Logo Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). |
Presiden ABIM: Cikgu Haji Amidi Abdul Manan. |
Naib Presiden ABIM: Saudara Jufitri Joha. |
Pandangan ABIM mengenai Future Music
Festival Asia, dalam
akhbar Sinar
Harian, muka surat 14.
|
ABIM KESAL DENGAN PENGANJURAN FUTURE
MUSIC FESTIVAL ASIA.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
merakamkan rasa sedih dan kesal atas kehilangan nyawa 6 pengunjung muda Future
Music Festival Asia (FMFA) yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin.
Ini bermakna Malaysia kehilangan modal insan yang amat berharga yang sepatutnya
digembeling untuk manfaat agama, bangsa dan Negara. ABIM juga ingin mengucapkan
takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar keluarga mangsa diberikan
kesabaran untuk menghadapi situasi yang amat sukar ini.
Di kala Malaysia diselubungi dengan
jerebu, kemarau dan kesedihan dengan insiden kehilangan Pesawat MH 370,
penganjuran acara hiburan ini dianggap tidak sensitif bahkan daripada segi
prinsipnya tidak membawa apa-apa manfaat kepada generasi muda Malaysia tanpa
mengira bangsa dan agama. Ia sekadar mengulangi siri-siri hiburan yang tidak
bermanfaat dan tidak bermatlamat semenjak tahun 1980an yang menyuburkan lagi
budaya hedonisme iaitu budaya berhibur dan berlibur semata-mata untuk
mendapatkan kepuasan diri atau ‘pleasure’. Tambah memburukkan apabila menurut
teori deskriftif hedonisme dianggap sebagai matlamat hidup dan sumber nilai
moral (the highest level in life and as a source of moral values).
Manusia apatah lagi generasi muda
memerlukan hiburan namun hiburan mestilah yang dibenarkan oleh batas agama,
norma masyarakat dan nilai ketimuran. Hiburan mestilah bermatlamat dan
mempunyai falsafah yang mendidik generasi muda ke arah mengingati Sang
Pencipta, membuat amal kebaikan dan menjunjung nilai leluhur insani.
ABIM juga memandang amat serius
penganjuran FMFA ini kerana ia dijadikan sebahagian daripada agenda utama
pelancongan Negara dan disenaraikan sebagai acara penting dalam mempromosikan
Tahun Melawat Malaysia 2014. Ini bermakna ia merupakan acara yang diiktiraf dan
didokong oleh pihak Kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan semenjak 2012.
Janganlah kerana FMFA ini dianggap berkelas antarabangsa dan dapat menggamit
ramai pelancong luar serta menjana pendapatan Negara maka prinsip dan masa
depan pembangunan belia Malaysia digadaikan. ABIM sebagai badan gabungan Majlis
Belia Malaysia (MBM) dan seluruh pimpinan pergerakan belia Malaysia berasa
kesal dengan isu ini kerana usaha membangun dan meruntuh belia berjalan selari,
justeru usaha pembangunan belia akan menjadi sia-sia.
Tambah memburukkan lagi keadaan apabila
penganjur FMFA di Malaysia iaitu Livescape jika dilihat daripada lama sesawang
rasmi mereka tertera logo-logo syarikat arak dan rokok seperti Jagermeister,
Carlsberg, Asahi Beer dan British American Tobacco. Livescape sebagai youth-centric
music and creative events agency harus lebih peka dan menjauhi
syarikat syarikat berbasis arak dan rokok ini demi kebaikan dan kesejahteraan
belia dan masyarakat Malaysia. Walaupun FMFA dikatakan sekadar festival hiburan
semata-mata namun unsur hedonisme pada kebiasaannya sudah sebati dengan
percampuran lelaki perempuan tanpa batasan, penyalahgunaan dadah, one night
stand, arak, perjudian, parti liar, eksploitasi wanita dan materialisme.
Oleh yang demikian pihak ABIM:
Oleh yang demikian pihak ABIM:
1) Mendesak Kerajaan dan Kementerian
Pelancongan agar menamatkan terus penganjuran FMFA di Malaysia serta
acara-acara hiburan yang tidak bermanfaat dan tidak bermatlamat positif.
Acara-acara hiburan alternatif yang lebih bermanfaat wajar mengambil tempat.
Kerajaan harus serius menjadi ‘leading by example’ bagi memastikan
Malaysia menjadi Negara yang baik dan diampuni Tuhan (Baldaton Toyyibatun wa
Rabbun Ghafur);
2) Menyeru pihak-pihak penganjur acara hiburan
khususnya yang beragama Islam menghormati nilai-nilai keagamaan dan ketimuran
serta mengikut garis panduan hiburan khususnya yang digariskan oleh pihak
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandangkan Malaysia merupakan sebuah
Negara Islam dan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata;
3) Mendesak pihak polis meneruskan
siasatan terperinci terhadap penganjuran FMFA dan mana-mana penganjur acara
hiburan agar memastikan acara-acara sebegini benar-benar bebas daripada
usur-unsur arak dan dadah yang mengundang padah dan kehilangan nyawa yang berharga
generasi muda yang hadir;
4) Menyarankan pihak ibubapa agar
memantau pergerakan dan aktiviti anak-anak di bawah tanggungan mereka agar
tidak terjebak dengan acara hiburan yang melampau;
5) Menasihatkan para belia agar mengambil
iktibar daripada kejadian kematian 6 anak muda di acara FMFA dengan menjauhi
arak, rokok dan dadah serta pandai memilih rakan dan hiburan yang bermanfaat
seperti konsert-konsert nasyid, kebudayaan dan kemanusiaan. Belia Islam
disarankan mendekati majlis ilmu, majlis zikir dan majlis berselawat yang
mendidik jiwa;
6) Mengesyorkan pihak pertubuhan
masyarakat madani harus terus berperanan membimbing generasi muda melalui
pendekatan kerja belia agar mereka diberikan bimbingan dan panduan khususnya
tentang cara berhibur yang dibenarkan oleh agama dan norma ketimuran melalui
bimbingan personal, penganjuran seminar, usrah dan media sosial; dan
7) Menyarankan pengamal-pengamal media
dan pihak-pihak penganjur hiburan positif agar terus meningkatkan kapasiti
menghidangkan hiburan-hiburan bermanfaat dan kreatif bagi menarik generasi muda
ke arah perkara-perkara positif.
Pihak ABIM menyeru agar seluruh rakyat
Malaysia komited bekerjasama menjayakan agenda hiburan bermatlamat dan mendidik
bagi memastikan kita menyiapkan generasi muda unggul menjelang 2020 dan
bukannya generasi muda yang lemah dan lalai dengan hiburan semata-mata.
Saudara Jufitri Bin Joha,
Naib Presiden (Pembangunan Belia dan
Intelektual), ABIM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan