharusnya menjaringkan gol pertama apabila
percubaan leretnya pada minit ke-47 berjaya menewaskan Trabalik tetapi bola
yang meleret ke gawang pantas dikeluarkan pertahanan Slovakia.
Sementara itu, Bosnia-Herzegovina muncul pasukan pertama
menempah tempat ke separuh akhir selepas memastikan kemenangan 1-0 ke atas
Bahrain dalam perlawanan kumpulan sama. Almin Kulenovic menjadi wira apabila
menjaringkan gol kemenangan buat Bosnia, yang masih segar dengan kejayaan 1-0
ke atas Slovakia sebelumnya, menerusi tandukan seawal minit ketiga.
Perlawanan pada 24hb Jun 2001 menyaksikan skuad Bawah-23
Tahun tewas 0-2 kepada Uzbekistan. India pula kalah, 0-2 kepada Thailand. Pada
25hb Jun 2001, Bosnia menang, 2-0 ke atas Slovakia. Malaysia pula seri, 2-2,
dengan Bosnia hasil jaringan Rusdi Suparman (70’) dan Ahmad Sharul Azhar (83’).
Pada 26hb Jun 2001, Uzbekistan menewaskan India, 2-1. Pada
tarikah yang sama, pemain gantian, K. Rajan menjadi wira apabila menyempurnakan
sepakan percuma pada minit terakhir untuk membawa skuad Malaysia Bawah 23
melangkah ke perlawanan separuh akhir Pestabola Merdeka dengan kemenangan 2-1
ke atas musuh ketat, Thailand di Stadium Shah Alam. Selepas mendahului 1-0
menerusi S. Jayaprakash pada babak pertama, Thailand menyamakan kedudukan pada
pertengahan kedua, namun Rajan memastikan skuad Bawah 23 negara keluar selaku
pemenang di hadapan kira-kira 18 ribu penonton yang mengiringi langkah mereka
dengan sorakan dan paluan gendang.
Kemenangan itu memastikan skuad Bawah-23 negara
mengiringi Uzbekistan ke separuh akhir dari kumpulan B. Malaysia akan menentang
juara kumpulan A, Bosnia sementara naib juara kumpulan B, Uzbekistan akan
bertemu Bahrain selaku naib juara kumpulan B. Gol yang dicari-cari oleh skuad
negara hadir pada minit ke-33 menerusi sepakan jarak jauh pertahanan,
Jayaprakash. Jaringan berpunca daripada sepakan sudut yang cuba dikeluarkan
oleh pemain Thailand dari dalam kawasan bahaya, tetapi dapat kepada Jayaprakash
yang merembat kencang dari jarak 25 meter.
Bola terkena pertahanan Thailand menyebabkan penjaga
golnya, Umarin Yaodam terkeliru dan bola menggolek masuk ke sudut kiri
gawangnya. Thailand yang nyata tertekan mula beraksi kasar menyebabkan enam
pemainnya dilayangkan kad kuning sementara tiga pemain negara dikenakan amaran
yang sama termasuk Hairuddin yang mengutip kad kuning kedua selepas kali
pertama ketika menang 2-1 ke atas India.
Selepas berkali-kali membuat percubaan dari jarak jauh,
nasib akhirnya menyebelahi Thailand apabila dihadiahkan sepakan sudut pada
minit ke-75. Penyerangnya, Wuttiya Yongant menyempurnakan hantaran Dussagon
Tonglao dengan tandukan yang sama sekali tidak mampu dicabar oleh Kamarulzaman.
Bagaimanapun, Rajan membalas kepercayaan Harris dengan menyumbat gol kemenangan
pada minit ke-84 menerusi sepakan percuma yang cantik dari jarak kira-kira 25
meter untuk gol kedua negara.
Pada 28hb Jun 2001, pasukan Bawah-23 Tahun Malaysia tewas,
0-2 kepada Bosnia Hergezovina pada peringkat Separuh Akhir. Uzbekistan pula
menempah tiket ke final selepas menewaskan Bahrain, 2-0. Perlawanan akhir yang
berlangsung di Stadium Shah Alam menyaksikan Uzbekistan muncul juara untuk
edisi ke-37, selepas menewaskan Bosnia, 2-1 dalam masa tambahan.
----------------------------------------------------------------------
Sumber dan rujukan:
Sumber dan rujukan:
- Akhbar Utusan Malaysia;
- Akhbar NST;
- Majalah Arena Bola Sepak;
- http://malaysiafootball-dimos.blogspot.com/2008/10/jadual-pestabola-merdeka-2008.html;
- https://www.facebook.com/ghaniroquai?fref=ufi;
- https://www.facebook.com/jabal.noor.9?fref=ts;
- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz37m7VKyYo;
- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm;
- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm;
- http://malaysiafootball-dimos.blogspot.com/2008/10/jadual-pestabola-merdeka-2008.html.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan