Khamis, Julai 14, 2016

CR7: JALAN PERJUANGAN YANG PANJANG.


I
CR7: JALAN PERJUANGAN YANG PANJANG.
10 daripada 14 orang pemain Portugal yang terlibat dalam Final EURO 2016, datang dari Akademi Bola Sepak Sporting Lisbon. Akademi ini telah melahirkan nama-nama besar seperti Paulo Futre, Simão Sabrosa, Nani, Ricardo Quaresma dan dua penerima Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo dan Luís Figo. Sporting kini berada pada ranking ke-40 kelab UEFA.
Porto dan Benfica adalah dua buah kelab besar lain di Portugal. Berpengkalan di bandar terbesar Portugal, Lisbon, Sporting Clube de Portugal turut aktif menaikkan sukan futsal, bola baling, bola keranjang, ragbi dan ‘roller hockey’.
Di Sporting, Ronaldo mula menjalani latihan sejak berusia 11 tahun. Ketika berusia 12 tahun, ramai yang menyatakan badannya terlalu kurus meski berbakat besar. Hal ini membuatkan beliau bertekad untuk menambah baik prestasi serta fizikalnya, dengan lebih kerap ke gimnasium dan berlatih dengan lebih komited bersama pasukan.
László Bölöni, pengurus skuad utama Lisbon, membariskan Ronaldo dalam pasukannya ketika beliau baru berusia 16 tahun. Selepas membuat penampilan hebat ketika menewaskan Manchester United pada 2003, nama beliau melonjak naik, sehingga para pemain Red Devils meminta pengurus legenda, Sir Alex Ferguson untuk menyambar pemain sensasi ini.
“…Dear me, he’s got it all,” berhambur pujian buat Ronaldo selepas membantu United untuk menang 4-0 ke atas Bolton dalam perlawanan pertamanya. Malah, hanya dalam musim pertama bersama United ketika baru berusia 18 tahun, beliau telah dilabel oleh legenda, George Best sendiri sebagai ‘pengganti terbaik George Best’.
Ronaldo yang kini berada pada kemuncak prestasinya, bermula dari bawah bersama rakan-rakannya di Akademi Sporting Lisbon. Keprihatinan terhadap krisis kemanusiaan, dedikasi, kerja keras dan komitmen tinggi untuk negara dan kelab; menjadikan beliau sebagai salah-seorang pemain bola sepak terbaik sepanjang zaman.
Salute to CR7 – Cristiano Ronaldo! Grande!             

II
NOSTALGIA: NAZMI FAIZ MANSOR 
DAN S.C BEIRA-MAR.
Bila menyebut tentang Portugal dan akademi, terkenang ketika Nazmi Faiz Mansor digelar sebagai ‘wonder kid’ dan menerima tawaran daripada sebuah kelab di sana. Selepas menjuarai pingat emas Sukan SEA Indonesia 2011 ketika baru berusia 17 tahun, Nazmi diangkat sebagai pemain berbakat besar.
Ada yang menggambarkan beliau sebagai bakal ‘midfielder’ terbaik Malaysia, ada juga yang membayangkan bahawa beliau akan menjadi ikon bola sepak Malaysia.
Pada Mei 2012, Nazmi yang masih beraksi untuk Harimau Muda A, menerima tawaran untuk menjalani latihan selama seminggu di S.C Beira-Mar (kelab Divisyen Satu Portugal), seterusnya menambat hati panel pemilihan ketika itu. Pemilihan ini membuatkan ramai ramai Malaysia menjadi bangga, memandangkan beliau menjadi pemain tempatan pertama yang menandatangani kontrak bersama kelab Portugal.
Meskipun hanya berada seketika bersama skuad Bawah 19 tahun (B-19) S.C Beira-Mar, Nazmi turut memberikan impak, apabila meledak gol sulung dalam aksi persahabatan menentang kelab Loursa pada 18hb Ogos 2012. Dua hari sebelum aksi itu yang menyaksikan skuad B-19 Beira-Mar meraih kemenangan 3-0, Nazmi telah menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-18.
Bagaimanapun, 6 bulan kemudian, beliau mengejutkan negara dengan kembali ke Malaysia dan muncul dalam sidang media pasukan PKNS FC, seterusnya menghampakan harapan ramai pengikut setia bola sepak Malaysia.
Entah bila lagi pemain Malaysia akan mendapat tawaran untuk beraksi bersama kelab luar negara. Kenangan….
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...