Selasa, November 26, 2013

As-Syahid Ammar: Cay Istanbul, Tiupan Ney dan Kuntuman Nostalgia.


Logo Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Saudara Khairul Anwar, ketika menyampaikan ceramah berkenaan krisis di Syria dan cabaran umat terhadap isu-isu berkaitan hak asasi di Kolej Universiti INSANIAH, Kedah. (Sumber gambar di sini.)
Saudara Mohd Khairul Anwar Ismail
Ketua Biro Tugas-Tugas Khas (Undang-Undang) ABIM.
Gambar ini adalah kenangan kami ‘iftar’ (berbuka puasa) di Istanbul pada bulan Ramadhan yang lepas. 
Rupa-rupanya, iftar ini ialah iftar terakhir Ammar di bumi Uthmaniah, kerana esok pagi Ammar pulang ke Malaysia bersama dua orang lagi sahabat; iaitu Budin dan Ziyad untuk menyambung puasa dan berHari Raya di Malaysia. 
(Sumber gambar di sini).
2012: Saudara Halil Ibrahim dan Asy-Syahid Ammar, ketika sedang mempelajari cara bermain alat muzik tradisional Turkey, Ney.
Cay yang berlatar-belakangkan Istanbul. Sayu.
‘Cay’, sejenis minuman teh yang popular di Turki, Albania dan Kosovo. Dalam bahasa Arab, teh disebut sebagai ‘Shay’.
* Semua catatan ini ditulis oleh Saudara Mohd Khairul Anwar Ismail (Abu Akhyar Al-Qudsi) di dalam FB beliau. Beliau merupakan sahabat baik kepada Asy-Syahid Ammar dan mereka bersama-sama menetap di bawah penjagaan Hayrat Vakfi di Madrasah Hayrat di Turki. Beliau kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat PhD berkaitan Sejarah Uthmaniah.
I
Ammar... Rindu padamu wahai adindaku, Ahmad Ammar...
Saya fikir, saya sudah mahu berhenti menulis pasal Ammar, ditakuti hanya menambah kesedihan. Tetapi, semua kenangan bersama Ammar kelihatannya seperti masih hidup dan segar, terutama apabila melihat gambar-gambar lama bersamanya. Rupa-rupanya, pemergian Ammar ditangisi seluruh penduduk bumi. Inilah kuasa Allah untuk mengangkat dan memuliakan sesiapa sahaja yang Allah kehendaki.
Ammar sudah dua tahun tidak balik dan dua kali raya tidak beraya bersama keluarga. Iftar ini juga untuk meraikan dua orang sahabat kami dari Jordan. Malam tersebut juga malam kesedihan buat saya, sebelum melepaskan mereka pergi pulang berHari Raya, sementara saya tinggal di bumi Uthmaniah berseorangan, di bawah penjagaan Hayrat Vakfı dan penjagaan Allah Taala; untuk meneruskan perjuangan di bumi Uthmaniah ini di bulan Ramadhan dan Syawal yang lepas.
Sebelum itu, saya menemani Ammar ke Panorama untuk membelikan buku untuk Abahnya (Tuan Haji Ahmad Azammantan Presiden ABIM dan Timbalan Presiden WADAH). Di Turki, terlampau susah untuk mencari buku di dalam bahasa Inggeris, tetapi waktu itu hanya tinggal satu di Panorama. Buku terjemahan bertajuk ‘Ottoman History, Misperceptions and Truths’.

Malam itu selepas iftar, saya dan Ammar ke Beyazid pula untuk membeli buku ‘Ottoman Civilization’ (2 Jilid); juga untuk Abahnya. Ini sebahagian hadiah kegembiraan untuk Abahnya dari bumi Uthmaniah untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Hari tersebut adalah hari terakhir Ammar berpuasa di bumi Uthmaniah, iftar terakhir di bumi Uthmaniah, dan Tarawikh terakhir di bumi Uthmaniah. Tetapi, kuasa Allah, selepas mati, jasadnya bersemadi di bumi Uthmaniah ini buat selama-lamanya -- berjirankan sahabat Nabi yang mulia Abu Ayyub al-Ansori, dan berjirankan juga dengan para Syuhada' dan Solihin.

Ammar memakai serban. Bening dan damai... (Sumber gambar di sini).
Pesanan Saudara Sami Yildirim, seorang Vakif dalam Organisasi Hayrat Vakfi, berkenaan Asy-Syahid Ammar kepada Saudara Anwar.
Saudara Anwar dan nostalgia Asy-Syahid Ammar.
II
Ammar... Rindu padamu wahai adindaku, Ahmad Ammar...
Ramai sekali yang masih hairan dengan fenomena Ammar. Saat selepas kematiannya, sangat luar biasa; sehinggalah saat akhir pemakaman jenazahnya. Luar biasa bagi seorang yang berumur 20 tahun, yang belum habis mengenali dunia dan di saat dunia juga tidak mengenalinya. 
Saya terpanggil untuk menulis mengenai pembentukan Ammar di Madrasah Hayrat Vakfı, kerana kami di Turki sama-sama di bawah penjagaan Hayrat. Pelajar Madrasah Hayrat ada identiti atau ‘trademark’ tersendiri. Kalian boleh lihat di dalam video dan gambar, mereka memakai kopiah hijau dan berserban putih. 
Ada dua kunci yang boleh di ambil iktibar untuk kita semua, agar turut disayangi penduduk langit dan bumi, iaitu: 
  1. Menjaga hubungan dengan Allah; dan 
  2. Menjaga hubungan dengan manusia. 
Pelajar-pelajar Malaysia di Turki di bawah penjagaan Hayrat tidak tinggal di asrama-asrama kerajaan, walaupun pelajar tersebut mendapat biasiswa Kerajaan Turki. Namun, ramai juga memilih tinggal di asrama kerajaan atas alasan kebebasan. Kami di Hayrat tinggal di madrasah-madrasah mereka. Oleh yang demikian, penjagaan di bawah Hayrat lebih rapi dan sempurna daripada aspek pengisian ruhani, jasmani dan aqli, di samping persediaan akademik di Universiti. 
Di Madrasah, kami pelajar Malaysia dan Indonesia lebih disayangi dan dihormati berbanding pelajar dari negara lain, mungkin faktor kelembutan watak ketimuran, dan kami tidak banyak melawan atau memberontak. Ammar lebih disayangi kerana dia yang paling tidak melawan.
Pernah ada seorang Arab yang kasar dan kurang disukai, kaki gaduh yang keperibadiannya baru hendak dibentuk oleh Hayrat, satu-satunya orang yang dia senangi ialah Ammar. Menakjubkan. Vakif-vakif daripada Hayrat, kalau nak mencari pelajar Malaysia pun; mereka tetap mencari Ammar, dan jarang sekali mencari pelajar-pelajar lain terlebih dahulu. 
Di Madrasah, ada rutin-rutin yang tidak didapati di asrama-asarama kerajaan. Waktu siang, semua sibuk di universiti masing-masing dengan aktiviti-aktiviti berbeda. Waktu malam akan ada pengajian Kitab ‘Risalah an-Nur’, solat berjamaah, dan rutin-rutin lain ialah menulis Risalah an-Nur di dalam tulisan Uthmaniah.
Antara rutin-rutin yang baik lagi ialah Solat Sunat Qobliah dan Ba’diah sudah seperti menjadi rutin tetap seperti Solat Fardhu. Begitu juga Solat Tahajjud; seperti sudah menjadi seperti Solat Fardu. Di madrasah ini, hubungan dengan Allah dititikberatkan lebih daripada segalanya. Alangkah bahagia saat akhir kematian di dalam suasana ini. 
Semua ciri-ciri pembentukan Al-Fateh ada di sini, dan Ammar adalah ‘batch’ pertama yang melalui proses pembentukan ini. Ammar dihantar di sini bukan secara kebetulan, tetapi penuh perancangan rapi bagi mempersiapkan dirinya untuk ummat. Namun Allah lebih mengetahui hikmah di sebaliknya. 
Terdapat dua watak pada dirinya, iaitu watak Al-Fateh dan watak Abu Ayyub. Barangkali, Ammar lah Al-Fateh (Pembuka) yang akan membuka dan menghidupkan jiwa-jiwa yang lain, dan watak Abu Ayyub sebagai perintis kepada laluan tersebut. 

Berita pemergian Ammar turut dilaporkan oleh media arus perdana.
Damai... Subhanallah.
Kelihatan peluh masih keluar pada bahagian dahi dan kelopak Ammar, selepas dimandi dan dikafankan.
Kempen #letsfollowammar.
III
Ammar... Rindu padamu wahai adindaku, Ahmad Ammar...

Memang saya tidak tertahan untuk tidak menulis mengenai Ammar, maafkan saya. Tetapi kali ini, atas permintaan istimewa Naqib kami yang kami kasihi, iaitu Sami Yıldırım, juga sebagai Guru Risalah an-Nur kami di Madrasah Hayrat Vakfi, untuk menyampaikan mesej Kempen #letsfollowammar kepada seluruh rakyat Malaysia. Sami Yildirim dalam Organisasi Hayrat Vakfi Turki adalah seorang Vakif iaitu orang yang mewakafkan keseluruhan dirinya untuk Dakwah, dan di dalam Organisasi Hayrat beliau diamanahkan untuk menjaga pelajar-pelajar antarabangsa di Turki yang diamanahkan di bawah penjagaan Hayrât Vakfı.
Berikut ialah mesejnya yang saya terjemahkan ke dalam bahasa Melayu:
Guru Ammar di Yayasan Hayrat berkata: seluruh rakyat Malaysia baik yang tua, yang muda, kanak-kanak, lelaki mahupun wanita, mestilah mengikuti dan mencontohi apa yang telah Ammar ikuti. Iaitu (pengajian) Risalah an-Nur.”
Untuk membentuk Ammar ini terdapat tiga jenis pembentukan sebagai pakej, iaitu:
  1. Pembentukan intelek;
  2. Pembentukan ruhani/jiwa; dan
  3. Pembentukan akhlak/sahsiah.
Kecemerlangan akademik sahaja tidak sempurna malah tidak bermakna sekiranya kontang ruhani dan miskin akhlak. Maka madrasah inilah yang telah dicadangkan oleh ayahanda Ammar, sebagai pelengkap pakej pembentukan peribadi Ammar, di mana saya juga turut tumpang sekaki.
Tidak adil di dalam memberikan penghargaan semata-mata kepada Universiti Marmara selain memberi penghargaan kepada Madrasah Hayrat. Universiti Marmara hanya memberikan keperluan akademik, sedangkan di Turki, madrasah inilah yang menyediakan dua lagi keperluan yang lain. Setelah kesemua keperluan tersebut terlebih awal diberikan asasnya oleh institusi keluarganya di Malaysia.
Selain daripada rutin-rutin harian yang telah saya sebut pada tulisan terdahulu, pengajian utama ialah pengajian kitab Risalah an-Nur, yang terdiri daripada beberapa koleksi kitab yang ditulis oleh Imam besar di abad ini, dan dianggap sebagai Mujaddid, iaitu Imam Bediuzzaman Said Nursi.
Ketika kitab ini ditulis, iman masyarakat telah hancur kerana Ruh Islam pada waktu itu telah dicabut oleh Mustafa Kamal Attarturk, dan Imam Bediuzzaman Said Nursi pada ketika itu telah cuba menyembuhkan dan merawat keadaan ini dengan menulis Risalah an-Nur yang merupakan penawar daripada konsep-konsep Al-Quran, walaupun beliau terpenjara di penjara Mustafa Kamal Attarturk, dan ketika matinya jasad beliau turut dirampas oleh tentera Attarturk sehinggakan sehingga kini tiada diketahui di manakah tersembunyinya jasad beliau.
Kata-kata popular Imam Bediuzzaman Said Nursi seperti berikut: “Demi menyelamatkan Iman masyarakat, aku telah mengorbankan kehidupan dunia dan akhiratku. Kerana, iman itulah tiang utama masyarakat Islam; kalau itu tiada maknanya, masyarakat pun runtuh”.
Ammar pula merupakan penuntut yang tekun dan rajin. Bukan sahaja tekun mendalami ilmu sejarah Uthmaniah di Universiti Marmara, tetapi juga tekun di dalam mempelajari dan menghayati pembelajaran Kitab Risalah an-Nur di Madrasah Hayrat. 
Pernah satu kali Ammar selepas tamat peperiksaan akhir di Marmara Universiti, Ammar telah ‘mengkuarantinkan’ dirinya selama seminggu di Madrasah Hayrat di Suleymeniyye tempat saya menginap, untuk benar-benar menekuni dan memahami Kitab Risalah An-Nur, kerana pada waktu itu Ammar akan menjalani pula peperiksaan lisan, yang akan mengujinya pada waktu itu ialah Sami Yildirim.

Hairan saya dengan Ammar, kerana pemuda-pemudi seperti dia tentunya mahukan kebebasan, dan kebiasaannya pelajar-pelajar universiti apabila tamat peperiksaan bermakna tempoh bersuka ria telah bermula, tetapi tidak bagi Ammar, yang mana tempoh tersebut adalah tempoh menelaah Risalah an-Nur dan berbakti pada umat.
Di Madrasah ini, saya selalu menyebut padanya bahawa Ammar lebih Turki daripada orang-orang Turki, kerana pencapaiannya sentiasa lebih baik dan lebih cemerlang berbanding orang-orang Turki. Malah di dalam beberapa ketika pencapaian Ammar ialah sempurna iaitu 100% sedangkan orang Turki sendiri tidak dapat mencapai taraf kesempurnaan tersebut apatah lagi bukan orang Turki.
Dan saya bertambah yakin ciri-ciri pembentukan al-Fateh ada di sini dan Ammar sedang laluinya. Sepertimana saya telah sebut pada posting sebelum ini, terdapat dua watak pada dirinya, iaitu watak Al-Fateh dan watak Abu Ayyub al-Ansori.
Ya, Ammar lah Al-Fateh tersebut (pembuka) yang akan membuka dan menghidupkan jiwa2 yang lain, dan watak Abu Ayyub sebagai perintis kepada laluan tersebut.

Asy-Syahid Ammar menyantuni anak buahnya, sebelum kembali ke Turki buat kali terakhir. Al-Fatihah sekudusnya. Sekudusnya.
Antara foto terakhir Ammar di bumi Malaysia, sebelum berlepas ke Turki.
Ammar dan Saudara Anwar bersama dua lagi sahabat, menikmati kedamaian bumi Turki.
Ammar bersama para sahabat di Turki. Disenangi semua pihak.
Dua pejuang, satu cita-cita.
Gemar membantu ibunya.
Puan Hajjah Nur Azlina dan Tuan Haji Ahmad Azzam, menyampaikan ucapan dalam satu majlis memperingati Ammar di Turki.
IV
Ammar... Rindu padamu wahai adindaku, Ahmad Ammar...

Çay dan Turki, Turki dan Çay, kedua-duanya tidak dapat dipisahkan. Tapi selepas ini tiada lagi Çay bersama-sama Ammar. Barangkali Ammar sedang menikmati air yang lebih enak daripada ini. 
Dalam kalangan pengkaji Uthmaniah, barangkali sayalah yang paling tua selain daripada Ustaz Hasrizal Jamil, dan İbrahim. Sepertimana Ammar yang lari bidang daripada bidang sains kepada bidang sejarah Uthmaniah, saya juga begitulah.
Saya pengamal Undang-Undang yang tegar. Ijazah pertama dan İjazah kedua saya ialah bidang undang-undang tulen, tetapi ijazah ketiga sekarang tidak lagi tulen. Kerana rupa-rupanya, sejarah Uthmaniah lebih mempesonakan.
Walaupun saya jauh beza umur dengan Ammar, tapi faktor Ammar tetap memainkan peranan, sebab itu, apabila saya mula-mula sampai Turki akan cari Ammar dulu, dan saya belum sampai Turki pun Ammar dah tanya saya dulu. 
Sewaktu mula-mula saya baru merangkak belajar bahasa Turki, Ammar lah yang meminjamkan notanya yang bertulisan tangan. Ada dua makalah akademik karangan Ilber Ortaylı yang sempat juga saya pohon Ammar bacakan dan terjemahkan
Segala makalah Sejarah Uthmaniah di dalam komputer riba nya telah saya ambil. Sempat juga mengheret Ammar ke sana ke mari ke kedai buku minta dibacakan judul buku dan penerangan buku selain beberapa orang lagi adik yang lain turut menjadi mangsa ke kedai buku iaitu adindaku Halim Bohari, Syafiq Abu Jibril, selain Muhd Saifuddin Shaharuddindan Ibrahim Zaini. Semoga Allah merahmatimu Ahmad Ammar dan semoga Allah merahmati kalian juga. 
Dulu, saya selalu fikir bahawa Ammar bakal menjadi sejarawan Uthmaniah berbangsa melayu yang ulung yang sedang dibikin di bumi Uthmaniah ini, rupanya aturan Allah adalah lebih baik daripada aturan manusia. Allah mengangkat namanya dan namanya menjadi ulung selepas mati. InshaAllah Ammar ini akan melahirkan Ammar-Ammar yang lain. dan semakin eratlah hubungan Tanah Melayu-Nusantara dan bumi Uthmaniah ini selagi mana bersemadinya jasad Ammar di bumi ini.
Berbahagialah di sana wahai adindaku Ahmad Ammar; bersama bidadari Syurga yang Allah kurniakan buatmu.
Al-Fatihah buatmu.

Yang benar,
Ketua Biro Tugas-Tugas Khas (Undang-Undang) ABIM
merangkap Sahabat Ammar.
------------------------------------------

8 ulasan:

  1. Syahid yang tertangguh... Ammar, urusanmu dgn Allah swt dah selesai didunia.... keadaan kami masih belum tentu.... semoga Allah swt merestui perjalanan mu.... tidak jemu membaca riwayat mu walaupun aku tidak kenal kamu sebelum ini....sayu dan pilu.... tetapi kamu tersenyum bertemu denganNya.... Ibubapa kamu tabah..... Allah dah bagi pinjam kamu pada mereka.... sekarang mereka redha memberinya semula pada Yang Hak.... al fatihah......

    BalasPadam
  2. Syahid yang tertangguh... Ammar, urusanmu dgn Allah swt dah selesai didunia.... keadaan kami masih belum tentu.... semoga Allah swt merestui perjalanan mu.... tidak jemu membaca riwayat mu walaupun aku tidak kenal kamu sebelum ini....sayu dan pilu.... tetapi kamu tersenyum bertemu denganNya.... Ibubapa kamu tabah..... Allah dah bagi pinjam kamu pada mereka.... sekarang mereka redha memberinya semula pada Yang Hak.... al fatihah......

    BalasPadam
  3. sangat tersentuh membaca kisah & perjalanan hidupmu...pengakhiran yg sungguh mulia...semoga syahidmu ini menjadi pembuka dlm melahirkan lebih ramai insan sepertimu....

    BalasPadam
  4. Terkesan hati dgn kisahmu..
    Terpaut hati dgn peribadimu..
    Semoga Jannah tempatmu.
    Al Fatihah.

    BalasPadam
  5. subhanallah..hebatnya penangan syahid arwah..tidak putus2 kagum saya pada Ahmad Ammar..damai sungguh raup wajahnya. dia tidak pernah memgenali saya dan sahabat2 yg mnengenali beliau tapi kami mengenali beliau seolah2 sudah lama kenal..Allah memuliakanmu dan menaikkan darjatmu selepas meninggal..al fatihah

    tidak lupa juga kepada Nabi Muhammad SAW serta para sahabat :)

    BalasPadam
  6. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  7. terlalu kagum saya padamu arwah...pertama kalinya saya tak takut tengok sebujur terbaring mayat yang telah dikafankan..tapi bila tengok muka arwah yang dah dikafankan,sy masih lagi menatap mukanya...Ya Allah seolah-olah sedang tido jer...lepas membaca sume kisah-kisah arwah,hati saya terdetik untuk bermuhajadah seperti arwah...InsyaAllah

    BalasPadam
  8. Tak pernah jemu utk membaca kisah2nya... betapa beruntungnya Ammar... mudah2an saya juga akn dikurniakan keberuntungan yg sama. Allahu Allah... :'(

    BalasPadam

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...