Ahad, Jun 01, 2014

Diskusi Isu Sosial Semasa (DIKSI) Siri 6: “Hedonisme: Terbabas atau Terbatas?”.

Diskusi Isu Sosial Semasa (DIKSI) Siri 6: “Hedonisme: Terbabas atau Terbatas?”
I
Alhamdulillah, pada hari Khamis, 29hb Mei 2014, Angkatan Belia Islam Malaysia / Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM) telah menganjurkan Diskusi Isu Sosial Semasa (DIKSI) Siri 6, kali ini dengan topic “Hedonisme: Terbabas atau Terbatas?”.
Untuk majlis ilmu kali ini, ABIM telah menjemput personaliti dakwah tanah air, Al-Fadhil Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor. Beliau merupakan anakanda kepada tokoh politik dan ikon dakwah negara, Almarhum Dato’ Hj. Ustaz Fadzil Noor (mantan Presiden PAS dan mantan Timbalan Presiden ABIM).
Seorang lagi ahli panel ialah Saudara Jufitri Joha, Naib Presiden ABIM merangkap Pengerusi Malaysia Life (MLL4S). Saudara Jufitri juga merupakan penerima Anugerah Perdana Belia Negara 2014. ABIM turut mempelawa Al Farabi Band, yang merupakan sebuah kumpulan yang membawa muzik ‘progressive metal’ dalam perjuangan mereka mendekatkan masyarakat ke jalan kebaikan.

II
Saudara Jufitri Bin Joha, Naib Presiden ABIM menjelaskan bahawa, “Hedonisme adalah bersifat sekular dan bersumberkan Barat, selain mendorong kepada ‘physical happiness’ semata-mata dan keseronokan yang sementara. Hal ini berbeza dengan kebahagiaan dalam Islam yang bersifat ‘rabbaniy’ dan kekal.” Beliau turut memetik pesanan Imam Al-Ghazali bahawa, “Tiada kebahagiaan melainkan dengan ilmu dan ibadah.”
Penerima Anugerah Perdana Belia Negara (Kategori Lelaki) 2014 ini juga menyatakan bahawa Islam tidak pernah menentang hiburan; tetapi ianya perlulah bermesej. Mengambil iktibar daripada penganjuran festival seperti Future Music Festival Asia (FMFA) pada Mac 2014 yang mengorbankan 6 nyawa, beliau menegaskan bahawa seni dan hiburan itu perlu mempunyai ‘intipati kreatif yang membina’, demi kemaslahatan bersama.
Produk-produk Malaysia yang mempunyai mesej yang baik seperti ‘Upin Ipin’, ‘Jejak Rasul’ serta ‘Imam Muda’ telah menjadi jenama besar dan diterima baik di luar negara. Hal yang demikian, menurut beliau, perlu diperbanyakkan pengisian Islamik atau mesej-mesej kerohanian yang menyeru kepada tersemainya kebaikan dalam masyarakat terbanyak.

III
Ustaz Ahmad Fauwaz adalah graduan Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar. Beliau juga mendapat Sijil Kemahiran Fatwa dari Darul Ifta’ Mesir. Beliau juga sering dijemput menyampaikan ceramah dan membentangkan kertas kerja di seluruh negara dan muncul dalam rancangan ‘Tanyalah Ustaz’ (TV9). Sepanjang hayatnya, beliau pernah berguru bersama Syeikh Ali Jumaah (Mufti Mesir), Dr. Taha Jabir al-Ulwani dan Dr. Mohammad al-Zuhaili. Bidang kepakaran beliau adalah: Fiqh Fatwa, Usul Fiqh, Fiqh Perbandingan, Fiqh Puasa, Fiqh Perubatan, dan Fiqh Semasa.
Ustaz Fauwaz yang merupakan Konsultan Syariah Telaga Biru, menyebut berkenaan garis panduan untuk pengamal seni muzik.mahupun peminat seni muzik. Selain akhlak yang harus dijaga dan seni itu menjurus kepada pembinaan ruh yang baik, beliau menegaskan bahawa para penggiat seni harus menjaga prinsip-prinsip Islam. “Saya percaya bahawa tidak ada hukum yang 100% haram atau halal secara mutlak di dalam Islam. Seni itu mesti berteraskan akhlak,” kata beliau.
Islam itu lebih luas daripada pemikiran manusia. Kita sendiri yang menzalimi Islam dan bukan sebaliknya. Seni adalah satu fitrah manusia, sedangkan haiwan seperti burung pun bersiul dan bergerak-gerak apabila mendengar alunan bunyi yang indah. Namun, muzik bukan matlamat tetapi hanya alat atau salah-satu jalan untuk mencapai matlamat,” tegas Ustaz Fauwaz. Hal ini, menurut beliau, dapat dilihat di mana ramai manusia yang berubah menjadi lebih baik kerana seni dan muzik.
Ustaz Fauwaz juga menceritakan satu kisah di mana seorang wanita tua yang gemar mengutip smapah secara percuma, berjaya membuatkan ratusan orang memeluk Islam, hanya menerusi akhlaknya yang indah dan tabiatnya yang gemar berzikir. Ketenangan yang dimiliki oleh wanita itu setiap kali membersihkan sesuatu kawasan awam sambil berzikir, membuatkan ramai tertarik untuk mengetahui butir zikir yang dialunkannya.
Selanjutnya, Ustaz Fauwaz juga menegaskan bahawa perlu ada usaha keras dalam kalangan masyarakat Islam untuk melakukan transformasi kepada bentuk seni dan hiburan supaya dapat menarik lebih ramai masyarakat kepada Islam dan kebaikan. Justeru itu, menurut beliau, sesuatu karya tidak seharusnya dihasilkan berdasarkan ‘reaksi’ atau apa yang ‘trending’ pada waktu itu semata-mata. Sebaliknya, sesuatu karya itu mesti dihasilkan dengan pengisian yang berkualiti dan berilmu, supaya tidak hanya bersifat bermusim.
Ustaz Fauwaz juga mengimbau bagaimana seorang saudara kepada Allahyarhamhu Tan Sri P. Ramlee yang tinggal di Singapura, yang memetik kata-kata daripada seniman tersohor itu, bahawa “Seni itu adalah sifat dna milik ALLAH.”

IV
Sementelahan, Al Farabi Band merupakan sebuah kumpulan muzik metal nusantara yang berkonsepkan keIslaman, dan pernah dituduh kononnya mereka menyindir agama sendiri melalui imej dan muzik yang dibawa mereka. 
Tahun 2013 merupakan tahun yang penting buat Al Farabi Band kerana lahirnya album ‘World New Ethnic’ yang mana ia mengukuhkan lagi pendirian dan konsep muzik Al Farabi Band sama ada di arena tempatan atau dunia umumnya. Dianggotai oleh Saudara Nazri Alias sebagai komposer dan gitaris, beliau adalah penggerak utama band dan syarikat yang menaungi kumpulan ini.
Puan Rina Ghazali (isteri Saudara Nazri Alias) pula selaku pemain bass dan suatu keunikan yang ada pada beliau ialah, beliaulah yang pada peringkat awalnya mengkaji tentang muzik serta kaitannya dengan kemanusiaan dan Al Farabi Band adalah experimennya. Kajian beliau yang cukup teliti itu banyak memberi garis panduan dan kefahaman baru dalam dunia muzik terutama yang berkaitan dengan muzik bertenaga. Boleh dikatakan beliaulah yang mengasaskan band ini dan digerakkan bersama oleh ahli-ahli yang lain.
Saudara Nasaie Nawawi adalah penyanyi utama yang juga menulis lirik dan suatu yang istimewa pula, beliau adalah anak saudara kepada Allahyarhamhu Ustaz Asri Ibrahim yang mana suatu masa dulu adalah penyanyi utama kumpulan Rabbani. Saudara Kamarul Borhan selaku gitaris dan salah-seorang jurutera di studio kepunyaan Al Farabi Band. Saudara Adie Wady Ahmad yang bertindak sebagai pemain dram merupakan anggota terakhir yang menganggotai band ini pada awal 2012.
Al Farabi Band mengetengahkan tiga elemen yang penting, pertama, Al Farabi Band memaksimumkan elemen muzik dengan mengetengahkan genre ‘progressive metal’ di dalam semua karya yang dihasilkan. Kedua, Al Farabi Band memaksimumkan penggunaan lirik yang jelas, bertenaga di mana ia merangkumi semangat perjuangan, sejarah, ilmu kemanusian dan kemasyarakatan. 

V
Secara ringkasnya, ketiga-tiga panel menekankan betapa perlunya seni itu menjurus kepada pembinaan ruh yang baik, memandangkan muzik bukanlah matlamat; tetapi hanyalah salah-satu kaedah untuk mencapai matlamat hakiki: iaitu mendapatkan keredhaan ALLAH SWT. Semoga kita bertemu lagi dalam sesi DIKSI ke 7 nanti. Bersama menegakkan kebenaran dan keadilan. Hidup biar berjasa. Padu.
----------------------------------------------
Sumber:
  1. http://gptd-spain.blogspot.com/2014/06/belia-budaya-hedonisme-dan-konsep.html;
  2. http://www.alfarabiband.com/biography.html;
  3. https://www.facebook.com/Active.Fast.Center?fref=photo;
  4. https://www.flickr.com/photos/iqram5595/12812320324/;
  5. http://www.blogieta.com/2013/12/alfarabi-band.html;
  6. https://www.facebook.com/cikguainaa?fref=ts;
  7. https://www.facebook.com/maria.kamel.50?fref=ts.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...