Tahukah tahukah tahukah?
Tahukah anda, Muammar Abu Minyar al-Gaddafi yang dilahirkan di kawasan padang pasir berhampiran Sirte pada 1942, mula merancang untuk menjatuhkan pemerintahan Diraja Libya sejak zaman kolejnya?
Ooo iye ke?
Tahukah anda, pada tahun 1969, Gadaffi telah melakukan rampasan kuasa sewaktu Raja Idris menjalani rawatan di Greece? (Sayyid Muhammad Idris bin Sayyid Muhammad al-Mahdi al-Senussi dilahirkan pada 12 Mac 1889-25 Mei 1983 dan merupakan satu-satunya Raja Libya sejak 1951).
Ooo... kiranya, macam rampasan kuasa yang tak berdarah la eh. Sebab dia rampas kuasa masa raja tu kat luar Negara.
Tahukah anda, sewaktu baru berusia 27 tahun, Gadaffi telah dilantik ke jawatan kolonel, satu kedudukan tertinggi dalam Tentera Libya. Beliau mengisytiharkan dirinya sebagai ketua turus tentera dan pemimpin de-facto Negara Libya.
Fuh, mudanya...
Tahukah anda, Gadaffi telah memerintah Libya sejak lebih 40 tahun lalu setelah melakukan rampasan kuasa pada 1969?
Lamanya dia berkuasa...
Tahukah anda, Gadaffi mempunyai banyak koleksi pakaian dengan gaya dan corak yang pelik?
Itu kreatif
Tahukah anda, ke mana saja Presiden Gadaffi pergi, beliau akan dikawal oleh 40 wanita selaku pengawal peribadi elitnya? Kumpulan wanita ini dikenali sebagai the Amazonian Guards kebanyakannya dari Cuba dan masih didakwa masih perawan. Mereka amat terlatih dalam mengendalikan pelbagai jenis senjata -- termasuklah rifle Kalashnikov atau AK47 dan segala jenis pistol dan tempur tanpa senjata.
Itu cool.
Tahukah anda, umpama seekor harimau, Gadaffi telah memerintahkan polis dan tentera menghancurkan penunjuk perasaan anti-kerajaan dengan rifel Kalashnikov, tentera upahan, jet pejuang dan senjata anti-pesawat?
Itu tidak cool.
Tahukah anda, kerajaan Gaddafi sendiri mengeluarkan angka korban akibat kekacauan yang melanda di seluruh Libya iaitu 300 orang, termasuk 58 askar?
Itu sungguh, sungguh tidak cool.
Jadi, apakah ucapan yang sesuai diucapkan kepada diktator ini?
Irhal, irhal ya Gadaffi!
Irhal ya'ni imshi ya illi ma bitfahimshi!
Ash-sha’b ‘ayiz isqat an-nizam!
* Nota Kaki :: Selamat jatuh, Kolonel Diktator!
Jumaat, Februari 25, 2011
Khamis, Februari 24, 2011
Ezam: Antara Sumpah dan Senator.
*****************************************
“Membujur lalu melintang patah, namun Reformasi mesti diteruskan!”“Lawan Tetap... Lawan!”“Saya akan lawan dan buktikan kebenaran, biarpun nyawa saya jadi taruhan...!!!”
*********************************
Demikianlah petikan ucapan YB Senator Ezam Mohd Nor dalam ceramahnya sebelum ditahan ISA dan seterusnya disumbatkan pula ke penjara Kajang. Siapakah Ezam yang sebenarnya? Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) ini pernah dijulang sebagai antara ikon utama Reformasi ’98. Kini, beliau menjadi antara hulu balang UMNO yang menentang bekas mentornya, DSAI. Ayuh, kita kongsi sedikit biografi ringkas Yang Berhormat Senator Ezam Md Noor.
********************************
Biodata Ringkas
Senator Ezam Mohd Nor lahir 24 April 1967 di Klang, Selangor. Beliau merupakan ahli politik Malaysia bermula dari UMNO. Beliau keluar dari parti pada 1998 dan kemudian menyertai Parti Keadilan Nasional (keADILan) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun keluar dari parti itu pada 2007 dan menyertai semula parti UMNO pada 28 Mei 2008.
Beliau pernah bersekolah di Victoria Institution, Kuala Lumpur dari tahun 1980 sehingga 1984. Beliau menyambung pelajaran beliau di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam jurusan ekonomi dari tahun 1987 hingga 1991.
Beliau pernah menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Selangor pada 1993 sehingga 1996 kemudian menjadi Setiausaha UMNO Negeri Selangor dari 1996 sehingga 1998. Kemudian beliau menjadi Naib Ketua UMNO bahagian Petaling Jaya Selatan dari 1998 sehingga 1999.
Selain daripada itu, beliau pernah menjadi Setiausaha politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (selama kurang lebih dua tahun) untuk menyediakan teks ucapan, perancangan politik dan sebagainya. Beliau juga pernah menulis teks ucapan untuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
____________________________________________
Di dalam PKR
Apabila DSAI dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2 September 1998, beliau bersama lain-lain pemimpin turut keluar dan mengadakan demonstrasi jalanan di ibu kota Kuala Lumpur. Kehadiran beliau di pentas pidato/ceramah politik mampu menarik kehadiran ramai penyokong dan hadirin. Ezam adalah bekas ketua Angkatan Muda PKR (AMK) dari 1999 sehingga 2005. Ketika DSAI dipenjarakan di Sungai Buloh, beliau antara yang tetap setia mempertahankan DSAI.
* Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata DSAI, boleh rujuk pautan ini: DSAI: Mantan TPM Malaysia.
Ezam: Di balik tirai besi
Sejak penahanan DSAI pada 20 September 1998, sehinggalah DSAI bebas pada 2 September 2004, Ezam tak henti-henti berpidato dan berkempen untuk pembebasan DSAI. Berikut adalah di antara petikan ucapan Ezam sewaktu membacakan mitigasinya setelah dijatuhkan hukuman penjara 2 tahun kes OSA pada 7 Ogos 2002:
“...sekiranya mendedahkan salah laku rasuah dan salah guna kuasa pemimpin kerajaan menjadikan saya seorang penjenayah, saya rela untuk seribu kali lagi dihukum dan digelar penjenayah...”“... mengapa saya tidak serik-serik? Mengapa saya terus berjuang dan berjuang? Dari mahkamah ke mahkamah, dari lokap ke lokap, dari penjara ke penjara. Ianya adalah untuk masa depan anak anak mereka, anak-anak saya dan juga anak-anak tuan-tuan!”
_______________________________________________
Kes undang-undang
Terdapat beberapa kes melibatkan Ezam yang dijadikan rujukan undang-undang. Di dalam kes Mohamad Ezam Mohd Noor v Ketua Polis Negara & Others [2002]4 CLJ 309, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kedudukan Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berubah berpandukan Seksyen 4(4) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Akta SUHAKAM) 1999, dan tiada keperluan mendesak untuk menggunapakai peraturan/undang-undang antarabangsa.
[Seksyen 4(4) Akta Suhakam 1999 menyatakan bahawa, ‘Bagi maksud Akta ini, perhatian hendaklah diberikan kepada Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 setakat yang perisytiharan itu tidak tak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.’]
Hal ini demikian kerana di Malaysia, undang-undang antarabangsa tidak mempunyai kuasa perundangan (legal force), memandangkan definisi undang-undang di bawah Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan tidak merangkumi undnag-undang antarabangsa.
Selanjutnya, dalam kes Mohammad Ezam Mohd Nor v PP [Criminal Appeal No: 42-22-2002], Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memutuskan bahawa terdapat dua kategori rahsia rasmi iaitu ‘Rahsia rasmi berjadual’; dan ‘Rahsia rasmi berperingkat yang terlebih dahulu perlu diklasifikasikan oleh Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri.’
Sekiranya sesuatu dokumen tersebut tidak terdiri daripada rahsia rahsia rasmi berjadual atau rahsia rasmi yang diklasifikasikan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 2 Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dibaca bersama Seksyen 2B OSA 1972, dokumen tersebut adalah bukan rahsia rasmi.
_____________________________________________________
Persamaan gaya pidato DSAI
Ramai yang melihat sinonimnya gaya Ezam dan DSAI. Gaya berjalan, petahnya berpidato, tonasi suara, saling tak tumpah seperti DSAI. Sehinggakan pernah seorang penulis menyatakan, jika diletak tirai di atas pentas dan Ezam berpidato di balik tirai tersebut; pasti sukar untuk kita meneka siapakah sebenarnya yang berceramah – DSAI atau Ezam?
___________________________________________
Orator ala DSAI
Meskipun terdapat beberapa pemimpin dan tokoh yang mempunyai perwatakan dan kemampuan berpidato menyerupai DSAI seperti Datuk Suhaimi Ibrahim dan Saudara Hasmi Hashim, sesiapa pun tidak dapat menyangkal bahawa adanya persamaan antara gaya pidato Ezam dan DSAI.
_____________________________________________
Menubuhkan GERAK
Beliau merupakan bekas pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (GERAK), sebuah badan yang ditubuhkannya selepas beliau bebas daripada mendekam dalam tahanan. Pada 21 September 1999, Ezam dan Tian Chua telah ditahan sewaktu demonstrasi besar dianjurkan bagi menyatakan simpati dan sokongan kepada DSAI yang dimasukkan ke hospital. Pada tahun 2001, Ezam telah didakwa di bawah OSA kerana memiliki fail kes rasuah Rafidah Aziz.
Pada tahun 2002, Ezam telah dijatuhkan dua tahun penjara. Ezam pernah mendakwa memiliki enam kotak dokumen sulit kerajaan. Penyokong beliau ternanti-nanti dan menghadiri ceramah beliau untuk mendengar pendedahan rahsia tersebut. Ribuan hadir dalam ceramah beliau di Kampung Rinching Hilir, Semenyih. Hal yang demikian, Ezam telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 2002-2003; dan Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada 2002.
_______________________________________________
Penafian berkenaan 6 Kotak Rasuah
Kendatipun, pada 27 Mei 2009, dalam program Hujah di TV9, Ezam menafikan beliau memiliki 6 kotak rasuah yang diwar-warkan semasa DSAI dipenjarakan di Sungai Buloh. Sebaliknya, kotak itu dikatakan masih di tangan DSAI.
____________________________________________
Kembali menyertai UMNO
Pengumuman keluar dari PKR oleh Ezam pada 2007 dikatakan dibuat kerana beliau tidak lagi percaya dengan perjuangan DSAI selain dikatakan disaingi oleh orang kuat DSAI, Azmin Ali.
----------------------------------------------
YB Mohamed Azmin Ali merupakan Ahli Parlimen Gombak, Selangor dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa, Selangor dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). Azmin Ali juga adalah Timbalan Presiden PKR. Di peringkat negeri Selangor, beliau adalah Ahli jawatankuasa Selcat. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua PKR Sabah, kemudian PKR Wilayah Persekutuan dan kini PKR Selangor. Beliau merupakan lulusan University of Minnesota, Amerika Syarikat.
Dalam usia 23 tahun pada tahun 1987, Azmin kembali ke Malaysia dan bekerja sebagai Pegawai Khas kepada Tun Dr Mahathir. Kemudian, beliau bekerja dengan DSAI. Bermula dengan jawatan Pembantu Khas kepada DSAI, dari 1 Oktober 1987-3 April 1989, akhirnya Azmin dilantik sebagai Setiausaha Sulit DSAI di Kementerian Pendidikan berkuatkuasa pada 4 April 1989. Seterusnya, Azmin disambung kontrak ketika DSAI menjawat Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Jawatan terakhirnya kekal sebagai Setiausaha Sulit sehingga ke tarikh pemecatan DSAI pada 2 September 1998.
--------------------------------------------
Ezam dikatakan tidak dapat bekerjasama dengan Azmin kerana berlainan cara perjuangan. Baginya, DSAI telah menyimpang jauh dari arus perjuangan suatu ketika dahulu. Pada 28 Mei 2008, Ezam memohon menyertai semula parti UMNO setelah menyerahkan borang keahlian dan yuran sebanyak RM100 untuk menjadi ahli seumur hidup kepada Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi.
* Secara kebetulan, kemasukan Ezam ke dalam UMNO era Pak Lah ini diwarnai dengan keluarnya Tun Mahathir dari UMNO untuk sementara waktu pada 19 Mei 2008.
------------------------------------------------
Namun, Ezam mendakwa bahawa tindakannya keluar dari PKR, adalah kerana DSAI menolak DEB (Dasar Ekonomi Baru) dan mengkesampingkan agenda perjuangan Melayu.
Presiden PKR yang merupakan Ketua Pembangkang ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan aneh bagi Ezam untuk menyertai semula UMNO-BN. Beliau berkata, ia kerana Ezam sendiri begitu kritikal terhadap parti UMNO-BN. “(Tetapi) ini pilihannya. Selepas apa yang dilakukannya untuk parti, selepas dipenjara, dia memilih untuk kembali semula kepada mereka (UMNO-BN)," katanya. Malahan, dalam satu ceramah selepas keluar daripada PKR, Ezam yang berpidato di atas pentas PAS di Kulai, Johor, melaungkan sumpah keramat untuk ‘tidak akan menyertai UMNO-BN walau apa jua yang berlaku sekalipun.’
______________________________________________________
Jika satu masa dahulu, Ezam diangkat sebagai antara ikon anak muda sewaktu zaman Reformasi ’98, kini beliau dilabel oleh penyokong Pakatan rakyat sebagai pemakan rasuah, pengkhianat, pelacur politik, dan bermacam lagi gelaran. Tindakan keluar parti ini sekedar menuruti dan diikuti oleh tindakan beberapa pemimpin KeADILan dan PKR yang lain seperti Marina Yusof; Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim; Jeffrey Kitingan; Ruslan Kassim; Dr Chandra Muzaffar; Nalla Karuppan; Gobalakrishnan; Anuar Shaari; Mohd Osman Mohd Jailu; Mohd Radzi Salleh; Badrul Hisham Abdullah; Lokman Noor Adam; Jamaluddin Mohd Radzi; Mohd Fairus Khairuddin; Hamdan Taha; Hanafiah Man; dan Zahid Md Arip (sekedar menyebut beberapa nama).
___________________________________________________
Jawatan Senator
Pada tanggal 3 Mei 2010, Ezam mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara. Selain beliau, tiga lagi individu yang dilantik ialah mantan Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel (kini Presiden MIC), Pengerusi Eksekutif Rahim and Co, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan Ketua Wanita Umno Bahagian Pagoh, Noriah Mahat. Mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang. Ezam berkata, beliau dilantik sebagai senator kerana peranan yang dimainkannya dalam pertubuhan NGO, GERAK.
___________________________________________________
Gerakan Selamatkan Selangor
Pada 23 Julai 2010, beliau adalah antara beberapa pemimpin UMNO Selangor yang terlibat dalam 9 program ceramah sempena program ‘Roadshow’ Gelombang Selamatkan Selangor Darul Ehsan (SSDE) sehingga 8 Ogos 2010. Ezam juga menjadi Pengasas/Pengerusi Yayasan Generasi Baru Nusantara, Jakarta dari tahun 2008.
___________________________________________________
Khatimah
Apa yang kita mampu simpulkan, hanya Ezam dan pemimpin PKR sahajalah yang mengetahui asbab mengapa beliau memilih untuk kembali kepada UMNO. Keberanian Ezam dalam tempoh yang singkat dalam KeADILan dan PKR pernah meletakkannya sebagai pemimpin muda yang disegani dan dihormati. YB Senator Ezam kini dikenali dengan pidato yang mencemuh DSAI -- bekas Mentor yang satu ketika dulu terlalu disanjung tinggi oleh beliau sendiri.
Bak kata sahabat Fb saya, Tuan Zaidi Ismail,
"Dalam politik memang sukar untuk mencari sahabat sejati. Hari ini musuh; esok kawan. Lusa, musuh kembali."
Apa-apa pun, seperti yang dinyatakan dalam kitab Sulalatus Salatin - wallahhu ‘alam bissawab - hanya ALLAH SWT yang Maha Mengetahui. Salam.
***********************************
Sumber dan Pautan:
i. Buku-buku tulisan Ahmad Luthfi Othman “Memo Buat Bakal PM” (1993); “Anwar Lawan Ghafar” (1993); “Layakkah Anwar Ketuai Reformasi?” (1998); “Anwar : Skandal Seks atau Konspirasi Poitik” (1998) dan “Anwar Boneka Barat?” (1999);
ii. Mohd Izani Mohd Zain. Islam Dan Demokrasi: Cabaran Politik Muslim Kontemporari di Malaysia, 2005. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya;
iii. S. H. Al-Attas. Anwar Ibrahim : Wira, Juara atau Penderhaka, 1999. Jaharah Enterprise;
iv. Subky Latif. Istimewa Terkenang: Siri Koleksi Rencana Terpilih Siasah, 2009. Kuala Lumpur: Media Icon Sdn Bhd;
v. http://en.wikipedia.org/wiki/File:Anwar_Ibrahim_speaking.jpg;
vi. http://the-truth-reveal.blogspot.com/2008/08/ezam-mohd-nor-as-many-knew-him.html;
vii. http://hasmihashim2010.blogspot.com/p/tentang.html;
viii. http://www.azminali.com/;
ix. http://www.flickr.com/photos/jelir/page7/;
x. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm;
xi. ms.wikipedia.org/wiki/Mohamad_Ezam_Mohd_Nor; dan
xii. pemudakeadilan.tripod.com.
Langgan:
Catatan (Atom)
Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan
Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...
-
Meluaskan Pengaruh Sememangnya pertumbuhan ekonomi dan luasnya pengaruh tidak harus dijadikan piawai yang mengukur keberhasilan dan keceme...
-
Nostalgia Liga Malaysia: Shahril Arsat. Shahril Arsat merupakan anggota skuad ‘ treble ’ Piala Malaysia 1995, ...
-
“ Dalam suatu budaya demokrasi… prasangka orang yang tidak mengetahui adalah lebih senang untuk dihapuskan daripada prejudis orang yang be...