Sedikit tentang aib dan buli.
Dalam insiden gadis bertudung mengamuk yang sudah ‘viral’; tidak sedikit yang nampak
keburukan sikap beliau. Namun, tidak ramai yang nampak realiti yang menakutkan:
kuasa internet; yang menjadikan dunia ini terlalu kecil dan sempit.
Dan yang menjadi isu ialah tindakan orang ramai
mendedahkan segala maklumat peribadi perempuan tersebut. Hanya melalui info
nombor plat kereta dia. Kuasa internet yang menakutkan. Tindakan mengaibkan
perempuan tersebut secara berlebih-lebihan (sehingga menyebarkan segala
maklumat peribadi beliau), seolah-olah kita pula yang bersikap buruk dan
membuli. ALLAH 'Alim.
Bak kata sesetengah bijak pandai, kita semua nampak baik
bukan sebab kita baik, tapi sebab ALLAH SWT menutup aib kita. Jadi, jangan kita
buka aib orang bila ALLAH SWT tutup aib kita.
Banyak masa yang kita boleh jimatkan jika lebih bertolak-ansur
dan usaha kawal nafsu amarah. Tak ada siapa pun yang sokong sikap-akhlak
perempuan tu. Ugut, maki, tak beradab dengan orang tua. Memang salah, malah ada
yang dah tarik masuk isu perkauman. Tapi, kita pun tak pasti apa cerita sebelum
kes langgar tersebut. Payah juga kalau terlalu mudah menghukum.
Seharusnya, ada yang usaha lebih sikit daripada para
saksi ketika kejadian untuk leraikan. Mungkin boleh usaha lindungi Uncle itu
dengan usaha untuk ambil ‘steereng lock’
daripada perempuan tersebut; sebab agak ramai juga saksi bila tengok dalam
video tu. Mujur cuma hentak kereta dan bukan fizikal Uncle itu.
Iktibar untuk kita semua. Kalau berlaku kemalangan, dan
kereta masih boleh dipandu, usahalah untuk ketepikan dulu kenderaan untuk
elakkan kesesakkan. Kalau khuatir yang melanggar ada niat jenayah, terus
ke balai, buat laporan. Bukannya ambil ‘steering lock’, hentak kereta orang dan
rampas kunci kereta orang lain.
Pengajaran bersama: pedoman. Cuma, pastinya insiden ini
akan babitkan maruah dan beri kesan kepada privasi ahli keluarga perempuan
tersebut. Budaya terlalu mudah menghukum sehabis boleh ni memang menakutkan.
Bayangkan kalau jadi pada ahli keluarga atau diri kita sendiri.
Akhir kalam, berhati-hatilah dalam setiap perlakuan kita
di dunia nyata. Berhati-hati jugalah dalam menekan papan kekunci di alam maya
(internet). Semoga kita dijauhkan daripada melakukan fitnah/pengaiban: baik di
dunia nyata mahupun internet. Juga, semoga kita dipelihara oleh ALLAH SWT
daripada perkara-perkara yang tidak baik. ALLAH SWT melihat dan menilai. Salam
Ramadhan buat semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan