Jumaat, Julai 22, 2016

PIMPINAN ABIM ADAKAN PERTEMUAN BERSAMA WAKIL HABIBIE CENTER (INDONESIA).

Logo ABIM.
Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim
Presiden ABIM. Juga mantan
PIMPINAN ABIM ADAKAN PERTEMUAN 
BERSAMA WAKIL HABIBIE CENTER 
(INDONESIA).
20hb Julai 2016 (Rabu) Alhamdulillah, Sekretariat ABIM Pusat telah dikunjungi oleh dua orang wakil dari Habibie Center (HC) iaitu Dr. Mohammad Hasan Ansori (Perunding Kanan, National Violence Monitoring System HC) serta Saudara Wirya Adiwena (Ketua Perhubungan Antarabangsa HC).
Kehadiran mereka disambut dengan ramah dan meriah oleh Presiden ABIM, Saudara Mohamad Raimi Ab. Rahim bersama para pimpinan ABIM Pusat.
Antara lain, pertemuan ini adalah bertujuan untuk membincangkan peranan yang boleh dimainkan oleh ASEAN bagi menyelesaikan krisis pelarian Rohingya, di samping bertukar buah fikiran, berkenaan konflik di Myanmar.
Dalam perbincangan ini juga, turut dikongsikan peranan serta sumbangan yang dilakukan oleh ABIM sejak 1980an bagi mengangkat isu Rohingya sebagai isu Ummah.
HC merupakan sebuah yayasan yang mempromosikan demokrasi di Indonesia, yang didasarkan kepada moraliti dan integriti budaya serta nilai-nilai agama.
Yayasan ini ditubuhkan pada 10hb November 1998 oleh Prof. Dr. Ir. Bacharuddin Jusuf (B.J.) Habibie, mantan Presiden Republik Indonesia ke-3 (menggantikan Suharto).
HC mengkaji dan mengangkat isu-isu perkembangan demokrasi dan hak asasi manusia; selain berusaha memajukan pengelolaan sumber daya manusia dan usaha sosialisasi teknologi.
Sempena ‘IIUM Convocation Fiest – Convest 15’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Presiden ABIM, Saudara Raimi Ab. Rahim yang juga Presiden Global Peace Mission (GPM) Malaysia sebagai sebuah NGO Kemanusiaan, telah dijemput bagi merasmikan pelancaran kempen “Fund Raising For Rohingya” pada 5hb November 2015.
Saudara Raimi telah memberi khabar tentang masyarakat Rohingya yang sangat memerlukan sokongan dan bantuan daripada kita semua. Isu pelarian Rohingya perlu sentiasa diketengahkan bagi memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar, dan seterusnya menegakkan hak sebagai warganegara untuk masyarakat Rohingya di negara mereka sendiri (Myanmar).
GPM juga membuka booth bersebelahan Masjid UIAM bagi memberi pendedahan mengenai misi-misi GPM dan penerangan kempen “Fund Raising for Rohingya”.
Isu penindasan umat Islam Rohingya telah disiarkan dalam majalah “Risalah” terbitan ABIM sejak tahun 1982, apabila memuatkan temubual bersama Presiden Rohingya Patriotic Front ketika itu, Saudara Mohammad Jaafar Habib, berkenaan penindasan umat Islam Rohingya di Myanmar (ketika itu dikenali sebagai Burma).
Pelancaran Tabung Pelarian Islam Rohingya oleh ABIM dibuat pada tahun 1992, manakala penubuhan Pusat Informasi Rohingya dibuat pada tahun 90an. 
Pada tahun 1991 sahaja, seramai 268,000 dari etnik ini melarikan diri kerana Myanmar tidak lagi selamat untuk didiami akibat pembersihan etnik berkala oleh tentera Myanmar. Selain daripada itu, etnik Rohingya juga berterusan berhadapan dengan penangkapan arbitrari oleh pihak berkuasa. Penangkapan yang berleluasa ini langsung tidak mempunyai asas dan merupakan satu lagi bentuk penyiksaan yang membuktikan bahawa satu proses penghapusan etnik sememangnya sedang berlaku di Arakan.
Ekoran daripada pembersihan etnik yang tidak berperikemanusiaan ke atas etnik Rohingya berabad lamanya, ABIM komited membela nasib etnik Muslim Rohingya dengan melancarkan kempen “Citizenship For Rohingya” pada 14 September 2012.
Menerusi kempen tersebut, ABIM mendesak agar kerajaan Myanmar bertindak lebih adil dengan mengiktiraf kerakyatan etnik Rohingya, dengan jaminan hak asasi yang terpelihara selaras dengan Artikel 15 Deklarasi Hak Asasi Kemanusiaan PBB. ABIM juga menyeru untuk semua rakyat Malaysia terlibat dalam kempen “Citizenship For Rohingya” supaya keadilan dapat ditegakkan demi kemaslahatan etnik Rohingya yang juga dikenali sebagai ‘rakyat Palestin di Asia Tenggara’ dan ‘manusia perahu’.
Pada 30hb Mei 2015 pula, ABIM telah mengadakan himpunan sebagai tanda solidariti serta protes terhadap penindasan ke atas masyarakat Rohingya yang telah dinafikan hak mereka sebagai manusia.
Sementelah, Rohingya Education Centre (REC) cawangan Kuantan (Pahang), Permatang Pauh (Pulau Pinang) dan Klang (Selangor) telah ditubuhkan hasil sinergi membabitkan Yayasan Albukhary, United Nation High Commisioner for Refugees (UNHCR), Future Global Network (FGN), WADAH dan ABIM. Pusat ini merupakan usaha fardhu kifayah, bagi membantu mereka yang menghadapi kesukaran dan kemiskinan serta tekanan dalam kehidupan.
Keutamaan REC adalah bermatlamatkan ‘Iqra’ yang bermaksud ‘bacalah’. Maka dalam kekalutan pendidikan hari ini, usaha untuk mendidik umat tidak patut hanya bermusim; bahkan biarlah ianya secara berterusan dan disambut oleh semua peringkat lapisan masyarakat.
Mudah-mudahan, dengan menyediakan peluang pendidikan secara lebih terancang dan tersusun, anak-anak Rohingya yang suci bersih ini akan lebih mampu dan bersedia untuk bangkit mengembalikan hak, maruah bangsa dan agama di bumi asal mereka suatu hari nanti.
Ayuh; sejahterakan Malaysia dengan dakwah!
-----------------------------------------
Sekretariat ABIM Pusat: No.6 Jalan TC 2A/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur
Hubungi Sekretariat ABIM Pusat melalui:
Tel: +603 - 4108 4500
Fax: +603-4108 2400
Email: sap@abim.org.my
FB : Angkatan Belia Islam Malaysia
https://www.facebook.com/ABIM.Malaysia/?fref=ts
---------------------------------------
.




TURKI PASCA KUDETA: ERDOĞAN & KUASA RAKYAT DI UNISEL.


TURKI PASCA KUDETA: ERDOĞAN & 
KUASA RAKYAT DI UNISEL.
21hb Julai 2016 (Khamis): Alhamdulillah, telah berlangsung Siri Dialog Darul Ehsan yang bertajuk “Turki Pasca Kudeta: Erdoğan & Kuasa Rakyat” di Dewan Kuliah 2, UNISEL, Shah Alam. Diskusi ini turut disiarkan secara langsung di: http://tv.selangorkini.my/. Program ini adalah anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) dan Universiti Selangor (UNISEL).
Panelis untuk program ini ialah: Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman
(Naib Canselor, UNISEL dan Timbalan Pengerusi IDE) yang juga penulis buku “Sekularisme & Proses Demokrasi Turki”.
Selain itu, Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman juga tampil. Beliau merupakan bekas Presiden ABIM, yang kini merupakan Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) serta Timbalan Setiausaha Agung, The Union of NGOs of the Islamic World (UNIW). Beliau juga merupakan ayahanda kepada Allahyarhamhu Ahmad Ammar.
Moderator pula ialah Saudara Ahmad Fahmi Shamsuddin [Naib Presiden ABIM dan CEO, Global Peace Mission GPM)].
Prof. Dr. Redzuan Othman menekankan bahawa, “…apa yang berlaku di Turki harus dilihat dari perspektif yang luas, berdasarkan maklumat dan pengetahuan. Pelbagai berita kita terima, harus ada sikap berbincang dan menilainya.”
Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman menyatakan bahawa, “Erdogan merupakan pemimpin yang mengakar; dan sudah diterima oleh rakyat.”
Bagaimana umat Islam harus bersikap dengan Presiden Recep Tayyib Erdogan buat masa ini? Pertama, Husnu Zhann atau bersangka baik dengan beliau dulu. Jangan terlalu gopoh dan ingin nampak lebih tahu sedangkan sumber kamu hanya dari Internet dan Media.
Media dunia (baca: Barat) sedang menyerang beliau dengan menggambarkan semua yang dilakukannya menggambarkan beliau seorang diktator, hendak kembali menjadi Sultan Uthmaniyyah yang ditakuti mereka, bakal membawa Turki ke zaman gelap, boros dan segala-galanya jelek dan menjijikkan.
Coup d’etat 15hb Julai 2016 adalah untuk membunuh Erdogan. Ini sudah terang, apalagi nak bersuluh!
Mengapa Erdogan nak dibunuh? Kerana nak kembali kepada Islam. Kerana ekonomi Turki semakin mencabar kekuatan ekonomi Barat. Kerana menyuburkan semangat Ummatik, Biz Bir Ümmetiz, Kita Satu Umat. Pelarian Syria dilindungi, Rohingya dibela, Palestin dibantu, Somalia dibangun antara contoh.
Kerana Turki dibawah Erdogan mempunyai visi untuk kembali menjadi kuasa Islam yang kuat yang tak mudah dibuli dan dihina. Jadi, kalau anda nak kritikal pun biarlah berpada-pada. Jangan sampai menimbulkan kebencian kepada Erdogan sebagaimana yang diingini oleh musuhnya.
Memang Erdogan punya kelemahan di sana sini. Beliau membesar di KasimPaşa, pinggiran Istanbul yang sosok penduduknya terkenal sebagai kaki gaduh. Keberanian inilah yang mewarnai kepemimpinan Erdogan.
Erdogan bukan maksum. Tapi carilah kalau ada pemimpin dunia Islam yang berani macam dia. Punya visi macam dia. Membangunkan negara macam dia. Membantu umat Islam tertindas macam dia. Cuba nama seorang pemimpin kalau ada!
Program diakhiri dengan laungan Ummatik:
“BIZ BIR ÜMMETIZ, KITA SATU UMAT, WE ARE ONE UMMAH, WAHDAH! WAHDAH! ISLAMIYYAH!”
Ayuh; sejahterakan Malaysia dengan dakwah!
-----------------------------------------
Sekretariat ABIM Pusat: No.6 Jalan TC 2A/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur
Hubungi Sekretariat ABIM Pusat melalui:
Tel: +603 - 4108 4500
Fax: +603-4108 2400
Email: sap@abim.org.my
FB : Angkatan Belia Islam Malaysia
https://www.facebook.com/ABIM.Malaysia/?fref=ts
---------------------------------------
.


Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...