Saat gemilang skuad Singa. Kini, kekosongan skuad ini dalam saingan bola sepak Malaysia, diisi oleh Lions XII. |
1994, Aksi terakhir pasukan Singapura dalam
kancah bolasepak Malaysia. Singapura menjuarai Piala Malaysia pada tahun ini dan buat kali terakhir |
Azman Adnan dan Zolst Bucs tidak dapat menahan kekecewaan selepas tewas pada peringkat Separuh Akhir kepada Singapura. |
Selangor
lawan Kedah (1994): SSA dibanjiri penyokong fanatik.
Malam
epik 2hb Disember 1994. Sesiapa yang berada di SSA (SSA) pada tanggal tersebut
pasti tidak akan percaya bahawa ianya hanyalah perlawanan penentuan ke Separuh
Akhir Piala Malaysia.
Buat
pertama kali sejak perasmiannya, Stadium Shah Alam (SSA) merasai gegak-gempita
akibat dilimpahi lebih dari 80,000 penyokong bolasepak yang membanjiri SSA;
bagaikan ianya pertembungan perlawanan akhir. Semua pecinta sukan bola sepak
berkumpul di SSA yang bernilai RM460 Juta, untuk megembalikan memori indah
Piala Malaysia.
Hal
ini memandangkan jumlah kehadiran penonton pada malam tersebut mencecah 80,000
orang, menghampiri jumlah maksimum kapasiti SSA iaitu 81,000 orang. Suasana
penuh meriah ini ditambah dengan aksi dramatik kedua-dua pasukan.
Seolah-olah
sebuah perlawanan akhir, kesesakan jalan raya yang teruk berlaku sepanjang 2
kilometer menuju SSA. Lebih seribu orang penonton terpaksa berpuas hati menunggu
di luar stadium kerana kehabisan tiket.
Sedari
wisel mula dibunyikan oleh pengadil lagenda, Nazri Abdullah, Kedah FA berjaya
menguasai Separuh Masa Pertama dengan aksi penuh bersemangat, ditunjangi oleh
pemain utama mereka, Nidzam Adzha Yusoff. Pertahanan Selangor, Asroff Hanafiah
dan penjaga gol, Hassan Miskam, terpaksa bekerja keras bagi mengekang asakan
Nidzam daripada membolosi gawang Merah-Kuning.
Meskipun
penyokong Selangor melangkau jumlah 70,000 orang, ini tidak menggentarkan
anggota skuad Kenari untuk terus memberikan tekanan dan asakan kepada pasukan
tuan rumah – kendalian Ken Worden - itu. Skuad Hijau-Kuning berjaya mengawal
permainan dengan aksi pantas dan penguasaan bola yang baik.
Pada
minit ke-44, perancang utama Selangor FA, Malek Rahman telah dilayangkan kad
kuning kerana mengasari pemain Kedah. Sebelum itu, Zsolt Bucs telah dilayangkan
kad kuning pada minit ke-35, sebelum Faridzuan Che Hamid menerima nasib yang
sama pada minit ke-54.
Jurulatih
Selangor, Ken Worden telah menggantikan Anuar Abu Bakar dan Yeo Swee Hock
dengan Rusdi Suparman serta Paul Raj.
Kedah
berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-51, apabila Jan Janostak, antara
penjaring terbanyak ketika itu, berjaya memperdaya pertahanan Merah-Kuning yang
ketika itu berada dalam situasi kelam-kabut seterusnya menjaringkan satu gol
cantik untuk memperdayakan Hassan Miskam.
Ini
adalah kekalahan kedua Selangor kepada Kedah pada musim 1994, selepas tewas 1-2
kepada skuad Kenari dalam saingan liga pada 24hb Mei 1994.
Secara
keseluruhan, Selangor mencatat 2 percubaan yang menepati sasaran; 12 sepakan
percuma; 6 sepakan sudut dan 3 kesalahan ‘off-side’. Sementelah, Kedah
melakukan 5 percubaan yang menepati sasaran; 8 sepakan percuma; 8 sepakan sudut
dan 2 kesalahan ‘off-side’.
Meskipun
tewas, Selangor tetap layak ke Separuh Akhir bersama Kedah, berdasarkan kutipan
mata. Pada peringkat seterusnya, Selangor berdepan cabaran Singapura, manakala
Kedah menentang skuad Pahang.
Ternyata,
perlawanan yang bermutu dan keghairahan penonton yang tidak kunjung padam mampu
mendorong puluhan ribu penyokong untuk berkumpul di SSA, satu angka yang tidak
pernah difikirkan. Setelah saban tahun kita menjangka gema 45,000 penonton
Stadium Merdeka sebagai gema keramat, malam itu SSA menjadi saksi kemeriahan
bola sepak Malaysia era 90an.
Demikianlah,
sejarah indah bola sepak Malaysia satu masa lalu -- hampir 20 tahun yang lalu.
- Selangor FA: Hassan Miskam; Azman Adnan; Rusdi Suparman; Asroff Hanafiah; Anuar Abu Bakar; Malek Rahman; Paul Raj; Yeo Swee Hock; Shahril Arsat; Ismail Ibrahim; K. Ravichandran; Zsolt Bucs; dan Dimitre Kalkanov.
- Kedah FA: Ahmad Sobri Ismail; Jan Janostak; Faridzuan Che Hamid; S. Thanasegar; Nidzam Adzha; Radhi Mat Din; farouk Ismail; Feridza Ismail; Lee Thean Ewe; Lee Kin Hongl Manja man dan Khamal Idris Ali.
- Pengadil: Nazri Abdullah (Pulau Pinang).
---------------------------------------------------
Sumber dan rujukan:
- http://myccbest.blogspot.com/2009/10/separuh-akhir-piala-malaysia-dari-1988.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2013/03/kejohanan-jemputan-mitsubishi-shah-alam.html;
- Akhbar Berita Harian;
- Akhbar NST;
- Majalah Arena Bola Sepak;
- https://www.facebook.com/mhazriqfahimy.abdullah?fref=ts.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan