Rabu, Mei 15, 2013

Wacana Isu Semasa: Analisis Keputusan PRU13, Memaknai Pilihan Rakyat.

Poster wacana.
Sesi pendaftaran para hadirin.
Sambutan yang menggalakkan. Alhamdulillah.
Dewan Melor Garden Wedding, indah.
Suasana persekitaran dewan yang damai. Terletak berhampiran Kolej Dar al Hikmah.
Sebahagian daripada hadirin yang memenuhi dewan.
Bertanding dalam Pilihanraya, kita bukan hanya perlu menang, tetapi juga perlu mendidik (not just winning, but educating) rakyat terbanyak.”
– YB Dato’ Dr Mujahid Yusuf Rawa.
---------------------------------------------------------------------
‘Wacana Isu Semasa: Analisis Keputusan PRU13; Memahami Makna Pilihan Rakyat’
Alhamdulillah, pada 14hb Mei 2013 kurang-lebih pada jam 9 malam, saya berkesempatan menghadiri ‘Wacana Isu Semasa: Analisis Keputusan PRU13; Memahami Makna Pilihan Rakyat’ anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Akademi Pendidikan Kewarganegaraan & Demokrasi. Majlis ilmu ini dianjurkan di  Dewan Melor Garden Wedding yang terletak di Lot 1676, Jalan ABIM, Sungai Ramal Dalam, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, berhampiran Kolej Dar al Hikmah.

Cikgu Amidi Abdul Manan, Presiden ABIM. Sedikit tentang ABIM di sini: http://chedinsphere.blogspot.com/2010/12/sejarah-angkatan-belia-islam-malaysia.html
Selaku moderator, Prof Dr Shaharuddin berjaya menghidupkan suasana majlis.
Mukadimah.
Seramai empat orang telah diundang untuk menjadi ahli panel dalam wacana ini antaranya, Prof Datuk Dr Mohd Redzuan Othman, YB Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Ahli Parlimen Parit Buntar), YB Dr Ong Kian Ming (Ahli Parlimen Serdang) dan YB Datuk Idris Jauzi (Ahli Parlimen Batu Pahat), manakala Prof Madya Dr Saharuddin Badaruddin [Pensyarah Sains Politik dan Kajian Politik Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia (UiTM)] bertindak selaku moderator. Pengerusi majlis untuk wacana ini ialah Ketua Biro Dakwah ABIM, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Cikgu Amidi Abdul Manan dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa Pilihanraya Umum (PRU) kali ini menyaksikan rakyat mahukan pandangan yang lebih objektif dalam menerobos gerbang politik era baru.  

Para hadirin khusyuk mendengar penerangan yang disampaikan oleh Prof Redzuan.
Pengarah Institut Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Prof Datuk Dr Mohd Redzuan Othman.
Memulakan ulasannya dengan nasihat yang baik, Prof Redzuan menegur semua pihak agar membuat kajian dan analisis terlebih dahulu sebelum membuat sebarang rumusan mudah. Sewaktu kehangatan bahang PRU ke-13 sebelum ini, satu hasil kajian oleh UMCEDEL telah menimbulkan kontroversi apabila tinjauan menunjukkan 43 peratus pengundi berpendapat DSAI layak menjadi Perdana Menteri sementara 24 peratus tidak setuju dan selebihnya tidak pasti. Sementara bagi DS Najib, 39 peratus pengundi berkata beliau layak menjadi Perdana Menteri sementara 31 peratus tidak setuju dan 30 peratus selebihnya tidak pasti. Kajian UMCEDEL ini telah dibuat bermula hari pembubaran Parlimen sehingga hari penamaan calon PRU ke-13 dengan seramai 1,407 respondan.

Seterusnya, Prof Redzuan menekankan peranan media baru khususnya blog, Facebook dan Twitter dalam mempengaruhi para pengundi, terutamanya pengundi muda. Prof Redzuan menegaskan bahawa pemberian Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) dan undi daripada warga FELDA menjadi faktor terbesar Barisan Nasional (BN) memenangi undi masyarakat Melayu di luar bandar dan berjaya mengekalkan Putrajaya. Faktor ‘Menteri Besar’ pula membawa kepada kejayaan Pakatan Rakyat (PR) untuk mempertahankan Selangor dan Kelantan.

PRU ke-13, menurut beliau, memperlihatkan bagaimana 66% rakyat tidak dipengaruhi pendekatan lama kempen yang lebih berdasarkan kekuatan poster dan bendera. Sebagai contoh, Dato’ Raja Nong Chik berkempen dengan bersungguh-sungguh dan mempunyai lebih banyak bendera dan poster yang ditampal berbanding YB Nurul Izzah, tetapi YB Nurul masih tetap berjaya mempertahankan kawasan Parlimen Lembah Pantai. Pengundi, menurut Prof Redzuan, lebih meyakini poster yang memaparkan mesej yang jelas, berbanding sekadar poster politik yang mempunyai gambar passport calon PRU.

Beliau juga menyatakan bahawa proses persempadanan semula atau ‘Gerrymandering’ adalah antara cabaran terbesar PR pada masa depan. Mengikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 113 (2) (ii), persempadanan semula Bahagian-Bahagian Pilihan Raya akan dibuat dalam tempoh tidak kurang dari 8 tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun daripada siapnya urusan persempadanan terdahulu. 

Dr Mujahid Rawa, yang memperjuangkan wajah baru PAS. Beliau merupakan anak kepada Almarhum Ustaz Yusof Rawa. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/07/ustaz-yusof-rawa-mursyidul-am-pas-yang.html
Saudara Wasif dan Saudara Fahmi (Presiden PKPIM) tertarik dengan pandangan Dr Mujahid.
Bersama Saudara Abu Qassim (Ketua Biro Penerangan ABIM), Saudara Wasif (aktivis Jaringan Anak Muda), Dr Mujahid dan Saudara Fahmi. 
YB Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Ahli Parlimen Parit Buntar).
Dr Mujahid yang dikenali sebagai penulis beberapa buah buku yang kontroversial tetapi laku-keras (bestseller) seperti ‘Menuju PAS Baru’ dan ‘Rejuvenasi PAS’, menyatakan secara hikmah bahawa ‘ahli akademik mungkin mempunyai teori, tetapi ahli politik mempunyai pengalaman.’  

Dr Mujahid menyatakan bahawa kajian menunjukkan bahawa pengundi wanita agak terpengaruh dengan isu perkauman yang dijaja sepanjang PRU ke-13, tatkala 70% pengundi muda dan kali pertama mengundi PR. Kendati pun, Dr Mujahid menegaskan bahawa terdapat gerakan kebangkitan dalam kalangan rakyat yang menolak politik perkauman sempit. Meskipun kehilangan beberapa kerusi, PAS, menurut beliau, berjaya menembusi beberapa kubu kuat UMNO-BN di Melaka dan Johor.

Dalam pada masa yang sama, Dr Mujahid turut mengakui bahawa Parti Islam Semalaysia (PAS) masih berdepan dengan persepsi berkenaan isu perpaduan-penggabungan dengan UMNO, selain tuduhan bahawa PAS diperkudakan oleh Parti Demokratik Rakyat (DAP). Dengan tegas, Dr Mujahid menzahirkan pandangan bahawa wajah baru PAS menolak politik perkauman sempit. Dr Mujahid menegaskan berkenaan betapa pentingnya mendidik masyarakat terbanyak dan memberikan mereka hak yang selayaknya dalam sistem demokrasi. Selanjutnya, beliau sempat mempromosikan dua buah karya terbarunya, ‘Berdialog dengan Gereja’ dan ‘Malaysia Pasca Rasisme.’

YB Dr Ong Kian Ming fasih berbahasa Melayu dan petah berhujah. 
Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang.
Ramai yang hadir menyaksikan wacana ini.
YB Dr Ong Kian Ming (Ahli Parlimen Serdang)
Memulakan ucapan dengan penuh rasa rendah diri, Dr Ong mengungkapkan bahawa kemenangan beliau dan PR adalah dengan takdir TUHAN. Secara berjenaka, beliau menyatakan bahawa, “…oleh itu, jika bukan ini kali lah (PRU ke-13); (PRU ke-14) itu kalilah kita akan menang.”

Penggunaan media baru seperti Twitter dan Facebook, menurut Dr Ong adalah sangat fundamental bagi mendapatkan sokongan masyarakat muda terhadap seseorang calon. Seterusnya, beliau menegaskan bahawa baik DAP mahupun PAS, tiada siapa yang ‘memperkudakan’ (menguasai) antara satu sama lain. Beliau juga menolak pandangan berkenaan ‘Tsunami Cina’, sebaliknya mengambil contoh bagaimana di kawasan Bangi – yang bermajoritikan penduduk Melayu - sokongan terhadap beliau cukup memberangsangkan. Justeru, kepada beliau, apa yang berlaku ialah ‘Tsunami rakyat Malaysia secara keseluruhannya.’ Untuk kesekian kalinya, beliau tegas bersetuju bahawa politik perkauman sudah tidak relevan dan sesuai lagi.

Dato Idris Jauzi memberikan pandangan sewaktu sesi soal-jawab.
Bersama Cikgu Derih, Ahli Parlimen Batu Pahat.
Cikgu Derih bersama aktivs PKPIM, Khair.
YB Dato’ Mohd Idris Jauzi (Ahli Parlimen Batu Pahat).
Dato’ Idris yang mesra dipanggil ‘Cikgu Derih’ atau ‘Badang’ dalam kalangan sahabat dan di sekitar kawasan Batu Pahat, secara bergurau menyatakan bahawa terdapat dua ‘lastik’ yang diperlukan untuk membentuk politik baru, iaitu ‘idealistik dan realistik’. Mantan pimpinan PKPIM, ABIM dan WADAH ini berkias dengan menggunakan ungkapan ‘Berbeda tempat tegak; berbeda tempat tampak.’ Hal ini merujuk kepada bagaimana seseorang pemimpin atau ahli politik itu meletakkan sikap dalam mengimbangi antara kehendak rakyat-pengundi (appeal to the senses) dan kaedah mendepani khalayak (pidato politik).  

Dato’ Idris dalam komentarnya turut meminta semua pihak berfikir sejenak, sama ada kemenangan dan sokongan yang diperolehi oleh PR dalam PRU ke-13 lalu kerana rakyat benar-benar percaya dengan perjuangan PR ataukah hanyasanya menolak dasar dan kepimpinan UMNO-BN yang ada sekarang. Proses muhasabah dan kajian berkenaan perkara ini penting, menurut beliau demi kelangsungan perjuangan dan masa depan idealism PR. Menginsafi bahawa kemenangannya dalam penyertaan sulung bertanding dalam pilihanraya adalah satu amanah yang berat, beliau menyeru kepada semua pihak untuk memperkukuhkan prinsip dan pendirian untuk memperjuangkan politik nilai yang lebih baik. 

Logo ABIM.
Bersama Saudara Faisal, Penolong Setiausaha Agung ABIM. Kami berkhidmat di bawah firma yang sama.
Bersama Abang Bob, orang kuat Unit Media ABIM. Tabik.
Saudara Khair, aktivis PKPIM yang ceria dan berwibawa.
Bersama Presiden PKPIM, Saudara Fahmi yang kini bergelar bapa.
Ustaz Anuar Tahir, mantan Setiausaha Agung ABIM yang kini aktif bersama PAS Perlis.
Bersama Saudara Wasif dan Saudara Rozan.
Antara buku yang dijual sewaktu wacana tersebut ialah yang berkenaan dengan politik di Turki dan buku biografi DS Wan Azizah. http://chedinsphere.blogspot.com/2013/05/pesta-buku-antarabangsa-kuala-lumpur.html
Khatimah
Wacana yang berlangsung selama kurang-lebih 3 jam ini diakhiri dengan kesepakatan para panelis berkenaan betapa pentingnya politik perkauman dan politik lucah dilontar sejauh mungkin, demi kemaslahatan bersama, in sya ALLAH. Semoga wacana kali ini menjadi titik tolak kepada penerus perjuangan mengangkat politik nilai bagi menjana sebuah negara bangsa yang lebih dinamik, progresif dan mempunyai tatakelola (good governance) yang baik. Memetik kata-kata mantan Presiden ABIM, Ustaz Siddiq Fadzil, “…Di dunia wacana, lawan pendapat adalah rakan berfikir. Setiap pendapat yang terungkap, menyenangkan atau menyakitkan, semangat yang mendasarinya tetap sama: ingin jujur kepada diri sendiri. Memuji tanpa motif untuk mengampu,mengkritik tanpa maksud untuk menyakiti.” Khalas.

----------------------------------------------------------------
Sumber dan Pautan:
  1. http://www.facebook.com/hilwah.husain?hc_location=timeline;
  2. http://www.facebook.com/fadhlinasidek.sidek;
  3. http://www.facebook.com/myusofrawa?fref=ts;
  4. http://dewankahwin.blogspot.com/p/dewan-darden-wedding.html;
  5. http://t.co/l0KQDF7fsP;
  6. http://www.facebook.com/smartmuz.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...